July 7, 2011

:. Keterlaluankah Aku 11 .:



“Kamera Kak Ngah, check. I/C Kak Long, check. Emmm...” Zaza berpaling ke tempat duduk belakang. Sirih yang sudah siap digubah diambil berhati-hati. “Okay, cik sir, check! Done! Kak Long, tunggu Zayanah~” Riang suara gadis itu, bersedia untuk membuka pintu di sebelah kanannya.


Belum sempat gadis itu membuka pintu, cermin di sisinya diketuk perlahan. Seraut wajah menerpa kornea matanya. Zaza menelan liur.


Eeiikk? Siapa ni? Berjambang bagai. Taliban ke? Ke orang mintak derma? Tak pun nak jual ayat-ayat atau kalendar? Aku tak bawak duit pulak. Kereta ni pun kereta Abang Yusuf, takkan nak main ambil je duit yang ada. Belum sah jadi abang ipar lagi dah pandai-pandai ambil duit orang. Aduhh macam mana ni..


Gadis itu cuba memaniskan muka. Sebuah senyuman dihulurkan. Tangan kanan diangkat sedikit dan dia melambai beberapa kali bersama isyarat di kepala yang turut menggeleng.


Dia yang mengetuk cermin kereta masih lagi tidak berputus asa. Mungkin tidak memahami isyarat 'tidak' yang diberikan Zaza sebentar tadi. Gadis itu menghela nafas sekali. Dia mengangkat tangan, melambai sekali lagi. Kepala digelengkan beberapa kali. Bibir digerakkan, memberi kata tanpa suara, ‘tak, tak, maaf,’.


Cermin kereta masih lagi diketuk. Perlahan. Zaza menghela nafas sekali lagi. Lebih panjang daripada yang sebelumnya. Lambat-lambat pintu kereta dibuka sedikit.


“Minta maaf, pakcik. Saya tak bawa duit sekarang. Saya nak cepat,”


Lelaki itu tersenyum. Ada kemanisan dalam senyuman  yang dihulurkan. Ada bunga tawa yang terselindung di balik senyuman itu.


Zaza menelan liur lagi. Dia yang sudah berdiri tegak di sisi kereta memandang lelaki itu atas bawah.


Kemas pemakaian lelaki berjambang itu. Baru dia perasan. Lelaki itu berbaju Melayu sepasang, berwarna krim. Sampin songket coklat keemasan terikat kemas di pinggangnya. Baru kini dia perasan. Kasut hitam yang tersarung elok di kaki lelaki itu bersih tanpa debu. Memang kemas. Pandangan Zaza terarah pada kepala lelaki itu. Kopiah putih di kepalanya terletak elok. Mengapa baru kini dia perasankan semua itu? Mungkinkah seketika tadi dia hanya sekadar memandang bukan melihat? Zaza menelan liur.


“Err, maaf. Saya nak ambil songkok Yusuf,”


“Aa?”


Terasa berpasir liur yang ditelan. Zaza tersenyum kelat.


“Songkok. Yusuf tertinggal songkok dekat belakang tu, saya nak ambil songkok dia,”


Ibu jari kanan lelaki itu mengunjukkan pada papan pemuka di bahagian belakang kereta. Pandangan Zaza turut sama terarah ke situ. Makin kelat senyuman di bibir gadis itu. Dia mengangguk-angguk beberapa kali sebelum beralih sedikit, memberi ruang pada lelaki itu.


“Erm, by the way, saya kawan Yusuf, bukan pakcik minta sedekah,”


Lelaki itu kembali bersuara sebaik sahaja dia membawa keluar songkok hitam dan memegangnya kemas di tangan kanan. Bersama senyuman, dia meninggalkan Zaza yang tercegat di sisi kereta.


Makin kelat senyuman Zaza. Serasa hendak melarikan diri dari menghadiri majlis nikah Kak Long dengan Abang Yusuf di masjid itu. Mana hendak disorokkan muka. Pasti akan ketemu semula dengan lelaki itu di dalam masjid kelak. Zaza menghela nafas perlahan. Berat.


Itu kisah beberapa tahun yang lalu. Zaza mengetap bibir. Tidak disangka dan tidak dia menyangka begini perjalanan kisah hidupnya. Zaza menggaru kepala yang tidak gatal.


Takdir Allah, dia bertemu dengan lelaki pemilik nama Amal Mujahid itu pada hari pernikahan Kak Long. Percaturan DIA, Kak Long tertinggal I/C dekat rumah. Kak Lang terlupa hendak mengambil sirih yang digubah mama di dapur. Kamera digital single-lens reflex (DSLR) Kak Ngah pula tertinggal di ruang tamu. Semua benda penting tertinggal. Mujur empunya badan tidak turut tertinggal. Sudahnya dia menawarkan diri untuk mengambil barang-barang itu saat melihatkan Kak Long, Kak Ngah dan Kak Lang yang agak sibuk melayan saudara mara dan sahabat.


Melengkapkan lagi perjalanan kisah yang telah diatur-NYA, dia terpaksa meminjam kereta Abang Yusuf yang terparkir elok di belakang Myvi hitam Kak Long, menghalang kereta Kak Long yang dipandunya pagi itu. Kesudahannya, DIA yang maha Mengetahui mengaturkan antara dia dan lelaki itu disatukan sebagai suami isteri pada Syawal kelima nanti, insya Allah.


Takkan dilupakan kisah itu seumur hidupnya. Zaza tersenyum pula seketika kemudiannya sebelum senyuman bertukar tawa perlahan. Dia menggeleng sedikit.


Itulah. Siapa suruh simpan jambang sampai tak nampak muka. Baru keluar dari gua agaknya. Tak pun terperangkap kat pulau macam Robinson Crusoe. Tanpa sedar Zaza mengutuk lelaki itu. Dia tertawa sedikit sebelum beristighfar perlahan. Album gambar di tangannya diselak lembut. Mata tertancap pada gambar terakhir. Wajah lelaki yang berdiri di sisi Abang Long Yusuf diamatinya. Dia menggeleng lagi. Penuh senyuman di bibirnya. Entah kenapa dia tidak cam lelaki itu adalah lelaki berjambang yang sama ditemuinya pada hari pernikahan Kak Long dengan Abang Long Yusuf..


Hermm.. Simpan jambang sampai hari nikah Kak Long je rupanya. Siapa sangka di sebalik jambang yang tak berapa nak terurus tu ada seraut wajah bersih yang terselindung. Berbeza sungguh wajah Amal Mujahid ketika masih berjambang. Saja disimpan jambang takut ada yang jatuh hati agaknya. Hati kecik Zaza mengusik nakal. Dia tertawa perlahan buat kesekian kalinya. Album perkahwinan Kak Long dengan Abang Long Yusuf ditutup perlahan sebelum dia bingkas, meletakkan semula album itu di rak.


“Kak Dik,”


Zaza menoleh. Zaim sudah tegak berdiri di tangga teratas. Pada Zaim dijungkitkan keningnya sekali, isyarat bertanya kenapa.


“Zaim nak pergi solat dah ni,”


“Em-em. Baik-baik bawak basikal tu,”


Zaim tersenyum. “Tadi Kak Long call. Kak Long datang lepas Jumaat.”


“Em..” Zaza menghela nafas perlahan. “Kak Ngah balik lambat hari ni sebab nak jumpa client. Kak Lang pulak tak balik outstation lagi. Kak Dik tinggal sorang lagi.. Boringnya.”


“Alah tak sempat nak boringnya tu. Kak Dik kata nak buat sotong goreng kunyit. Kerabu mangga pun tak siap lagi. Ikan pun belum goreng. Bukan main lagi nak sambut mak mertua ya,” usik Zaim sambil mencuit pipi Zaza. Tertawa gadis itu, menyigung pinggang Zaim. Beriringan kedua-duanya melangkah turun.


“Zaim la tak nak tolong Kak Dik kat dapur. Dah, dah. Cepat pergi masjid. Lagi lambat lagi kurang pahala nak direbut.”


Zaim tersenyum. Dia melangkah kemas menuju ke pintu utama. Salam diberi sebelum bayangnya hilang bersama Hybrid kesayangan.


Salam Zaim dibalas perlahan. Pintu dikunci Zaza cermat. Kaki melangkah ke hujung ruang tamu. Gagang telefon diangkat dan dia mula mendail. Panggilan yang dibuatnya  untuk mendapatkan Zainuddin dan Zahrah bersambut. Pantas dia menyoalkan waktu ketibaan dua insan yang disayangi itu. Usai berbual bersama Zahrah, Zaza kemudiannya menghilangkan diri ke dapur. Sayup-sayup kedengaran celoteh juruhebah stesen  radio Salam fm mengusir sepi yang menyelubungi.


***********


“Ala ma... Macam mana ni ma.. Kenapa Zayanah tak tahu pun ada acara sarung-sarung cincin ni ma..”


“Zayanah, mama dengan abah pun tak tahu, sayang. Sekadar sarung cincin daripada pihak lelaki. Ummi Amal tak minta nak buat kenduri pun kan sayang.. Ingat pesan Nabi, rahsiakan pertunangan, hebahkan perkahwinan.. Em? Mungkin ada alasannya di pihak mereka. Tak membebankan pun, kan?”


Ulas Zahrah lembut, saat Zaza bertanyakan perihal pertunangan yang disuarakan Ummi Amal, Muna, awal kehadiran mereka tadi.


Terangguk-angguk gadis itu, bersetuju dengan kata-kata ibunya. Dia bagaimanapun masih lagi mundar-mandir di sekitar dapur. Segenap ruang dapur itu dijelajahinya. Kaki melangkah laju ke sinki pula seketika kemudian. Sabun Dettol di hujung sinki ditekan sedikit ke telapak tangan dan pili dipulas sedikit sebelum dia menggosok-gosok tangannya di bawah larian air itu. Beberapa kali cubaan masih tidak berhasil.


“Ma, macam mana ni?”


Sepuluh jari ditayang Zaza ke arah ibunya yang setia memerhati. Ada senyuman yang tersungging di bibir wanita itu. Dia bergerak ke hadapan sedikit, merapati anak gadisnya. Bahu gadis itu dipaut lembut, memahami kegusaran yang melanda.


“Ma, Zayanah, kenapa tak keluar lagi?”


Kedengaran suara Kak Long menegur diikuti tawa nakal Zaim di belakangnya.


“Zaim,” tegur Zahrah lembut. “Jangan diusik Kak Dik kamu ni,”


Zaim tersengih. “Sorry,”


Zaza mencebik.


“Zayanah, mama rasa tak apa pun sayang. Jangan risau. Benda dah jadi nak buat macam mana. Ummi Amal pasti memahami,”


“Hm em Kak Dik. Nampak la yang Kak Dik memang calon menantu pilihan, pandai buat kerja dapur..”


Zaza menjeling Zaim. Lelaki itu kembali tersengih.


“Kenapa ma?” Tanya Kak Long perlahan. “Em Zayanah?”


“Urmm Kak Long... tengok la ni...”


Zaza mengunjukkan tangannya pada Kak Long. Kuning dihujung-hujung jari nampak jelas biar ada yang sedikit hilang.


“Kunyit dekat jari Zayanah tak mahu hilang Kak Long... Malu la nanti ummi Amal nak sarung cincin...” Rengekan Zaza kedengaran manja. Kak Long tersenyum. Kepala adik perempuan bongsunya yang dilitupi tudung rona ungu lembut berbunga kecil itu diusap sekali.


“Kunyit tak apa la sayang. Halal je pun. Lain la kalau Zayanah pakai cutex, memang kena malu la gitu,”


Bulat mata Zayanah memandang Kak Longnya sambil mengangguk beberapa kali. Hm betul jugak kan. Kenapa tak terfikir macam tu tadi. Penat je susah hati.. Segaris senyuman yang terukir pantas mengusir mendung yang datang menyinggah.


“Dah, dah, jom keluar. Tak sabar ummi Amal nak kenal bakal menantu,”


Zaza tersipu mendengar usikan Zahrah.


“Ma dengan Kak Long keluar dulu, Zayanah ikut belakang.”


“Hm, jom ma,”


Lengan Zahrah ditarik Kak Long lembut. Beriringan mereka menuju ke ruang tamu diikuti Zayanah dan Zaim. Masing-masing berbalas senyum. Ummi Amal bingkas menyambut huluran salam Zaza dan menarik lengan gadis itu perlahan ke sisinya. Tubuh Zaza yang tersarung jubah ringkas ungu putih bersulam bunga di hujung tangan dan kaki jubah itu didakap erat seketika kemudian.


“Alhamdulillah.. Ummi gembira, sayang..” Bisik Muna lembut.


Terkesima gadis itu dengan sambutan dan penerimaan yang tak terfikirkannya. Senyum di bibir diukir semanis madu, membayangkan ketulusan hati menerima baitul muslim yang bakal terbina.


Mujur Amal tidak dapat hadir kerana urusan yang tidak dapat dielakkan. Dia sendiri masih segan untuk bertemu empat mata dengan lelaki itu setelah diketahuinya siapakah dia Amal Mujahid yang datangnya dengan misteri dan perginya untuk kembali.


Sempat Zaza membuang pandang dan bertukar senyum pada tetamu lain yang hadir, dua pasang suami isteri dalam perkiraannya. Dia tersenyum lagi, cuba membuang resah yang menjentik tangkai hati..



:. to be continued, insyaAllah .:



p/s: maaf agak lambat n3 kali ni. tuntutan hidup bukan sekadar menekan keyboard.. huhu. rindu rasanya nak bermalas-malas & bersenang-senang depan laptop..... tak lupa juga rindu nak ronda-ronda makan angin tanpa tiket atas talian..

6 comments:

  1. hehehe..
    akhirnyer ade gak new n3...
    da tung da kak dik!!!
    hahaha~
    c0ngrat tau~

    ReplyDelete
  2. huhu..
    suka nya..
    alhamdulillah..
    akhirnya..

    ReplyDelete
  3. akak.
    kisah hidup Zayanah sangat sweet! hehe..part tu lah...memang semua sweet. Percaturan Allah, kan...:)

    ReplyDelete
  4. indah kan perancangan ALLAH?
    setiap orang memang sudah ditetapkan jodohnya oleh ALLAH..tinggal masa dan ketika sahaja yang menentukan bilakah kita akan bertemu dengan jodoh kita itu..

    sweet je Zaza ni...selamat bertunang ye Zaza!=)

    ReplyDelete
  5. nice metafora yang terdapat dalam beberapa prosa.. LIKE hehehe

    o(^_^)o
    juruboneka

    ReplyDelete