June 15, 2009

Bayang-Bayang 15


"Dinie, can you do me a favor?"


"Hmm?"

"Tolong carikan signing pen saya.."

Dinie menjungkitkan keningnya sedikit. Tersenyum dia melihat mata Idraki yang melilau-lilau mencari pennya. Idraki yang sedang menarik laci mejanya mengalihkan pandangannya pada Dinie. Berkerut dahinya melihatkan gadis itu yang tersenyum lebar.

"Tak nak tolong ke?" Tanya Idraki laju.

Dinie menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tergelak kecil.

"Tak nak tolong?!"

"Bukan... Nak..."

Dinie tergelak lagi melihatkan mata Idraki yang bulat memandangnya.

"Bukan tak nak tolong.." Jawab Dinie perlahan. Dia tersenyum seketika sebelum meneruskan kata-katanya. "Encik ni dah jadi pelupa agaknya.. Tu yang kat dalam poket Encik tu apa..."

Dinie tersenyum lagi. Jari telunjuknya mengarahkan pada kocek baju kemeja biru laut Idraki. Makin lebar senyumannya saat Idraki tersengih. Pantas Idraki menarik keluar pen Parker, pemberian seseorang yang istimewa buatnya.

"Saje je saya nak test mata awak.."

Idraki tersenyum sedikit menutup rasa malunya. Entah macam mana dia boleh terlupa di mana dia meletakkan pen itu sebentar tadi.

Dinie mencebik dalam diam. Matanya memerhatikan pula pergerakan tangan Idraki, menyelak setiap helaian dokumen.

"Duduk dulu, Dinie.." Pantas Idraki bersuara. Dia meletakkan pen di atas meja. Matanya dialihkan pada Dinie yang berdiri tegak di hadapannya saat itu. "Duduk.. Saya tak makan oranglah.." Idraki bersuara lembut, melihatkan Dinie yang seakan ragu-ragu untuk duduk di kerusi yang bertentangannya.

Dinie tersenyum. Segan pula dia hendak duduk bersama Idraki saat itu. Segan hendak berbicara lebih panjang dengan bosnya yang seorang itu. Lambat-lambat Dinie melabuhkan juga punggungnya di atas kerusi beroda yang bertentangan dengan Idraki.

Idraki hanya tersenyum memandang Dinie sebelum dia kembali menghadap dokumen-dokumen di atas meja.

"Dinie dah breakfast?" Suara Idraki memecah kebisuan antara mereka.

"Hmm? Dah.."

"Betul ke ni? Pucat je saya tengok awak ni.."

Hah? Pucat? Biar betul bos ni. Pandai-pandai aje.. Takkan nak pucat tiba-tiba..

Dinie meraba pipinya perlahan. Lambat-lambat dia bersuara, "Saya makan roti jala pagi tadi. Cukup zat.. Mana ada pucat.."

"Bukanlah maksud saya pucat..."

Ayat Idraki mengundang kerutan di dahi Dinie.

Dah tadi dia cakap pucat, takkan maksud lain pulak.. Hishh bos ni pelik lah.

Tersengih Idraki melihat kerutan di dahi Dinie. "Maksud saya, awak ni lembik aje serupa orang tak makan.."

Idraki ketawa lepas. Senang hati melihat muka tidak puas hati Dinie. "Awak tahu tak, awak nampak comel buat mata bulat macam tu.."

Makin bulat mata Dinie mendengarkan kata-kata Idraki. Dia segera menunduk saat tawa Idraki makin menjadi-jadi.

"Hmm... Awak ada berapa orang adik-beradik, Dinie?" Tanya Idraki tenang selepas dia puas ketawa sebentar tadi. Matanya memandang sekilas pada Dinie sebelum beralih pada power of attorney di atas mejanya. Laju sahaja dia menurunkan tandatangannya selepas menyemak dokumen perjanjian itu. Dia mengangkat semula kepalanya memandang Dinie, saat tiada jawapan daripada gadis itu. Keningnya dijungkitkan sedikit tanda dia masih lagi menunggu jawapan daripada Dinie.

"Empat. Along, saya, adik kembar saya dua orang.." Jawab Dinie lambat-lambat.

"I see.. Along lelaki ke perempuan? Kalau perempuan boleh jugak saya kenal-kenal.." Sengaja Idraki bertanya sedangkan sebentar tadi di akhir perbualannya dengan Naqib, sepupunya itu ada menyebut tentang along Dinie.

"Lelaki. Student lagi.. Belajar dekat UITM Seri Iskandar."

"Hmm.. Bercakap pasal student, Dinie bila lagi? I mean result STPM dah keluar kan? Ada plan nak further study mana-mana?"

"A'ahh.. Result dah dapat last week.. InsyaAllah kalau ada rezeki saya.. Teringin jugak.."

Tenang Dinie menjawab. Matanya yang memerhatikan Idraki tadi beralih pada dokumen yang sedang diselak oleh bosnya itu. Seketika Idraki menumpukan sepenuh perhatiannya pada dokumen-dokumen yang tersusun di atas meja.

"Ah ya.. Macam mana result Dinie?" Pantas Idraki bertanya, teringatkan permintaan Naqib tadi.

Naqib yang beriya-iya ingin mengetahui keputusan peperiksaan gadis yang semakin mendapat tempat di hatinya itu. Idraki meletakkan pen di tangannya ke atas meja. Tumpuannya beralih pada Dinie yang sedang memandangnya.

"Alhamdulillah.."

Pendek jawapan Dinie. Dia tersenyum memandang Idraki. Idraki menjungkitkan keningnya tanda tidak berpuas hati dengan jawapan itu.

Dinie tersenyum lagi sebelum berkata, "I got 5P.. Tiga A. Satu B+ dan lagi satu, B.."

"Subjek sama dengan yang first dulu?"

"Ermm.. Sama je dengan masa dekat sekolah dulu. Pengajian Am, Bahasa Melayu, Literature, Geografi dengan Seni Visual.. Nak tukar yang lain takut tak boleh nak cover pulak.." Panjang jawapan Dinie, makin selesa dia berbual dengan Idraki kala itu.

"Betul jugak tu. Kalau tak nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.." Idraki bersuara perlahan sambil tersenyum. "Apa planning lepas ni? Dah isi borang nak sambung belajar dekat mana-mana IPTA?" Tanya Idraki lagi. Tangannya menggenggam semula pen yang diletakkan di atas meja sebentar tadi.

"Hmm.. dah. Sekarang ni mana guna borang lagi, Encik Idraki.. Semuanya guna online.."

"Really?" Idraki menatap kembali wajah gadis di hadapannya itu, berminat untuk mengetahui lagi.

"Hmm.. Setahu saya, student lepasan STPM semuanya guna nombor pin untuk isi borang UPU. Beli nombor pin dekat BSN lepas tu isi secara online. Tapi kalau untuk pelajar lepasan SPM, saya tak sure sama ada dah guna sistem online sepenuhnya ataupun tak." Tersenyum Dinie melihatkan Idraki yang terangguk-angguk mendengarkan penjelasannya.

"Zaman saya dulu tradisional aje.."

Idraki tergelak perlahan. Ada juga dia membaca di surat khabar mengenai pengisian borang pengambilan pelajar ke IPTA secara online. Sengaja dia hendak mendengar Dinie bercerita sendiri. Seronok dapat berbual dengan gadis yang disangka pendiam itu.

"Hmm.. Dinie ada mention pasal adik kembar, kan? Kembar seiras ke?" Tanya Idraki lambat-lambat, masih ingin mengetahui tentang keluarga pekerjanya yang seorang itu.

"Tak.. Serupa tapi tak sama.." Jawab Dinie berlelucon. Dia tersengih sedikit pada Idraki yang memandangnya tiba-tiba. "Sorang laki, sorang perempuan. Diorang tu muka memang tak sama tapi perangai, sekepala. Sebab tu saya kata serupa tapi tak sama.."

"Hmm.. Bunyi macam seronok aje Dinie," ujar Idraki dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Teringat dia pada kembarnya, Iqlima.

"Macam Encik Idraki dengan Puan Iqlima.. Encik rasa seronok ke tak?" Selamba Dinie bertanya pada Idraki seakan-akan mengetahui Idraki sedang memikirkan Iqlima saat itu.

Idraki ketawa lepas. "Kitorang asyik gaduh aje. Gaduh, baik.. Gaduh, baik.." Dalam tawanya Idraki bersuara. Dinie tersenyum.

"Hmm.. macam tu lah lebih kurang.."

Dinie tersenyum lagi memandang Idraki. Matanya beralih pada tangan Idraki yang sedang menyusun dokumen-dokumen yang telah siap ditandatanganinya. Lambat-lambat Dinie berdiri. Tangannya dihulurkan ke arah Idraki untuk mengambil semula dokumen-dokumen itu. Idraki segera menghulurkan dokumen-dokumen perjanjian itu kepada Dinie semula.

"Terima kasih.. Nanti bila dah siapkan borang stamping dengan cek, saya bagi balik semua aggrement ni dekat Encik. Saya keluar dulu.."

"Hmm.. Tak puas saya berbual dengan awak, Dinie.. Tapi tak apa, esok-esok kita boleh berborak panjang lagi.." Idraki berkata tenang. Ada makna yang tersembunyi sebalik kata-katanya itu. Dia tersenyum pada Dinie yang menganggukkan kepalanya sekali sebelum berlalu keluar dari biliknya itu.


*******************


"Aii.. Lama kat dalam, Dinie.." Tegur Aina perlahan dengan kening yang sengaja dijungkit-jungkitkan.

Dinie tergelak perlahan mendengar teguran Aina. Dia menayangkan dokumen-dokumen perjanjian yang dipegangnya seraya berkata, "Banyak ni kak.. Sebab tu lama sikit.." Dinie tersengih. Dia melangkahkan kakinya ke meja Aina selepas meletakkan dokumen-dokumen itu di atas rak.

"Kak, nak borang stamping dengan voucher sekali."

"Cek tak nak?"

"Nak.." Laju Dinie menjawab sambil tersengih. Terlupa dia pada cek yang perlu ditaip. "Akak ada nak stamping apa-apa tak?"

"Sekejap ye akk tengok jap.."

Aina menyelak-nyelak fail-fail di atas mejanya. Beberapa ketika kemudian dia mengeluarkan dokumen daripada fail-fail yang diselaknya tadi.

"Hmm.. Ada la.. Dinie isi dulu borang stamping dengan voucher ni, cek biar akak yang buat." Sambung Aina sambil menghulurkan sehelai borang dan sekeping baucar kepada Dinie.

"Eh, kak.. Ini petty cash, kak.."

"Eh iya ke?"

Aina mengambil semula baucar yang diberikannya kepada Dinie sebentar tadi. Dia melihat baucar itu sekali lalu sebelum tersenyum malu. Pantas laci mejanya ditarik dan dikeluarkannya baucar yang lain.

"Hmm.. Nah. Betul tak office account tu?"

Dinie tergelak kecil. "Tak betul jugak, tak tahulah Dinie kenapa dengan akak hari ni..."

Dinie tersenyum pada Aina yang menjungkitkan hidungnya sedikit. Langkah kakinya diatur menuju ke biliknya untuk menyambung kerjanya semula. Sesaat kemudian dia keluar dari biliknya dan berjalan menghampiri rak di sebelah meja Aina. Sambil tersengih pada Aina, Dinie mengambil dokumen-dokumen yang ditinggalkannya di situ sebentar tadi.

"Hah, lupa lah tu.." Sergah Aina laju.

Dinie tersenyum seketika sebelum menjelirkan lidahnya sedikit pada Aina. Dia kembali ke biliknya semula selepas itu.

"Eh, ni apasal tak sign lagi.. Macam mana boleh tertinggal ni.." Dinie bersuara perlahan melihatkan bahagian yang tidak ditandatangani Idraki. Pantas tangannya menyelak semua dokumen yang diberikan kepada Idraki tadi.

Lahaii.. Bukannya satu tapi lima. Macam manalah Idraki ni boleh terlepas pandang.. Malasnya nak bangun pergi bilik tu.. Hmmm itulah.. boraklah lagi time buat kerja.. Tapi kalau tak borak pun, Idraki memang selalu tak sign semua. Mesti ada yang tertinggal..

Dinie merungut panjang dalam hati. Tangannya pantas mengumpul dokumen-dokumen yang belum ditandatangani Idraki dan meletakkannya di sebelah kirinya.

Selesai sahaja mengisi borang stamping, pantas dia ke meja komputer pula. Papan kekunci ditekan-tekan dan tetikus digerakkan ke kiri dan kanan. Setelah siap membuat senarai peminjam dan jumlah yang perlu dibayar, segera Dinie mencetak bahagian yang ditaipnya tadi.

"Hmm.. Siap pun. Satu je lagi belum settle.."

Dinie mengalihkan pandangannya pada dokumen-dokumen yang telah diasingkannya tadi. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. Langkah kakinya diatur ke arah bilik Idraki dengan tangannya memeluk dokumen-dokumen itu rapat ke dadanya. Pintu bilik Idraki diketuk perlahan. Dinie terus melangkah masuk sebaik sahaja dia melihat Idraki tersenyum kepadanya.

"Ini, Encik tak sign lagi.." Laju Dinie bersuara sebelum sempat Idraki berkata apa-apa. Dia meletakkan dokumen-dokumen yang didakapnya tadi ke atas meja. Pantas tangannya menyelak bahagian-bahagian yang perlu ditandatangani Idraki.

"Eh, macam manalah saya boleh tertinggal yang ni semua.." Perlahan suara Idraki seolah-olah dia sedang berkata dengan dirinya sendiri.

Dinie tersenyum tiba-tiba. Alah.. macam tak biasa pulak Encik Idraki ni.. Hati Dinie berkata-kata.

Idraki pantas mendongakkan kepalanya memandang Dinie seperi mengetahui suara hati gadis itu. Dinie segera menjungkitkan bahunya memandang Idraki. Dia tersenyum lagi. Idraki kembali menunduk, menyambung tarian jemarinya di atas bahagian-bahagian yang telah ditanda oleh Dinie.

Setelah siap, dia mendongakkan kepalanya. Pen di tangan diketuk-ketukkan pada bucu meja. Dia memandang Dinie sambil tersenyum. Sesaat kemudian pandangannya beralih pada telefon bimbitnya yang berbunyi tiba-tiba. Pantas tangannya menekan butang hijau sebaik sahaja dia melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Sempat Idraki memberikan isyarat kepada Dinie supaya Dinie menunggu sebentar.

"Waalaikumussalam.. Nuha, kenapa?" Pantas Idraki bertanya sebaik sahaja pemanggil memberikan salam.

"Abang Id, tau tak abang pergi mana? Nuha call, dia tak jawab pun.." Suara Nuha yang kedengaran agak cemas membuatkan Idraki tersenyum.

"Ei.. Nuha nangis ye..." Idraki bersuara nakal, mengusik Nuha yang sedang kerisauan.

"Ishh... abang ni. Orang tanya betul-betul, dia main-main pulak.."

"Abang Nuha tu pergi site. Takde coverage agaknya dekat sana.. Dia tak bagitahu Nuha ke?" Lembut suara Idraki memujuk Nuha yang dalam kebimbangan.

"Tak..."

"Dia lupa kot Nuha kena pergi camping tengah hari ni," Idraki memotong suara Nuha.

"Eh, macam mana abang boleh tahu pulak?" Pantas Nuha bersuara. Telinganya dapat menangkap gelak tawa Idraki.

Idraki tersenyum kepada Dinie yang memandangnya dari tadi. Dia kemudiannya mengisyaratkan kepada Dinie supaya gadis itu duduk dahulu. Lambat-lambat Dinie tersenyum dan melabuhkan punggungnya ke atas kerusi di hadapan meja Idraki.

"Macam mana Nuha nak pergi ni bang?" Nuha segera bertanya kepada Idraki setelah Idraki tidak memberikan jawapan kepada pertanyaannya sebentar tadi.

"Ala.. Nuha saja call abang ni nak suruh abang hantar la tu.." Idraki tersengih mendengar Nuha mendengus lembut. "Nuha tunggu, kejap lagi abang datang." Pantas Idraki bersuara selepas tiada balasan daripada Nuha.

"Abang tau ke Nuha nak pergi mana?" Laju Nuha bertanya, musykil dengan kesudian Idraki hendak menghantarnya ke Kem Remaja Islam yang diadakan di Sungai Tekala.

"Abang taulah.. Kalau abang tak tahu pun, abang bawaklah Nuha jalan-jalan... Okay?" Idraki bersuara nakal. Dia tersengih lagi.

"Abang janganlah main-main.. Nuha kat sana bukannya jadi peserta, Nuha jadi fasi.. Tak boleh lambat..."

"Eh, Nuha jadi fasi? Serius ke? Nuha one of the fasilitator dalam Kem Remaja Islam? Are you kidding me?" Sekali lagi Idraki mengusik. Bukannya dia tidak tahu semua itu. Naqib telah memberitahu kepadanya segalanya dengan jelas.

"Abang..!"

Suara Nuha yang kedengaran manja di telinga Idraki membuatkannya tersenyum. Namun mati senyumannya sebaik sahaja panggilannya itu diputuskan.

Idraki meletakkan telefon bimbitnya itu ke atas meja. Dia tersengih pada Dinie dan berkata, "Ada orang merajuk..."

Dinie menjungkitkan keningnya sekali. Dia tergelak kecil mendengar nada suara Idraki yang sedang tersenyum padanya.

"My girl.." Idraki bersuara tanpa ditanya. Dia tersenyum lagi sambil matanya menjeling ke arah jam bulat yang tergantung di dinding biliknya. Dia mencongak-congak masa untuk memastikan dia sampai di rumah Naqib tepat pada masanya nanti.

"Dah sign semua, Encik Idraki?" Dinie segera bertanya pada Idraki yang sedang menyusun dokumen-dokumen tadi. Idraki tersenyum dan mengangguk. Dia menyerahkan dokumen-dokumen itu pada Dinie.

"Saya nak keluar kejap lagi. Kalau ada apa-apa, just call me.." Idraki bingkas berdiri memandang Dinie yang sudah pun berdiri tegak di hadapannya.

Dinie tersenyum memandang Idraki. Lucu dia melihat gerak-geri Idraki yang asyik menjeling ke arah telefon bimbitnya dari tadi.

"Tak salah kalau Encik yang call balik.." Lambat-lambat Dinie bersuara. Tersengih dia melihatkan Idraki yang mengerdipkan matanya sekali sambil tersenyum. "Saya keluar dulu.." Langkah Dinie diatur kemas ke luar bilik. Dia melangkah laju dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya.

No comments:

Post a Comment