December 15, 2009

Kills Two Birds With One Stone


“Ye la, ye la.. Syah tinggal dengan Paksu la sementara waktu ummi tak nak tengok Syah ni..”


Pelepukk! ‘Ukasyah tersengih mengusap bahu yang disepuk ibunya. Touch and go! Pandangan mata lelaki itu meleret, menghantar langkah ibunya ke arah sofa berangkai dua yang terletak bertentangan dengannya.


“Ummi bukan suruh kamu lari rumah Paksu. Ummi cuma nak tengok calon isteri. Kamu jangan ikut paksu kamu tu. Belajar tinggi-tinggi tapi kerja bawak bas jugak yang dia nak buat. Umur dah 35 tapi anak seorang pun tak ada. Jangan kata anak, kahwin pun belum.”


“Ummi, mengumpat paksu ye..” ‘Ukasyah tersenyum, mengusik ibunya.


“Ummi bukan nak mengumpat, Syah. Ummi risau ni. Mana nak fikir pasal paksu kamu, kamu lagi..”


Ala mi, paksu tu dah besar la mi. Tahulah paksu nak atur hidup..” ‘Ukasyah bingkas dan merapati ibunya di hujung sofa, menempel di sisi ibunya. “Em tapi ummi jangan risau pasal Syah. Ada jodoh nanti, ada la, mi.. Lagipun mana la Syah ada calon nak tunjuk dekat ummi. Syah baru je balik tak sampai sebulan.”


“Masa belajar takkan tak ada sangkut dekat sesiapa?”


Potong Hajah Fatimah. ‘Ukasyah menepuk dahi. Kepalanya digeleng perlahan.


“Masa belajar, jangan nak menggatal pandang anak dara orang,” Sempat ‘Ukasyah mengulang tayang pesanan ibunya. “Bukan ke ummi selalu pesan dekat Syah tiap kali Syah call rumah..” Kening dijungkitkan beberapa kali memandang sang ibu yang mengangguk perlahan.


“Okay, okay.. Ummi lupa,”


‘Ukasyah senyum kemenangan.


“Tapi masalahnya sekarang kamu ni dah la tak nak kerja, ummi nak suruh kahwin pun tak nak. Apa sebenarnya yang kamu nak? Atau abah dengan ummi yang kena sara dan jaga kamu seumur hidup?”


Wushh! ‘Ukasyah telan liur mendengar kata-kata ibunya.


“Kenapa kamu tak nak masuk kerja lagi ni? Nak kata abah suruh jadi cleaner ke, tak ada la pulak.. Macam berhantu pulak office abah kamu tu..”


‘Ukasyah tersengih. Memang ada hantu pun ummi.. Ummi je tak tahu.. Hantu Suraya. Berkerut dahi lelaki itu membayangkan wajah Suraya, teman sekolah yang kini sedang bekerja di syarikat konsultan milik ayahnya.


“Ummi nak Syah pilih antara dua. Kerja dengan abah dekat office atau bawak balik calon menantu ummi,”


Bulat mata ‘Ukasyah memandang ibunya, rasa terjerut dek kerana terpaksa membuat pilihan antara dua. Kalau tak kerja, macam mana nak jaga anak dara orang? Tapi kalau kerja dengan abah, cari penyakit namanya tu.. ‘Ukasyah menelan liur.


“Ummi..”


“No. Ummi tak nak berkompromi lagi. Kenapa liat sangat kamu ni Syah..”


“Tak puas tau duduk dengan ummi. Dah lama Syah tak manja-manja dengan ummi.” Dalih ‘Ukasyah pantas.


“Umur kamu ni bukan masanya untuk bermanja dengan ummi lagi. Tapi dengan isteri. Kalau iya pun nak duduk dengan ummi, takkan sampai kerja pun kamu tak nak?”


“Bukan Syah tak nak kerja..”


“Dah tu?”


Su. Suraya.. Ummi nak ke menantu baju tak cukup kain, meliuk lentok macam tak ada tulang.. ‘Ukasyah diam, membalas dalam hati. Terasa sebal mengenangkan Suraya yang tak putus asa menggoda. Pantas dia beristighfar kemudiannya, memikirkan keterlanjuran hati mengadili Suraya.


“Ummi letih tengok muka kamu 24 jam dekat rumah ni, Syah..”


Laju ‘Ukasyah berkalih pandang ke arah ibunya. Berkerut dahi lelaki itu mendengarkan suara ibunya yang bernada serius.


“Ummi bukan tak sayang kamu, Syah.. Sebab sayang la ummi tak nak kamu dok melangut kat rumah je. Abah panggil masuk office tak nak, ummi nak kenalkan dekat anak kawan ummi pun kamu tak nak. Nak kata kamu cari kerja, tak ada pulak ummi nampak. Entah bila kamu nak berkeluarga, entah bila kamu nak belajar jadi dewasa..”


‘Ukasyah tersengih lebar mendengarkan rungutan panjang ibunya.


“Penat-penat ummi dengan abah hantar kamu belajar jauh-jauh. Kerja pun tak nak, apa yang kamu nak sebenarnya ni Syah oii..” Sambung Hajah Fatimah dengan gelengan kepala beberapa kali. ‘Ukasyah masih lagi dengan sengihannya.


Pelepukk!! Kali ini peha lelaki itu pula menjadi mangsa ibunya.


“Bisa la mi..”


‘Ukasyah menggosok pehanya laju.


“Tau pun sakit. Ummi nak kamu bergerak sekarang. Tetapkan matlamat hidup. Jangan nak duduk melangut kat rumah je. Kalau Syah degil, ummi pinang anak Haji Pian untuk kamu.”


Skreeeetttt!!


“Aaaaahh~”


“Eh mak anak Haji Pian!”


Melayang terbang lamunan ‘Ukasyah. Dia tersandar di cermin hadapan bas. Latahannya mencantas perbualan dia dan ibunya beberapa bulan yang lalu. Figura seorang gadis yang sedang menggalas sebuah beg besar berada betul-betul di hadapan matanya. Beg gadis itu berada tepat di dada ‘Ukasyah dengan posisi gadis itu menampan beg balik kampung biru gelapnya yang sederhana besar. Bas yang berhenti tiba-tiba setelah melepasi selekoh di lampu isyarat membuatkan penumpangnya tidak dapat berdiri dengan stabil.


“Paksu ni bawak bas ke bawak orang main roller coaster?”


Selamba ‘Ukasyah menolak beg gadis itu, membiarkan si gadis terkial-kial memaku kaki di lantai bas yang sudah kembali bergerak dengan kelajuan yang biasa.


“Maaf,” sepatah kata keluar dari seulas bibir sang gadis.


“Hmm,” sepatah juga balasan ‘Ukasyah tanpa memandang seraut wajah itu.


“Kau berangan buat apa.. Paksu dok cakap sorang-sorang dari tadi..”


‘Ukasyah tersengih malu. Namun seketika cuma.


“Kut iya pun, tengok-tengok la orang keliling paksu ei.. Bas dah la overload. Nasib baik budak tu jatuh dekat saya. Nasib baik ada beg besar gabak tu. Nasib baik jugak pintu bas bertutup..”


Selamba ‘Ukasyah menutur kata. Si gadis sudah menjeling geram.


Betul jugak. Thanks to beg saya yang gabak ni. Kalau tak, free-free saya ter‘landing’ dekat awak!


“Fiqah, are you okay?” Satu suara halus menegur dari belakang gadis itu. Dia segera menoleh sekilas, tersenyum pada sahabat yang prihatin.


“Mm hmm..” Gadis itu membalas perlahan dan mengangguk laju.


“Meh sini aku pegang beg laptop kau,”


Tanpa pamitan, ‘Ukasyah menarik beg di hujung kaki gadis yang berdiri di hadapannya. Gadis yang dipanggil Fiqah tadi mengetap bibir. Gigi berlaga geram.


“Balik kampung?”


“Dari kampung.”


Tanpa nada Fiqah membalas pertanyaan ‘Ukasyah. Mata tepat memandang cermin hadapan bas. Entah kenapa ramai pulak yang pulang ke kampung pada minggu itu. Sudahnya mereka terpaksa berebut bas yang hanya muncul selang satu jam pada petang Ahad di stesen bas Tanjung Malim.


“Cuti dua minggu ke dua hari?”


Loyar buruk pulak pakcik sorang ni.. Tahulah barang saya ni banyak.. Fiqah menjeling geram. ‘Ukasyah tersengih nakal. Paksu yang tenang memandu hanya menggelengkan kepala.


“Kau bila nak start bawak bas ni? Paksu ingat nak sambung balik kerja paksu lima tahun dulu..”


Suara itu pantas mencantas perbualan yang tidak menunjukkan tanda-tanda bakal mendapatkan balasan. ‘Ukasyah mengalihkan pandangan pada paksunya yang sedang memandu bas.


“Paksu nak balik KL?”


“Iyela.. Aku pun nak merasa ada anak bini...”


‘Ukasyah ketawa lepas. Fazdir, adik bongsu ibunya, memiliki sarjana pengurusan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat, Louisiana State University. Dia juga mengikut jejak langkah paksunya, menuntut di universiti yang sama tetapi dalam bidang perakaunan. Namun dek kerana rasa bosan yang menjengah, paksunya itu memilih untuk mengubah angin.


Hasilnya, Fazdir menjadi pemandu tetap Suasana Edaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris berulang alik dari tempat kediaman ke kampus. Satu pekerjaan yang menuntut dia bekerja hampir 12 jam sehari. Adakalanya dia perlu bekerja di hujung minggu, berganti shif membawa pelajar yang mahu ke pekan Tanjung Malim. Penat. Tapi kata paksu, kepuasan itu yang penting.


“Syah ei!!”


“Hah ye puas!”


Paksu ketawa lepas. Fiqah tersenyum simpul menahan tawa. ‘Ukasyah menggaru kepala yang tak gatal. Malu mengenangkan kata-kata yang terlepas di bibir.


“Apa ni paksu, pantang tengok orang senang.”


“Banyak kau punya senang. Lesen dah lepas berbulan, kerja tak nak..”


‘Ukasyah tersengih.


“Ye la, nak kerja la ni.. Bila paksu nak balik sana?”


“Lusa.”


Lusa! Kenapa baru sekarang nak cakap?! Gulp! ‘Ukasyah menelan liur. Bermula episod dia menjadi pemandu bas. Kalau tahu dek ummi, mati ummi panggil balik.. Mahu ummi suruh kahwin terus nanti..


5 comments: