Riuh suasana di dapur ketika itu biar pun hanya tinggal kerja-kerja mengelap dan menyusun perkakas yang telah digunakan untuk kenduri petang tadi. Kelihatan mama dan kak long sedang asyik berbual dengan ummi Amal di ruang makan pada satu sudut di bahagian dapur. Kak ngah dan kak lang bergandingan menghabiskan kerja menyusun saki baki pinggan mangkuk dan periuk belanga yang telah digunakan di dalam almari dan stor. Masing-masing sedang asyik berbual dan sesekali diselangi tawa kecil.
“Ha, Zaim, nak apa terhendap-hendap ni?”
Teguran spontan itu membuatkan Zaim tersipu saat berpasang-pasang mata yang berada di dapur itu terarah kepadanya. Anak muda itu yang asalnya berdiri di muka pintu dapur pantas melangkah setapak ke hadapan.
“Err kak ngah, Zaim cari kak dik..”
Matanya kembali tercari-cari.
“Ni ha kak dik kat belakang Zaim ni.” Bahu Zaim ditepuk Zaza perlahan. “Betul cari kak dik ke cari orang lain...” Usik Zaza dengan leretan suara.
Zaim tersenyum penuh makna, menjungkitkan keningnya sekali.
“Usaha tangga kejayaan, dik!”
Balas Zaza perlahan, penuh semangat. Kepalanya dianggukkan sekali. Zaim ketawa lepas. Berpasang-pasang mata kembali terarah padanya. Anak muda itu tersengih sebelum berlalu pergi. Zaza tersenyum lebar. Teringatkan pesanan Zaim sebelum ini, matanya mula tercari-cari bayang sang suami.
“Ha ni lagi seorang pulak terintai-intai ni kenapa?”
Kuat suara kak ngah menegur. Bulat mata Zaza memandang kak ngah yang menayang sengih. Seronok dapat mengusik.
“Kak ngah nampak abang Amal tak?”
Zaza yang sudah berdiri di sisi kak ngah bertanya perlahan. Sempat matanya melihat mama, kak long dan ummi Amal kembali rancak berbual.
“Tadi ada dekat sana..” Memuncung kak ngah ke arah mama, kak long dan ummi Amal. “Tapi... dah tak ada..” Kak ngah ketawa perlahan. “Tak perasan pulak kak ngah Amal pergi mana. Macam lipas kudung. Dari tadi tak berhenti buat kerja.”
“Tadi bukan dah siap semua ke kak ngah? Mana datang pinggan-pinggan dengan periuk ni?”
“Em tadi kita rasa macam dah habis, kan. Tiba-tiba datang lagi berapa dulang pinggan dengan periuk belum basuh. Zaim dengan Amal bawak masuk. Khemah belakang ni rupanya belum kemas lagi tadi. Macam mana entah kita boleh terlupa nak tengok kat khemah belakang ni. Itu yang ada kerja lagi sikit ni.”
Terangguk-angguk Zaza mendengar jawapan kak ngah.
“Biar Zayanah tolong,” Zaza menawarkan bantuan.
“Eh tak apa, nak siap dah ni pun.” Kak lang pula membalas. Tersenyum dia memandang Zaza. Keningnya dijungkitkan sekali. Berkerut dahi Zaza memandang, cuba memahami isyarat yang diberi.
“Eh tak apa lah kak ngah, kak lang.. Zayanah tolong ya,”
“Eh tak apa, tak apa,” Serentak kak ngah dan kak lang membalas spontan. Kedua-duanya tersenyum penuh makna. Makin berkerut dahi Zaza. Dia sudah menyingsing sedikit lengan baju kurung yang dipakainya.
“Eh tak apa lah.. Bukan susah pun ni..”
“Tak apa...” Sekali lagi kak ngah dan kak lang membalas serentak.
“Zulfah Zayanah tolong abang je la,”
Zaza tersentak. Bahunya disentuh lembut dari belakang tiba-tiba. Suara yang mencelah seketika tadi sudah dikenalinya. Dia menelan liur. Darah merah terasa menyerbu ke wajah. Segan. Malu. Pautan lembut pada bahunya sesaat kemudian membuatkan Zaza terasa meremang bulu romanya.
Sungguh. Dia malu. Hati bergetar hebat. Jantung berdebar kencang. Perasaan inilah yang dialaminya ketika pertama kali bersalaman dengan sang suami selepas ijab dan kabul semalam. Zaza menelan liur sekali lagi. Perlahan nafas dihela, mencari kekuatan untuk berpaling dan menyusun kata.
“Ab—”
Terhenti suara Zaza. Terkejut. Tidak dia menyangka suaminya tiba-tiba menunduk seakan mahu berbisik padanya. Mujur dia hanya berpaling sedikit. Kepalanya sudah tegak memandang ke hadapan. Mata bertembung dengan jelingan nakal kak ngah dan kak lang. Zaza tersipu sendiri.
“Tolong buatkan air dekat abang, boleh?”
Pantas Zaza mengangguk laju, mendengarkan bisikan yang hampir ke telinganya. Dia pantas berlalu menuju ke kabinet. Sempat telinganya menangkap usikan-usikan dari meja makan. Amal sudah pun turut serta kaum-kaum ibu di situ untuk memenuhi korum. Makin rancak perbualan mama, kak long dan ummi Amal dengan kehadiran lelaki itu.
Ya Allahu Ya Rabbi.. Hu Ya Allahu Ya Rabbi.. Hu Ya Allahu Ya Rabbi.. Hu Ya Allah..
Nada dering truetone Ya Allah dari Wali Band kedengaran sedikit kuat dari telefon bimbit Amal. Lelaki itu bingkas. Butang hijau bergambar telefon ditekan sekali sebelum dia melangkah menghampiri Zulfah Zayanah yang sedang mengacau air di dalam mug. Pasangan pengantin itu berbalas pandang seketika.
“Wa'alaikumussalam warahmatullah..”
Amal berdiri tegak di sisi isterinya.
“Tak jadi masalah.. Ummi dengan Amna pun ada lagi..”
Zaza memerhatikan suaminya dari ekor mata. Sekilas. Tangan lincah mengacau air tetapi perhatiannya bukan di situ.
“Esok? Nanti Amal confirm dengan Zayanah dulu ya,”
Tangan kanan Zaza masih lagi mengacau air. Sudah beberapa minit air itu dikacaunya.
“Eh tak susah.. Jangan susah-susah pulak tau. Kak Iklil tu bukan sihat sangat..”
Zaza mengangguk sekali. Tersenyum. Dapat mengagak dengan siapa suaminya berbual tika itu.
“Okay, insyaAllah..”
Bibir gadis itu masih menguntum senyum. Tangan setia mengacau air untuk kesekian kalinya.
“Wa'alaikumussalam warahmatullah..”
“Oh mak kau!”
Ya Allah.. Zaza mengusap dada perlahan. Hampir terpelanting sudu dari genggamannya. Suam telapak tangan Amal terasa di belakang tangan kanannya itu. Zaza pantas menarik tangan. Spontan. Amal tersenyum.
“Kacau air ke berangan?”
Zaza tersipu. Sudu dalam mug diangkat perlahan.
“Sejuk dah air abang. Ada orang tolong kacau sampai sejuk.”
Zaza mengulum senyum. Malu tingkahnya diperhatikan. Dia masih lagi sepi tidak mengeluarkan suara. Lagi senang mendengar suara Amal tika itu.
“Malu ya..?”
Usik Amal seakan tak mengerti. Isteri di sisi masih mendiamkan diri. Sedikit pun tak diangkat kepalanya. Sentuhan lembut Amal pada pipi isterinya membuatkan gadis itu tersentak.
“Ishh malu la kat dia orang semua tu,”
“Haa ada pun suara.. Alhamdulillah.. Ingatkan tak sihat tadi,”
Hidung isterinya dicuit lembut sekali. Bulat mata Zaza memandang Amal sekilas. Pecah tawa lelaki itu. Tak sampai sesaat.
“Abang, malu la sikit. Semua orang tengok, kan..”
Amal diam, menjungkit kening kirinya sekali.
“Malu kat siapa? Siapa yang tengok?”
“Semua la..”
“Cuba isteri abang tengok sekeliling dapur ni... Siapa yang ada dekat sini?”
Berkerut dahi Zaza seketika sebelum dia mengitarkan pandangan. Liurnya ditelan sekali. Terasa berpasir. Darah merah menyerbu ke muka. Bibir diketap perlahan. Mana pergi semua orang ni?!
“Itulah... Berangan lama-lama. Semua orang dah keluar duduk depan pun isteri abang ni tak perasan..”
Zaza tersipu sendiri. Senang mendengar ungkapan ‘isteri abang’ yang keluar dari seulas bibir merah itu.
“Satu je air sayang buat?”
Zaza mengangguk perlahan.
“Tak nak minum?”
Jawapan dalam bentuk gelengan diberikannya spontan.
“Tak dahaga?”
Sekali lagi kepalanya digerakkan ke kiri dan kanan beberapa kali.
“Minum sekali dengan abang la,”
“Hm..”
“Hm je?”
“Hemmm..”
“Apa beza hm dengan hemmm?”
“Hm, dua harakat. Hemmm, lima harakat.”
Bersahaja jawapan Zaza membuatkan Amal tersenyum lebar. Sekali lagi hidung isterinya dicuit perlahan.
“Nakal tau,”
Zaza tersenyum. Semakin berjaya cubaannya untuk menyesuaikan diri dengan insan yang baru bergelar suami itu.
“Lepas minum, kita keluar sekejap, nak?”
“Pergi mana?”
“Lepas ummi dengan Amna balik nanti, kita pergi makan angin, nak?”
“Makan angin?”
“Jalan-jalan..”
“Jalan kaki?”
“Naik motor,”
“Mana ada motor,”
Amal ketawa. “Naik kereta la sayang..”
“Hm okay.. Zayanah ikut je,”
Zaza membalas tersenyum. Lengannya yang ditarik lembut Amal membuatkan langkahnya turut menjejaki sang suami. Mereka mengambil tempat di ruang makan pada sudut dapur itu. Segelas milo susu kambing suam dikongsi bersama menambahkan keberkatan hidup berpasangan. Kedua-duanya berbalas senyum saat mata bertembung beberapa ketika. Ada syukur yang bergetar di hati masing-masing. Ucapan hamdalah sentiasa segar dan mekar selagi akal masih waras memikirkan kekuasaan-NYA.
Akak,citer ni pnjg lg ke? Hehe suka zaza ngan amal....
ReplyDeletetak berapa nak panjang lagi rasanya ni, (",)
Deletebahagia kak dik ngan amal..
ReplyDeletezaim da pandai intai2 ya
Zaim pandai cari peluang.. (",)
Deleteberbunganya hati bila bca cter akak...
ReplyDeletefiqah... hehehe
DeleteMenguntum senyum saat baca kisah Amal dan Zayanah ni. Nikmat kan bercinta dengan yang halal?
ReplyDeleteKeep up writing cik Jat^^
mencari yg halal fardhu bg umat Islam.. (",) insyaAllah.. thanks,
Deleteske tul la bce story nih...
ReplyDeletesweet sgt2 zaza n amal...
saya suka jgk bila kayniz suka, (",)
Deleteawww... so sweet!
ReplyDeleteharap2 x de konflik yek.
sume sweet2 je. ske. ske. ^_^
xda konflik.. clean n clear.. (",)
DeleteSweet nya Amal dan Zana ni...
ReplyDeleteSenyum sendiri bila baca cara Amal nak menarik sang Isteri bersuara...hehehe...
*Zaza... (",) senyum jgk.. hehehe
Deletesweettt nyerrrrr ^^
ReplyDelete