June 16, 2009

Bayang-Bayang 26


Mata Dinie meliar ke kiri dan ke kanan sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari bangunan pejabat yang semakin sunyi. Bunyi suara yang sayup-sayup kedengaran membuatkan kepala Dinie terarah ke sebelah kanan. Ditekadkan hatinya untuk memberanikan diri, melangkah ke arah suara yang semakin jelas kedengaran.

“Bang, bang…” Panggil Dinie pantas sebaik sahaja dia ternampak kelibat seorang lelaki yang sedang menyorong motosikal Kriss Modenas berwarna biru tua. Lelaki itu pantas mendongakkan kepalanya.

“Weh, nanti aku call kau balik. Tak boleh cepatlah. Tayar motor aku pancit. Okay, okay.. Jumpa nanti..” Pantas tangan lelaki itu menarik earphone di telinga kanannya. “Ha, kau.. Lambat balik hari ni.. Apesal kalut je abang tengok?”

Lelaki itu menurunkan tongkat motosikalnya. Dia berjalan menghampiri Dinie yang memandangnya tanpa sepatah kata.

“Bang Mat.. Tolong saya..” Bergetar suara Dinie saat itu. Kolam matanya digenangi mutiara jernih.

“Apesal ni? Cuba cerita kat abang..” Perlahan suara Mat bertanya. Risau melihatkan keadaan Dinie yang kelihatan tidak tentu arah.

“Kawan saya…”

Pendek jawapan Dinie. Matanya masih lagi memandang tepat pada Mat yang sudah bediri tegak di hadapannya. Mujur dia terjumpa seseorang yang dikenalinya saat itu. Mujur ada Mat, pembantu di gerai Acik Jah yang boleh dipercayainya. Dinie menarik nafasnya dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.

“Tolong bang Mat.. Kawan saya kena serang dengan orang jahat. Dekat atas. Dia seorang je, bang..” Laju Dinie bersuara.

“Kat mana?”

Food court baru bukak tu.”

“Jom,”

Mat berjalan pantas ke arah yang dituju. Sesekali dia berlari anak. Jelas terbayang kerisauan di wajahnya saat itu. Bimbang terjadi sesuatu yang serius.

“Dah call polis?” Sempat Mat berpaling ke arah Dinie di belakangnya.

Pantas Dinie menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tangannya menggagau telefon bimbit di dalam poket baju kurungnya.

"Kau tunggu kat bawah ni, call polis siap-siap. Biar abang naik atas tengok.." Mat berlari mendaki anak tangga sebaik sahaja melihat anggukan Dinie.

Dinie berjalan mundar-mandir ke kiri dan ke kanan. Resah dia menanti kehadiran polis. Baru sebentar tadi dia menamatkan perbualannya dengan pegawai polis yang bertugas pada hari itu. Anak kunci di tangannya dilambung-lambung perlahan. Matanya memandang tepat ke arah kereta Naqib yang terparkir di hadapannya saat itu.

Pantas tangannya menekan punat kawalan jauh Honda Jazz biru itu. Serentak dengan itu dia terdengar namanya dipanggil dari jauh. Secepat kilat badannya dipusingkan ke arah suara itu. Bulat matanya memerhatikan Mat yang sedang memapah Naqib.

"Ya Allah!" Terpacul kalimah kebesaran saat itu serentak dengan tangan Dinie menekup mulutnya. Laju kakinya menapak ke arah Mat dan Naqib yang sedang melangkah perlahan-lahan.

"Dinie, kawan kau ni luka teruk. Banyak hilang darah ni. Abang rasa baik kau call ambulans cepat."

Terangguk-angguk kepala Dinie beberapa kali. Namun sesaat kemudian dia tersentak, teringatkan kunci kereta Naqib yang ada padanya.

"Bang!"

Mat mengalihkan pandangannya pada Dinie. Keningnya dijungkitkan sedikit.

"Bang, bawak masuk dia dalam kereta tu."

Pantas Dinie berkata sambil tangannya mengarahkan pada Honda Jazz Naqib yang berada hanya dalam jarak satu meter daripada mereka. "Itu kereta kawan saya.." Sambung Dinie tatkala melihatkan Mat yang teragak-agak.

"Hm.. Kalau macam tu, kau bawak dia cepat. Biar abang tunggu polis dekat sini. Mamat kat atas tu kuat jugak. Panjang nyawa dia.."

Mat bersuara sambil memapah Naqib ke arah tempat duduk di sebelah pemandu. Direndahkannya tempat duduk itu sedikit. Sesekali kedengaan suara Naqib mengerang kesakitan.

Dinie melangkah pantas ke tempat duduk pemandu. Matanya mengerling jam di dashboard kereta. Senja hampir melabuhkan tirainya tetapi bayang Azran masih belum kelihatan. Dinie menghela nafasnya perlahan. Matanya dialihkan pada Naqib di sebelahnya. Dia merapati Naqib sedikit, merendahkan lagi tempat duduk itu untuk keselesaan Naqib.

"Tahan sikit ya Encik Naqib," Lembut suara Dinie saat telinganya menangkap erangan perlahan Naqib. Berkerut dahi pemuda itu menahan sakit. Tangannya masih lagi menekap pada luka di perutnya.

Bulat mata Dinie saat matanya terpandang pada luka yang semakin dalam. Dalam hatinya dia menyumpah Kamal, geram kerana memperlakukan Naqib sebegitu rupa. Dia yakin Naqib bergelut lagi dengan Kamal selepas dia turun sebentar tadi.

Bunyi hon dari kereta di belakang menyedarkan Dinie. Pantas tangannya menukar gear dan memberikan lampu isyarat untuk membelok ke kiri.

"Piya," panggil Naqib perlahan. Matanya masih lagi terpejam rapat.

"Iya Encik Naqib.." Pantas Dinie menoleh ke arah Naqib. Dilepaskan tali pinggang keledar yang merentangi badannya. Badannya dipusingkan menghadap Naqib. "Sabar ya Encik Naqib, kita dah sampai dekat hospital.."

Sesaat kemudian Dinie membuka pintu kereta, keluar dari kereta itu dan pantas melangkah masuk ke pintu utama hospital. Tidak sampai satu minit, datang beberapa orang attendan hospital membantu.

"Piya....." Sekali lagi Naqib memanggil Dinie. Kali ini agak jelas suaranya di pendengaran Dinie.

"Saya ada dekat sini, Encik. Jangan risau, saya takkan tinggalkan Encik.." Lembut suara Dinie berbisik di telinga Naqib. Dalam makna kata-kata itu.

Matanya menatap wajah Naqib yang sedang berkerut menahan sakit. Dahinya turut direntangi garisan halus, seakan turut merasai kesakitan yang ditanggung Naqib. Laju kakinya melangkah mengikut gerak kaki attendan hospital yang menghala ke bahagian kecemasan.

Langkahnya terhenti di pintu masuk wad itu. Sempat dia mengucapkan kata-kata semangat pada Naqib sebelum bayang pemuda itu hilang di balik pintu yang tertutup rapat. Setitis mutiara jernih menitis juga saat itu..

No comments:

Post a Comment