January 29, 2019

Kita Serupa ...15


"Tambah nasi lagi, Raihan.."

Raihan tersipu-sipu sambil mengangguk. Tangannya menyenduk nasi dari mangkuk nasi tambah. Diletakkan sesenduk nasi tambah ke dalam pinggannya. Suami di sebelah dikerling sambil mata memberi isyarat.

'Ali Hasif hanya tersenyum dan menggeleng,  menghantar tanda tidak mahu menambah nasi. Raihan mengangguk sekali dan menyambung suapannya.

"Ada tahlil kat surau malam ni, Hasif.. Sebelum terawih."

Mata Raihan melirik pada 'Ali Hasif. Lelaki itu terangguk-angguk mendengar suara umi.

"Raihan dengan Hasif makan dulu ya, umi nak ke dapur."

Sambung umi lagi. Raihan mengangguk dengan leretan senyum sebelum matanya kembali tertumpu pada sang suami. 'Ali Hasif di sisinya sepi tanpa suara, ralit menghabiskan nasi yang tinggal beberapa suap lagi. Raihan pandang tak lepas.

Bibir menguntum senyum dalam tak sedar. Sepanjang mereka tinggal bersama, tidak pernah 'Ali Hasif menambah makanan di pinggannya. Dia senang dengan tabiat lelaki itu. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Dia pula yang makan seperti tak kenyang-kenyang. Raihan tersengih sendiri.

"Raihan dah kenyang tengok abang?"

Tersedak Raihan dengan teguran yang tidak dijangkanya. Huluran gelas berisi air suam disambut pantas. Dia segera meneguk air sekali dan berdehem beberapa kali, melegakan tekak. Suapan kembali diteruskan kemudiannya, menghabiskan nasi yang bersisa di pinggan. Kepala tunduk menghadap hidangan. Malu dengan sang suami.

'Ali Hasif yang memerhatikan tingkah Raihan hanya tersenyum lebar. Dia bingkas, menuju ke sinki di belah kiri pintu masuk dapur. Pinggannya dibasuh dan diletakkan di rak sebelah sinki sebelum bayangnya hilang di balik pintu bilik air. Hampir lima minit kemudian, langkahnya diatur kembali ke meja makan, menyelesakan diri di sebelah Raihan.

Beberapa minit berlalu. Sepi di meja makan. 'Ali Hasif diam memerhatikan sang isteri. Diam Raihan, tunduk khusyuk menghadap makanan, sedar dirinya menjadi tatapan. Entah di mana silapnya, Raihan tersedak sekali lagi. Pantas tangannya mencapai gelas yang masih berisi air suam. Diteguk perlahan sekali.

"Hm tu la Raihan  makan pun control sangat abang tengok.. Praktis untuk makan beradab kita ke?"

Bulat mata Raihan. Hampir tersembur air yang sedang diteguknya. Cepat-cepat ditelan dan dia tersedak lagi buat kali ketiga. Terbatuk tidak henti. Berair matanya. 'Ali Hasif segera berpusing menghadap Raihan dan menepuk perlahan belakang tubuh sang isteri beberapa kali.

"Sorry, sorry.. abang tak sengaja,"

Raihan hanya diam tak membalas. Tidak marah. Lebih kepada malu. Segan menjadi perhatian lelaki itu.

"Sorry tau sayang,"

Raihan mengangguk beberapa kali. 'Ali Hasif tersenyum senang.

"Raihan," panggil lelaki itu, perlahan.

"Hm,"

"Raihan,"

Namanya dipanggil sekali lagi. Raihan berpaling sedikit. Mata bertentang mata. Raihan terasa seakan dadanya bergetar hebat. Debar bertamu tiba-tiba. Dia pantas berpaling semula, tunduk menghadap pinggan yang hampir licin. 'Ali Hasif menyembunyikan senyum.

"Raihan habiskanlah makan. Abang nak ke surau dulu. Lepas isyak nanti abang tak balik rumah. Raihan pergi surau dengan umi ya,"

Raihan mengangguk beberapa kali tanpa mengangkat kepala walau sedikit. Kaku dia seketika saat kepalanya diusap beberapa kali.

"Good girl,"

'Ali Hasif mula melangkah, singgah sebentar di dapur sebelum dia bergerak ke luar, menuju surau yang hanya sepelaung dari rumah ibu angkatnya itu. Raihan segera menghabiskan suapan yang terakhir sebelum menghilang ke dapur.

"Raihan dengan Hasif jadi nak balik esok?"

Raihan yang sedang membilas pinggan yang masih bersabun pantas berpaling mendengarkan pertanyaan umi. Tersenyum dia pada umi.

"In shaa Allah, umi. Lama sangat dah kami tinggalkan rumah tu umi,"

"Hm iya la Raihan. Umi pun setuju, rumah tak elok juga dibiarkan kosong lama-lama,"

Raihan mengangguk beberapa kali tanda bersetuju dgn kata-kata umi. Wanita separuh abad itu sudah berdiri di sisi Raihan di tepi sinki dapur.

"Untung Raihan kahwin dengan Hasif.. Baik orangnya tu, An.. Lama dah umi kenal Hasif ni sejak dari dia Tingkatan 1 lagi."

Raihan segera menoleh ke sisi. Dia tersenyum sedikit. Baik macam mana tu? Ingin ditanya tetapi malu.

"Nampak je macam nakal, kuat mengusik tapi itulah, orang kata tak kenal maka tak cinta. Iya tak?"

Raihan ketawa perlahan sambil mengelap tangannya.

"Dia jadi anak angkat umi masa ada program di bawah bimbingan dan kaunseling. Program untuk budak-budak yang bermasalah disiplin kat asrama.Tapi bila duduk dengan umi, umi tahu dia sengaja timbulkan masalah untuk dapatkan perhatian."

Menggeleng umi seketika dengan senyuman. Raihan pun turut sama mengukir senyum di bibir. Dirinya sudah tegak menghadap umi. Banyak perkara tentang suaminya yang tidak dia ketahui.

"Umi,"

Umi menjungkitkan keningnya.

"Raihan nak tanya sikit, boleh?"

"Tanya apa tu? Macam serius je bunyinya."

Raihan ketawa perlahan. Kepalanya menggeleng sedikit. Tangan umi dicapai dan dielus lembut.

"Hurm... Umi..." Raihan berjeda. "Abang selalu datang sini ke?"

Umi mengangguk seraya membalas, "Dah macam rumah kedua dia dah kampung ni,"

Raihan terangguk-angguk kemudiannya. Padan la asal berjumpa, semua orang ditegurnya jika bukan dia yang disapa. Malam pertama mereka di situ lelaki itu sudah dijemput untuk menjadi imam solat terawih.

"Kenapa Raihan tanya?"

"Hm saja Raihan tanya sebab tengok macam semua orang kenal dia,"

Umi ketawa kecil.

"Dari zaman zaman sekolah, Raihan.. Suka pulak dia duduk sini. Sunyi agaknya kat rumah tak ada siapa,"

"Kenapa sunyi?"

"Sunyi la An, mama Hasif balik  Malaysia setahun beberapa kali je sejak babahnya meninggal."

Raihan tersentak. Terasa berpasir liur yang ditelannya. Bila babah meninggal? Mama ada di mana? Dia tidak tahu tentang itu. Sungguh. Banyak perkara tentang suaminya yang masih samar-samar. Hendak bertanya, tidak terkeluar suaranya. Raihan menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan.

"Jom kita ke depan. Sekejap lagi nak azan isyak dah ni, An.."

Raihan mengangguk lemah. Senyum di bibir diukir juga buat tatapan umi yang sedang memerhati. Kepalanya tak henti memikir. Entah bila kan terjawab semua persoalan.

Raihan pantas menyusun langkah, menuruti jejak umi kedepan sebelum bayangnya hilang di balik daun pintu bilik. Segera dia menyucikan diri dan bersiap untuk ke surau. Berharap untuk beroleh ketenangan sambil mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta.




~°~°~°~°~°~°~° to be continued ~°~°~°~°~°~°~°
in shaa Allah
my apologies for the delay 😢


2 comments:

  1. yeayyy
    da ade smbgn..

    comel la raihan ni

    ReplyDelete
  2. kobar-kobar nak post entry..
    rindu sgt rsanya kat raihan dgn hasif ni
    huhuhuhuhu

    ReplyDelete