June 10, 2009

Bayang-Bayang 10


assalamualaikum.. dinie, akak masuk lambat sikit arini. kereta takmo idup le plak pg ni.. nti dinie ckpkan kat en idraki n en marwan eh. akak dh sms k.aina. dia on the way.. klu ada cal dinie jawab eh. jgn ngorat plak caller tu. ngeee~ k..

Dinie tersengih membaca mesej yang baru diterimanya daripada Humaira. Kak Mai ni kalau hantar mesej mesti ada je yang mencuit hati. Bisik hati Dinie. Dia meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja komputer dan meneruskan kerjanya di depan komputer.

Beberapa minit kemudian muncul Encik Marwan di balik pintu bilik yang tertutup sedikit. Encik Marwan berjalan menghampiri Dinie dan menghulurkan tiga fail saman yang perlu dibuat pembetulan. Dinie mengambil fail-fail itu dan meletakkannya di sisi komputer. Tangannya mencapai dokumen yang perlu discan yang diberikan oleh Aina pada hujung minggu lalu. Makin bertambah kerjanya minggu itu sejak ink printernya sudah habis dan tidak berganti.

"Assalamualaikum.."

Dinie berpaling ke kanan sebaik sahaja terdengar suara memberi salam. Dia tersenyum melihatkan Idraki yang tersenyum memandangnya. Hmm.. senyum ajelah dah dia elok aje senyum kat aku.. Idraki kemudiannya melangkah menghampiri Dinie. Briefcase hitamnya dibuka dan dia mengeluarkan sebuah dokumen berserta pelan rumah yang sebesar kertas bersaiz A3.

"Dinie, saya nak mintak tolong awak boleh?" Tanya Idraki dengan matanya memandang tepat pada Dinie. Anggukan Dinie membuatkan Idraki menyambung kata-katanya. "Awak banyak kerja ke sekarang?" Mata Idraki meliar pada meja komputer tempat Dinie sedang membuat kerja tika itu. Pantas Dinie menggeleng mendengarkan pertanyaan Idraki itu.

"Hmm... okay. Awak tolong fotostatkan dokumen ni. Buat 3 salinan ye. Kalau ada page yang gelap awak bagi light sikit. Herm.. pelan ni awak fotostatkan size A3 jugak ye," kata-kata Idraki terhenti. Dia memandang pada Dinie yang mengangguk dari tadi.

"Awak tahu tak macam mana nak guna A3 paper?" Idraki bertanya meminta kepastian. Dinie mendongakkan kepalanya memandang Idraki yang berdiri tegak di sebelahnya.

"Hmm.. Kak Mai ada tunjukkan last week," Jawab Dinie tenang.

Idraki tersenyum mendengar jawapan Dinie. Hmm.. ada pun suara lagi. Ingatkan dah bisu tiba-tiba. Idraki menahan tawanya memandang Dinie yang sudah menunduk menghadap dokumen di hadapannya. "Ha, lagi satu.. Mana Humaira and Aina?"

"Oh ha.. Kak Mai kata dia masuk lambat sikit. Kereta dia buat hal pulak pagi ni. Kak Aina pulak pergi ambil kak Mai.." Dinie tersenyum memandang Idraki. Idraki menganggukan kepalanya sekali. "Saya dah bagitahu dekat Encik Marwan tadi," sambung Dinie lagi.

"Hmm.. Awak buat yang itu dulu ye," Idraki berkata perlahan sambil tangannya menunjukkan pada dokumen dan pelan di atas meja. "Before 10.30.. sebab saya nak jumpa client tu pukul sebelas nanti dekat Cheras."

Tersenyum Idraki melihat Dinie yang mengangguk sakan. Timbul di hatinya rasa untuk menyakat Dinie pagi itu. "Macam burung belatuk pulak saya tengok awak hari ni.."

Terangkat kepala Dinie mendengar kata-kata Idraki. Berkerut dahinya memandang Idraki.

"Cute!" Sepatah kata yang keluar dari mulut Idraki cukup untuk membuatkan Dinie tertunduk malu. "Awak nak ikut tak?" Tanya Idraki tiba-tiba.

Aikk.. nak ikut pergi mana pulak ni? Takkan nak bawak aku pergi jumpa client dia.. Aku bukannya tahu apa pun.. Dinie menggeleng pantas.

Idraki menyembunyikan senyumnya memandang Dinie. "Jomlah. Sekejap aje," pelawa Idraki lagi.

"Tak payahlah Encik Idraki. Saya bukannya tahu apa pun, buat apa saya nak ikut Encik pergi jumpa client dekat Cheras nanti." Jawab Dinie perlahan tapi jelas di pendengaran Idraki.

Idraki tersengih. Namun sesaat kemudian pecah ketawanya di hadapan Dinie. Dinie memandang pelik pada Idraki yang ketawa lepas. "Bila pulak saya kata nak bawak awak pergi Cheras.. Saya nak ajak awak dengan Marwan pergi makan dekat gerai Acik bawah ni," ucap Idraki selamba.

Ishh... kurang asamlah bos aku ni. Buat suspen orang je.. Kan dah malu ni.. Dinie menundukkan kepalanya tidak mahu memandang Idraki yang masih lagi bersisa tawanya.

"So macam mana?" Tanya Idraki pantas, melihatkan Dinie yang seperti malu-malu dengannya saat itu. Dia tersenyum melihat reaksi gadis itu yang menggeleng laju.

"Takpe, takpe.. Saya dah makan kat rumah tadi," perlahan-lahan Dinie berkata.

"Hmm.. okaylah kalau macam tu. Saya pun ajak-ajak ayam aje tadi," Idraki tersengih melihatkan Dinie yang segera mendongak memandangnya. "Just joking!" Idraki mengangkat kedua belah tangannya. Dia segera berlalu sambil membimbit briefcase di tangan kanannya dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya.

Lima minit kemudian Idraki dan Marwan keluar dari bilik Idraki. Mereka melintasi Dinie yang sedang tekun menyiapkan kerjanya membuat fotokopi dokumen dan pelan yang diberikan Idraki tadi.

"We all keluar dulu Dinie," Marwan berkata sambil tangannya menarik pintu masuk utama.

"Sekejap aje kita orang keluar ni. Lepas makan dekat gerai bawah tu kita orang naik balik. So jangan risaulah.." Tambah Idraki yang sudah berdiri di muka pintu.

Idraki dan Marwan berjalan beriringan keluar dari pejabat. Namun sesaat kemudian Idraki muncul kembali. Dia mengunjukkan segugus kunci pada Dinie dan berkata, "Saya tinggalkan kunci ni ye. Nanti awak kunci pintu tau. Bahaya sorang-sorang," Idraki bersuara perlahan. Kunci ditangannya diletakkan di atas mesin fotostat.

Dinie tersenyum pada Idraki. Dia mengambil kunci itu dan berjalan mengikut Idraki dari belakang. Pantas tangannya mengunci pintu sebaik sahaja Idraki dan Marwan berjalan menuruni tangga. Bunyi telefon bimbitnya yang tidak berhenti membuatkan Dinie berlari anak masuk ke biliknya. Dia segera menekan butang hijau selepas melihat nama pemanggil itu.

"Assalamualaikum.." Salam pembuka bicara dihulurkan pemanggil.

"Waalaikumussalam.. Akak kat mana ni?" Dinie bertanya tidak sabar.

"Kitorang on the way nak pergi workshop ni. Sebelum lunch kami sampai sana. Dinie dok buat apa tu?" Tanya Humaira.

"Tengah buat kerja sikit Encik Idraki bagi.."

"Oh Encik Idraki dah masuk?"

"Hmm... dia pergi makan dekat bawah dengan Encik Marwan. Akak ada apa-apa nak pesan dekat dia orang ke?"

"Takde apalah. Dinie bagitahu kita orang masuk sebelum lunch, ye."

"Hmm... Akak jangan lambat-lambat tau. Tak best pulak tinggal sorang-sorang.."

Humaira ketawa mendengarkan kata-kata Dinie. "Tak best ye.. Ha Dinie, nanti ada orang nak datang. Kalau kita orang belum sampai lagi, Dinie buatlah apa yang patut ye."

"Hmm.. Siapa kak?" Tanya Dinie pantas.

"Client kak Aina, En... Eh Dinie, okaylah. Dah sampai ni. Akak nak cepat so nanti cepat sikit balik office. Tak adalah Dinie boring lagi dok sana sorang-sorang.."

Kata-kata Humaira membuatkan Dinie tersenyum. Terlupa dia dengan persoalan siapa yang akan hadir nanti. "Hmm.. okay kak. Baik-baik ye,"

"Dinie tu, baik-baik dok sorang-sorang sekarang.."

Tergelak Dinie mendengar kata-kata Humaira. Mereka berbalas salam sebelum panggilan ditamatkan.

Lima minit sebelum pukul 10.30, Idraki sudah keluar untuk bertemu dengan clientnya di Cheras. Tinggallah Dinie dan Marwan berdua di pejabat. Entah kenapa banyak pulak panggilan yang masuk pagi ini. Mujur ada Marwan yang ringan tangan menjawab panggilan yang masuk sekiranya Dinie sedang melayan panggilan di meja Humaira atau Aina.

Menghampiri ke pukul sebelas Dinie sudah menyiapkan kerjanya membuat pembetulan saman yang diberikan Marwan awal pagi tadi. Dia segera memberikan dokumen-dokumen saman itu kepada Marwan untuk disemak sekali lagi sebelum menandatanganinya. Dia bergegas ke tandas selepas itu.

Bunyi deringan telefon yang tidak henti membuatkan Dinie terkocoh-kocoh keluar dari tandas. Dikerlingnya sekilas bilik Marwan yang terbuka luas. Marwan dilihatnya sedang melayan panggilan yang masuk ke talian di biliknya. Dinie segera menghampiri meja Humaira dan menjawab panggilan telefon yang tidak henti berdering itu.

Sebaik sahaja Gadis itu mengangkat gagang telefon, loceng pintu berbunyi. Dia menjawab panggilan yang telah diangkatnya. Matanya meliar keluar cuba untuk melihat siapa yang datang waktu itu. Loceng pintu berbunyi lagi buat kali yang kedua. Saat itu hilang tumpuan Dinie untuk mendengar pesanan dari pemanggil itu kepada Humaira. Terpaksa dia bertanya lagi kepada suara di balik corong telefon itu untuk mendapatkan kepastian tentang pesanan yang ditinggalkan.

Aduh... loceng ni bunyi banyak-banyak kali, confirm si posmen tu yang datang. Matilah aku kena dengan posmen tu kali ni. Kak Mai dengan Kak Aina pulak tak ada time ni.. Dinie melangkah laju ke pintu masuk utama dengan hati yang berat sebaik sahaja gagang telefon diletakkan.

"Maaf, maaf.. Maaf saya lambat."

"Tidur ke? Lembap betul!" Keras suara posmen di hadapan Dinie saat itu. "Ingat orang tak ada kerja lain nak tunggu dia. Berboraklah tu lambat sangat nak bukak pintu,"

Bebelan si posmen dengan riak wajahnya yang menyinga membuatkan Dinie terasa seperti hendak menangis. Dia menundukkan kepalanya dan pantas sahaja tangannya mencapai surat-surat dari tangan posmen itu.

Dinie bergegas masuk ke dalam. Dia mencari cop pejabat di meja Aina. Pantas tangannya mengecop surat-surat yang diterima dan mencabut bahagian yang dicop tadi. Dinie menghulurkan bahagian yang dicop tadi pada posmen di hadapannya. Ada tiga kesemuanya. Namun tiba-tiba..

"Mana lagi satu?" Keras suara posmen itu bertanya.

"Ha? Ada tiga je tadi.." Terkejut Dinie mendengar pertanyaan posmen itu.

"Ada empatlah cik kak. Buat kerja macam mana ni?" Laju sahaja posmen itu menyindir.

Kelam-kabut Dinie masuk ke dalam. Dia menghampiri meja Aina dan membelek surat-surat yang diterimanya tadi. Alamak! Memang ada empat lah! Hishh.. Macam mana boleh tak perasan tadi.. Mesti sebab kelam-kabut sangat. Terkocoh-kocoh Dinie mengecop bahagian yang surat

"Maaf, maaf." Keras suara posmen itu mengulang kata-kata Dinie. "Lain kali buat kerja tu cepat sikit. Kalau dah lembap macam ni baik duduk dekat rumah aje. Tak payah kerja. Ingat orang tak ada kerja lain nak kena tunggu.." Mati kata-kata posmen itu saat ada suara yang berdehem keras dibelakangnya.

"Ada apa ni? Tak boleh cakap baik-baik sikit ke?"

Dinie mengangkat mukanya mendengarkan suara Naqib di belakang posmen yang berdiri tegak di hadapannya. Posmen itu segera berpaling ke belakang. Dia berganjak dari muka pintu.

"Tak belajar adab sopan ke?" Tegas Naqib bersuara. Dia berjalan menghampiri Dinie. Bulat mata Dinie memandang Naqib yang merapatinya. Dia bergerak ke belakang sedikit menjarakkan dirinya dengan Naqib.

"Nak cepat, bang.." Posmen itu menjawab malas.

Naqib menjungkitkan sebelah keningnya memandang posmen itu. "Whatever your situation is," Kata-kata Naqib terhenti. Dia memandang sekilas pada tanda nama yang tersemat di poket baju posmen itu dan menyambung, "Hati-hati dengan kata-kata awak, Kamal. Awak ingat depan awak ni member awak ke yang boleh awak tegur kasar-kasar? Jangan bercakap ikut sedap mulut aje. Fikirkan sama telinga yang mendengar dan hati yang terasa." Ada ketegasan dalam kelembutan kata-kata Naqib.

Dinie yang tunduk merenung anak kunci dalam genggamannya mengangkat kepalanya memandang Naqib dari sisi.

Uihh mak... seriusnya muka! Kalau dengar suara je tak tengok muka mesti tak tahu dia ni tengah marah. Suara dia menegur bukan main lembut tapi muka ada gaya-gaya nak mengamuk. Dinie menyembunyikan senyumnya melihat raut wajah Naqib yang serius saat itu.

"Ada caranya nak menegur kalau seseorang tu buat silap.." Sambung Naqib lagi. Tangannya menepuk perlahan bahu posmen yang berdiri di hadapannya.

Posmen itu terangguk-angguk. Dia berpaling ke belakang dan bergerak menuruni tangga. "Bla... bla... bla..... Datang entah dari mana, sibuk nak jadi hero! Boleh jalanlah.."

Omelan posmen bernama Kamal itu jelas di pendengaran Naqib dan Dinie yang baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam tatkala melihatkan Kamal yang berlalu pergi secara tiba-tiba. Langkah mereka berdua terhenti dan masing-masing berpaling ke belakang memerhatikan susuk tubuh posmen itu yang hampir hilang ke tingkat bawah.

"Piya masuk dulu, kejap lagi saya datang.."

Berkerut dahi Dinie mendengarkan ganti namanya yang disebut oleh Naqib tadi. Serius mamat ni panggil aku Piya? Ingatkan main-main aje dulu. Dinie mencebik.

Matanya memerhatikan langkah Naqib yang laju menurungi tangga. Apa yang dia nak buat tu? Jangan dia mengamuk sudah.. Tapi yang dia angin sangat tu apasal? Dia dengar ke setiap apa yang posmen tu cakap?

Dinie menggeleng-gelengkan kepalanya tanda malas lagi nak berfikir tentang hal yang baru berlalu itu. Otaknya ligat memikirkan perbezaan layanan Naqib yang semakin baik tiap kali mereka berjumpa. Gril ditarik dan dirapatkan tanpa dikunci, memikirkan Naqib yang akan datang semula sebentar lagi.

Dinie kemudiannya berjalan perlahan, masuk semula ke dalam dan terus ke biliknya. Sempat matanya menangkap kelibat Marwan yang sedang kalut berkemas.

"Lupalah tu appointment dia dengan orang bank sebelum lunch.. Kan dah kelam-kabut.." Perlahan Dinie bersuara melihatkan Marwan yang kelam-kabut sebentar tadi.

Sementara itu Naqib yang sedang menuruni tangga mempercepatkan langkahnya sambil memanggil nama Kamal, posmen yang baru sahaja turun sebelumnya tadi. "Oii Kamal!!" Laung Naqib pada Kamal yang berjalan laju ke motosikal merahnya yang diparkir di hadapan bangunan pejabat.

Naqib segera menghampiri posmen itu dan berkata, "Kau ni tak makan saman eh.."

Posmen itu tersenyum sinis mendengar kata-kata Naqib. "Sorrylah bro... Aku tak minat nak dengar nasihat kau lagi," angkuh kata-kata Kamal di pendengaran Naqib. "Awek kau ke yang kau backing sangat tu?" Kamal bertanya sinis melihatkan Naqib hanya memandangnya tanpa kata.

"Kalau kau nak tahu, aku ada dekat belakang kau aje masa mula-mula kau datang tadi. Kau baru je sampai tapi berlagak macam dah menunggu setengah jam. Padahal lima minit pun tak sampai." Naqib berhenti berbicara seketika. Matanya memandang tepat pada Kamal yang sudah memanjat naik motosikal merahnya itu.

"Kau jangan ingat aku bodoh. Aku pun lelaki dan aku faham apa yang ada dalam kepala otak kau tu," Lambat-lambat Naqib bersuara sambil tangannya memegang handle motosikal Kamal.

"Nak mengorat pun ada caranya. Kalau buat orang menyampah, tak jalan la cara kau tu. Samalah jugak macam cara kau nak tarik perhatian dia tadi," Naqib terus-terusan bersuara tanpa membiarkan Kamal mencelah.

Berubah wajah Kamal mendengarkan kata-kata Naqib yang kena tepat pada batang hidungnya. Dia tertunduk seketika. Beberapa saat kemudian tangannya mencapai helmet yang tersangkut di pemegang motosikal dan menyarungkan ke kepalanya.

"Kalau kau buat lagi macam tadi, macam sebelum-sebelum ni... Tahulah aku macam mana nak ajar kau," gertak Naqib perlahan. Dia menghulurkan tangannya pada Kamal yang sudah menghidupkan enjin motosikalnya.

Lambat-lambat Kamal menyambut huluran tangan Naqib. Dia berlalu pergi, memecut motosikalnya ke destinasi seterusnya tanpa sepatah kata.

Di pertengahan jalan menuju ke firma guaman yang terletak di tingkat empat, Naqib terserempak dengan Marwan yang tergesa-gesa menuruni tangga. Langkah Marwan terhenti tatkala bertembung dengan Naqib.

"Eh, Naqib.." Tegur Marwan. Tangannya dihulur pada Naqib dan Naqib menyambutnya dengan senyuman terukir di bibir.

"Nak pergi mana cepat-cepat ni, Wan?"

"Aku lupalah appointment dekat Maybank sebelum lunch.." Ujar Marwan sambil tersengih.

Naqib mengangkat sedikit lengannya. Matanya melihat jam di tangannya. "Ahh.. Baru pukul 12:15," Naqib bersuara sambil tersengih.

"Kau lagi melambatkan aku adalah.." Marwan menumbuk perlahan bahu Naqib. Dia berjalan menuruni tangga dan berpaling semula tiba-tiba, menghadap Naqib yang masih tercegat memerhatikannya. "Eh, kau kat atas tu baik-baik.. Dinie sorang aje yang ada dekat atas sekarang," Marwan mengingatkan Naqib. Dengan langkah yang panjang dia berjalan menuju ke basement, tempat dia parkirkan keretanya awal pagi tadi.

Lambat-lambat Naqib berjalan menuju ke tingkat atas. Dia berdiri di depan gril yang terkunci, berfikir sama ada hendak menekan loceng atau tidak. Antara sedar dengan tidak, jari telunjuk Naqib sudah pun menekan loceng di sebelah pintu masuk itu.

"Aikk.. Kan aku tak kunci gril tadi.." Dinie bersuara perlahan. Dia bergegas keluar dari bilik. Matanya memandang bilik Marwan yang sudah tertutup rapat. "Hmmm.. Encik Marwan dah keluar.. Dia yang kuncilah tu," Dinie tersengih seketika. Tangannya pantas mengambil anak kunci yang ditinggalkan Idraki sebelum keluar pagi tadi. Langkahnya diatur ke pintu masuk utama.

Naqib senyum senang sebaik sahaja matanya ternampak kelibat Dinie yang semakin mendekat. "Assalamualaikum.." Ucap Naqib saat Dinie sudah berdiri di depan gril. "Tak nak jawab salam saya ke?" Naqib bertanya dengan senyuman tak lekang dari bibirnya tatkala melihat Dinie yang terus membuka gril tanpa menjawab salamnya apatah lagi memandang wajahnya.

"Masuklah dulu Encik Naqib. Kak Aina sampai sebelum lunch nanti," Dinie bersuara sebaik sahaja gril terbuka. Mujur dia teringat kata-kata Humaira mengenai client Aina yang akan datang.. Dinie berpaling ke belakang apabila dia merasakan Naqib tidak ikut masuk ke dalam.

"Tak nak masuk?" Dinie bertanya perlahan.

"Tak nak selagi awak tak jawab salam saya.."

Ya Allah mamat sorang ni. Menjawab salam tu kan wajib. Mestilah aku dah jawab salam dia.. Tapi dalam hati ajelah. Itu pun nak jadi masalah.

"Tak baik tau kalau tak jawab salam. Awak tak nak mendoakan kesejahteraan saya jugak ke?"

Dinie yang sudah berkira untuk melangkah masuk kembali berpaling menghadap Naqib yang masih tercegat di muka pintu dengan senyuman yang menyerlahkan lekuk di kedua belah pipinya. Lambat-lambat Dinie menjawab, "Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratu waridhwan.."

Hmm.. Nak sangat orang jawab salam dia kan. Dinie menyembunyikan senyum memandang Naqib yang sudah berkerut dahinya mendengarkan jawapan salam yang diberi. Sesaat kemudian terukir senyuman di bibir lelaki itu. Dinie segera membalas senyuman Naqib dan berpaling semula untuk masuk ke dalam.

Tidak berkelip mata Naqib memandang Dinie yang sudah bergerak meninggalkannya di muka pintu. "Makin dalam sayang saya dekat awak.." Perlahan suara Naqib berkata pada dirinya sendiri. Lupa dia pada Dinie yang berada tidak jauh dengannya.

Dinie yang seperti terdengar sesuatu segera menoleh memandang Naqib. Dia mengangkat sebelah keningnya. Naqib yang sedang memerhatikan Dinie tersengih dan bersuara, "Kenapa?"

"Tadi... Tadi tu apa Encik Naqib cakap?" Tanya Dinie perlahan. Was-was dengan butir bicara yang didengarnya samar-samar.

"Tak ada apalah.." Dalih Naqib. Lebar senyumannya menyembunyikan rasa di hati.

"Ada. Saya macam ada terdengar Encik Naqib cakap sesuatu tadi.." Dinie bertanya lagi dengan mata yang terarah tepat pada Naqib.

Naqib bergerak mendekati Dinie yang berada beberapa langkah di hadapannya. Matanya memandang Dinie tanpa kelip. Tersenyum dia melihatkan Dinie yang sudah menundukkan pandangannya. Lambat-lambat dia bersuara, "Apa yang awak dengar?"

Terangkat kepala Dinie mendengarkan soalan daripada Naqib. Hishh dia ni.. Orang tanya dia, dia tanya balik. Tak betul apa dia ni.. Rasanya tadi macam dia kata... Ishh.. Iya ke?? Hmm... tak betul, tak betul.. Mesti silap dengar ni.. Dinie menggelengkan kepalanya tiba-tiba, tindak balas perdebatannya dalam hati. Dahinya berkerut hebat seolah-olah sedang menanggung beban yang teramat.

"Eh kenapa ni?" Cemas suara Naqib bertanya.

"Hah?"

"Ish awak ni.. Buat takut saya je," Naqib melepaskan nafas kelegaan mendengarkan suara Dinie yang pelik dengan soalannya. Bimbang dia kalau-kalau ada sesuatu yang tidak kena pada Dinie. Naqib tergelak perlahan dengan riak wajah terpinga-pinga Dinie. "Padanlah Idraki kata awak suka berangan.."

Amboi.. Sedapnya mulut dia kata. Dia orang ni mengumpat aku kat belakang la tu. Dinie menjeling geram. Dia berpaling dan terus melangkah masuk ke dalam. Dibiarkannya Naqib yang tergelak seorang diri.

"Huh, malas nak layan.." Dinie menggumam perlahan. Dia kembali ke mejanya, meneruskan kerja-kerja mengecop dokumen-dokumen untuk ditandatangani Idraki dan seterusnya dihantar untuk stamping.

Lambat-lambat Naqib melangkah masuk dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Dia duduk di atas sofa yang bertentangan dengan bilik yang diduduki Dinie. Tangannya mencapai majalah Time yang tersusun di rak sebelah sofa.

Setengah jam berlalu, Naqib meletakkan semula majalah itu di tempatnya. Dia mula terasa bosan. Lantas pandangannya dialihkan, memerhati setiap tingkah laku Dinie melalui pintu bilik yang terbuka luas. Tersenyum dia melihat Dinie yang menggeliat kecil.

Kalau dia tahu aku tengah tengok dia time ni, mati aku kena kutuk.. Hati Naqib berbicara nakal. Dia bingkas bangun dari sofa dan berjalan masuk ke bilik Dinie dengan langkah yang bersahaja.

"Awak..." Panggilnya perlahan.

Dinie yang terkejut segera memusing ke kanan.

"Laparlah.. Lambat lagi ke Aina nak sampai?" Tanya Naqib laju sebaik sahaja Dinie memandang ke arahnya.

Dinie memandang jam di pergelangan tangannya. "Saya pun tak pastilah Encik Naqib. Tadi Kak Mai kata dia orang akan sampai sebelum lunch.. Lima minit sebelum pukul satu nanti sampailah kot.." Dinie menjawab perlahan, memberikan jawapan yang kurang pasti. Dia kembali meneruskan kerjanya. Namun sesaat kemudian, pergerakannya terhenti. Dia menoleh pada Naqib yang masih setia di muka pintu bilik dengan mata yang terarah tepat padanya.

"Encik Naqib nak air?" Cepat-cepat Dinie bertanya, membuang rasa tidak selesanya dengan pandangan Naqib.

Dah lebih setengah jam aku dekat sini, baru dia tanya nak air ke tak.. Naqib hanya memandang Dinie tanpa memberikan sebarang jawapan. Dinie bingkas bangun. Dia bergerak menuju ke pintu, melintasi Naqib yang masih tidak mengalihkan pandangan darinya walau sesaat.

"Saya buat air ye." Laju Dinie melangkah masuk ke dalam pantry. Pantas tangannya memanaskan air di dalam cerek elektrik dan meletakkan uncang teh ke dalam mug. Hampir terlepas mug dari tangan Dinie sebaik sahaja Naqib muncul di balik pintu.

Naqib hanya tersengih memerhatikan raut wajah Dinie yang jelas terkejut. "Ada fruit peeler tak?" Tanya Naqib sambil tangannya menunjukkan isyarat seperti hendak mengupas buah. Dia kemudiannya membuat isyarat seperti hendak makan buah epal hijau yang belum dikupas yang berada di tangannya saat itu. Dinie tergelak kecil dengan gaya Naqib yang nampak lucu di matanya.

"Tak adalah Encik Naqib.. Kupas guna pisau ajelah." Dinie menghulurkan pisau pemotong buah yang kecil.

Tangan Naqib menyambut pisau itu dan mulutnya mula mengeluarkan kata-kata yang membuatkan Dinie tergelak lagi sekali.

"Takkan tak reti kupas buah guna pisau? Biasa guna pengupas buah aje ke?" Dinie bertanya pelik. Bibirnya menguntum senyum tanda tawanya sudah berhenti.

Naqib memerhatikan Dinie yang tersenyum riang. Matanya menatap tajam wajah Dinie saat itu sehingga membuatkan Dinie agak kalut. Mujur air yang dipanaskan tadi sudah berbunyi sekali tanda ia sudah cukup panas.

Dinie meninggalkan Naqib di sinki dan dia berjalan menghampiri kabinet. Air panas dituangkan ke dalam mug berisi uncang teh tadi. Belum sempat air itu memenuhi separuh cawan, Naqib mengaduh kuat. Dinie yang agak terkejut bergegas menghampiri Naqib.

"Encik Naqib okay?" Terburu-buru dia bertanya. Terpancar riak terkejut yang amat di wajahnya. Matanya meliar pada tangan Naqib yang disembunyikan ke belakang. Naqib mengangguk laju. Dia tersenyum tiba-tiba. Berkerut dahi Dinie melihatkan senyuman nakal itu.

"Okay tak ni?" Bergetar suara Dinie.

"Tadaaaaa..." Naqib bersuara riang. Dia menunjukkan epal yang sudah siap dikupas kulitnya pada Dinie. "Siapa kata saya tak reti.. Gimik je tadi tu.." Nada gurauan jelas di pendengaran Dinie.

Hiiiiii.. Teruknya dia ni! Buat orang susah hati je.. Dinie menjeling Naqib geram. Beriya cakap tak reti, padahal aku tengok cantik aje buah tu dikupas.

Saje je saya nak manja-manja dengan awak. Ingatkan bila saya cakap tak reti, awak nak tolong kupaskan. Tapi tak.. Itu sebab saya rasa macam nak kacau awak je. Mata Naqib bertaut lama dengan mata Dinie seolah-olah mereka sedang berbicara melalui pandangan mata.

Naqib tersenyum senang. Senyumannya itu menyedarkan Dinie dan Dinie pantas mengalihkan pandangannya pada mug di kabinet. Laju langkahnya mendekati kabinet dan tangannya terus menuang air panas memenuhi mug itu.

"Nak?" Naqib menghulurkan epal yang telah dipotong dua pada Dinie yang sedang meletakkan beberapa sudu teh gula ke dalam mug berisi air teh.

Dinie mengangkat kepalanya memandang Naqib. Dia menggeleng sekali sambil mencebik. Terangkat kening Naqib melihatkan reaksi Dinie. Dia berjalan menghampiri Dinie. Epal di tangan diunjukkan pada Dinie. Matanya mengisyaratkan supaya Dinie mengambil bahagian epal yang telah dipotong dua tadi.

"Tak apa, terima kasih..." perlahan Dinie bersuara, segan dengan Naqib yang agak rapat dengannya di dalam pantry yang hanya sekangkang kera luasnya.

"Ambil.." Paksa Naqib. Tangannya masih tidak beralih daripada mengunjukkan sebahagian epal pada Dinie.

"Tak mau." Ish.. jauh-jauhlah sikit... Dinie menjeling sekilas pada Naqib.

Naqib memandang tepat pada Dinie di hadapannya. Dia tersenyum sedikit memerhatikan Dinie yang cepat-cepat menundukkan kepalanya menyedari dirinya sedang diperhatikan.

"Nah, air Encik Naqib.." Dinie menghulurkan mug pada Naqib setelah dia selesai mengacau gula di dalamnya. Kepalanya diangkat memandang Naqib. Dia membalas senyuman Naqib.

"Kalau saya tak nak macam mana?" Naqib bertanya selamba dengan sebelah keningnya di angkat sedikit.

"Hah?"

"Awak ambil ye epal ni.. Kalau tak saya suap," Naqib kembali mengunjukkan epal tadi pada Dinie. Dia menyembunyikan senyumnya melihat riak wajah Dinie yang terkejut dengan ugutannya itu.

Bulat mata gadis itu memandangnya membuatkan hatinya seperti dibuai melihat wajah yang comel itu. "Nak kena suap ke nak ambil sendiri..." Sebelah bahagian epal di tangan kanannya digoyang-goyangkan di hadapan Dinie. Kedua belah keningnya terangkat memandang Dinie.

Ishh.. apahal pulak dia ni. Buang tabiat ke nak suap-suap orang. Kalau dah kemaruk sangat, tu ha.. yang dekat rumah tu, suaplah semua jenis makanan. Dinie merungut panjang dalam hati. Untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, mustahil kan terluah. Berkerut dahinya menahan geram.

"Nak ke tak?" Suara Naqib mengejutkan Dinie. Cepat-cepat tangannya dihulur pada Naqib. Namun tidak sampai sesaat tangan itu ditarik semula ke belakang. Tergelak Naqib dengan gelagat Dinie yang kelihatan tidak menentu saat itu.

Naqib yang menyedari makna yang tersirat segera mencapai piring yang tersusun di rak. Dia meletakkan sebelah bahagian epal yang telah dipotong ke atasnya dan menghulurkan piring itu pada Dinie. Tersenyum dia memandang Dinie yang menyambut piring ditangannya perlahan-lahan.

"Pandai pun..." Naqib bersuara nakal. Langkah kakinya diatur ke pintu pantry sambil mulutnya mula menggigit sebahagian lagi epal yang sudah berada di tangan kanannnya.

"Eh, Encik Naqib.." Panggil Dinie sedikit kuat. Dia mengangkat mug berisi air teh yang diletakkan di atas kabinet dan menghulurkannya pada Naqib yang sudah pun membuka pintu pantry.

Naqib tersenyum memandang Dinie. Epal di tangan kanannya sudah beralih ke sebelah kiri dan tangan kanannya mencapai huluran mug daripada Dinie.

"Thanks, sweetie.." Pecah tawa Naqib melihat bulat mata Dinie memandangnya. Dia mengenyitkan matanya pada Dinie, berjalan terus melepasi pintu pantry dan hilang sebalik pintu. Sisa tawanya masih kedengaran jelas di pendengaran Dinie biarpun bayangnya telah hilang.

Aduhhhh... sakit jiwa aku dengan mamat sorang tu!! Dinie mencapai epal yang diberikan Naqib tadi. Dia menggigit sedikit epal itu dan mengunyahnya dengan bersungguh-sunggguh, melepaskan geram yang semakin menggunung.

Sedar tak sedar dalam kegeraman, epal di tangan hanya tinggal sisa. Dinie tersengih tiba-tiba mengenangkan betapa dia tidak mahu epal itu pada mulanya. Namun, tanpa disedari dia sudah pun menghabiskan epal itu. Dia membuang sisa epal ke dalam tong sampah dan menghampiri sinki. Lincah tangannya mencapai span untuk membasuh segala peralatan yang telah digunakan.

Selesai mencuci piring dan sudu, matanya meliar ke segenap ruang pantry itu untuk melihat sekiranya ada lagi yang masih belum dibasuh. Pandangannya terhenti pada pisau kecil di atas kabinet. Segera tangannya mencapai pisau itu dan mencucinya perlahan-lahan.

"Awak.. saya tak retilah nak kupas buah guna pisau.." Suara Naqib yang kedengaran agak perlahan tiba-tiba menerjah kotak memorinya.

Teringat dia betapa dia terasa lucu mendengar kata-kata Naqib tadi. Rupanya Naqib hanya bergurau dengan kata-katanya itu. Gaya Naqib memegang pisau untuk mengupas kulit epal waktu itu juga meyakinkan tanpa nampak kekok walau sesaat

Wajah tampan Naqib bermain di ruang mata Dinie. Dia tersenyum mengenangkan seraut wajah yang tenang itu. Ligat otaknya memikirkan kerasionalan layanan Naqib yang baik terhadapnya. Namun adakala layanan seperti itu meresahkan dirinya, bimbang hatinya terpaut terus pada perhatian yang diberikan.

"Thanks, sweetie.." Senyuman Dinie mati tiba-tiba saat dua patah perkataan terakhir Naqib tadi singgah di ingatannya. "Sweetie.." Perlahan suara Dinie mengulang perkataan yang seakan-akan biasa hinggap di kotak memorinya. Perkataan itu diulang lagi beberapa kali sehingga akhirnya suaranya terhenti tiba-tiba dek kerana rasa pedih yang menjalar ke telapak tangannya.

"Auuuwwww.." Dinie terjerit kecil melihat darah merah pekat mengalir dari jari jemarinya. Pisau di genggamannya dicampak ke dalam sinki. Entah bila span terlepas dari tangan, dia pun tidak pasti. Segera tangan kirinya memulas pili air.

Tangan kanannya dibiarkan di bawah pancuran air dari pili. Dia membasuh luka di tangan dengan berhati-hati tetapi darah masih juga mengalir tanpa henti. Menyeringai dia seketika menahan kepedihan yang semakin beraja.

Perlahan-lahan Dinie meraba poket baju kurungnya dengan tangan kirirnya. Dia segera mengeluarkan sehelai sapu tangan dari poket baju kurungnya itu. Sapu tangan krim berjalur biru tua itu ditekap ke telapak tangan kanannya. Dinie mengetapkan bibirnya menahan rasa pedih akibat tindakannya itu.

Sebaik sahaja Dinie meleraikan tekapan sapu tangan itu, matanya dapat melihat luka dikeempat-empat jari tangan kanannya kecuali ibu jari. Belahan jelas kelihatan pada jari hantu dan jari telunjuknya manakala jari kelingking dan jari manisnya hanya terguris sedikit. Bergenang matanya menahan kesakitan yang semakin memeritkan.

Dinie kembali melekapkan sapu tangan tadi pada telapak tangan kanannya, mengharapakan darah yang mengalir dari jari hantu dan jari telunjuknya berhenti mengalir. Dalam hati dia mengutuk dirinya yang terlalu leka dan cuai sehingga melukakan dirinya sendiri.

Saat Dinie hendak bergerak keluar dari pantry bagi mencari ubat yang boleh disapu pada lukanya, pintu pantry ditolak dari luar.

"Ya Allah.. Astaghfirullahalazhim.." Naqib beristighfar panjang melihat tangan kanan Dinie yang ditekap dengan sapu tangan yang sudah dibasahi darah.

"Innalillah..." Sambung Dinie sambil tersengih. Naqib menatap tajam wajah Dinie saat itu.

"Main-main pulak awak," tegur Naqib perlahan. Dia menarik lengan Dinie agar mengikutinya ke luar.

Dinie menarik perlahan lengannya dan berkata, "Saya boleh jalan sendiri."

"Sorry, sorry.." Naqib tersengih malu. Dia melepaskan pegangannya.

"Mana ada saya main-main. Bukan ke itu ucapan yang sepatutnya kalau ditimpa musibah.." Perlahan-lahan Dinie bersuara selepas dia merasakan bahawa dia perlu menjelaskan pada Naqib mengenai tanggapan Naqib tadi. Naqib hanya tersenyum memandang Dinie yang sedang berjalan di sebelahnya.

"Duduk sini kejap," Naqib berkata lembut. Matanya mengarahkan pada sofa berangkai dua di hadapannya. Dinie segera melabuhkan punggungnya di atas sofa itu. Sesekali dia mengetap giginya menahan pedih yang menjalar ke seluruh telapak tangan kanannya.

"Saya turun bawah kejap ambil minyak gamat dalam kereta, ye.." Tersenyum Naqib melihat pandangan mata Dinie yang terarah padanya. Matanya beralih pada tangan kanan Dinie yang ditekap dengan sapu tangan bagi menghalang daripada darah yang masih mengalir menitik ke tempat lain.

Mati senyumannya melihatkan tangan kiri Dinie yang memegang kejap telapak tangannya yang ditekap dengan sapu tangan. Dia kemudiannya bergegas keluar dan turun ke bawah untuk mengambil minyak gamat yang sentiasa tersimpan di dalam kereta.

Sebaik sahaja kelibat Naqib hilang dari pandangan, Dinie bingkas bangun. Langkah kakinya diatur ke bilik Idraki. Dia membuka laci almari dan mengeluarkan kotak first aid yang tersimpan di dalamnya. Laju sahaja tangan kirinya mencapai hansaplast yang diletakkan di bahagian atas.

Kotak first aid ditutup dan Dinie meletakkannya semula ke dalam laci almari. Dia kembali berdiri tegak dan mula hendak melangkah keluar. Sebelum kakinya melangkah melepasi pintu bilik, Dinie berpaling semula ke dalam billik. Matanya memandang pada sebakul buah di atas meja Idraki. Pelbagai jenis buah tersusun elok di dalamnya.

"Ohh.. Dekat sini rupanya Naqib ambil buah epal tadi. Tapi bila masa pulak ada buah-buahan dekat sini?" Dinie bersuara perlahan, pelik dengan kewujudan sebakul buah di situ. Dinie menjungkitkan bahunya sekali dan segera melangkah keluar dari bilik Idraki. Dia bergegas ke pantry untuk membasuh lukanya itu sebelum meletakkan hansaplast untuk membalut lukanya yang masih berdarah itu.

"Dekat sini rupanya awak.."

Dinie yang baru hendak memulas pili air terkejut dengan kehadiran Naqib yang bersuara tiba-tiba. Kepalanya dipusingkan ke kiri menghadap Naqib yang sedang berdiri di pintu pantry yang terbuka luas. Naqib berjalan menghampiri Dinie.

"Awak ni tak reti duduk diam ye.." Naqib bersuara perlahan sambil tangannya menghulurkan botol minyak gamat kepada Dinie. "Eh, nanti kejap." Tiba-tiba Naqib meminta semula botol minyak gamat yang sudah berada dalam genggaman Dinie.

Dinie menghulurkan semula botol itu pada Naqib. Dia memandang pelik pada Naqib di hadapannya. Sesaat kemudian Dinie tertawa perlahan.

Laa.. minta balik sebab nak goncang je ke.. Macamlah aku tak boleh goncang sendiri botol tu.. Dinie masih lagi tertawa perlahan melihatkan gaya Naqib yang bersungguh-sungguh menggoncang botol minyak gamat itu macam gaya sesorang yang sangat rapat dengannya.

"Hmm.. nah.." Ujar Naqib lembut. Dia tersenyum melihat Dinie yang masih lagi tertawa perlahan memandangnya. "Gelakkan saya, ye.." Naqib bersuara sebaik sahaja Dinie mengambil botol minyak gamat itu.

Senyuman Naqib melebar apabila Dinie menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya menatap tajam wajah gadis di hadapannya. Dinie yang menyedari pandangan itu mengangkat kepalanya memerhatikan Naqib.

"Tadi tu.. Macam babah saya je bila Encik Naqib goncang botol minyak gamat tadi." Dinie bersuara perlahan. Dia tersenyum memandang Naqib.

Naqib tersengih memandang Dinie dan bersuara, "Nak bagi sebati. Barulah mujarab nanti.." Dinie tergelak perlahan mendengarkan jawapan Naqib. Dia kemudiannya menjungkitkan kedua belah keningnya dan menunjukkan botol minyak gamat pada Naqib.

"Nak saya tolong?" Pantas sahaja Naqib menawarkan khidmat. Tergelak dia melihat Dinie yang menggeleng laju.

"No, thanks.." Dinie segera bersuara. Dia menunjukkan lagi botol minyak gamat itu pada Naqib dan berkata, "Terima kasih ye minyak gamat ni.." Dinie tersenyum. dia memulas pili air dan membasuh lukanya sekali lagi.

Pedih yang menjalar membuatkan dahinya berkerut hebat. Perlahan-lahan tangan kiri Dinie menggosok luka di jari-jemarinya. Darah di jari hantu dan jari telunjuk masih lagi mengalir. Berhati-hati Dinie membasuh lukanya di kedua-dua jari itu dan menekap luka tersebut dengan tangan kirinya, mengharapkan darah itu berhenti mengalir.

"Kalau darah tak berhenti ni nanti kena pergi klinik." Naqib yang setia memerhati dari tadi bersuara tiba-tiba.

Dia menunjukkan riak wajah yang serius tatkala Dinie mengangkat kepala memandangnya. "Nanti dekat klinik mesti kena jahit ni.." Naqib bersuara dengan yakinnya. Lelaki itu menyembunyikan senyumnya melihat riak wajah Dinie yang sudah berubah.

Jahit?? Biar betul dia ni. Takkan sampai macam tu sekali. Tak adalah teruk sangat sampai nak kena jahit. Tapi kenapa darah ni tak nak berhenti.. Mama, babah.. Dinie takut.. Bergenang mata Dinie teringatkan parut kesan jahitan di lengan kiri Adhana.

Terbayang-bayang di matanya betapa Adhana menangis menahan kesakitan kerana lengannya kirinya itu dijahit tanpa dia dibius terlebih dahulu. Seriau Dinie membayangkan jarinya dijahit. Cepat-cepat dia mengesat air matanya yang menitis tiba-tiba.

Naqib yang melihat setiap gerak-geri Dinie terkejut. Tak disangka gurauannya membuatkan Dinie menjadi sensitif.

"Awak.." Perlahan suara Naqib memanggil Dinie. "Awak.." Panggil Naqib sekali lagi apabila Dinie masih lagi menundukkan kepalanya. Terhenjut-henjut bahunya menahan tangis. "Piya, awak okay tak ni?" Naqib bertanya risau. Anggukan Dinie melegakan hati Naqib.

Namun sesaat kemudian hatinya kembali dibalut keresahan tatkala tangan kiri Dinie masih lagi bergerak pantas mengesat air mata yang semakin laju menuruni lekuk pipinya.

"Awak.." Naqib memegang kejap bahu Dinie. "Saya main-main je tadi. Janganlah menangis lagi.." Naqib bersuara agak perlahan tapi cukup jelas di pendengaran Dinie.

Segera kepalanya didongakkan memandang Naqib. Pautan Naqib pada bahunya terlepas saat dia berundur ke belakang. Dia menjeling geram pada Naqib di hadapannya. Air matanya berhenti serta-merta mendengarkan kata-kata Naqib. Ada kelegaan yang bertamu di hatinya saat itu biarpun rasa geram masih mencucuk-cucuk di sudut hatinya dengan gurauan Naqib tadi.

"Sorry.." Naqib memandang wajah muram Dinie. Rasa bersalah memagari hatinya saat itu apatah lagi bila Dinie tidak menghiraukan kata-kata maafnya. Malah Dinie dengan selambanya memulas pili air yang terbuka dari tadi dan seterusnya membuka penutup botol minyak gamat.

Gadis itu menitiskan sedikit minyak gamat ke jari-jarinya yang terluka. Kemudian disapu minyak gamat itu perlahan-lahan sebelum membasuh tangan kirinya yang berlumuran dengan minyak gamat. Terkial-kial Dinie membuka bungkusan hansaplast yang diletakkan di atas kabinet tadi. Melihatkan Dinie yang bersusah-payah membalut lukanya, Naqib segera menawarkan pertolongan.

"Tak payah.." Dinie menjawab malas. Dia memusingkan badannya membelakangi Naqib.

Aku dah risau setengah mati tadi, dia nak buat-buat baik pulak sekarang. Dinie mencebik geram. Dah la aku memang fobia dengar jahit-jahit ni. Kalau jahit kain baju tak apalah jugak. Tapi ni jahit orang. Tengok Hana dulu pun dah macam nak terpengsan, ini pulak kalau kena dekat diri sendiri.. Dalam hati Dinie merungut panjang.

Dia akhirnya tersenyum melihat jari hantu dan jari telunjuknya yang sudah siap berbalut hansaplast. Tengok ni.. Tak payah tolong pun aku boleh pakai elok-elok tau.. Dinie memusingkan badannya ke belakang untuk keluar dari pantry.

Terkejut dia melihatkan Naqib yang masih lagi setia menunggu di hujung kabinet. Sangkanya Naqib sudah keluar menunggu Aina di luar. Mata Naqib yang menatapnya tajam membuatkan Dinie tertunduk, resah dengan pandangan itu. Perlahan-lahan langkah kakinya diatur ke luar.

"Hah, Dinie.. Eh, Encik Naqib pun ada?"

Bulat mata Dinie mendengarkan sergahan Humaira. Entah bila Humaira dan Aina melangkah masuk ke dalam pejabat, dia pun tak pasti.

Eh, takkan Kak Mai tak perasan kasut Naqib kat luar tu.. Dinie memandang Humaira pelik. Atau pun buat-buat tak perasan ni.. Tak pun Kak Mai ni hilang ingatan. Dia jugak yang suruh aku layan tetamu Kak Aina sebelum ni.. Dinie tersengih tiba-tiba.

"Ha, sengih sorang-sorang ni, ada apa-apa ke?" Humaira bertanya perlahan, menyedari Dinie yang tersengih tiba-tiba.

"Dah lama ke sampai kak?" Tanya Dinie laju tanpa menjawab pertanyaan Humaira. Senyuman manis dihadiahkan buat Humaira yang berada di hadapannya kini.

"Apa yang Encik Naqib dengan Dinie buat dekat dalam tu ha?? Sampai kita orang masuk pun tak sedar.. Nasib baik kita orang yang masuk. Kalau pencuri tadi, huuu... Licin!" Humaira membebel panjang, mengabaikan pertanyaan Dinie tadi.

Berkerut dahi Dinie mendengarkan kata-kata Humaira. Sesaat kemudian bibirnya menguntum senyum melihatkan Humaira yang tersengih. Namun mati senyumannya tatkala Naqib berjalan melintasinya dan menuju ke arah Aina yang sudah duduk di tempatnya.

Mata Dinie menyoroti setiap langkah Naqib. Dia segera mengalihkan pandangannya tatkala mata Naqib terarah padanya tiba-tiba. Tak keruan Dinie seketika menyedari Naqib masih memandang tepat padanya. Dalam keadaan serba tidak kena, Dinie menarik kerusi dan segera duduk di hadapan Humaira yang sedang membelek fail-fail di atas mejanya.

"Aina, awak dah bagi bil dekat Encik Halim?" Naqib yang sudah duduk di hadapan Aina bersuara tiba-tiba. Perlahan-lahan kepalanya dialihkan menghadap Aina. "Good.." Naqib bersuara lagi selepas melihat Aina menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Encik Halim pun tak ada, Encik Naqib. Dia outstation.. Seminggu.."

"I see.. Oh ya.. berkenaan bil Encik Halim, ada sedikit perubahan dalam bil tu."

Naqib bingkas bangun. Dia mengambil briefcase yang diletakkan di atas sofa. Briefcase itu dibuka dan sehelai kertas berwarna kuning dikeluarkan dari dalamnya. Naqib kemudiannya menghulurkan kertas itu pada Aina.

"Saya dah buat kira-kira baru, awak tengok dulu dan tukar bil lama tu dengan yang saya dah tandakan dalam tu, ye." Naqib kembali duduk di kerusi yang tersedia di hadapan meja Aina.

"Oh, yang ini dah bagi diskaun ye.." Aina tersengih. Matanya memandang tepat pada kertas kuning di tangannya. "Eh, 15 percent. Banyak ni Encik Naqib.. Itu baru plaster lower floor.." Pandangannya beralih pada Naqib yang sedang tersenyum. Aina menjungkitkan kedua belah keningnya setelah tiada sepatah kata yang keluar dari mulut Naqib.

"Big boss yang bagi. Lagipun Encik Halim ni kan regular customer kami. Mesti ada kelebihannya sikit kan.." Naqib tersenyum lebar. Kali ini dia pula yang menjungkitkan kedua belah keningnya pada Aina. Aina tersengih sambil menganggukkan kepalanya.

"That's all?" Tanya Aina. Dia tersengih mendengar Naqib tertawa tiba-tiba.

"Macam tahu tahu aje awak ye.." Naqib bersuara dengan sisa tawa yang masih kedengaran. Sekali lagi briefcase hitamnya dibuka. Kali ini sekeping cek dikeluarkan dari dalam fail plastik putih jernih. "Hmm... nah," Naqib menghulurkan cek itu pada Aina dan menyambung, "Ini tujuan sebenar saya datang hari ni.."

"Iya ke?" Aina bertanya separuh bergurau.

Matanya dikenyitkan pada Naqib. Tergelak Naqib melihat reaksi Aina itu. "Terima kasih ye Encik Naqib," ucap Aina sambil menunjukkan cek yang diterimanya tadi pada Naqib. "Nanti bila Encik Halim dah buat full payment, saya akan contact Encik Naqib.. A S A P." Aina menekankan sebutan huruf a s a p sebaik sahaja melihat Naqib menjungkitkan kening padanya. Dia tergelak perlahan. Naqib hanya tersenyum. Sesaat kemudian dia menjeling jam di tangannya.

"Dah lunch?" Perlahan suara Naqib bertanya pada Aina. Telinganya dapat mendengar suara Dinie dan Humaira yang sedang rancak berbual.

"Belum lagi.. Tanya ni, nak belanja ke?" Aina tersengih memandang Naqib. Bulat matanya memandang Naqib saat lelaki itu mengangguk beberapa kali. "Serius ke ni Encik Naqib.. Tiba-tiba nak belanja ni, bulan jatuh ke riba ke.." Aina berkata perlahan, mengusik Naqib yang sedang tersengih.

"Awak ajaklah Mai dengan Dinie. Saya tunggu dekat bawah ye.. Awak tahukan kereta saya?"

"Hm... tahu." Laju saja Aina menjawab. Matanya memandang Naqib yang sudah berdiri tegak. Naqib kemudiannya tersenyum pada Aina dan melangkah keluar dari firma guaman itu. Sempat dia menjeling sekilas ke arah Dinie yang sedang melayan setiap kata-kata yang keluar dari mulut Humaira, sebelum berjalan melepasi pintu masuk utama.

"Eh, korang dah kenyang ke?" Riuh mulut Aina bertanya pada Humaira dan Dinie yang masih rancak berbual. Mendengarkan suara Aina, kedua-duanya berpaling ke arah Aina yang sudah berdiri berhampiran mereka.

"Aku ingat kau yang dah kenyang borak dengan Encik Naqib tadi.." Humaira tertawa dengan kata-katanya itu. Dia menunduk sedikit untuk mengambil beg tangannya yang disimpan di dalam laci terakhir.

"Jom Dinie.." Ajak Aina sambil menarik perlahan tangan Dinie. "Kesian dia kena tinggal sorang-sorang tadi.." Aina mencubit perlahan pipi Dinie sebaik sahaja gadis itu berdiri tegak di sebelahnya.

Dinie menjelirkan lidahnya pada Aina dan berjalan ke biliknya. Suara Aina yang sedang tertawa jelas di pendengarannya. Sekeping wang kertas RM5 dikeluarkan Dinie dari dalam wallet dan dimasukkan ke dalam poket baju kurungnya. Telefon bimbit di atas meja diambil dan dipeganganya.

Dia segera keluar mendekati Humaira dan Aina yang sedang menunggunya di pintu masuk. Sedang Dinie berjalan, telefon bimbitnya berbunyi sekali menandakan ada pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbitnya saat itu. Sepantas kilat butang-butang di telefon bimbit ditekan untuk membaca mesej yang baru sahaja diterimanya sebentar tadi.

may the sun make u strong..
may the flowers fill ur heart with joy..
may the hope forever wipe away ur fear..
and above all, may this msg make u smile..

Iya... mesej kau memang buat aku tersenyum. Siapalah kau ni wahai antu.. Dinie tergelak perlahan.

"Eh cik adik... berangan pulak dia. Kita punyalah dok tunggu dia, boleh pulak dia layan mesej dia.." Humaira menarik perlahan lengan Dinie. Dinie tersengih memandang Humaira dan Aina.

"Pakwe mana yang sms Dinie sampaikan senyum ke telinga ni.." Aina menarik perlahan telinga Dinie yang tersembunyi di sebalik tudung. Tergelak dia melihat Dinie yang sudah memuncung.

"Mana ada siapa-siapalah.. Dinie tiba-tiba teringat something tadi.." Dinie bersuara lancar, berusaha mengelak daripada terus diusik oleh Humaira dan Aina. "Dah, dah.. Jom turun. Dinie dah lapar sangat ni.." Sambungnya lagi sambil tangannya menarik pintu kayu dan menolak gril.

Sengaja dia buat tidak tahu pada Aina dan Humaira yang berbalas pandang sambil tersenyum mengejek. Mereka bertiga kemudiannya bergerak turun selepas Humaira mengunci gril. Dinie yang berjalan di belakang sekali tersenyum senang mengingatkan mesej yang baru diterimanya tadi.

"Eh, nak pergi mana kak?" Pantas Dinie bertanya sebaik sahaja Aina hendak membuka pintu duduk bahagian belakang Honda Jazz biru yang terparkir di hadapan bangunan pejabat.

Aina tergelak perlahan dan bersuara, "Lupa pulak akak nak cakap dekat Dinie tadi.. Encik Naqib nak belanja lunch hari ni. Dinie masuk depan ye.." Aina tersengih. Laju sahaja tangannya membuka pintu dan kemudian meloloskan dirinya ke dalam. Humaira sempat mengenyitkan matanya sebelum turut masuk dan duduk di sebelah Aina.

Ish... Kak Aina dengan Kak Mai ni kan... Saje je nak kenakan akulah tu. Suruh duduk sebelah Naqib pulak tu. Dah la aku tengah bengang dengan dia.. Dalam hati Dinie mengomel panjang. Lambat-lambat tangannya membuka pintu dan duduk di tempat duduk sebelah pemandu. Kepalanya dipusingkan ke arah kiri tanpa memandang langsung Naqib di sebelahnya.

"Sorry Encik Naqib.. Lambat pulak kita orang turun. Tunggu tuan puteri layan handphone dia.." Humaira bersuara tanpa ditanya. Dinie mengetapkan giginya, geram mendengar kata-kata gurauan Humaira.

"It's okay.." Jawab Naqib. Dia menyembunyikan senyumnya memandang Dinie. Aikk.. pandang muka saya pun dah tak nak ke. Awak marah lagi ke.. "Seat belt, Dinie.." Naqib bersuara perlahan sebaik sahaja Honda Jazz birunya itu melepasi lampu isyarat.

Dinie pulak.. Sekejap Dinie sekejap Piya.. Tak betul ke dia ni.. Dinie menoleh ke arah Naqib sekilas. Naqib menunjukkan tali pinggang keledar yang dipakainya pada Dinie dengan harapan Dinie memahami isyaratnya supaya gadis itu turut memakai tali pinggang keledar sebagai langkah keselamatan.

"Malaslah.. Dekat aje kan.." Lambat-lambat Dinie bersuara. Pandangannya ditala keluar tanpa mempedulikan Naqib.

"Eh, nak pergi makan dekat mana ni?" Laju sahaja Dinie bertanya sebaik sahaja kereta yang dipandu Naqib melepasi gerai makan yang biasa dikunjungi mereka.

"Kita pergi makan dekat Bukit Dukung ye.." Naqib bersuara sambil matanya memandang Aina dan Humaira melalui cermin pandang belakang.

"Jauhnya.." Dinie merungut perlahan.

"Dekat sana ada makan goreng-goreng. Senang sikit nanti nak makan guna sudu and garfu. Dengan tangan kanan awak yang macam tu, macam mana nak suap nasi guna tangan.." Pantas Naqib bersuara selepas telinganya mendengar rungutan Dinie.

Dinie tersengih malu, menyedari Naqib mendengar rungutannya tadi.

Alah... Alasan je tu. Macamlah makan nasi dengan lauk tak boleh makan pakai sudu. Lagipun dekat restoran Anjung Warisan belakang pejabat tu pun ada jugak jual goreng-goreng tengah hari macam ni. Apa lah mamat sorang ni.. Ingat aku ni budak lima tahun ke nak bagi alasan kartun tu..

Dinie mencebik tiba-tiba. Puas dia mengutuk Naqib dalam hati. Dia menoleh ke belakang untuk melihat Aina dan Humaira yang membatu dari tadi. Berkerut dahinya melihat kedua-duanya yang sedang tersengih-sengih memandangnya.

Eh, dia orang berdua ni dengar ke apa yang Naqib cakap tadi? Dinie segera mengalihkan kepalanya ke hadapan semula.

No comments:

Post a Comment