June 9, 2009

Forever Yours 15


Mata bertentang mata namun lafaz tak terkata. Ammar menghela nafas. Berat. Ain tegak mematung, membeku di hadapan Ammar. Langkahnya ke dapur terhenti saat Ammar menghadang laluannya. Sudahnya mereka hanya berdiri bertentangan hampir sepuluh minit tanpa butir bicara.

“Ain..” Ammar mula bersuara selepas berdehem seketika. Ain masih lagi membisu. Wajahnya segera ditundukkan. Perasaannya bercampur baur tika itu. “Ain..”

“Mama!!!”

Suara Ammar ditenggelami laungan penuh keriangan Falah. Si kecil itu yang masih berpakaian tidur berlari memeluk kaki Ain. Pantas Ain mengusap kepala si kecil lembut. Falah yang tidak mengerti kedinginan tika itu tersengih lebar.

“Mama, I miss you..”

Ain ketawa perlahan. Baru ditinggalkan semalaman, dirinya sudah dirindui si kecil itu seperti dia merindui papanya yang tiada sedikit waktu dahulu. Ammar menghilangkan diri sehelai sepinggang sejak peristiwa beberapa minggu yang lalu. Sepanjang tempoh itu, dialah yang telah diamanahkan untuk menjaga puteri tunggal tuannya.

Beberapa minggu itu jugalah banglo mewah Ammar menjadi tempat tinggalnya, menemani si kecil yang mula merasai kehilangan papanya. Baru semalam lelaki itu muncul semula dengan wajah yang tidak terurus... dan pagi ini Ammar kelihatan sangat segar. Jambang serta rambutnya sudah dipotong kemas.

Terbayang di matanya, Falah yang menjerit kesukaan saat Ammar muncul di pintu pagar utama rumah itu lewat petang semalam. Papanya dipeluk erat dan mulut si comel itu riuh berceloteh tanpa menyedari kolam mata papanya yang sudah berkaca. Tidak mahu mengganggu keasyikan dua beranak itu melepaskan kerinduan, Ain mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah ibunya petang itu tanpa memberitahu kepada mereka terlebih dahulu.

Ain menghela nafasnya perlahan. Dia menunduk dan menarik Falah ke dalam dakapannya sebelum si kecil itu di dukung erat.

“Papa, you look better than yesterday..” Falah tersengih lebar melihat Ammar yang kelihatan berbeza dari semalam.

Ammar membalas dengan senyuman dan cuitan di pipi gebu itu. Tanpa pamitan, wajahnya didekatkan pada wajah puteri kesayangannya yang sedang melentok di dada Ain. Dikucup lembut pipi Falah yang menggeliat kegelian.

“Rambut papa tajam..” Rengek si kecil itu sambil menyembunyikan wajahnya di dada Ain. Tanpa sedar, Ain tersenyum lebar, memandang dua beranak itu. Pandangannya dibalas Ammar. Mesra.

“Sayang papa ni dah berat tau.. Kesian mama. Meh sini dekat papa..” Falah tersengih lebar.

Ammar menarik Falah dekat padanya. Sekelipan si kecil itu sudah berada dalam dakapannya.

“Abang siapkan Falah, bawak Falah mandi dulu ye Ain..”

Ain membalas dengan segaris senyuman di bibirnya diikuti dengan anggukan kepalanya.

Ammar terpana dengan senyuman itu. Tak disangka Ain masih lagi mahu tersenyum padanya selepas apa yang telah berlaku. Maafkan abang, Ain..

“Cepatlah bang.. Kejap lagi Falah nak pergi sekolah..” Suara Ain mematikan lamunan Ammar.

Ammar membalas senyuman Ain dan terus mengatur langkah ke tingkat atas. Ain menggelengkan kepalanya sekali. Senyuman masih lagi terukir di wajahnya saat itu. Sayup-sayup kedengaran suara Ammar berselang-seli dengan tawa si kecil Falah. Tawa riang Falah benar-benar menceriakan pagi yang suram tadi..


-----------------------------------------------------------------------------------------------


“Hadoii.. Siapa pulak yang datang awal-awal pagi ni.. Tuan rumah bukannya ada pun..” Ain menggumam geram. Langkahnya dilajukan ke ruang hadapan mendengarkan bunyi loceng yang bertalu-talu. Terkocoh-kocoh dia menyarungkan selipar ke kakinya dan berlari anak ke arah pintu pagar kecil berhampiran pagar utama rumah itu.

“Woi, tak reti nak bukak gate ni ke?”

Sergahan satu suara yang agak nyaring membuatkan Ain mengucap panjang. Nafasnya dihela perlahan. Pintu pagar kecil yang bermangga dibukanya berhati-hati. Belum sempat pintu itu ditolak, dia yang tertolak ke belakang. Sudahnya lengannya ditarik Nashreen kasar ke dalam rumah.

“Encik Ammar tak ada dekat rumah, Tengku..” Ain bersuara pantas. Nashreen yang sudah tegak berdiri di hadapannya tersenyum sinis.

“Siapa kata aku nak jumpa Ammar.. Aku nak jumpa kau! Seronok malam tu? Sayang kau yang terpaksa jadi galang ganti.. Hebat tak bekas laki aku? Enjoy ye kau dua orang malam tu.. Orang macam kau ni, budak kampung tak sedar diri, memang sesuai sangat dapat sisa orang lain.”

Nashreen ketawa kuat sebelum kembali bersuara, “Orang bijak macam aku pasti ada backup plan.. Bukan bodoh pak turut macam kau!” Dahi Ain ditunjalnya sesuka rasa. Ain mengundur ke belakang sedikit. Beristighfar gadis itu dengan das tembakan peluru kata-kata berbisa Nashreen.

“Tengku,”

“No, no.. I’m not finish yet!” Terjegil mata Nashreen pada Ain yang mula bersuara. “Baik kau pergi jauh-jauh dari hidup Ammar. Kalau tak nahas nanti. Aku tahu mak kau ada sakit jantung. Aku tahu mak kau baru lepas buat heart bypass tiga bulan lepas, right? Kalau kau degil jugak, tahulah apa yang nak jadi dekat ibu kesayangan kau nanti. Faham!” Sekali lagi kepala Ain menjadi mangsa tujahan jari runcing Nashreen.

Ain menghela nafas perlahan. Derap langkah Nashreen yang berjalan megah meninggalkan dirinya terkaku di tengah pintu rumah dipandang sepi. Ain berselawat panjang, mencari kekuatan dalaman yang semakin teruji. Deruman enjin kereta Nashreen membuatkan Ain terduduk. Sedunya mula kedengaran. Tangisnya berpanjangan, cuba melepaskan segala yang bersarang di hati.

“Ain.. Ain.. Kenapa ni?”

Suara penuh kerisauan Ammar mengetuk gegendang telinga Ain. Gadis itu pantas mendongak. Entah berapa lama dia berteleku di situ sehinggakan kepulangan Ammar tak disedarinya.

“Ain, kenapa ni?” Tergambar kerisauan di wajah lelaki itu melihatkan bengkak mata gadis di hadapannya.

“Hmm? Ermm..”

Ammar yang sedang mencangkung di hadapannya dipandang sepi. Ain bingkas bangun. Tudung di kepalanya dibetulkan sedikt. Dia berdehem sekali.

“Tak ada apa-apa.. Ain masuk dapur dulu..”

Ain bergegas mengatur langkah, meninggalkan Ammar yang memandangnya tanpa kelip. Dia menyibukkan dirinya, menyudahkan kerja-kerja yang tergendala di dapur melihatkan kehadiran Ammar di pintu masuk dapur itu.

“Ain,” panggil Ammar lembut.

Ain menyahut perlahan.

“Ain,” sekali lagi Ammar bersuara memanggil gadis yang lincah bergerak di hadapannya. “Ain, pandang abang, Ain..” Sambung Ammar melihatkan Ain yang menyahut perlahan seakan tak terkeluar suaranya. Pergerakan gadis itu terhenti. Lambat-lambat dia memusingkan tubuhnya menyandar di kabinet, menghadap Ammar. “Kita kena bincang jugak, Ain. Abang tak nak semua yang dah jadi tergantung tanpa jalan penyelesaian. Abang tak nak Ain buat-buat tak tahu macam nothing happened. Abang tak nak kita hidup berpura-pura. Abang tak boleh pretend depan Ain. Abang rasa bersalah sangat for you mean so much to me.. We need to talk, Ain..”

Ain hanya diam membisu. Sepatah suaranya tak kedengaran. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya beberapa kali tanda menyatakan persetujuannya untuk berbincang.

Sedikit sebanyak dia bersetuju untuk menyelesaikan segala masalah yang semakin berantai agar hidupnya kembali tenang seperti sediakala. Dalam hatinya dia berdoa agar mereka dapat membuat keputusan yang tepat tanpa melibatkan pihak yang lain..

No comments:

Post a Comment