June 19, 2009

Bayang-Bayang 42


“Abang..” Panggil Dinie sedikit kuat. “Abang jangan nak main-main, bang...”

Bergetar suaranya. Dia bingkas bangun dari katil, memikirkan Naqib yang menutup suis lampu bilik itu. Tapi kenapa satu rumah gelap! Novel yang dibacanya tadi entah tercampak ke mana. Teraba-raba dia, mencari arah pintu dalam keadaan yang gelap gelita. Menyesal pula dia menarik langsir pintu luncur itu tadi.

“Abang..” Panggil Dinie lagi, mengharapkan Naqib yang berada di bilik kerjanya di sebelah mendengarkan panggilan itu. “Piya.. Sayang kat mana?” Suara Naqib yang agak kuat tiba-tiba membuatkan Dinie sedikit terkejut. Diurut dadanya perlahan sambil matanya melihat pada arah lampu suluh yang dipegang suaminya.

“Bang,” Pantas Dinie mencapai tangan Naqib.

Naqib tergelak saat dirasakan tangan comel itu mencengkam kuat lengannya. Laju sahaja Dinie menampar lembut lengan itu. Diketapkan bibirnya melihatkan Naqib yang meletakkan lampu suluh berwana oren itu tepat pada dagunya. Naqib ketawa lagi melihatkan Dinie yang masih terkejut.

“Sayang abang ni penakut rupanya.. Baru blackout dah pucat..” Naqib tersengih nakal.

“Abang tak bayar bil ke?” Tanya Dinie, membulatkan matanya pada Naqib yang sedang tersengih-sengih.

Naqib ketawa lepas, mendengarkan soalan itu. “Piya duduk kat sini dulu, abang ambil lilin dekat bawah jap..”

Pantas Dinie menggeleng. Naqib tersengih lagi.

“Dah tu Piya nak ikut abang turun?”

Melihatkan isterinya itu mengangguk laju, Naqib ketawa lepas. Beberapa saat matanya tak lepas dari merenung seraut wajah yang semakin memuncung. Comel! Pantas Naqib mencuit pipi isterinya itu.

“Jom keluar,” Ajak Naqib tiba-tiba sambil mengerdipkan matanya pada Dinie dalam kesuraman lampu suluh.

“Hah?”

“Jom la keluar sayangku Dinie Sophea... Lagipun panas pulak tak ada letrik ni kan...” Naqib menganggukkan kepalanya beberapa kali, memandang tepat pada isterinya itu.

Dinie ketawa lepas. “Macam budak-budak..” Dia menggumam perlahan sambil berpaling.

“Piya nak pergi mana pulak tu?” Tanya Naqib laju.

“Piya nak tukar baju la bang. Takkan nak pakai baju tidur pulak..”

Dinie membesarkan matanya sedikit pada Naqib yang tersengih menutup malu.

“Tak pun, abang tak kisah kalau Piya pakai baju ni je..? Tak payah tukar la kan..?” Usik Dinie sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali. Seronok pula dapat mengusik suaminya itu setelah dia sahaja yang sering menjadi bahan usikan.

Naqib terdiam seketika, memerhatikan isterinya yang memakai blaus lengan pendek paras pinggang berwarna maroon yang kembang di hujungnya dan dipadankan dengan seluar paras betis, juga dari rona yang sama.

“Hmmm... kalau Piya tak nak tukar, abang boleh tolong tukarkan..” Naqib membalas selamba dengan sengihan nakal melakari wajahnya tika itu.

Bulat mata Dinie memandang Naqib. Dia yang hendak mengusik, dia yang terusik rupanya! Pantas Dinie berpaling semula ke arah almari pakaian.

Baju sejuknya yang berwarna coklat gelap dicapai. Skirt labuh yang tergantung pada penyangkut baju di dalam almari ditarik perlahan. Dia kembali berpaling pada Naqib yang setia menanti di atas sofa pada penjuru bilik.

“Abang jangan pergi mana-mana tau. Tunggu Piya..” Perlahan suaranya seakan takut ditinggalkan. Sempat dia mengambil lampu suluh di tangan Naqib, membiarkan suaminya itu menanti dalam kegelapan.

Naqib kembali menyambung tawa melihatkan Dinie yang kelihatan takut-takut. Tidak sampai lima minit, Dinie sudah berdiri tepat di sisi Naqib. Sehelai tudung coklat bersulam bunga-bunga kecil tersarung kemas di kepalanya.

Naqib tersenyum senang. Tangan kanannya dihulurkan pada Dinie. Lambat-lambat Dinie mencapai huluran itu dengan senyuman terukir di bibirnya. Lelaki itu bingkas berdiri, menarik tangan isterinya perlahan.


-------------------


“Sayang dah baca doa?” Tanya Naqib lembut. Kepalanya dipalingkan seketika, memandang isterinya yang mengangguk laju.

Naqib tersenyum. Tangan kirinya di atas gear diangkat sedikit. Diusap lembut kepala isterinya itu. “Piya ni comel la! Nasib baik dapat kat abang..” Naqib ketawa lepas, melihatkan dahi isterinya itu sudah berkerut memandangnya. “Kenapa?” Laju sahaja mulutnya bertanya.

Dinie Sophea menggeleng pantas. Kepalanya dipalingkan kembali menghadap jalan raya. Suasana yang lengang tika itu mendamaikan hatinya. Bibirnya mengukir senyum tanpa sedar. Senyum yang lahir dari hatinya yang berlagu riang. Cuitan di pipi mengembalikan Dinie ke alam nyata. Pandangannya sudah terarah pada Naqib yang tenang memandu.

“Kenapa?” Tanya Naqib lagi setelah Dinie hanya membisu menatap wajahnya dari sisi. “Tadi senyum sorang-sorang. Sekarang tengok abang tak kelip-kelip mata pulak.. Piya sihat tak ni?” Tanya Naqib dalam nada yang serius. Namun riak wajahnya mempamerkan kenakalan yang cuba disembunyikan.

Dinie menampar lembut bahu Naqib. Tersenyum dia sekali lagi. Naqib memalingkan wajahnya seketika dan mengerdipkan matanya sekali sebelum dia kembali memusatkan pandangannya ke hadapan.

“Kita nak pergi mana sebenarnya ni bang?” Tanya Dinie lembut. Matanya memerhatikan Lebuh Raya Utara Selatan yang sedang dilaluinya tika itu.

Naqib hanya tersenyum sebelum menjawab, “Jalan-jalan, makan angin!” Tangan kirinya mencapai tangan kanan isterinya. Dicium lembut tangan yang sekali ganda kecil dari tangannya itu dan dibawa ke dada.

Dinie berpaling ke kiri, malu dengan tingkah suaminya seketika tadi. Naqib mengerling Dinie sekilas dan dia tersenyum lebar, faham perasaan isterinya saat itu. Sepi menemani mereka sebelum suara Naqib mengusir hening.

“Piya ngantuk?”

Dinie menggeleng laju. Diberanikan dirinya memandang Naqib yang tenang memandu.

“Piya suka jalan-jalan?”

Dinie mengangguk beberapa kali.

Naqib menelengkan kepalanya memandang Dinie. Keningnya dijungkitkan sekali sebelum dia bersuara, “Mary Shaw dah ambil lidah sayang abang ni ke...?”

Naqib mencium tangan kanan Dinie yang masih lagi dalam genggaman tangan kirinya. Teringatkan filem Dead Silence yang ditontonnya semalam, Dinie ketawa lepas. Mati tawanya saat dia sedar Naqib sedang memerhatikannya.

“Abang, pandang depanlah!” Marah Dinie, cuba mengusir malu yang menyapa. Ada kelembutan dalam nada itu. Naqib tersengih.

“Piya ni comel la sa.........”

“Iya, Piya tahu.” Selamba Dinie memotong kata suaminya itu. Naqib ketawa lepas.

“Abang nak tahu tak, Piya memang suka jalan-jalan macam ni...” Sambung Dinie tiba-tiba. Hampir tak kedengaran suaranya.

“Jalan-jalan macam ni?”

“Emm hmm macam ni.. travel malam-malam dengan orang yang Piya sayang. Seronok, damai, tenang. Tak payah pikir macam-macam..” Perlahan suara Dinie membuka rahsia hati.

Naqib diam, tekun mendengar. Bukan senang untuk dia mencungkil rahsia hati isterinya itu. Dinie memalingkan wajahnya, menghadap Naqib. Wajah suaminya itu direnung dalam. Lambat-lambat nafasnya dihela perlahan, cuba mengusir malu yang mampir.

“Piya sayang abang...” Luah Dinie lembut.

Tali pinggang keledar yang dipakainya dilepaskan perlahan. Duduknya sudah mengiring sedikit, mengarah pada suaminya. Senyuman yang terukir di wajah Naqib menyenangkan hatinya saat itu.

Naqib masih lagi diam, membiarkan Dinie memandang wajahnya tanpa jemu. Sesekali tangan kirinya membawa tangan kanan isterinya itu ke bibir. Dikucup lembut tangan itu seakan menyalurkan sayang yang tak bertepi. Hampir satu jam memandu, Naqib menghela nafasnya perlahan.

“Okay, dah sampai...” Naqib memberhentikan Honda Jazz birunya di petak kuning yang telah disediakan. Tali pinggang keledarnya dilepaskan. Dia mengiringkan duduk, menghadap Dinie yang diam tidak memberikan respon.

Tersenyum Naqib melihatkan isterinya itu yang sudah tertidur mengiring, menghadap dirinya. Naqib ketawa perlahan. Kesuraman jalan raya membuatkan dia tidak sedar bahawa isterinya itu sudah tertidur. Sangkanya Dinie masih lagi menatap wajahnya. Pantas tangannya memperlahankan penghawa dingin. Perlahan-lahan dia merendahkan sedikit tempat duduk isterinya itu.

Dinie bergerak sedikit sebelum kembali lena. Naqib merenung isterinya lama. Teringat dia saat Dinie membawanya ke hospital suatu ketika dahulu. Terbayang-bayang wajah kerisauan isterinya saat itu. Lambat-lambat tangannya diangkat sedikit, mengusap lembut seraut wajah yang tenang, lena diulit mimpi barangkali.

Bibirnya menguntum senyum. Perlahan-lahan tangannya mencapai tangan isterinya. Digenggam erat tengan halus itu, dibawa ke dadanya. Matanya tak lepas dari memandang seraut wajah yang mendamaikan itu.

Semakin lama dirasakan matanya semakin berat. Dikucup sekali lagi tangan halus itu sebelum matanya tertutup rapat, tidur sambil menggenggam tangan isterinya rapat ke dadanya. Tenang dan damai tidurnya waktu tu biarpun tidak lena dan hanya untuk seketika waktu sahaja..


--------------------


“Comelnya Nuha!” Dinie teruja melihat gambar-gambar Nuha sewaktu kecil, dalam album gambar di bilik kerja Naqib.

Naqib ketawa kecil. Dia menghampiri Dinie yang sedang duduk di atas kerusi beroda di hadapan meja kerjanya. Tangannya melingkari leher Dinie. Wajahnya ditundukkan merapati wajah comel itu dan dagunya diletakkan di bahu kanan isterinya.

“Comel kan? Tengoklah siapa abang dia..” Naqib ketawa lagi melihatkan Dinie yang mencebik nakal. “Nanti kalau kita ada baby, mesti comel kan!” Usik Naqib.

Meleret tawa Naqib melihatkan wajah Dinie yang sudah merah. Pantas bibirnya mengucup lembut pipi isterinya. Makin memerah wajah itu. Naqib ketawa lagi.

Dinie diam tak berkutik. Tangannya kembali menyelak album gambar di hadapannya itu. Teruja dia melihatkan Nuha yang sangat comel sewaktu kecil. Teringat pada Nuha yang masih di rumah babah. Rindu pula rasanya untuk melihat gadis yang membesar dengan keindahan semula jadi yang dianugerahkan padanya.

Padanlah Idraki jatuh hati! Dinie tersenyum tiba-tiba mengenangkan Idraki.

“Sayang senyum tiba-tiba tengok gambar abang tu kenapa?” Suara Naqib yang jelas di pendengarannya membuatkan Dinie ketawa lepas.

“Perasan!” Balasnya laju. “Ini masa Nuha berapa tahun, bang?” Tanya Dinie saat matanya tertancap pada gambar Nuha yang sedang dijirus air paip.

Kesian. Siapa lagi yang menjirus kalau bukan Naqib. Suaminya itu memang kuat mengusik dari kecil lagi rupanya!

“Ini masa nak masuk tiga tahun. Sebelah Nuha tu, mama..” Jari telunjuk Naqib mengarahkan pada seorang wanita bertudung yang sedang mengelak daripada terkena air. “Gambar ni gambar terakhir mama. Sebulan sebelum mama pergi..” Perlahan suara Naqib.

Dinie terdiam. Teringat dia pada cerita Naqib semalam. Nuha dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Dua hari ditahan dalam wad, adiknya itu dibenarkan keluar. Kebetulan hari itu merupakan hari lahir Nuha yang ketiga. Mama telah menyediakan kek blueberry kesukaan Nuha sebelum keluar untuk mengambil Nuha yang ditinggalkan di hospital bersama Naqib.

Takdir telah menetapkan hidup mama hanya setakat itu. Mama pergi setelah keretanya dirempuh sebuah treler di simpang masuk ke hospital. Papa.. Papa yang hendak terbang ke UK telah membatalkan penerbangannya.

Nuha yang tidak mengerti apa-apa disumpah seranahnya. Apatah lagi mama pergi sewaktu hari lahir Nuha. Sama seperti mummy yang meninggal sewaktu melahirkan bayi comel itu.

Semenjak hari itu papa langsung tidak mahu mendekati Nuha, seolah anak kecil itu virus yang perlu dijauhi. Mujur Nuha masih kecil untuk memahami kebencian papanya itu..

“Abang!!! Angah!!! I’m home!!!”

Teriakan dari ruang bawah membuatkan Naqib dan Dinie berpandangan seketika. Rapat wajah keduanya. Hanya jarak beberapa sentimeter sahaja yang memisahkan mereka. Naqib tersengih nakal. Pantas dikucup bibir isterinya sebelum dia berlari turun ke tingkat bawah.

“Abang!” Dinie terjerit kecil. Tidak sangka dengan tindakan spontan suaminya. Album di hadapannya ditatap lagi, melihat gambar-gambar Naqib pula. Tumpuannya sebentar tadi hanya pada gambar Nuha kerana dia malu hendak menatap gambar Naqib saat lelaki itu sentiasa dengannya.

“Akaaakk!!” Laungan kuat Nuha membuatkan Dinie menutup album gambar itu spontan. Diletakkan album itu di rak semula sebelum mengikut jejak Naqib ke ruang bawah. Pecah tawanya melihatkan Nuha yang sedang bergomol dengan Naqib di ruang tamu.

“Akak.. Tolong Nuha..” Jerit Nuha, tidak tahan digeletek abangnya saat itu.

Dinie tersenyum. Langkahnya diatur menghampiri keduanya. Belum sempat dia menundukkan kepalanya merapati kepala Naqib, tubuh sasa suaminya telah merempuhnya dahulu. Tak sempat mengimbangkan badannya, Dinie jatuh terduduk. Dia mengaduh kuat.

Naqib yang sememangnya hendak bangun saat ternampakkan isterinya tidak sedar bahawa Dinie sudah pun berada di belakangnya. Pantas dia merapati isterinya yang dirempuh sebentar tadi..

“Sayang.. Sorry.. Abang tertolak Piya by accident.. Sorry sayang..”

Kalut Naqib membantu Dinie berdiri tegak. Dinie membulatkan matanya memandang Naqib. Tangannya menyapu belakangnya yang terasa kebas.

“Piya nak makan apa hari ini? My treat..” Sekali lagi Naqib kalut memujuk, bimbang isterinya berjauh hati.

“Baby nak chicken chop!” Nuha bersuara pantas.

“No, no, no..” Naqib menggerakkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan beberapa kali. “That offer is not valid for you.” Naqib menjegilkan matanya.

Terhambur tawa Dinie yang ditahannya sedari tadi. Nuha merapati Dinie. Dipeluk manja lengan kakak iparnya itu.

“Hah! Apa? Sebok nak manja-manja dengan orang punya teddy..” Naqib menarik Dinie ke dalam pelukannya. Dia merangkul pinggang isterinya erat.

Pantas Dinie menampar tangan Naqib di pinggangnya. Bulat matanya memandang Naqib yang tersengih.

Teddy?? Boleh pulak abang panggil orang teddy?? Memuncung Dinie seketika.

“Sayang kan huggable! Baby dah ada Patrick.. Abang, ada Piya lah..”

Naqib mengeratkan pelukannya. Dinie yang asalnya ingin merajuk ketawa lepas. Terbayang-bayang Patrick, kawan SpongeBob, dalam bilik Nuha yang menjadi bantal peluk gadis itu.

“Hmm.. So, Piya nak makan apa?”

“Sempat ke bang? Kita nak keluar pukul berapa?” Soalan Naqib dibalas dengan pertanyaan.

Naqib mengalihkan pandangan pada jam di dinding. Lima setengah dah!

“Sempat.. Kalau tak, kita tinggal je baby ni tepi jalan. Biar dia balik kampung dengan siapa-siapa yang baik hati nak tumpangkan.....”

Belum sempat Naqib menghabiskan ayatnya, Nuha memijak kuat kaki abangnya itu. Terlompat Naqib menahan kesakitan.

“Pijak abang pulak.. Baby la balik lambat sangat kenapa? Nasib baik abang tak tinggal baby..”

Nuha menjelirkan lidahnya. Naqib sudah mula menapak ke hadapan untuk menyerang balas adiknya. Mujur ada Dinie yang menahan.

“Ha.. Sudah.. Karang sampai maghrib kita tak keluar lagi..” Dinie menarik lengan Nuha, menjauhi Naqib. Nuha tersengih lebar, merasakan kemenangan berada di pihaknya. Seronok mendapat sokongan Dinie.

“Nuha, naik atas kemas barang dulu..” Dinie tersenyum pada Nuha yang sudah menempel di sebelahnya. “Don’t worry.. kita makan chicken chop nanti..” Sempat dia membisikkan jaminan pada Nuha yang baru hendak melangkah pergi.

Nuha membalas dengan kenyitan matanya. Mereka berdua tertawa sebelum mengalihkan pandangan pada Naqib yang jelas menunjukkan riak wajah yang tidak puas hati..

No comments:

Post a Comment