June 16, 2009

Bayang-Bayang 29


Satria Gti milik Azran meluncur perlahan, keluar dari Balai Polis Kajang. Sempat dia mengangkat tangannya sedikit pada polis yang sedang berkawal di pintu masuk balai. Bibirnya menguntum senyum buat sedekah di pagi hari.

Jam digital di papan pemuka kereta menunjukkan sudah pukul sepuluh suku pagi. Kenderaan yang bertali arus di simpang empat menandakan kebanyakan daripada mereka yang bekerja sedang mengisi masa minum pagi mereka.

“Macam mana Dinie? Dah selesai semua?” Suara Azran sedikit kuat, menyaingi suara Nazrey Raihan yang sedang mengalunkan lagu Untukmu Palestin.

“Belum..” Sepatah jawapan Dinie diiringi dengan gelengan kepalanya.

“Polis nak apa lagi?”

“Lepas ni dia orang nak ambil keterangan Encik Naqib pulak.”

“Oh.. Hmm.. Mestilah kena ambil keterangan daripada Naqib. Bukan senang kerja tangkap dan dakwa orang ni, Dinie…” Tangan kiri Azran menepuk perlahan kepala Dinie.

Dinie tersenyum sedikit. Lambat-lambat dia menyandar pada tempat duduknya dan bersenandung lagu Untukmu Palestin mengikut rentak penyanyi kumpulan Raihan seperti yang sedang berkumandang memenuhi segenap ruang kereta.

Ada sendu di matanya tika itu mengenangkan nasib saudara Islamnya di bumi Al-Quds itu. Kekejaman dan kezaliman bangsa Yahudi yang tidak mempunyai titik nokhtah membayangkan bumi Tuhan ini yang sudah terlalu berusia.

Getaran telefon bimbit di genggaman Dinie menyentakkannya. Terbang lamunannya yang baru hendak bertunas. Tanpa menunggu lama, papan kekunci ditekan-tekan dan pesanan ringkas yang diterimanya segera dibaca.

“Ala kenapa pindah sana pulak..” Dinie merungut perlahan. Azran menoleh seketika padanya.

“Apa dia Dinie?”

“Encik Naqib dah pindah Hospital Putrajaya..”

Jawapan yang keluar dari mulut comel itu membuatkan Azran memberhentikan keretanya di bahu jalan tiba-tiba.

“Along. Apa ni berhenti tiba-tiba. Nasib baik tak ada kereta dekat belakang..”

“Sebab tak ada keretalah along berani berhenti tiba-tiba…” Azran menjawab selamba sambil tersengih. “Siapa yang beritahu Naqib dekat Putrajaya?”

“Encik Idraki send message..” Dinie menayangkan telefon bimbitnya pada Azran seketika. “Dia dah pindah masuk wad, tak duduk dekat ICU lagi.”

“Ada la tu sebabnya Idraki tukarkan Naqib ke Hospital Putrajaya..” Azran menekan klac dan menukar gear satu. Dia memberikan lampu isyarat ke kanan dan kereta itu mula bergerak semula di atas jalan.

“Jauhlah…”

“Jauh?” Tanya Azran laju.

Pertanyaan yang berbaur usikan itu mengundang cubitan di lengannya. Azran hanya tersengih memandang Dinie yang menjelingnya.

“Sekarang macam mana? Nak balik rumah terus ke?” Tanya Azran sebaik sahaja keretanya berhenti di lampu isyarat merah.

“Ikut alonglah..”

“Balik dululah Dinie. Masa melawat dekat Hospital Putrajaya tu mula pukul dua belas sampai dua. Tengah hari nanti along teman Dinie..” Balas Azran lembut. Tangan kirinya menukar gear selepas kakinya menekan klac.

Dinie mengangguk seraya tersenyum. Matanya mengerling Azran yang sedang tenang memandu.

“Apa jeling-jeling ni..” Azran bersuara tiba-tiba.

Dinie tergelak perlahan. “Along…” Panggilnya manja. “Long…” Panggil Dinie lagi selepas tiada reaksi daripada Azran. Azran menoleh sambil menjungkitkan keningnya sedikit.

“Hmm.. Adalah tu… Nak apa?”

Dinie tersengih lagi. Duduknya sudah mengiring sedikit, menghadap Azran.

“Jom makan..” Dinie tersengih lagi.

“Along ingat Dinie tak lapar..” Azran tersenyum penuh makna. Dinie di sebelahnya mencebik.


*******************


“Eh, Encik nak ke mana?” Tanya seorang jururawat yang memakai tanda nama Alice kepada Naqib yang sedang berjalan perlahan setapak demi setapak, menghampiri kaunter.

Langkah Naqib terhenti. Dia tersenyum pada Alice, menyedari jururawat itu yang menjaganya sewaktu dia dipindahkan ke hospital itu semalam.

May I use the phone?” Tanya Naqib perlahan. Suaranya kedengaran lemah.

Alice tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Segera dia menolak sebuah kerusi yang beroda dan memapah Naqib untuk duduk di kerusi itu.


*******************


"Alamak along, nanti pegawai polis tadi cari Encik Naqib dekat KPMC pulak.." Dinie menepuk lembut kepalanya tatkala teringatkan sesuatu.

Azran memandang Dinie dengan kerutan di dahinya. "Hm.. Betul jugak tu.." Azran mengangguk tiba-tiba.

"Aha!" Dinie memetik jarinya sekali. "Nasib baik Dinie sempat ambil nombor telefon kat kaunter tadi.." Tangan Dinie menggagau beg galasnya.

"Nak buat apa?"

"Saja ambil untuk emergency..."

Dinie tersengih. Dia menayangkan telefon bimbitnya pada Azran sebaik sahaja dia menjumpai telefon bimbit itu. Jari jemarinya lincah menekan papan kekunci.

Panggilan perlu dibuat dengan segera sebelum pegawai polis itu pergi mencari Naqib di Kajang Plaza Medical Centre. Panggilannya terjawab tidak berapa lama kemudian. Kepada pegawai polis yang bertugas mengambil keterangannya pagi tadi, dia memberitahu kedudukan Naqib saat itu.


*******************



“Encik tak sepatutnya bangun. Jahitan luka tu masih baru. Masih belum kering,” tegur Alice lembut.

Naqib hanya tersengih. Dia tidak peduli semua itu. Di mindanya hanya memikirkan insan-insan yang disayanginya.

"Nanti kalau doc tegur saya macam mana?" Alice menjungkitkan keningnya pada Naqib.

Naqib tersengih lagi tanpa jawapan. Tangannya pantas mencapai telefon yang dihulurkan Alice. Telefon berwarna biru tua itu diletakkan di atas ribanya dan dia mula mendail nombor yang sudah tertanam di memorinya.

Gagang telefon dirapatkan ke telinga kanannya. Berulang kali dia cuba mendail nombor yang sama namun hampa. Masih tiada jawapan dan pengakhirannya masuk ke peti mel suara. Naqib menghembuskan nafasnya perlahan. Matanya memandang jam di dinding.

“Dah pukul sepuluh setengah, kenapa tak jawab-jawab jugak…” Naqib menggumam perlahan.

Sekali lagi Naqib mengangkat gagang telefon dan mula mendail. Tetapi kali ini nombor lain yang didailnya, bukan lagi nombor yang sebelum ini. Berdebar-debar dia menanti panggilan itu terjawab.

“Hello..” Satu suara menyapa lembut. Ada nada kepelikan pada sapaan itu.

Naqib tersenyum.

“Hello..?” Sapaan buat kali kedua membuatkan Naqib sedikit tersentak. Gagang telefon ditekapkan rapat ke telinganya.

“Assalamualaikum..” Lambat-lambat Naqib memberi salam.

Dinie tergamam, tidak mempercayai suara yang memberikan salam padanya sebentar tadi. Dinie benar-benar tidak menyangka akan menerima panggilan daripada dia yang sentiasa bermain di mindanya saat itu..

No comments:

Post a Comment