June 16, 2009

Bayang-Bayang 21


"Hah? Nak jumpa? Bila?" Tanya Hana pelik.

Terangguk-angguk kepala Dinie mengiyakan kata-katanya. "Bila Hana ada training lagi? Weekend ni tak ada ke?"

"Ada. Herm.. Petang Ahad ni. Angah nak ikut?"

"Nak," tanpa menunggu lebih lama, Dinie menyatakan persetujuannya. Matanya memancar sinar. Bibirnya menguntum senyum. Sepi beraja antara mereka seketika waktu.

"Angah.." Suara Adhana membelah kesunyian malam.

"Hmm?" Dinie yang sedang asyik melihat gambar di dalam kamera digital Adhana memalingkan kepalanya ke arah adiknya yang sudah berbaring malas di atas katil.

"Nak tanya sikit... Boleh?"

"Anything dear..."

"Kenapa tiba-tiba angah nak jumpa Nuha?"

"Nuha?"

"Iyelah. Nuha, kawan Hana ni." Jawab Adhana pantas, geram dengan Dinie yang seakan-akan menyembunyikan sesuatu.

"Saje.. Angah pun nak kenal dengan kawan-kawan Hana."

"Sebelum ni tak ada pun angah nak jumpa Alin, Fida dengan Atiq."

"Ala.. Diorang tu lain. Nuha ni lain.."

"Apa yang lainnya?" Pelik Adhana mendengar jawapan Dinie.

"Iyela, kawan-kawan Hana tadi tu selalu sangat datang rumah. Datang tak dijemput, pergi tak disuruh.." Selamba Dinie memberikan jawapan berpaksikan rasa hatinya. Matanya dikerling pada Adhana.

"Angah!! Mengata kawan Hana ye.." Adhana bingkas bangun, duduk tegak di sebelah Dinie. Memuncung dia seketika. Sempat dia menepuk perlahan paha Dinie.

Dinie ketawa lepas. Dia menghulurkan kembali kamera digital kepada Adhana. Giliran Adhana pula membelek-belek kamera digital kesayangannya itu.

"Angah nak tahu tak. Petang tadi, Nuha balik dengan abang dia....."

"Ai habis tu selama ni ada orang lain ke yang datang ambil?" Tanpa sabar Dinie memintas kata-kata Adhana.

"Ishh.. Tak reti sabar betul." Adhana mencuit pinggang Dinie. Pantas Dinie mengelak sambil tersengih. "Selalu kalau bukan abang dia, sepupu dia yang datang."

"Ooooohhhh..." Terangguk-angguk Dinie mendengar kata-kata Adhana. Tidak sabar rasa hatinya ingin bertemu dengan gadis bernama Nuha itu.

"Angah nak nak dengar tak Hana nak sambung cerita tadi?"

"Hah cepatlah.. I'm all ears." Dinie tersenyum lebar.

"Nuha balik dengan abang dia petang tadi....."

"Tu angah tau dah,"

"Hiiii.. Hana tak habis cakap lagi tau. Potongla angah ni. Hah malas Hana nak cerita dah."

Adhana bingkas bangun dari katil. Kamera digitalnya diletakkan di atas meja studi dan dia kembali merebahkan badannya di atas katil. Bantal peluk ditekup ke mukanya. Tersengih Dinie melihatkan Hana yang merajuk dengannya saat itu.

"Hana.." Panggil Dinie perlahan. Tangannya menarik bantal peluk di muka Adhana. "Hana..." Panggil Dinie lagi saat Adhana membekukan dirinya. "Hana... Sambunglah cerita lagi. Angah janji tak potong.."

Beriya Dinie ingin mengetahui apa yang ingin disampaikan oleh Adhana sebentar tadi. Dalam hati dia mengutuk dirinya kerana tidak menunggu sehingga adiknya itu menghabiskan ayatnya.

"Hana.. Bangunlah kejap..." Dinie menepuk-nepuk perlahan bahu Adhana.

"Takde apa pun.. Hana cuma nak bagitahu abang Nuha tu handsome. Itu je.." Di balik bantal Adhana mengeluarkan kata-kata. Dinie yang mendengar mengerutkan dahinya.

"Ala.. Kalau tu, lebih baik takyah cakap.." Dinie merebahkan badannya di sebelah Adhana. Tangannya bermain-main dengan suis lampu tidur di sebelah katilnya. "Hmm.. Bagus jugak plan angah nak jumpa kawan baru Hana petang Ahad nanti. Mana tahu kot tiba-tiba dia nak kenalkan angah dengan abang dia yang Hana kata 'handsome' tu," Dinie tergelak perlahan. Lucu dia mendengar kata-katanya itu.

Bulat mata Adhana melihat Dinie. Dia yang bingkas bangun sebaik sahaja Dinie menghabiskan ayatnya memandang Dinie dengan kerutan hebat di dahinya. "Lain macam je ayat angah tu."

"Lain? Biasa je.." Dinie tergelak lagi.

"Kalau orang lain, iyelah biasa. Tapi angah? Sounds weird you know.."

Dinie mengalihkan badannya, menghadap Adhana yang duduk tegak di sebelahnya. Matanya dikerdipkan sekali sebelum dia kembali beralih ke posisi asalnya. Lampu tidur dimatikan dan riuh mulutnya menyuruh Hana tidur.

"Angah ni, ada je.. Hana tahu ada something yang tak kena ni.."

"Nite Hana.. Assalamualaikum.."

Dinie menarik selimut menutupi kepalanya. Rungutan Adhana hanya singgah sekejap di gegendang telinganya kerana saat itu mindanya dipenuhi dengan tanda tanya. Dia tidak dapat memikirkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan tetapi yang pasti dia akan mencari jawapan kepada persoalan yang bersarang di kepalanya tika ini. Tidak sabar dia menanti kedatangan hari Ahad..


*******************


"Jaga baik-baik kereta along tu. Calar sikit, siaplah Dinie.." Azran menepuk perlahan pipi Dinie. Dinie mencebik. Dijelirkan lidahnya sedikit pada Azran yang tersengih padanya.

"Takut sangat... Macamlah Dinie nak bawak kereta kesayangan along ni pergi race.."

"Dinie okay tak ni?"

"Okay laa. Apa yang tak okaynya, long?"

"Iyelah.. Dinie kan dah lama tak drive. Kalau Dinie rasa lain macam, biar along hantar ajelah.."

"Eh, takpe.. takpe.." Pantas Dinie menolak tawaran Azran. Kalau diikutkan rasa takutnya, memang dia lebih gemar Azran yang memandu mereka ke sekolah Adhana. Tetapi apabila memikirkan kenyataan yang dia bakal berdepan nanti, dia jadi berani tiba-tiba.

"Betul ni?"

"Takde betul, betul lagi... Hana dah lambat ni... Jom ngah.." Pantas Adhana menjawab bagi pihak Dinie. Dinie hanya tersengih sambil memandang pada Azran yang sedang menghadang pintu kereta.

"Okay, careful girls.. Mama dengan babah tak ada ni. Jadi apa-apa karang, along yang kena.."

"Yes boss.." Dinie mengangkat tangannya sedikit seakan memberi tabik hormat kepada Azran. Perlahan-lahan Azran menolak pintu kereta bahagian pemandu. Sebaik sahaja pintu kereta tertutup, Dinie menurunkan sedikit cermin Proton Satria GTi milik Azran itu.

"Jangan lupa baca doa.." Suara Azran bersaing dengan deruman enjin. Matanya memerhatikan Dinie yang sedang menurunkan brek tangan.

"Careful okay.." Sekali lagi Azran mengingatkan adik-adik kesayangannya itu.

Perlahan-lahan Dinie melepaskan klac dan menekan pedal minyak sedikit. Proton Satria GTi yang berwarna maroon itu bergerak perlahan melepasi pintu pagar. Sempat Dinie mengangkat tangannya serta mengucapkan salam pada Azran sebelum kereta itu meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan.

No comments:

Post a Comment