June 12, 2018

Kita Serupa ...5


Suis loceng di tembok batu ditekan laju beberapa kali. Wajah yang basah dengan air mata tak dihiraukan. Matanya sendiri sudah kabur dengan air mata yang tidak berhenti mengalir.

Loceng ditekan lagi beberapa kali. Masih tidak puas hati selagi wajah sang sahabat tak kelihatan. Ingin dijerit, memanggil Kamala. Namun dia rasa lemah, tak berdaya. Jarinya masih lagi menekan loceng.

Pintu pagar automatik terbuka perlahan. Raihan meluru masuk. Diterkamnya Kamala yang menjengah di muka pintu rumah. Kamala terkesima melihatkan Raihan yang seperti tidak terurus.

Pantas Kamala menarik Raihan, kejap dalam pelukannya, membiarkan sahabatnya itu melepaskan segala perasaan yang ada tika itu. Sesekali kedengaran suara Kamala mententeramkan Raihan, menyuruh sahabatnya itu beristighfar.

Beberapa ketika kemudian, mereka berdua bergerak perlahan, beriringan menuju ke ruang tamu di tengah rumah. Sofa dua tempat duduk berwarna hijau epal dituju sebelum kedua-duanya membeku di situ.

Sabar Kamala menanti andai ada bait bicara yang akan dimuntahkan Raihan. Dia menepuk-nepuk perlahan bahu Raihan, seakan menyalurkan sedikit kekuatan buat gadis itu. Raihan hanya diam seribu bahasa. Termenung sendiri. Jauh.


~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~


"Assalamualaikum, Mak Ngah.. Tolong An, Mak Ngah.. Tolong An,"

"Waalaikumussalam warahmatullah. Ya Allah, dah kenapa kalut sangat ni Raihan? Tolong apa tu?"

Pantas Mak Ngah Zaidah membalas. Terkejut dia mendapat panggilan daripada Raihan lewat tengah malam itu.

"Raihan nak call off the wedding!"

Terbeliak mata Mak Ngah Zaidah. Dia mengurut dada dan beristighfar panjang.

"Sabar dulu Raihan.. Bawa mengucap. Majlisnya tak sampai sebulan dah ni.. Raihan kenapa tiba-tiba?"

"Raihan kenal 'Ali Hasif, Mak Ngah. Raihan tahu siapa dia,"

"Siapa dia?" Tanya Mak Ngah Zaidah lurus dengan kerutan di dahi.

"Dia musuh An, Mak Ngah..."

Makin berkerut dahi Mak Ngah Zaidah mendengarkan balasan Raihan.

"Musuh apa pula ni Raihan? Apa yang jadi sampai boleh bermusuh ni? Tok dengan Wan tahu ke?"

Raihan menggeleng laju, lupa dia hanya berbicara atas talian.

"Raihan? Dengar tak Mak Ngah tanya apa ni?"

Tersentak gadis itu.

"Apa dia, Mak Ngah?"

"Mak Ngah tanya, Tok dengan Wan tahu ke pasal ni?"

"Raihan belum cakap dengan Tok dan Wan  lagi.. Raihan takut.."

"Habis tu macam mana sekarang?"

"Raihan tak tahu.. Raihan nak lari,"

Astaghfirullah al azhim.. Mengucap panjang Mak Ngah Zaidah kemudiannya. "Raihan dekat mana ni?" Pantas dia bertanya.

"Kat rumah Tok..." Lemah Raihan membalas.

"Okay, Raihan dengar sini baik-baik.. Sabar dulu Raihan, jangan terburu-buru. Tunggu Mak Ngah datang ya. We need to talk."

Raihan menggeleng laju biar pun tak terlihat oleh Mak Ngah Zaidah. Dia hanya tahu dia perlu keluar dari situ sebelum Tok dan Wannya terjaga.

"Raihan, dengar tak apa yang Mak Ngah cakap ni? Raihan?!"

Mak Ngah Zaidah beristighfar panjang saat panggilan diputuskan. Faham sangat dengan tingkah anak buahnya itu. Kalau putih, putih la juga.. Jika dia sudah nekad, tiada apa yang dapat menghalang.. Kecuali Tok dan Wannya! Pantas jari menekan nombor telefon ibunya.

Satu keluhan dilepaskan. Berat. Mak Ngah Zaidah meraup wajahnya sekali dengan kedua-dua belah tangan. Hati sarat dengan doa semoga semuanya baik-baik sahaja. Sesak otaknya memikirkan anak buah kesayangan. Entah apa yang tidak kena antara Raihan dan Hasif.

Kata ibunya, Raihan dan Hasif bersekolah menengah yang sama di sebelah utara negeri itu. SMKA ad-Diniyyah. Sekolah berasrama penuh dan murid-muridnya dalam kalangan yang terpilih. Apa yang menyebabkan Raihan begitu negatif terhadap lelaki itu?

Mak Ngah Zaidah menggeleng sendiri. Aturan kakinya dipercepatkan menuju ke muka pintu. Dia bergegas keluar dan masuk ke perut Perodua Alza ungu metalik miliknya. Beberapa minit kemudian kereta itu sudah meluncur laju membelah gelap malam, menuju ke rumah ibu dan ayahnya.




to be continued..
in shaa Allah,
one fine day..

million thanks for reading n waiting☺️


2 comments:

  1. Ai is shock!
    Apela hasif da buat kt raihan ni
    Nak kena piat tinge nih

    ReplyDelete