January 18, 2011

Kills Two Birds With One Stone 12



Salam yang diberikan tidak bersambut. Pandangan dikitarkan ke seluruh bilik yang sederhana luas itu. Ringkas sahaja susun atur di dalam bilik itu. Sebuah katil bersaiz king yang berhias indah dalam kesederhanaan berada di atas platform rendah di sudut kanan bilik. Sebuah almari pasang siap terletak elok bertentangan kaki katil. Bilik air tersergam di kiri bilik, bersebelahan dengan balkoni. Pintu luncur balkoni yang sedikit terbuka dipandang lama. Kakinya melangkah perlahan menyelak langsir sedikit.


“Awak,”


“Oi mak ya Allah!”


‘Ukasyah pantas berpaling ke kiri. Tangan mengurut dada. Laju. Tajam matanya memandang susuk tubuh yang entah bila muncul di sisi. Afiqah sudah mengetap bibir. Takut. Tidak terfikirkan panggilannya membuatkan lelaki itu terkejut. Dia yang baru keluar dari bilik air terus sahaja menegur suaminya perlahan. Tidak pula dia menyangkakan lelaki itu akan terkejut sebegitu.


“Maaf,”


Sepatah kata meluncur dari seulas bibir Afiqah. ‘Ukasyah diam. Matanya tunak memandang isteri yang baru dinikahi lewat asar tadi. Gadis itu hanya tunduk memandang lantai.


“Maaf untuk?”


Lambat-lambat ‘Ukasyah membalas. Dia sudah memeluk tubuh, bersandar di pintu luncur. Mata masih tak lepas memandang sang isteri, menunggu reaksi gadis itu.


Afiqah mengangkat kepala perlahan-lahan.


“For everything,” hampir tak kedengaran jawapannya itu.


“Dah solat isyak?”


Afiqah mengangguk.


“Nak buat apa sekarang?”


Gadis itu menjungkitkan bahunya sekali.


“Suka?”


Berkerut dahi Afiqah. Mata bertentang mata seketika sebelum Afiqah menunduk sekali lagi. Tak betah melawan pandangan suaminya.


“Apa yang suka?” Perlahan Afiqah bertanya.


“Suka mainkan orang lain?”


‘Ukasyah bertanya tanpa selindung. Afiqah menelan liur, faham makna di sebalik kata-kata itu.


“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud..”


Suara Afiqah terhenti di situ. Diam dia menahan sendu. Tahu salahnya tapi bukan itu niatnya. Dia hanya memenuhi permintaan seorang ibu.


“Dengan maaf boleh padamkan memori apa yang dah jadi sebelum ni?”


Tegas suara ‘Ukasyah. Dia menayangkan wajah kuku besinya. Tiada segaris senyuman yang terlukis. Lelaki itu masih lagi memeluk tubuh, namun, dirinya sudah tegak, berhadapan dengan sang isteri. Hanya satu kaki jarak antara mereka.


“Ss.. S.. Saya minta maaf. Saya.. betul-betul minta maaf,” penuh tekad, Afiqah meraih tangan kanan suaminya. Digenggam kemas tangan itu. “Maafkan saya,”


‘Ukasyah tersentak sedikit. Nafasnya dihela perlahan. “Kenapa?” Sepatah soalan keluar dari bibirnya.


Afiqah diam. Menggeleng.


“Kenapa buat macam ni? Untuk apa?” ‘Ukasyah bertanya lagi. Serius.


Afiqah masih seperti tadi. Membisu dan menggeleng perlahan.


“Untuk tengok saya tak tentu arah? Untuk uji saya? Main-mainkan saya? Kenapa?” Masih lagi dalam nada yang sama, ‘Ukasyah terus-terusan bertanya.


“Tak, saya tak bermaksud semua tu. Saya tak ada niat nak main-mainkan awak atau uji awak. Saya betul-betul minta maaf. Awak boleh minta saya buat apa saja asalkan awak sudi maaafkan saya. Saya tak bermaksud nak main-mainkan sesiapa. Saya tak sengaja. Maafkan saya.”


Bertalu-talu Afiqah membalas dalam nada yang masih terkawal. Ada resah dalam ketenangan. Berkaca matanya menatap wajah ‘Ukasyah. Tangan kanan lelaki itu dalam genggamannya digoncang perlahan beberapa kali. Bersungguh dia mengharapkan sebuah kemaafan.


“Awak... Maafkan saya,” sekali lagi Afiqah bersuara penuh harapan.


‘Ukasyah mengetap gigi, menyembunyikan senyum. Nafasnya dihela sekali lagi. Panjang. Ternyata gadis itu pilihan yang terbaik buat dirinya. Tidak sedikit pun Afiqah menyebut dan menyalahkan ummi sebagai mastermind dalam hal ini. Seolah-olah dia menanggung semua kesalahan itu sendirian. Sedangkan hakikatnya lelaki itu sudah pun mengetahui apa yang tersirat di sebalik permainan yang dimulakan oleh ibunya.


Memang pada awalnya ‘Ukasyah sangat marah. Dia cukup terasa diperbodohkan. Dia rasa dipermainkan. Permainan terancang itu terbongkar pada saat dia perlu melengkapkan borang 2A di bawah Seksyen 16 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam beberapa minggu sebelum berlangsungnya tarikh pernikahan antara dia dan pasangannya. Borang permohonan kebenaran berkahwin itu perlu diisi terlebih dahulu sebelum menguruskan hal berkaitan kadi dan sebagainya. Bersungguh ummi meminta dia menyelesaikan segala urusan apabila dia terlupa untuk menurunkan tandatangan pada borang tersebut. Sewaktu itulah segala yang dirancangkan ummi terbongkar.


Nama pasangannya yang siap tertulis di dalam borang itu bukanlah Afifah Faiqah tetapi Afiqah Naurah. Beberapa kali ‘Ukasyah mengulang baca sebaris nama itu. Pada ummi dan abah turut ditanyakan berulang kali, minta kepastian. Malah dia menelefon nombor ‘Afifah’ yang diberikan ummi suatu waktu dahulu. Ternyata Afiqah yang menjawab panggilan itu dan dia hanya membiarkan sepi sebelum menamatkan panggilan.


Seharian ‘Ukasyah menyelesaikan segala urusan dan keesokan harinya dia menyembunyikan diri di rumah paksu. Marah dengan tindakan ummi yang seakan mempermainkan dirinya. Kad undangan perkahwinan yang tidak pernah dihiraukan selama ini ditatap buat pertama kalinya, seakan tidak percaya.


Setengah hari masanya terbuang, menatap kad potongan bulat berwarna hijau pucuk pisang itu. Cuba mencari makna di sebalik gurauan, memahami niat yang tersirat di sebalik permintaan dan menilai salahnya sendiri sehingga terciptanya permainan yang tidak disangkakan. Meski pun marah, geram dan kecewa bermaharajalela, hakikatnya masih terselit rasa kesyukuran di sudut hati.


‘Ukasyah menghela nafas. Dia tersentak. Esakan halus yang mengetuk gegendang telinga menyedarkannya ke dunia nyata.


“Eh awak, kenapa nangis?” Lurus ‘Ukasyah bertanya, lupa dia yang mengusik sekeping hati itu.


Afiqah menggeleng lemah. Dia masih lagi teresak perlahan. Gagal mengawal sendu, memikirkan suami yang masih marah dan berkecil hati.


“Eyh shhyyyy..”


‘Ukasyah menarik perlahan tangannya dalam genggaman Afiqah. Bahu sang isteri dipegang lembut. Kejap. Lambat-lambat dia menarik isterinya rapat ke sisi dan kepala gadis itu ditolak perlahan melekap ke dada. Didakap erat. Tidak betah dia melihat air mata itu.


“Abang dah lama maafkan Iqa,” lembut suara ‘Ukasyah bertukar rentak. Tangannya mengusap lembut kepala Afiqah beberapa kali. Gadis itu masih lagi tersedu perlahan. “Iqa,” panggil ‘Ukasyah.


“Em,” hampir tak kedengaran balasan itu. Tenggalam dalam esakan yang bersisa.


“Pandang abang sayang,”


Seakan tidak percaya mendengarkan ungkapan itu, Afiqah pantas mendongak. Dapat dilihat senyuman nakal ‘Ukasyah sebelum dahinya dikucup lembut. Lama.


“Em balasan orang nakal,”


‘Ukasyah menjungkitkan keningnya sekali saat melihatkan kerutan di dahi Afiqah.


“Awak tak marah dah?”


“Siapa awak?”


“Err..” Tersipu Afiqah, malu.


“Abang, a-b-a-n-g. Abang. Sebut sikit,”


Afiqah mengetap bibir. ‘Ukasyah menayang wajah selamba. Seketika kemudian tangannya menarik lembut lengan Afiqah, membawa isterinya ke hadapan balkoni. Pintu luncur ditolak seluasnya. Langsir ditarik perlahan, membiarkan angin malam menerobos masuk melalui ruang yang terbuka luas.


Perlahan-lahan dia menarik tangan isterinya, duduk bersila di ruang pintu luncur. Afiqah menurut tanpa suara. Masa berlalu tanpa kata antara mereka. Masing-masing diam. Afiqah diam, cuba membina semula kekuatan. Diam ‘Ukasyah memberi ruang kepada isterinya.


“Iqa okay dah?” Pertanyaan ‘Ukasyah  memecahkan sepi antara mereka.


Afiqah mengangguk beberapa kali. ‘Ukasyah tersenyum.


“Okay, so now I want to clarify things with you,” tenang ‘Ukasyah meluncur kata, Wajah isterinya di sisi dikerling seketika. Dia tersenyum lagi. Duduknya berkalih menghadap Afiqah pula, bersedia untuk menjadi penglipur lara.


No comments:

Post a Comment