September 12, 2018

Kita Serupa ...14


Bunyi ketukan di muka pintu membuatkan Raihan mengangkat kepalanya sedikit. Wajah Kak Shima, ketua pelajar tingkatan 5 yang bertugas di bilik rawatan sekolah pada hari itu terbias di matanya. Dia kembali berbaring.

"Adik dah makan?"

Raihan menggeleng perlahan. Kepalanya terasa sangat berat. Pusing.

"Akak belikan roti, nak?"

Raihan menggeleng lagi.

"Raihan sakit kepala lagi kan? Lepas makan roti nanti akak urut kepala Raihan, ya."

Raihan masih lagi menggeleng perlahan. Kelopak mata seakan digam.

"Makan la sikit, dik. Nanti perut masuk angin lagi tambah sakit kepala pulak. Akak pergi beli roti ya, buat alas perut.."

Raihan menganguk lemah. Matanya dipejam rapat. Minyak angin sudah disapu di serata kepala dan di belakang tengkuk. Entah kenapa sakit kepalanya hari itu semakin teruk serasa seperti migrain. Perut pun terasa bergelodak seperti ingin muntah.

"Okay, akak keluar sekejap ya. Sementara tunggu Cikgu Jamilah habis tugas di padang, baik adik makan sikit, kan.."

Raihan mengangguk lagi. Terharu dia dengan keprihatinan ketua pelajar itu. Beberapa minit kemudian Raihan terdengar daun pintu seperti dibuka sedikit. Dia masih lagi berbaring di atas katil, membelakangkan pintu masuk ke bilik rawatan puteri yang kecil itu.

"Kak,"

Tiada balasan.

"Kak Shima.."

Panggilan Raihan dibiarkan sepi.

"Kak Shima ke tu?"

Raihan cuba mengangkat kepala dan membuka mata. Namun saat dia terasa sakit di kepalanya semakin mencengkam, menyucuk, dia kembali berbaring. Matanya dipejam rapat.

Urutan perlahan di atas kepala dan turun ke tengkuk membuatkan Raihan sedikit lega. Bibirnya menguntum senyum sedikit. Dia mengiringkan baringnya, menghantar isyarat mahu kepalanya diurut lagi. Hampir terlelap Raihan sebelum matanya terbuka luas beberapa saat kemudian.

Urutan di bahagian kepala dan tengkuknya beralih pada sentuhan di pipi. Celik seluasnya mata Raihan saat dia terasa kasarnya tangan yang menyentuh pipi. Hampir melompat dia turun dari katil. Ada sepasang mata yang meneroka wajahnya dalam jarak yang sangat dekat. Semakin mencengkam sakit di kepala akibat rasa terkejut yang amat. Darah seakan menyerbu naik ke kepala.

"Kkk... Kkk... Kau siapa?"

Raihan menjerit kuat. Terketar-ketar suaranya.

"Gila! Kurang ajar!"

Bantal di hujung katil dicampak ke arah lelaki yang menutup sebahagian wajahnya dengan kain pelikat, ala ninja. Hanya sepasang mata jelas kelihatan. Lemah balingan Raihan, jatuh di hujung kaki lelaki itu

"Kurang ajar kau!!!"

Raihan bingkas, dalam pinar-pinar mata dia melihat Kak Shima sudah berada di hadapan pintu. Lelaki yang tidak dapat dikenal pasti siapa itu sudah berlari menuju ke pintu dan berdiri betul-betul di hadapan Kak Shima. Raihan yang tidak dapat menahan sakit di kepalanya sudah terjelupuk di tepi katil. Pengsan.

"Raihan, Raihan... Bangun sayang."

'Ali Hasif memanggil isterinya lembut. Sudah masuk kali ketiga gadis itu mengigau hari ini. Riak wajah yang cemas, desah nafas yang laju dan rintik peluh di dahinya cukup untuk menyampaikan mesej tidurnya diganggu mimpi yang ngeri.

"Raihan, bangun sayang.."

Panggil 'Ali Hasif sekali lagi. Tangannya menyentuh perlahan tapak kaki Raihan. Gadis itu bingkas. Terkejut. Kepalanya menoleh kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu. Air mata laju menuruni pipi.

"Kenapa ni sayang? Raihan mimpi apa ni?"

'Ali Hasif memeluk Raihan kejap. Dapat dirasakan denyutan jantung isterinya, seakan baru lepas berlumba lari 100 meter. Pelukan dikemaskan dan dia menepuk lembut belakang bahu Raihan, cuba menenangkan isterinya itu.

"Hushhh.. Calm down, sayang.. Istighfar.."

Raihan menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan. Dia menolak tangan 'Ali Hasif perlahan, cuba meregangkan pelukan. Wajah sang suami dipandang tak lepas. Tajam. 'Ali Hasif sudah berkerut kening melihat tingkah Raihan.

"Kenapa sayang?"

Raihan hanya diam. Tumpuannya tidak berkalih walau sedikit. Matanya tidak berkedip walau sekali. Pandangannya seakan menembusi wajah lelaki itu.

"Raihan.. Raihan.."

'Ali Hasif memanggil nama isterinya sambil tangannya melambai beberapa kali di hadapan mata Raihan. Raihan masih lagi tidak berkelip. Mindanya menerawang entah ke mana.

"Raihan.. Kenapa ni? Cuba bagitahu abang,"

'Ali Hasif masih belum puas hati. Raihan seperti di dalam dunianya sendiri. Lelaki itu mengangkat tangan kanannya sedikit, memegang pipi sang isteri. Raihan  tersentak. Pantas tangannya menepis tangan 'Ali Hasif.

"Mata tu!"

"Hah?"

'Ali Hasif berdebar. Menyesal pula dia membawa isterinya ke situ. Bimbang sang isteri disampuk apa-apa.

"Raihan okey tak ni?"

"Mata dia!"

Makin berkerut dahi 'Ali Hasif.

"Kenapa ni Raihan? Mata siapa? Raihan okey tak?"

Lelaki itu menarik tangan isterinya, dielus lembut tangan halus itu. Raihan menghembus nafasnya perlahan. Wajah suaminya dipandang dengan linangan air mata.

"Why sayang? Bad dreams? This is the third time, you know. Tell me what's bothering you,"

Raihan menggeleng. 'Ali Hasif menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan.

"Raihan okey?"

Gadis itu mengangguk dan menundukkan wajahnya, tidak betah memandang sang suami lama-lama.

"Are you sure? Sebab tadi abang rasa macam Raihan ada cakap something,"

Raihan diam. Bibirnya seakan mahu menuturkan sesuatu tetapi hatinya terasa berat, akalnya seperti menegah.

"You know you can count on me, right?"

Raihan masih lagi diam. Namun, kepalanya sudah tegak memandang 'Ali Hasif. Bertentangan mata berdua. Ditenung mata suaminya dalam-dalam seakan mencari keyakinannya di situ.

"Siapa yang ada kat belakang toilet that day?"

"Er--"

"Siapa orang tu?"

Potong Raihan saat 'Ali Hasif seperti teragak untuk menjawab.

"Siapa dia?"

Soal Raihan lagi. Dia perlu tahu jawapan itu untuk memastikan sesuatu. Dia yakin ingatannya kali ini tepat, pandangannya tidak menipu. Biarpun dalam situasi yang berbeza, dia yakin bentuk mata yang dilihatnya itu sama. Ya! Dia pasti itu.

Bentuk mata yang unik, hujungnya seakan ternaik sedikit membuatkan sepasang mata itu kelihatan seperti sedang tersenyum. Cat eyes. Hanya ada seorang sahaja yang dikenalinya mempunyai bentuk mata seperti itu dan dia perlu mendengar pengesahan jawapan daripada 'Ali Hasif, satu-satunya saksi yang dia ada saat ini.

"Siapa?"

Raihan mengulang tanya. Tidak sabar menunggu biarpun dalam debar yang amat.

"Sham.. Aizat Risham,"

"Siapa Aizat Risham?"

"Raihan tak ingat?"

Raihan menggeleng laju.

"Cham?"

Raihan kerut kening.

"Am?"

Raihan masih lagi menggeleng dengan kerutan di dahi. 'Ali Hasif meraup wajahnya sekali. Serasa seperti telah disebut semua nama panggilan Aizat Risham. Tangan Raihan digenggam erat.

"Is this something to do with your nightmare?"

Raihan diam tak membalas, teringat mimpinya tadi. Berbulan selepas peristiwa dia dan Aimi dihendap, dia pula diusik tanpa disedarinya. Malah dalam keadaan dia yang tidak bermaya! Syukur yang amat tiada yang buruk menimpanya tika itu.

Namun, si durjana itu tetap terlepas. Kata kak Shima, dia bertembung dengan lelaki itu di muka pintu. Dia ditolak kuat ke tepi sehingga terjatuh di luar bilik dan lelaki itu berlari entah ke mana, bernasib baik berjaya meloloskan diri kerana semua warga sekolah sedang sibuk di padang untuk acara kemuncak kejohanan sukan tahunan sekolah.

Raihan menghela nafasnya perlahan. Peristiwa yang terjadi kepadanya membawa kepada titik tolak berlakunya beberapa perubahan di sekolah itu. Bilik rawatan yang asalnya di bahagian hujung bangunan sekolah diubah tempatnya ke kawasan yang lebih terbuka iaitu berhampiran dewan sekolah di pintu masuk utama. Kamera litar tertutup juga telah dipasang di beberapa hotspot sekitar sekolah.

Walaubagaimanapun, tidak dapat tidak, hidupnya memang lebih terkesan dengan peristiwa hitam yang silih berganti dalam tahun yang sama. Demi maruahnya untuk terus kekal di sekolah itu dengan lebih aman, mudir dan guru disiplin tika itu memutuskan untuk menyiasat kesnya secara rahsia dan tertutup.

Bimbang jika dihebohkan maruahnya akan tercalar. Mujur kak Shima yang sangat memahami dan baik hati telah merahsiakan hal itu dari pengetahuan orang lain. Dia rasa sangat terhutang budi. Namun kes itu tergantung begitu sahaja. Tiada penutupnya. Raihan memejam mata sambil menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan.

"Raihan,"

Panggilan itu membuatkan Raihan kembali celik. Luas. Wajah tenang 'Ali Hasif dipandang tak lepas. Percaya suaminya juga tidak mengetahui perkara itu. Dia malu. Malu dengan dirinya yang telah disentuh sesuka hati tanpa kerelaannya.

"Raihan okey tak ni?"

Gadis itu mengangguk tanpa suara.

"Look, listen sayang. I don't feel good about this. Is there anything you want to share?"

Raihan menggeleng tanpa berfikir panjang.

"Are you sure?"

Raihan menelan liur. Mata tunduk memandang jari jemarinya yang bersulam sendiri. Ingin dikongsi, dia berat hati. Membuka cerita duka itu umpama mengkhabarkan aib sendiri. Raihan angkat kepala. Wajah suaminya dipandang lama, mencari keikhlasan yang terbias pada sepasang mata itu. Dalam tak sedar, kepalanya mengangguk beberapa kali.




to be continued,
in shaa Allah..