June 9, 2009

Forever Yours 10


“Ain tunggu saya.. Tengahari nanti saya balik rumah.. Kita pergi sama..”

Terngiang-ngiang patah perkataan yang dituturkan Ammar pada Ain awal pagi tadi. Dari saat itu hingga kini, serba tak kena setiap perbuatannya. Sungguh dia tidak selesa keluar bertiga bersama tuannya itu. Rancangannya untuk keluar membeli kelengkapan si kecil Falah pasti terganggu dengan kehadiran Ammar. Ain mengetap giginya, geram mengenangkan raut wajah bersahaja Ammar saat mengungkapkan kata-kata itu.

“Hish.. Tak pernah-pernah nak ikut, tiba-tiba nak menyelit sama.. Semak je!” Ain menggumam marah. Falah yang duduk di sebelahnya terkebil-kebil.

“Ma.. Ma marah siapa?”

Meletus tawa Ain mendengarkan soalan si kecil itu. Pantas tangan kirinya di atas gear diangkat sedikit, mengusap kepala si kecil itu.

“Tak ada siapa sayang..”

“Papa tunggu dekat mana ma?”

Soalan kedua si kecil Falah membuatkan hatinya yang hampir sejuk tadi kembali berapi. Panggilan telefon daripada tuannya hampir jam dua belas tadi benar-benar menguji kesabaran. Pantas sahaja perbualannya dengan Ammar tadi memenuhi ruang memorinya tika itu.

“Ain.”

‘Tak reti bagi salam ke?!’ Dalam hati Ain menegur sebaik sahaja dia mendengarkan suara itu.

“Ain.” Sekali lagi suara Ammar menerobos ke telinganya.

“Ya, saya..” Pantas Ain membalas.

“Ain.”

‘Ya Allah! Apa lagi la ni..’

“Ya, saya. Kenapa Encik? Kami belum siap nak keluar lagi. Kami tunggu Encik..” Tanpa menunggu kata-kata tuannya, Ain pantas bersuara.

“Ain, ambil saya dekat.....”

Saat itu kata-kata Ammar umpama ledakan bom di telinganya. Dia tahu tugsanya sebagai pekerja di rumah itu. Tapi dia juga manusia, insan biasa yang tidak hidup hanya untuk memenuhi perintah orang lain.

“Ain dengar tak?”

“Ya.” Sepatah jawapannya tanpa nada.

“Bila dah contact Joseph nanti Ain inform saya, ya.. Anything, just call me. I’ve to settle something first..”

“Bla.. Bla.. Bla..” Ain mengajuk kata-kata tuannya itu sebaik sahaja panggilan disebelah dimatikan. “Kereta dia rosak, aku jugak yang kena settle semua. Apa dia tak ada secretary ke? Takkan GM macam dia tak ada PA? Nak jugak menyusahkan aku.. Apa dia ingat aku ni kuli dia ke?! Tak cukup dengan kerja dekat rumah tiap-tiap hari.. Ada kerja ekstra pulak lagi.. Nak pergi ke hulu-hilir pun, aku jugak yang kena hantar.. Dia ingat aku ni driver dia ke?! Takkanlah dia tak ada driver sendiri. Memang suka menyusahkan orang! Kalau macam ni baik aku mintak jadi PA dia je. Habis cerita. Gaji pun masuk.” Ain mendengus geram sebaik sahaja dia selesai merungut panjang.

“Mama.. Mama..” Tersentak Ain dek kerana gegaran di badannya. “Ma.. Your phone..” Memuncung Falah, mengarahkan pada telefon bimbit Ain yang berada di atas papan pemuka.

Pantas Ain mengambil telefon bimbitnya dan mengerling sekali pada skrin telefon bimbit itu.

“Encik Ammar?” Berkerut dahi Ain seketika sebelum dia menumpukan perhatian pada pemanduannya. “Sayang, jawab call papa.. Cakap mama In tengah drive..” Nokia E65 di tangannya dihulurkan pada si kecil Falah.

“Assalamualaikum pa..” Suara comel Falah kedengaran manja. Tersengih-sengih dia memandang Ain yang sesekali mengerling ke arahnya. “Mama In tengah drive pa.. Jusco Maluri? Okay, Falah will tell mama.. Love you too.. Mmmmuuuahhh!” Sempat si kecil itu mengucup papanya secara simbolik. Bibir Ain menguntum senyum. Satu perkara yang disukainya adalah sifat pengasih yang ada dalam diri lelaki itu. Malangnya sifat itu tak terzahir padanya. Kasih tuannya itu hanya pada Falah, puteri kesayangannya.

“Mama, papa kata, bagitahu mama papa ada dekat Jusco Maluri. Papa suruh kita datang sana ma..” Falah berpaling menghadap Mama In nya yang sedang memandu.

Mati senyuman Ain. Dia diam tidak membalas.

“Ma..”

“Ya, sayang.. Mama dengar..”

Sebuah senyuman dihadiahkan pada Falah yang masih memandang ke arahnya. Namun dalam hatinya, hanya Allah yang tahu betapa geram dan sakit hatinya dia dengan pemilik nama Ammar Ghazi itu. Sejak pukul 12.30 tengahari tadi dia berkejar dari Bangi ke Damansara dan ke Cyberjaya pula sebelum pulang ke Bangi semula... dan sekarang, dia disuruh ke Cheras pula. Tak tahu ke sekarang waktu orang balik dari pejabat. Mesti jam! Tak alert la ni! Pandai cakap dekat orang.. Laju sahaja Ain mengutuk tuannya itu dalam hati. Sungguh dia geram, apetah lagi mengenangkan keadaan sesak yang bakal ditempuhinya nanti. Sakit hati memikirkan dirinya yang kerap ditegur ‘tidak alert’ sentiasa dalam hal berkaitan Falah. Sedangkan orang yang menegur itu sendiri terkadang tidak peka dengan tindakannya. Makin menggunung marah dan sakit hati yang dikumpul Ain terhadap tuannya itu. Entah bila segalanya akan berakhir..

___________________________________________________________________


“Cantiknya..” Tangan kanan Ain membelek baju tidur kain sutera warna maroon gelap yang tergantung di hadapannya. Sebelah lagi tangannya memegang baju tidur si kecil Falah yang terlukis gambar Barbie di tengahnya. Mata Ain tak lepas daripada memandang baju tidur di tangan kanannya yang jelas memukau pandangan. Memikirkan baju itu hanya separas peha dan bukaan lehernya berbentuk V yang agak luas dan seksi membuatkan Ain membatalkan hasratnya untuk mengacukan baju tersebut ke tubuhnya. Segan pula dengan orang-orang di sekelilingnya. Pantas Ain menggantungkan kembali baju itu di tempatnya. Matanya memandang sekali lalu pada mannequin yang dipakaikan baju tidur tersebut. Memang seksi!

“Sweet and sexy.. Nice..”

Tawa nakal di belakang Ain membuatkan dia melangkah setapak ke hadapan sepantas kilat. Dia mengetap bibirnya mendengarkan suara Ammar yang memberi komen sebentar tadi. Falah dalam dukungan lelaki itu tersengih riang. ‘Bila pulak Encik Ammar dengan Falah ada dekat sini.. Tadi sibuk cari barang lain..’ Bibir Ain menguntum senyum sedikit dalam serba tak kena.

“Ma, you should buy that. Papa will like it.”

Hah sudah! Anak beranak dua kali lima je! Ain memalingkan wajahnya dan berjalan laju ke bahagian kanak-kanak. Bulat mata Ammar memandang Falah dalam dukungannya. Pantas dicuit pipi si kecil itu.

“Sayang kenapa cakap macam tu dekat mama.. Malu mama..” Tegur Ammar perlahan. “Say sorry to mama after this, okay?”

Dayana Falah mengangguk laju. “Sorry, pa..” Wajah comel itu berubah mendung. Sekali lagi Ammar mencuit pipi puterinya. Kali ini pipi gebu di sebelah kanan pula yang menjadi mangsa.

“It’s okay with me.. Of course I’ll like it..” Ammar mengenyitkan matanya pada Falah. Falah tersenyum manja. “But you have to say sorry to mama, ye sayang.. Balik rumah nanti, sayang minta maaf dekat mama tau..” Ubun-ubun kepala si kecil dikucup lembut. Falah menganggukkan kepalanya beberapa kali. Ammar mengatur langkah semula, menghampiri Ain. Diperhatikan setiap gerak gadis di hadapannya itu. Bibirnya menguntum senyum. Sungguh dia senang berada bersama gadis itu. Falah dalam dukungannya diturunkan ke bawah saat si kecil itu merengek hendak berjalan sendiri. Sempat Ammar membetulkan skirt yang dipakai si kecil itu. Sangat comel puteri kesayangannya hari ini. Ammar tersenyum lagi. Pandangannya tertumpu pada dua orang kesayangannya.

“Falah nak beli apa-apa lagi?” Tanya Ain lembut. Hendak bertanya pada Ammar, dia terasa malu. Sudahnya, dia bertanya pada si kecil itu dengan harapan Falah akan menyampaikan pertanyaannya kepada Ammar.

“Ain tanya dekat Falah, Ain ke yang nak bayar?”

Gulp! Ain menelan liurnya mendengarkan suara yang begitu hampir di telinganya. Pantas dia berpaling dan menjauh sedikit. Ammar menyembunyikan senyumnya, melihatkan seraut wajah yang tidak keruan di hadapannya saat itu.

“Troli ada dekat sebelah kaunter. Saya tinggal dekat situ tadi..”

Hish! Suka-suka hati dia je nak tinggal barang macam tu. Tu, tak lain... nak suruh aku pergi ambik la tu..

“Bak sini baju tu, saya pergi bayar sekejap..”

Pantas Ain mendongakkan kepalanya mendengarkan kata-kata Ammar. Hahahah! Buat penat aku je su’uzon dekat Encik Ammar ni.. Tersungging senyum di bibir Ain. Belum sempat dia menghulurkan baju itu, tangan Ammar lebih pantas mengambilnya.

“Encik Ammar..” Panggil Ain saat Ammar melangkah meninggalkan mereka. Ammar berpaling dan menjungkitkan keningnya sekali. “Kami ikut sekalilah..”

“Okay..” Ammar menganggukkan kepalanya dan berpaling kembali, mengatur langkah ke kaunter berhampiran mereka. Ain yang sedang menggenggam tangan kiri Falah berjalan mengikut langkah Ammar dengan memimpin si kecil Falah yang hanya diam terkebil-kebil.

Pergerakan Ammar mengeluarkan barang-barang dari dalam troli ke atas kaunter menarik minat Ain. Satu persatu barang-barang itu dibeleknya dari hujung kaunter. Tanpa sebarang isyarat, sebuah beg galas belakang sederhana besar di tangan Ammar ditarik laju. Dia meneliti beg itu seketika sebelum membelek harganya.

“RM 49.95! Mahalnya! Nak buat apa beli beg ni?” Ain bertanya sedikit kuat tanpa sedar. Ammar yang memandangnya hanya menjungkitkan bahu sambil mengerling pada si kecil Falah yang tersengih. Beg sekolah keluaran Disney bergambar Minnie dan Mickey Mouse itu diminta anaknya tadi, saat dia bertanyakan Falah sebelum itu.

“Can I buy it, ma?”

Sayu sahaja suara si kecil itu. Ain pantas menggeleng.

“Cannot?”

“Mahal sayang.. Falah kan dah ada beg sekolah.. Elok lagi beg sekolah Falah tu. Nanti bila dah tak okay, kita beli lain ye sayang..” Ain membongkok sedikit, mendekatkan wajahnya, merapati si kecil. Falah diam tanpa suara sambil menundukkan wajahnya. Ain menghela nafasnya perlahan sebelum bersuara, “Tapi Falah tanyalah papa. Kalau papa kata okay, okaylah..” Ain mengusap kepala si kecil itu lembut.

“Pa.......”

“Falah tak nak lah. Next time will be more choices, right?” Falah pantas mencelah sebelum sempat Ammar membalas. Wajah si kecil itu sudah kembali ceria. Ain tersenyum senang. Si kecil itu semakin bijak menilai. Sesungguhnya dia tersangat kagum dengan kuasa Tuhan yang menjelaskan perkembangan otak kanak-kanak adalah sangat penting seawal usia tiga hingga enam tahun. Menjadi satu kebanggaan buatnya kerana dapat mengasuh si kecil itu. Dalam diam dia menyimpan angan untuk mendidik Dayana Falah sehingga si kecil itu dewasa kelak.

___________________________________________________________________


“Pa.. I will sing a song that day. You have to come with mama..”

Ain yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut tersedak. Pantas tangannya mencapai jus oren di hadapannya. Disedut straw perlahan-lahan. Beberapa ketika kemudian, Ain kembali menghadap makan malamnya di kawasan R & R Bukit Dokong itu. Sedikit sebanyak dia memahami butir bicara Falah dan Ammar. Cuma dia tidak terasa hendak mencelah perbualan mereka kerana baginya, dia hanyalah orang asing dalam keluarga itu. Sedari hujung minggu lalu Falah menceritakan keghairahannya menantikan Hari Keluarga Qudees yang akan berlangsung pada hujung minggu hadapan. Berkali-kali si kecil itu memujuk untuk hadir menemaninya. Namun, sehingga ke hari ini dia belum memberikan jawapan yang pasti... dan sebab itulah si kecil itu menyuarakannya kepada papanya pula.

“Ain okay?”

Ain pantas mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Ammar itu. Perlahan-lahan dia menyuap nasi goreng cendawan ke dalam mulutnya dengan penuh berhati-hati. Pandangan Ammar yang tertumpu ke arahnya membuatkan dia agak kurang selesa. Namun, dia tetap terus mengunyah tanpa mempedulikan tuannya itu. Beberapa ketika kemudian, dua beranak itu kembali berbual. Ain masih lagi seperti tadi, mendengar tanpa perhatian apetah lagi mengikuti perbualan mereka sehinggalah...

“Mama macam mana?”

Erk?! Itu bukan suara Falah. Tapi soalan tu untuk aku ke?? Serta merta kunyahan Ain terhenti.

“Hurmm? Ma nak ikut pa tak next week? Two of us, plus Falah, as a family...”

Ya Allah! Apesal aku rasa macam tak sedap hati je dengar bunyi ayat tu. Hish! Meremang bulu roma! Cakap macam biasa tak boleh ke Encik Ammar oi! Lambat-lambat Ain mendongakkan wajahnya, menentang pandangan tuannya.

“Encik tanya saya ke?”

“Ma.. Why do you call papa ‘Encik’ ?”

Sudah! Mati aku! Ain mengalihkan pandangannya pada Falah di sebelah Ammar sebelum beralih semula pada Ammar yang sedang tersenyum nakal. Tanpa diduga, lelaki itu mengerdipkan mata padanya. Ain terpana. Masak aku macam ni! Si kecik ni, aku faham la dia tak tahu apa-apa, bendul je tanya aci redah. Tapi papa dia ni, memang buat neuron aku berhenti berfungsi satu saat. Terasa pahit liurnya yang ditelan saat itu. Darah merah seakan menyerbu ke muka. Ain hanya diam tak membalas. Pada Falah, disuapkan nasi yang masih berbaki dalam pinggan si kecil itu. Ammar yang ketawa nakal dijeling sekali. Bulat matanya memandang lelaki itu yang melihatnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Pantas Ain mengalihkan pandangannya pada Falah yang masih mengunyah. Gila! Memang gila!

1 comment:

  1. hai nakal tu la si Ammar nie...
    malu ain..
    hihihihi..

    ReplyDelete