June 22, 2009

Forever Yours 20

Sekujur tubuh kecil di atas katil direnung lembut. Ain menghayun langkah perlahan menghampiri katil. Tegak dia berdiri di hujung kepala katil, memerhatikan si kecil yang masih tidur kesan daripada ubat yang disuntik doktor. Tenang wajah comel itu biarpun kepalanya bertampal sedikit. Lambat-lambat Ain mengusap lembut wajah Falah.


“Mama datang, sayang..” Ain berbisik perlahan.


Kepala Falah diusap penuh kasih. Rambut si kecil itu telah dicukur sedikit di bahagian kiri kepala. Terasa sebak dadanya tika itu.


“Anak puan dalam keadaan stabil, tiada kecederaan dalaman. Puan jangan risau. Dia masih lagi tidur selepas diberikan suntikan. Dia dalam keadaan trauma dan sebab itulah anak puan meronta-ronta,”


Ain mengalihkan posisi, duduk di birai katil. Selimut di hujung kaki si kecil itu dibetulkan sedikit. Kata-kata Doktor Parveen yang merawat Falah terngiang di telinganya.


Falah sudah dipindahkan ke wad dari Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) tetapi Ammar masih lagi menjadi salah seorang penghuni katil di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Lelaki itu masih tidak sedarkan diri biarpun darah beku di dalam kepalanya telah dikeluarkan. Namun, Ain tetap bersyukur saat Ammar dikatakan berada dalam keadaan yang stabil.


“Suami puan sudah melepasi tahap merbahaya,”


Hanya sebaris ayat itu yang terdaftar di mindanya saat dia menjejakkan kaki ke ICU sejurus selepas tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun itu. Hospital Ipoh yang telah bermula operasinya pada tahun 1981 telah pun dinaiktaraf dan pada Jun 2008 hospital ini dikenali dengan nama Hospital Raja Permaisuri Bainun.


“Tiada kecederaan dalaman yang lain setakat ini. Puan jangan risau. Suami puan akan cepat sembuh melihatkan pada tindak balas yang kami terima.. InsyaAllah..”


Kata-kata Doktor Ibrahim yang merawat Ammar lewat pertemuan tadi memberikan sedikit kelegaan pada Ain. Rasa gerun dan kecut perut yang dirasakan saat matanya melihat pelbagai wayar yang berselirat serta beberapa mesin yang tersedia di sisi katil seakan hilang sedikit demi sedikit. Dalam hatinya dia berdoa agar lelaki itu cepat sedar dan pulih seperti biasa.


Getaran telefon bimbit dalam genggaman Ain mematikan lamunannya. Pantas kepalanya ditundukkan melihat skrin.


Ibu!


Ain bingkas berdiri. Langkahnya diatur menghampiri tingkap.


“Assalamualaikum. Ibu,” Ain bersuara perlahan seakan berbisik.


“Waalaikumussalam, Nurin.. Rin ada dekat mana ni?”


“Rin dekat hospital, bu.”


“Dapat masuk tengok Ammar dengan Falah?”


“Erm.. Nurin kata Nurin isteri abang Am, bu—”


“Hm kalau tak cakap macam tu nanti Nurin tak dapat nak jaga Falah dengan Am,” laju sahaja Puan Faridah memintas. Hati ibu tua itu turut dijentik rasa risau melepaskan anak gadisnya memikul tanggungjawab itu seorang diri.


“Ibu, Rin ingat nak mintak pindah PPUKM. Dekat sikit nak ulang-alik,”


“Boleh ke?”


“Rin harap boleh. Mujur ibu suruh Rin ambil dokumen-dokumen penting dekat rumah abang Am semalam. Mmm nanti Rin cuba tanya doktor..”


Mujur juga Ammar tak tukar kunci rumah atau pun mengubah letak duduk dokumen-dokumen penting itu. Lelaki itu masih seperti dulu. Hanya dia yang berusaha sedaya upaya mengelak daripada lelaki itu. Hanya dia.. Ain mengeluh sedikit.


“Rin,”


Panggilan Puan Faridah menyedarkan Ain. Pantas dia menyahut perlahan. 


“Rin okay tak ni? Rin nak ibu mintak tolong along dengan abang Megat kamu datang tengok-tengok?”


“Tak, takpe bu. Rin okay. Along kan ada exam PTK. Kalau abang Megat datang, tak ada siapa yang jaga Aidil nanti..”


“Hmm.. Betul jugak. Ibu lupa..”


“Tak apa, bu. Ibu jangan risau. Nurin okay, Falah pun okay. Cuma abang Am je yang Nurin risau sikit. Abang Am belum sedar lagi, bu. Tapi doktor kata abang Am dah lepas tahap bahaya.”


“Alhamdulillah..”


Terangguk Ain mendengarkan kata syukur itu. Dalam hatinya dia tak lupa bersyukur pada Allah Yang Maha Kuasa.


----------------------------------------------------


“Ma..”


Ain tersentak. Duduknya ditegakkan. Kepala dipaling ke arah Falah. Terkebil-kebil si kecil itu memandangnya. Pantas Ain bingkas bangun dari kerusi dan merapati Falah. Dia duduk di hujung kepala katil, mengusap lembut kepala Falah.


Entah jam berapa dia tertidur.. Lewat tengah malam tadi Falah terjaga dari lenanya. Si kecil itu meronta-ronta mahukan papanya. Namun bila muncul Ain yang baru pulang dari menunaikan solat, Falah terus terdiam. Birai matanya digenangi mutiara jernih dan dia menangis teresak-esak. Pantas Ain memeluk Falah, menenangkan si kecil itu sehinggalah Falah tertidur dalam dakapannya.


“Ma..”


Ain tersentak lagi. Bibir mula menguntum senyum. Usapan di kepala beralih ke pipi pula.


“Ya, sayang. Mama ada dekat sini.”


“Ma, pa..”


Ain terdiam. Matanya tepat memandang si kecil itu Sayu wajah Falah menggamit rasa resah di dada.


“Ma,”


“Mmm.. Falah dah sihat belum?”


Giliran si kecil itu yang terdiam. Mata bulat itu terkebil-kebil memandang Ain. Lambat-lambat Falah menggeleng lemah. Ain tersenyum sedikit. Tangannya mengesat mutiara jernih di birai mata Falah.


“Falah kena rajin-rajin makan ubat.. Kalau Falah sakit macam mana nak jumpa papa, hm?”


Falah diam, mengangguk perlahan. Lengan Ain dipeluk erat. Dia menyandar ke sisi Ain. Rapat. Sakit-sakit lagi bertambah manja! Ain tersenyum menggelengkan kepala. Dipeluknya Falah erat. Bahu si kecil itu ditepuk lembut. Sekali lagi Falah tertidur dalam pelukan Ain. Perlahan-lahan Ain membaringkan Falah di tempatnya.


“Mama sayang Falah,”


Ubun-ubun Falah dikucup lembut. Sepasang mata itu tak lepas dari merenung tubuh kecil di tengah katil. Larian matanya terhenti di bahagian kiri kepala Falah.


“Luka di kepala anak puan sudah kami jahit. Mungkin dia akan merasa kurang selesa sedikit buat masa ni tapi puan tak perlu risau. Tiada kecederaan yang serius, tiada kecederaan dalaman.”


Keyakinan Dr. Parveen bagaikan dikongsi Ain. Dia merasakan bahawa Falah masih seperti dulu. Tiada apa yang perlu dirisaukan kecuali pada trauma yang dirasakan si kecil itu.


Lambat-lambat Ain menghela nafasnya perlahan. Jam di pergelangan tangan dikerling sedikit. 6.30 pagi! Ain bingkas bangun. Tuala kecil di hujung katil ditarik dan dia bergegas keluar menuju ke surau. Sempat dia meninggalkan pesan pada nurse yang bertugas untuk mengawasi Falah, bimbang si kecil itu terjaga tiba-tiba.

2 comments:

  1. Ammar ngan Falah accident..
    Uhuhuhuu~
    Nasib baik 22 selamat..

    ReplyDelete
  2. jat, sambung cepat ye....i love this story very much....

    ReplyDelete