June 13, 2009

Forever Yours 19


“Assalamualaikum..”

Salam diberi Ain perlahan sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Terlukis segaris senyuman di wajah suram gadis itu tatkala melihatkan susuk tubuh yang duduk tegak setentang dengan kaca televisyen. Lebar senyuman gadis itu biarpun dalam keletihan menguruskan kehidupan sehariannya selain mengambil alih tugas menjaga sahabatnya, Husna.

Sejak Ammar tidak lagi menghantar Falah ke rumah ibunya dan sejak Hussin kerap bekerja luar kawasan, Ain mengambil keputusan untuk tinggal bersama Husna di rumah berkembar itu. Terasa sunyi bila hanya dia yang bersuara di rumah itu. Husna hanya diam dan kadang-kadang sahabatnya itu tidak memberikan sebarang reaksi pada kata-katanya. Bakal ibu itu seakan berkhayal dalam dunianya sendiri.

“Una dah makan?”

Husna diam menganggukkan kepalanya sekali. Mata hitam jernih itu masih lagi tertumpu pada Buletin Utama yang sedang disiarkan di kaca tv.

“Una tengok apa tu, khusyuk sangat..” sambung Ain sambil melabuhkan punggungnya di sisi Husna. Husna diam tak membalas, masih lagi menumpukan perhatiannya.

Lambat-lambat Ain menarik perlahan lengan kanan Husna dan memeluknya erat. Tangan kanan yang lembut itu dielus mesra seakan menyalurkan kekuatan pada sahabatnya itu. Pegangan tangan Ain terlepas bila Husna bergerak laju. Ain terasa peha kirinya dicengkam kuat.

Pantas dia menoleh memandang Husna. Wajah pucat itu kelihatan cemas. Manik jernih mula kelihatan di dahinya namun sepasang mata yang mula berkaca itu tak lepas dari memandang kaca tv. Sesaat kemudian kepalanya dilentokkan laju ke bahu Ain, menyembamkan wajahnya ke dada gadis itu. Sedu sedan Husna mula kedengaran.

Ain yang masih tertanya-tanya segera melarikan tumpuannya ke arah tv yang masih lagi terpasang sambil tangannya mengusap lembut belakang sahabatnya itu. Gambar dari kad pengenalan yang terpampang di kaca televisyen membuatkan tangan Ain pantas mencapai remote di atas meja sisi. Laju sahaja dia menekan butang, meninggikan volume tv itu yang tadinya dalam mode mute.

“Mangsa kedua yang dikenal pasti bernama Ammar Ghazi bin Saifullah mengalami kecederaan yang serius di bahagian kepala. Ammar Ghazi dan anaknya yang masih belum sedarkan diri telah dihantar ke Hospital Ipoh berikutan kelengkapan yang tidak mencukupi di Hospital Slim River. Saksi yang berada di tempat kejadian diminta tampil memberikan kenyataan.....”

“Ya Allah! Abang! Falah! Innalillah..” Berita yang sedang dibacakan oleh pembaca berita wanita itu membuatkan Ain tergamam. Bulat matanya memandang kaca tv biarpun berita yang sedang rancak bersiaran itu tidak lagi terdaftar di mindanya.

“... Ain, jangan risau, lepas ni abang tak ganggu Ain dah. Abang takkan susahkan Ain untuk jaga Falah lagi.”

Pantas sahaja kata-kata Ammar suatu waktu dahulu menerjah kotak fikirannya. Usapannya pada Husna terhenti. Ain beristighfar panjang. Kolam matanya mula berkaca. Pantas ditekup mulut, menahan esakannya daripada terdengar dek Husna.

Fahamlah dia mengapa Husna memberikan reaksi sedemikian. Pasti sahabatnya itu terlihat keadaan kemalangan yang disiarkan beberapa ketika sebelum itu dan pasti keadaan itu mengingatkan Husna pada peristiwa yang berlaku padanya sebelum ini. Peristiwa yang menyebabkan dia kehilangan suami yang disayangi kerana lelaki itu bertindak pantas menolak Husna ke tepi jalan, membiarkan dirinya yang melambung dilanggar Nashreen. Biarpun kecederaan Husna tidak seserius Khairul, suaminya, namun, kesannya tetap terasa apetah lagi wanita itu sedang berbadan dua. Mujur kandungannya selamat biarpun emosinya sangat terganggu.

“Una,”

Ain bersuara perlahan tatkala dia terasa cengkaman Husna pada tangannya. Khayalan Ain membuatkan dia tidak menyedari Husna sudah beralih duduk ke sebelah kanannya.

“Ab.. Ab.. Abang—”

“Abang tak ada, Una..” Pantas Ain membalas, menyangka Husna bertanya Hussin.

“Rin,”

“Ya sayang..”

Ain memeluk Husna erat. Dalam pada dia dikhabarkan dengan berita yang meragut ketenangannya, dia dihadiahkan pula dengan rasa lega melihatkan perubahan Husna. Bibirnya tak henti mengucapkan syukur yang tak terhingga mendengarkan Husna memanggil namanya. Sudah beberapa bulan dia menunggu panggilan itu keluar dari seulas bibir comel Husna.

“Ab.. Abang, Rin..”

“Bukan, Una.. Itu bukan abang,” balas Ain lembut, mengelus rambut Husna yang panjang melepasi bahu.

“Ab.. Abang.. Abang Khairul..”

Pantas Ain menarik Husna ke dalam dakapannya. Husna teresak-esak menahan tangis.

“Abang Khairul dah tak ada..” Laju sahaja kata-kata itu meluncur keluar dari mulut Husna. Dia menjarakkan sedikit tubuhnya daripada Ain. Matanya memandang tepat ke dalam mata Ain. Lambat-lambat gadis itu mengangguk, mengiyakan kata-kata sahabatnya. Sedu sedan Husna kembali kedengaran. Ain menepuk lembut bahu Husna.

“Una..”

Husna diam tak membalas. Tangannya laju mengelap air mata yang bercucuran di pipi.

“Una.. Una tak boleh macam ni.”

Husna mendongakkan kepalanya sedikit. Sedunya masih lagi kedengaran biarpun tak serancak tadi.

“Una, kesian dekat baby kalau Una terus macam ni.. Una kena kuat, sayang..” Lembut tangan Ain mengusap perut Husna.

“Baby...”

Ain mengangguk laju. Tangannya mencapai tangan Husna, membawa ke perut sahabatnya itu.

“Baby...”

“Una rasa baby?”

Husna mengangguk beberapa kali. Senyuman mula menghiasi wajah itu. Ain membalas mesra seakan hilang kerisauannya terhadap berita yang merentap jantungnya sebentar tadi.

“Una, Una kena jaga kesihatan. Tak boleh sedih-sedih. Kalau Una terus macam ni, baby macam mana? Una tak kesian dekat baby?”

Husna mengangguk lagi. Tangannya masih lagi mengusap perut seakan membelai cahaya matanya yang bakal melihat dunia awal bulan hadapan.

“Emm, kalau kesian, Una kena bangkit. Tak boleh ikut perasaan lagi.. Okay, sayang?”

Buat kesekian kalinya bakal ibu muda itu menganggukkan kepalanya lagi. Ain tersenyum lebar. Dia tersentak beberapa ketika kemudian, mendengarkan telefon bimbitnya berlagu panjang. Pantas tangannya menggagau telefon bimbit dalam beg galas. Skrin Nokia E65 itu dikerling sekilas. Ibu!

“Assalamualaikum, ibu..” Salam diberi sebaik sahaja butang hijau ditekan.

“Waalaikumussalam..”

“Ibu—”

“Rin dekat mana sekarang?” Belum sempat Ain menyambung kata, ibunya pantas mencelah.

“Rin dekat rumah, bu. Baru sampai. Ibu tengok berita tadi?” Tertahan-tahan suaranya bertanya. Husna di sisi hanya diam, memerhati.

“Hmm. Ibu susah hati, Rin. Datin dengan Dato’ pulak tak ada dekat sini..”

“Aunty Su dengan Uncle Saiful pergi mana, bu?”

“Uncle Saiful ada seminar dekat Singapore. Ibu tak tahu diorang dah dapat tahu belum..”

“Abang ‘Imad?”

“Emm ‘Imad.. Tak salah ibu, dah seminggu ‘Imad balik Korea.”

“Hah?!” Ain meletakkan tapak tangan kanannya ke dada, merasa degupan jantung yang tak menentu saat itu.

Ya Allah! Macam mana dengan abang... Falah... Ya Allah.. Maafkan Ain, bang. Maafkan mama, sayang. Ain terdiam seketika, memikir. Suara ibunya bagaikan angin yang menyapa telinga saat itu.

“Rin.. Nurin..”

Ain tersentak. “Ya, bu.. Rin ada lagi bu.”

“Rin dengar tak ibu kata apa tadi?”

Ain menggeleng laju, terlupa ibunya hanya berada dalam talian.

“Rin—”

“Ibu, Rin mintak izin nak pergi Ipoh..”

Giliran Puan Faridah pula terdiam seketika. “Rin nak ibu teman?”

“Tak, tak apa.. Tapi Rin nak mintak tolong ibu jagakan Una. Una dah makin pulih, bu..”

Tersenyum Ain sedikit pada Husna yang setia menanti di sebelahnya. Pantas tangan kanannya merangkul bahu Husna, menarik sahabatnya itu rapat padanya.

Husna membalas senyuman Ain. Nampak berseri senyuman itu di mata Ain. Pelukannya dieratkan lagi..

2 comments:

  1. ayak....nape amar xciden..
    aaaaaaaaaaa,,
    jahatnye nashreen..

    ReplyDelete
  2. malas ah, tak sukalah karakter si ain nih, tak tegas..

    ReplyDelete