“Rin, ibu dah dapat cakap dengan Aunty Su pagi tadi. Tengahari nanti Aunty Su dengan Uncle Saiful terus pergi hospital dari airport,”
Kata-kata Puan Faridah terngiang di telinga. Sesekali Ain melirik pada jam tangan di pergelangan tangan kanannya. Sudah menghampiri jam empat petang. Bila-bila masa sahaja pasangan suami isteri itu akan tiba di hospital.
Pergerakan di atas katil membuatkan Ain mengalihkan pandangan pada Falah di sisinya. Si kecil itu membuka mata perlahan-lahan, terpisat-pisat memandang Ain yang sedang bertenggek di hujung kepala katil.
“Ma..” Rengek Falah. Tangan comel itu menarik lengan Ain.
Ain mengusap lembut kepala Falah. Dahi halus itu menjadi sasaran bibirnya.
“Lamanya Falah tidur.. Mama boring tau..” Ain membalas manja. Falah tersenyum sedikit. Senyuman si kecil bertukar sengih.
“Ma, Falah nak balik..”
Ain tersenyum, mengangguk sedikit. Falah yang sudah bangun ditarik dalam dakapannya. Diriba si kecil itu penuh kasih dan Falah melentokkan kepalanya ke dada Ain.
“Falah nak pergi school, nak jalan-jalan dengan papa..”
“Mmm.. Falah sihat nanti, kita pergi school ye sayang,”
Falah mengangguk sedikit. “Falah nak papa..”
Ain terdiam, menghela nafas perlahan. Kepala Falah dikucup lembut. “Nanti Falah dah sihat, kita jumpa papa ye sayang..”
Falah mengangguk lagi. “Bila kita nak balik rumah, ma?”
“Falah nak balik rumah papa ke rumah tok mama dengan tok abah?”
“Falah nak balik rumah mama..”
Ain diam tak membalas. Tangannya menyisir lembut rambut ikal Falah.
“Falah nak ikut mama balik..”
Ain menarik lembut bahu Falah. Ditatap mata bulat yang terbuka luas memandang ke dalam matanya.
“Nanti tok mama dengan tok abah datang, Falah kena ikut tok mama balik..”
“No..” Masam wajah comel itu. Dia menggeleng lemah. “Falah nak ikut mama,” Berkaca mata bulat Falah, hanya menanti mutiara jernih menodai pipi halus itu.
Ain tersenyum. Falah ditarik kembali ke dakapannya. Tangan kiri diangkat sedikit, mengusap kepala si kecil.
“Falah rindu papa..” Falah yang menyembamkan wajah ke dada Ain bersuara perlahan. Hampir tak kedengaran suara itu.
Ain diam, mengusap lembut kepala Falah. Otaknya ligat memikir jawapan meyakinkan yang sesuai dibalas pada si kecil itu. Dalam pada itu, bayang Ammar yang masih terbaring kaku di katil ICU bermain di mata.
Entah bila papa Falah itu akan sedar. Seawal pagi tadi usai solat subuh, dia menggagahkan diri melihat Ammar. Kebetulan Dr. Ibrahim sedang menjalankan pemeriksaan dan saat itulah dia menerima perkhabaran baru.
Ammar koma. Sebak dia seketika. Kelu tanpa kata. Mujur akal warasnya berseimbangan dengan iman di dada kala itu. Ruang yang ditinggalkan doktor separuh abad itu diisikan dengan alunan bacaan ayat suci al-quran. Perlahan suaranya mengalunkan kalam Allah, melawan sebak dan sakit di dada.
“Emm.. Falah nak jumpa papa?”
Dayana Falah mengangguk laju. Ain menguntum senyum.
“Falah sihat sikit nanti kita jumpa papa ye sayang,”
“Emm..” Falah membalas manja. Pipi gebu itu diusap lembut. Ain tersenyum lagi.
“Falah tak nak makan ke? Tak lapar?”
Si kecil itu menggeleng dan mencebik.
“Aha. Falah kata nak jumpa papa, kan.. Sayang nak jumpa papa, kena sihat dulu.. Kalau Falah tak makan, macam mana nak sihat... herm?”
Monyok muka Falah sebelum dia berbisik perlahan, “Tak sedap..”
Tersengih Ain mendengar suara tertahan-tahan itu. Kepala Falah dibelai penuh kasih. “Falah dekat hospital tau, bukan dekat rumah..”
Ketawa si kecil itu meletus perlahan. Meleret tawanya bila Ain mengusik leher si kecil itu.
“Falah sayang, Ain,”
Ain dan Falah mendongak sedikit, mendengarkan suara itu. Wajah Datin Suhaili dan Dato’ Saifullah terbias di kornea. Nampak janggal senyuman yang terukir di wajah kedua-duanya. Bibir Ain menguntum senyum, faham perasaan pasangan di hadapannya. Dia bingkas bangun.
“Aunty,” Tangan Datin Suhaili diraih. Penuh hormat dia menyalami wanita penuh gaya yang hampir sebaya dengan ibunya itu. Datin Suhaili mengusap lembut kepala Ain saat gadis itu menunduk sedikit. Ain mengangkat kepala dan tersenyum lagi, memandang pada Dato’ Saifullah yang sudah duduk di birai katil sambil memangku cucu kesayangan sementara Datin Suhaili sudah mara menghampiri suaminya. Dibelai kepala Falah sebelum mengucupnya lembut.
“Uncle, aunty sihat?”
“Erm..” Kedua-duanya membalas serentak.
“Alhamdulillah,” sambung Dato’ Saifullah sambil tersenyum.
“Ain,” Datin Suhaili memegang erat lengan Ain. Perlahan-lahan dia menarik Ain lembut, mengajak gadis itu ke kerusi rehat berhampiran.
“Ammar macam mana Ain? Ibu Ain sempat cerita sikit dekat aunty,”
“Abang Am dekat ICU lagi, aunty. Baru pagi tadi doctor bagitahu abang Am koma,”
“Ya Allah,” Tangan kanan Datin Suhaili menekup mulutnya sedikit. Jelas dia terkejut dengan berita itu. “Falah?”
“Alhamdulillah Falah tak ada apa-apa, aunty. Cuma jahit sikit tepi kepala tu. Lain semua tak ada apa, insyaAllah..”
Datin Suhaili mengangguk sedikit. “Ya Allah,”
“Jangan risau, aunty. InsyaAllah semua okay.” Tangan kanan Datin Suhaili diraih dan dielus lembut.
Datin Suhaili mengangguk sedikit. “Entah macam mana boleh accident.. Aunty dah pesan dekat abang Am kamu tu, habis kerja terus balik. Tak payah duduk lama-lama dekat sana..”
Ain tersentak. Lambat-lambat dia memeluk bahu Datin Suhaili dengan tangan kirinya. “Benda nak jadi aunty.. Ada baik buruknya,” pujuk Ain lembut.
Datin Suhaili mengangguk lemah. Biarpun berat rasa di hati dia tetap menerima qada dan qadar Allah dengan redha, sedar diri masih lagi hamba-NYA yang Esa.
“Ain dah tanya dekat doctor pasal nak pindah PPUKM?” Ain mengangguk dan Datin Suhaili kembali menyambung kata, “Nanti aunty beritahu uncle, nak pindah tempat uncle dulu. Rasa aunty uncle ada jugak kenal certain doctor dekat sini. Doctor deal dengan doctor senang sikit,”
Ain mengangguk lagi. Macam mana la dia boleh lupa Uncle Saiful pernah jadi doctor dekat PPUKM.. Dalam hati dia memanjatkan kesyukuran kerana segala proses akan menjadi lebih mudah dengan kehadiran Datin Suhaili dan Dato’ Saiful.
“Aunty bincang dengan uncle dulu, ye Ain..” Datin Suhaili bingkas bangun. Tangan menggenggam erat lengan Ain. “Thanks a lot sayang.. Tak tahu macam mana kalau takde Ain..”
Lambat-lambat Ain menguntum senyum. “Aunty pergi la bincang dengan uncle dulu. Falah, biar Ain jaga..” Datin Suhaili mengangguk. Kedua-duanya berbalas senyum. Langkah diatur kembali ke katil yang menempatkan si kecil Falah.
Tak padan dengan sakit, riuh mulut si kecil itu berceloteh. Entah apa yang dibualkan dengan tok abahnya itu, dan-dan sihat walafiat! Ain tersenyum menggelengkan kepala. Dayana Falah digamit sekali dan dipanggil perlahan. Berhati-hati si kecil itu turun dari katil dan menghampiri mama In nya.
“Falah nak teman mama jalan-jalan sekejap?”
Falah mengangguk laju. Pantas sahaja si kecil itu ditarik dalam dakapan dan sekejapan Falah sudah berada dalam dukungan Ain. Pada Datin Suhaili dan Dato’ Saiful, Ain meminta diri untuk memberikan ruang kepada mereka untuk berbincang dan membuat keputusan. Dua pasang mata itu menghantar langkah Ain dengan sinar yang sukar untuk ditafsirkan.
“Bang.. Kalau jadi apa-apa dekat Am, Su rasa Ain paling sesuai buat Falah..”
“Eish.. Ke situ pulak dia. Kita tak tengok lagi Am. Faridah pun kata Am stabil. InsyaAllah, Su.. Selagi masih ada harapan, kita kena terus mencuba dan tak putus harap. Abang tak nak dengar lagi Su cakap bukan-bukan macam tadi. Herm..?” Panjang nasihat Dato’ Saifullah pada isteri tersayang.
Datin Suhaili diam membisu. Hatinya betul-betul dibalut kerisauan dan saat ini pelbagai andaian yang negatif bermain di fikirannya.
“Am koma bang,”
“Come again?”
Datin Suhaili sebak. “Jom kita tengok Am dulu,” Ajaknya pantas.
Pasangan suami isteri itu bingkas bangun. Langkah mereka dihala ke bahagian ICU pula. Doa tak putus-putus di bibir mereka sepanjang jalan itu. Masing-masing mengharapkan masih ada hari esok buat permata hati mereka.
Arghh..
ReplyDeleteAm koma?
Aduii..
Bila nak sedarnya?
Uhuhuu~