August 16, 2018

Kita Serupa ...11


Dentingan deraian hujan di atap zink membuatkan Raihan terjaga dari lenanya. Sejuk terasa mencengkam hingga ke tulang. Selimut yang sudah turun ke hujung kaki ditarik menyelubungi tubuh. Matanya yang masih terpejam sebentar tadi sudah terbuka luas, mendengarkan alunan ayat suci al-Quran.

Dia memasang telinga. Surah al-Mulk. Kepalanya diangkat sedikit, melihat jam di dinding. Menghampiri ke pukul satu pagi. Pandangan diarahkan pula pada susuk tubuh sang suami yang sedang duduk membelakanginya, di meja belajar bersebelahan almari baju. Raihan memerhati dalam diam. Terbuai dia seketika, mendengar kelunakan suara itu.

Rasa bersalah menyelubungi hati. Entah kenapa dia tidak boleh mengawal perasaannya malam tadi sehinggakan dia meninggi suara. Berbeza dengan suaminya yang kekal tenang. Raihan menghela nafas. Perlahan-lahan dia bangun dan keluar dari bilik sebelum sempat 'Ali Hasif menghabiskan bacaannya. Tersentak lelaki itu mendengar bunyi pintu ditutup perlahan.

Raihan kembali ke biliknya hampir setengah jam kemudian. Matanya mencari kelibat sang suami. Lelaki itu sudah berbaring elok di atas katil. Raihan mendekat. Wajah 'Ali Hasif yang nampak lena dipandang tak lepas. Rasa bersalah kembali menjentik hati. Perlahan-lahan dia memanjat katil dan berbaring mengiring, menghadap suaminya.

Selimut di hujung kaki ditarik dan berhati-hati Raihan menyelimutkan sang suami. Nafasnya dihela dan dilepas perlahan. Berat. Semakin dia cuba menjauh, semakin kuat tarikan 'Ali Hasif terhadapnya. Lelaki itu seperti mempunyai auranya yang tersendiri. Tidak pernah dia terfikir akan berjumpa 'Ali Hasif semula apatah lagi memasang angan menjadi suri lelaki itu.

Aturan kehidupan yang tidak terjangkau dek fikirannya. Serasa agak rumit. Namun dia percaya dengan janji-Nya, tidak akan diberatkan seseorang itu dengan sesuatu yang melebihi kemampuannya.. Dia yakin dan berpegang dengan janji Yang Satu. Dia mampu menghadapinya, biiznillah..

Raihan menarik nafas panjang. Pandangannya beralih pada parut kecil di pelipis kanan 'Ali Hasif. Kurang 2cm parut berhampiran anak rambut lelaki itu. Terselindung dengan rambut yang  sedikit panjang di bahagian sisi. Raihan memberanikan diri dalam debaran, merapati suaminya, menyentuh dan menilik kesan parut itu. Lama. Tak berkelip.

Parut 14 tahun dahulu. Dia pasti itu. Jendela memorinya terbuka luas, mengenangkan peristiwa lalu. Peristiwa yang memberi kesan kepada hidupnya, yang membuatkan dia kecewa dengan 'Ali Hasif sehinggakan dia betul-betul melupai sebaris nama lelaki itu selama beberapa tahun sebelum lelaki itu muncul tiba-tiba.

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Kita mandi kat toilet masjid la Aimi, dekat sikit.. Air dekat tangki dengan kolah masjid pun mesti banyak lagi.." Suara Raihan memecah hening. "Jauh pulak nak menapak pergi bangunan sekolah. Time gini la nak takda air.. kolah pulak dah dikosongkan takut jentik-jentik membiak cuti panjang ni.. leceh aih," Raihan merungut panjang.

Sepi, tiada balasan. Raihan pusing kepala, mencari Aimi di belakangnya.

"Kenapa?"

Sepatah soalan diberikan melihatkan Aimi terpusing-pusing seperti mencari sesuatu.

"Kita tak sedap hati la awak.. Macam ada orang ikut je dari tadi,"

Aimi menayangkan muka ketakutan. Berkerut dahi gadis itu. Raihan merapati Aimi. Tangan kanannya menarik tangan kanan Aimi, perlahan. Dirapatkan tubuh Aimi padanya dan dia merangkul bahu sahabatnya itu. Segaris senyuman dihulurkan seolah-olah mahu berkongsi semangat.

Jika diikutkan takut, dia pun terasa seram. Bulu roma di belakang tengkuknya terasa berdiri sedari tadi. Namun dia cuba juga memberanikan diri, berpura-pura berani di hadapan Aimi. Bahu Aimi ditepuk beberapa kali sebelum dia membetulkan tudung di kepala. Kepala ditelengkan sedikit, memandang Aimi di sisi.

"Perasaan je tu wak.. Cerah lagi ni kan.. Baik kita cepat sebelum masuk maghrib nanti gelap pulak."

"Iya la. Lewat petang dah ni. Dah masuk maghrib nanti lagi gelap kan.." Sokong Aimi. "Jom Rai, laju sikit.. Perut kita memulas dah ni." 

Kedua-duanya melangkah laju menuju ke tandas muslimah di bahagian kiri masjid. Sunyi sepi petang itu. Cuti penggal persekolahan sudah bermula. Hampir semua penghuni asrama telah pulang ke rumah masing-masing dua hari yang lalu.

Hanya tinggal Raihan, Aimi dan tiga orang senior tingkatan 4 di aspuri. Mereka berlima baru sahaja pulang dari Perkhemahan Hari Puteri, Pergerakan Puteri Islam Malaysia. Perkhemahan tiga hari dua malam peringkat negeri itu telah diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri Selangor, Kem Tekali.

Baldi biru sederhana besar di tangan kiri diletakkan di bilik mandi tengah. Terdapat tiga bilik mandi kecil di ruang itu. Tuala di bahu disangkut ke pintu bilik. Bakul berisi perlatan mandi dikeluarkan dari dalam baldi dan disangkut pada besi penyangkut. "Aimi," panggil Raihan. Pelik bila Aimi tiada di situ.

"Aimi," panggil Raihan lagi. Dia bergerak ke bahagian bilik air pula. Kedengaran bunyi air di tandas paling hujung.

Raihan tersenyum, mengurut dada. Dia kembali semula ke kamar mandi yang letaknya bersebelahan dengan bilik air. Hanya dipisahkan dengan satu tembok panjang yang dilengkapi dengan barisan paip untuk kemudahan mengambil wudhuk.

Tudung di kepala ditanggalkan dan disangkut di penyidai. Beberapa minit kemudian Raihan mula menyental hujung seluar track yang berselut. Hajat di hati hendak mencuci apa yang perlu sebelum dia pulang ke kampung esok pagi. Tetapi dia hanya membawa tiga helai seluar track, sepasang baju kurung dan beberapa pasang stokin untuk dibasuh kerana bimbang air takungan tidak mencukupi. Ketukan di muka pintu membuatkan Raihan terkejut.

"Kenapa, Aimi?"

Sepi tiada jawapan. Pelik.

"Aimi?"

Panggil Raihan sambil membuka pintu sedikit, mengintai di luar. Ada kelibat yang berlari keluar. Raihan berdebar. Laju-laju dia menutup pintu. Menyembunyikan diri di dalam bilik mandi. Tergamam dia seketika. Setelah bertenang beberapa minit kemudian, Raihan memberanikan diri, membuka pintu bilik mandi itu dan perlahan-lahan dia bergerak ke luar.

"Allahuakbar!" Raihan mengurut dada. Tidak menyangka dia akan bertembung dengan Aimi di pertengahan jalan.

Aimi tersengih. "Rai dah habis mandi ke? Lama pulak kita kat dalam toilet tadi,"

Raihan menjungkit kening, menelan liurnya sekali. Bibirnya tersungging senyum. "Belum," sepatah dia membalas sebelum menyambung, "Kita nak kunci pintu kejap,"

"Kita masuk shower hujung ya,"

Raihan mengangguk dan membalas, "Kita ada kat shower sebelah awak.. Tinggal nak bilas, lepas tu baru nak mandi,"

Aimi mengangguk sedikit dan berlalu masuk ke bilik mandi paling hujung, bersebelahan deretan tingkap nako di bahagian atas. Raihan bergegas ke pintu utama tandas, dikunci pintu dari dalam dan berjalan laju ke bilik mandi semula. Tidak pula dia bercadang untuk memberitahu Aimi tentang kelibat yang terlihat olehnya tadi.  Bimbang Aimi lebih ketakutan. Dia cuma berharap untuk segera pulang ke asrama.

Selesai membasuh baju, Raihan membuka pintu dan berjalan ke hadapan sedikit, menghampiri dinding bertentangan dengan bilik mandinya itu. Diletakkan baldi yang berisi pakaian yang sudah dibasuh di tepi dinding itu. Bulu romanya terasa meremang tiba-tiba. Segera dicapai penyangkut baju besi yang tergantung di pintu.

Pandangannya diliarkan sekitar ruang bilik mandi itu. Matanya tertancap pada tingkap nako di hujung bilik mandi. Ada sepasang mata sedang mengintai! Raihan tergamam seketika. Tidak sampai sesaat jeritan Aimi pula kedengaran. Kedengaran bunyi derap kaki seakan berlari. Tindakan refleks, dia melempar hanger besi di tangannya pada cermin nako itu. Kuat. Pecah berderai.

"Allah!"

Raihan segera melompat masuk ke bilik mandinya. Dia kenal suara itu! Jantungnya berdegup kencang. Tangannya menggigil. Terdengar esak tangis Aimi. Raihan mengurut dada. Pantas dikesat air matanya  yang mengalir laju. Cuba menenangkan diri sendiri. Dalam hati dia mengulang zikir sambil dia menyudahkan mandi dan bersiap.

"Aimi,"

Panggil Raihan perlahan. Tiada balasan. Sedu-sedan Aimi masih kedengaran.

"Aimi, Aimi okay?"

Raihan memberanikan diri, keluar dari bilik mandi. Aimi menolak daun pintu perlahan-lahan. Menggigil tangannya. Raihan pantas memeluk Aimi. Ditenangkan sahabatnya itu biarpun hatinya bagai dilanda taufan.

Keadaan suram dan kelam membuatkan pandangan Raihan terhad. Dia tidak dapat melihat dengan jelas bentuk wajah dan sepasang mata di balik cermin tadi. Namun, dia tetap kenal suara yang mengaduh dengan menyebut nama Allah waktu itu. Dia pasti itu orangnya.

Raihan menggeleng kepala. Beberapa kali. Seperti tak percaya. Seakan tidak boleh diterima lelaki itu sanggup berbuat demikian. Tidak dia menyangka ke tahap itu kenakalannya.

"Aimi.. Aimi siap dulu, kita nak tengok luar sekejap,"

Raihan yang sudah lengkap berpakaian dan bertudung bergegas keluar, menuju ke belakang tandas itu. Dia nekad untuk berhadapan dengan manusia yang sakit rohani itu. Namun, tiada sesiapa di situ. Hanya tinggal serpihan kaca yang bertaburan di atas simen dan kesan darah menitik di sepanjang jalan menuju ke bangunan sekolah mungkin.

Raihan kembali ke bilik mandi. Beberapa minit kemudian, kedua-duanya beriringan laju menuju ke asrama. Sepi beraja antara mereka berdua. Masing-masing memilih untuk berdiam diri daripada berbicara tentang peristiwa itu. Persoalan tentang siapa yang terlibat, tidak pernah diajukan. Seperti dibawa angin lalu, kisah itu tergantung begitu sahaja.

Peristiwa yang benar-benar memberi kesan dalam hidup Raihan. Aimi berpindah sekolah dua minggu selepas kejadian. Sahabatnya itu benar-benar trauma. Dia pula mengambil keputusan untuk menyendiri. Terasa malu untuk berhadapan dengan orang ramai biarpun dek angkara seorang, maruahnya tetap telah tercalar.

Lelaki itu? Masih bertahan sehingga tamat tingkatan enam atas. Lagaknya seperti tiada apa yang pernah berlaku biarpun di wajahnya tercalit bukti yang kukuh lagi nyata. Pernah beberapa kali lelaki itu cuba menghampirinya. Namun dia lebih pantas mengelak dan menyembunyikan diri. Memang tidaklah untuknya sengaja bertembung dengan 'Ali Hasif biarpun terlihat dari jauh. Lelaki itu seakan sudah menjadi pantang larangnya.


~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

Raihan tersentak. Tangannya terasa digenggam tiba-tiba. Peluh jernih muncul di dahi. Dia mengangkat kepala sedikit. Matanya bertembung dengan sepasang mata milik sang suami. Raihan pantas menundukkan kepalanya kembali. Kecewa, sedih, marah, kecil hati, debar, seram. Semuanya bercampur baur. Dia menarik tangan kanannya yang berada dalam genggaman 'Ali Hasif. Cuba menjauhkan diri.

Tapi gagal. Tangannya kemas dalam genggaman sang suami. Kejap. Raihan terasa seperti ingin meraung. Dadanya berdebar hebat. Seakan terbayang peristiwa hitam itu di depan matanya tika ini. Kolam mata sudah sarat dengan mutiara jernih, menanti masa untuk menitiskan limpahannya.

"I'm sorry sayang,"

Raihan menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tidak mahu mendengar apa-apa daripada lelaki itu. Air mata sudah laju menuruni pipi. Dia teresak dalam diam. Matanya ditutup rapat, tidak mahu memandang seraut wajah di hadapannya itu.

"It wasn't me,"

Raihan terasa seperti nafasnya direnggut. Lelah. Sebaris kata itu seakan hempasan gunung di atas kepalanya.

"It wasn't me,"




to be continued..
in shaa Allah









2 comments:

  1. gitu ghuper nye
    nape la c 'ali hasif ni xbgtau
    kan da majuk
    aiyok xtau

    ReplyDelete
  2. pyh jgk nk bcerita hakikat yg sebenar.. hurmmm.. hihi tq sis for the comment.. really appreciate that 😉

    ReplyDelete