June 16, 2009

Bayang-Bayang 32


“Ermm.. Along..” Dinie berbisik perlahan, memanggil Azran yang sedang berdiri menghadap tingkap.

Azran pantas berpaling memandang Dinie yang sedang berdiri tegak di hujung katil. Keningnya dijungkitkan sedikit.

“Dinie nak turun kafe kejap..”

Perlahan suara Dinie saat dia sudah bertentangan dengan Azran. Pandangannya dialihkan pada Naqib yang sedang lena di atas katil. Berombak perlahan dada lelaki itu yang memakai pakaian seragam hospital. Tenang wajah itu mendamaikan hati.

Deheman Azran membuatkan Dinie tersipu malu. Tersengih dia pada Azran yang tersenyum nakal.

“Belikan along 100 Plus..” Azran menyeluk poket seluarnya dan menghulurkan sekeping not kertas berwarna hijau pada Dinie.

“Belanja Dinie sekali, ye?” Tanya Dinie manja. Azran mengerdipkan matanya sekali, cukup untuk membuatkan Dinie memahami isyarat itu. Pantas Dinie mengatur langkah kemas, meninggalkan Azran yang setia menanti dan Naqib yang masih lena.

Sejam berlalu tetapi Dinie masih belum pulang dari kafeteria. Naqib sendiri sudah terjaga seawal pemergian gadis itu. Belum puas dia berbual dengan Azran, pintu biliknya ditolak perlahan.

Salam yang dihulurkan segera dijawab oleh Naqib dan Azran. Dua pasang mata itu memerhatikan tepat ke arah pintu masuk. Tersenyum Naqib pada Idraki dan Dinie yang beriringan masuk ke dalam wad yang hanya menempatkan dua orang pesakit dalam satu bilik.

“Apa khabar kau hari ni?” Tanya Idraki sebaik sahaja kakinya berhenti di sayap kiri katil Naqib.

Naqib yang bersandar di kepala katil hanya tersenyum. Matanya tidak berganjak daripada merenung seraut wajah yang menjadi iaguan hatinya. Tepukan perlahan di bahunya membuatkan Naqib sedikit tersentak. Pantas kepalanya dikalihkan pada Idraki yang tersengih-sengih di sebelahnya.

“Dari office ke?” Tanya Naqib pada Idraki.

“Takdelah.. Dari kafe dengan Dinie,” jawab Idraki sambil mengenyitkan matanya pada Dinie yang selesa berdiri di sebelah Azran.

“Nak potong line aku ke?” Perlahan suara Naqib cukup untuk pendengaran Idraki.

“Aku bukannya kerja dekat Telekom pun nak potong-potong line kau..” Balas Idraki selamba, cuba berlelucon dengan Naqib yang tampak cemburu. Pecah ketawanya saat Naqib menyigung perlahan perutnya. Naqib mengalihkan pandangannya pada Azran yang menjadi pemerhati.

“Id, kau belum jumpa along Dinie kan?”

Idraki menjungkitkan keningnya sedikit pada Naqib. Naqib tersenyum. Dia mengalihkan pandangannya pada Azran yang menjadi pemerhati sedari tadi. Seperti memahami situasi, Azran berjalan menghampiri Idraki. Mereka berbalas senyuman dan berjabat salam sebelum Azran memperkenalkan dirinya.

“Baru dapat jumpa hari ni. Selama ni dengar cerita je..” Mesra Idraki memulakan perbualan.

“Dengar cerita?” Tanya Azran pelik. Kepalanya dipusingkan menghadap Dinie yang berdiri kaku, tunduk memandang lantai.

Pantas Azran mengalihkan pandangan pada Naqib yang tidak berkelip matanya memerhatikan Dinie. Tergelak dia sambil mencuit pinggang Dinie. Meleret tawa Azran saat Dinie menjeling dan mengetapkan bibirnya.

“Dinie tak nak borak-borak dengan Encik Naqib?” Tanya Azran lembut, mengusik adiknya yang diam membisu.

Dinie mendongak memandang Azran. Sesaat kemudian kepalanya dikalihkan ke hadapan memandang Naqib yang tersenyum mesra merenungnya. Seakan terpukau dengan pandangan itu, Dinie membalas renungan Naqib.

Mata bertentang mata sepi tanpa suara, menggambarkan bicara hati yang tak terucapkan. Bunyi pintu yang tertutup perlahan cukup untuk membuatkan Dinie tersentak. Beristighfar dia seketika mengenangkan kelalaiannya.

Pandangannya dikitarkan ke serata bilik. Azran dan Idraki sudah tiada, meninggalkannya berdua dengan Naqib. Dinie kembali menunduk, menggenggam erat beg di tangannya.

“Manis awak hari ni,” Naqib bersuara tiba-tiba setelah mendiamkan diri agak lama.

“Terima kasih..” Balas Dinie ringkas.

Naqib tersenyum. Matanya masih lagi merenung sekujur tubuh yang tersarung baju kurung hitam berbunga merah jambu. Tudung berwarna merah jambu lembut yang dipakai Dinie terletak elok di kepalanya dengan pin rama-rama comel yang tersisip kemas di sebelah kiri bahu gadis itu.

“Tak boleh pandang lama-lama. Berdosa.” Dinie bersuara perlahan, menyedari mata Naqib yang tidak terlepas daripada memerhatikannya.

Naqib tergelak kecil. “Awak..” Panggilnya lembut.

Dinie mendongak seketika memandang Naqib sebelum dia menundukkan semula pandangannya. Tersenyum Naqib melihatkan Dinie yang tidak selesa dengan renungannya.

Lelaki itu menghela nafasnya dalam-dalam sebelum bersuara, “Nafsu mengatakan awak cantik kerana rupa yang tersurat, akal mengatakan awak cantik kerana ilmu yang tersirat, hati mengatakan awak cantik kerana iman dan akhlak yang terpancar..” Naqib berhenti seketika, merenung Dinie yang masih lagi tertunduk resah mendengarkan kata-katanya. “Awak..” Panggil Naqib lembut.

Dinie mendongakkan kepalanya membalas renungan Naqib. Butir bicara Naqib yang indah di pendengarannya seakan memberikan kuasa kepadanya untuk membalas renungan itu.

Will you be mine? Will you stay by my side for the rest of my life?”

Dinie tersentak. Is he trying to propose me?? Mama.. Ummi.. Apa perlu Dinie buat sekarang? Apa jawapan yang perlu Dinie bagi.. Along, mana along pergi saat Dinie perlukan along.. Hatinya berbicara sendiri.

“Awak, saya tahu sekarang bukan masa yang sesuai untuk melamar awak. Malah bukan juga tempat yang sesuai untuk melafazkannya. Saya nak awak tahu saya ikhlas..”

Naqib memusatkan pandangannya pada seraut wajah yang jelas tidak keruan di hadapannya, menanti reaksi gadis itu.

“Jadi milik saya seorang.. Saya akan jaga awak..”

Dinie terkelu, tidak tahu hendak membalas bicara indah yang mengetuk gegendang telinganya. Dia mengalihkan pandangannya pada pemandangan yang terbentang luas di balik tingkap

Say something please, Dinie Sophea..” Lembut suara Naqib Matanya menatap wajah tenang Dinie tanpa kelip.

Dinie menelan liurnya. Dia mengetap bibirnya sambil otaknya mula merangka jawapan yang perlu diberi.

“Err... Hurmm… Err…” Tersekat-sekat Dinie hendak menuturkan kata. “Err.. Saya…..” Mati kata-kata Dinie saat telefon bimbit Naqib di dalam begnya berlagu kuat. Pantas tangannya menyeluk beg itu dan mengeluarkan telefon bimbit Naqib yang masih lagi berbunyi. Dia berjalan menghampiri Naqib dan menghulurkan telefon bimbit itu pada Naqib tanpa bersuara sepatah pun.

“By..” Naqib bersuara perlahan sebaik sahaja dia menekan butang hijau.

Dinie kembali berdiri di hujung katil. Matanya memerhatikan Naqib. Dia pantas mengalihkan pandangannya, sedar Naqib sedang merenungnya.

I’ll call you back nanti. Abang tengah ada meeting ni..” Lembut suara Naqib berbicara dengan Nuha.

Mendengarkan alasan itu, Dinie memusingkan kepalanya menghadap Naqib. Tersenyum Naqib padanya namun bibirnya kaku tidak dapat membalas senyuman mesra itu.

“Abang takkan lupa.. I promise..” Naqib terdiam seketika, mendengar kata-kata Nuha. “Love you too..” Pantas Naqib mematikan telefon bimbitnya selepas dia menjawab salam Nuha.

“Kenapa tipu Nuha?” Tanya Dinie laju.

“Hmm?” Balas Naqib ringkas, kurang faham dengan pertanyaan itu.

“Kenapa kata ada meeting sedangkan tidak..”

Naqib tergelak perlahan. “Bukan saya tengah meeting dengan awak ke sekarang ni?” Tanya Naqib pula sebelum menyambung lagi kata-katanya, “Atau… Kita tengah dating?”

Suara nakal Naqib yang di sertakan dengan senyuman nakal yang terukir di wajah lelaki itu membuatkan Dinie tertunduk malu. Wajahnya merona merah. Diam seribu bahasa dia, tidak tahu hendak membalas usikan Naqib.

So?”

So?” Tanya Dinie semula, tidak mengerti makna pertanyaan itu. Lambat-lambat Dinie memandang Naqib. Nafasnya dihela dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan. Dia mula menyusun ayat setelah otaknya dapat mentafsir makna pertanyaan ringkas Naqib.

“Encik Naqib..” Panggil Dinie perlahan.

I’m waiting..”

“Ermm.. Andai Encik Naqib benar-benar ikhlas dan pasti dengan kata-kata Encik Naqib tadi, jumpalah dengan orang tua saya. Saya masih lagi tanggungjawab mereka dan saya terima apa saja keputusan mereka.” Tenang kata-kata itu meluncur keluar dari seulas bibir yang comel itu. Naqib hanya diam memandang Dinie. Lambat-lambat bibirnya menguntum senyum.

“Awak rasa mama dengan babah awak free tak hujung bulan ni?”

Dinie menatap wajah Naqib dalam-dalam. Ada senyuman nakal yang bergayut di wajah itu. Pandangan lelaki itu meresahkan jiwanya, membuatkan hatinya tidak keruan..

1 comment:

  1. salam jat,mn mnghlg,rndulh ngn ctr2 awk,hrp awk sihat2,smpai skrg sy msh sk bc ctr2 awk,x jemu lngsng wlu dh brthn2,bl awk nk kmbl mnls yer,hrp sgl urusn awk akn dprmdhkn olhNYA,AMINNNNNNNNN

    ReplyDelete