June 9, 2009

9


“Aku mencintaimu lebih dari yang kau tahu.. Meski kau takkan pernah tahu..”

Aliff! Berpusing Atia mendengarkan suara itu. Aliff suka menyanyikan rangkap lagu Pupus itu sewaktu di sekolah dahulu. Hanya dua baris itu yang kerap diulanginya biarpun sudah puas Nani dan kawan-kawannya mengata lelaki itu tidak tahu lirik lagu Pupus sepenuhnya.. Tanpa sedar, Ilham di sebelah Atia turut terpusing sama dek kerana pelukan kejap Atia pada lengannya. Tersenyum Ilham pada Aliff yang berada kurang tiga kaki dari mereka. Lelaki itu hanya menggalas sebuah beg kecil. Sempat dia menayangkan peace sebelum tersengih lebar.

“Dah lama sampai?” Tanya Aliff sebaik sahaja mereka mengambil tempat duduk di ruang menunggu. Hingar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tika itu dengan pengumuman yang menjadi halwa telinga hampir setiap waktu.

Atia di belakang Ilham diam tak membalas. Matanya meliar di ruang menunggu itu memerhatikan tingkah laku orang-orang di sekelilingnya. Ilham yang melihatkan tingkah Atia berpaling menghadap Aliff Izwan di sebelahnya. Keningnya dijungkitkan sekali sebelum menjawab, “Takdelah lama mana.. Baru la jugak..”

“Hurmmm..” Aliff Izwan membalas perlahan. “Tia dah sihat?”

Atia mengangguk laju, menyembunyikan dirinya di balik Ilham. Entah kenapa malunya semakin menebal tatkala berhadapan dengan lelaki itu. Aliff Izwan berpandangan dengan Ilham sebelum masing-masing menjungkitkan kening.

“So, bila pulak balik sini lepas ni?” Pantas Ilham bersuara mengusir sepi antara mereka.

“Ingat tak nak balik dah.. Ada orang tu macam tak suka je kita balik...” Aliff Izwan mengerling sekilas pada Atia yang berkerut dahi memandangnya. Tersengih lelaki itu melihatkan Atia menjelir lidah padanya. Ilham ketawa kecil memandang reaksi mereka berdua tanpa kata.

“Korang dua ni, abang kahwinkan karang, baru tahu!”

“Tak mau!” Pantas Atia membalas.

“Alah ingat kita nak ke... Tak inginlaa!” Giliran Aliff Izwan pula menjelirkan lidahnya pada Atia. Gadis itu menjeling Aliff Izwan dan mendengus geram. Dia berpaling ke hadapan, memerhatikan manusia yang bertali arus. Sekumpulan pramugari yang sedang melalui tempat duduk mereka sambil menarik beg masing-masing menjadi tumpuannya saat itu.

“Oitt.. Oitt.. Nak gaduh pergi tempat lain ye..” Tegur Ilham.

Aliff Izwan tersengih. Sporty Quartz biru gelap di pergelangan tangan kanannya dikerling sekilas. Nafasnya dihela perlahan. “Aliff masuk dululah bang..”

“Eh, tak panggil pun lagi.” Celah Atia perlahan. Pantas dia menunduk saat dua pasang mata di hadapannya itu tertumpu padanya.

“Duduk lama-lama pun, kalau orang tak suka nak buat apa..” Hampir tak kedengaran kata balasan itu.

Ilham menggeleng perlahan. Bahunya dijungkitkan sekali sebelum dia bingkas bangun melihatkan Aliff Izwan yang sudah tegak berdiri. “Mama dengan babah mana?”

“Tak datang, bang.. Both dekat Langkawi sekarang ni sebab babah ada conference tiga hari kat sana..”

“Hmmm...” Ilham menganggukkan kepalanya. “Okay, take care ya.” Dijabat tangan anak muda di hadapannya itu. “Balik lagi nanti bagitahulah abang ye.” Sambungnya lagi.

Aliff Izwan mengangguk pantas. Ilham dipeluk erat dan tangannya menepuk belakang lelaki itu beberapa kali. Tawanya meletus tiba-tiba sebelum merungkai pelukannya. Bisikan Ilham tadi mengusik hatinya. Ilham mengenyitkan matanya sekali sebelum menjungkitkan keningnya. Aliff mengalihkan pandangan pada Atia yang diam membisu. Gadis itu masih duduk selesa di tempatnya.

“Tia.. Aku pergi dulu..” Aliff melambai sekali, sebelum berpaling dan berlalu dengan penuh gaya.

Atia memandang sepi. Matanya menghantar langkah lelaki itu sehingga hilang dari pandangan. Petikan jari di hadapan matanya membuatkan Atia menjerit perlahan.

“Abang..!”

“Apa? Kacau?” Ilham menjungkitkan keningnya. “Padan muka. Orang tu ada depan mata endah tak endah aje. Dah hilang baru nak cari..”

Atia diam tak membalas. Getaran telefon bimbit dalam poket baju sejuknya membuatkan tangannya pantas menggagau, mencapai Motorola yang menjadi teman setianya selama ini. Mesej kiriman Aliff dibaca tanpa kelip.

hampehlah ko ni.. hurmm.. neway, i’m gonna miss u.. hardly! nanti klu ko demam, jgn lupa makan ubat.. aku dah takde nak tolong ko lagi.. k, u take care.. daa~

“Aliff..” Atia menggumam perlahan. Setitis mutiara jernih menitis jua akhirnya kerana lelaki itu...


Disember 2010


“Orang tu ada depan mata endah tak endah aje. Dah hilang baru nak cari..” Terngiang-ngiang kata-kata abang Ilham beberapa tahun yang lalu. Mesej terakhir daripada Aliff yang masih lagi dalam inbox Motorolanya dibaca berulang kali saat rindu datang bertandang. Pada Yusra dirisik tentang lelaki itu, tahu kawannya itu berhubungan dengan Hafiz, kawan baik Aliff. Diusir malu yang menjengah demi memuaskan hatinya yang dilanda badai rindu. Dari temannya itu juga dia mengetahui bahawa Aliff tak pernah pulang sejak kali terakhir mereka berjumpa di KLIA tiga tahun lalu.

Menyesal tak sudah mengenangkan betapa kerasnya sekeping hatinya itu. Tidak pernah mahu membalas emel yang dikirimkan lelaki itu saban hari sehingga akhirnya semua emel itu terhenti setelah setahun lelaki itu mencuba. Betapa tegarnya dia sehingga sanggup memadamkan setiap emel yang dikirimkan padanya tanpa membalasnya terlebih dahulu.

Tapi itu dua tahun yang lalu sebelum dia benar-benar memahami erti kehilangan itu.. Dua tahun dia memendam pedih di hati saat Aliff Izwan kembali menyepikan diri. Sekali lagi matanya digenangi mutiara jernih. Dikesat matanya pantas, tak mahu air mata menuruni lekuk pipinya saat itu. Kotak Baldu biru di atas meja di sisi katil mengalihkan tumpuannya.

“Ummi tak paksa Tia. Cuma ummi nak Tia tahu, ummi nakkan yang terbaik untuk anak-anak ummi..”

Kata-kata ummi seminggu yang lalu bermain-main di kepalanya. Tenang ummi menghulurkan kotak baldu yang comel itu ke dalam tangannya. Pilihan apakah yang dia ada saat itu? Pada Aliffkah dia perlu menyandarkan harapan sedangkan lelaki itu hilang tanpa berita.. Sekali lagi... dan kali ini, dia benar-benar tersepit saat dirinya hampir menjadi tunangan orang. Lambat-lambat dia menghela nafasnya. Maafkan Tia, ummi...


*****************


“Aunty minta maaf, Aliff. Tia...”

“No, it’s okay.” Pantas Aliff memintas. “Maybe Tia dah lupa dekat Aliff. Silap Aliff menjauh lama tanpa khabar.”

“Aliff balik next year?”

“InsyaAllah..”

“Tia habis DPLI next year. I guess Aliff boleh cuba lagi sekali..”

Aliff senyum nipis. Cuba lagi sekali? Memang dia akan terus mencuba. Takkan sesekali dia berhenti mencuba selagi hatinya masih berharap..... selagi gadis itu masih sendiri.

Telefon di tangannya dipandang sepi. Sudah hampir setengah jam yang lalu perbualannnya dengan Aunty Aisyah berakhir. Namun, dia masih lagi tersandar di sofa itu, menggenggem erat telefon bimbitnya. Akalnya tak henti memikir. Beberapa ketika kemudian, langkahnya diatur ke bilik yang dihuninya hampir dua tahun sejak dia berpindah ke Seoul National University untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana pula. Diam tak diam sudah lebih lima tahun dia berada di sana. Di Korea. Sudah lima tahun juga dia jauh dari tanah kelahirannya dan dia tak pernah pulang sejak tiga tahun yang lalu..

Komputer riba di atas meja dipasang. Beberapa minit kemudian laju sahaja jarinya menekan butang RealPlayer. Lagu Pupus yang dinyanyikannya dengan petikan gitar mula kedengaran. Aliff Izwan terdiam. Jari jemarinya bermain di dagu, melurut janggutnya yang sejemput itu. Sengaja disimpan janggut, mengingatkan bisikan Ilham padanya suatu ketika dahulu..

“Kau nak ngorat adik tu, kena ada janggut dulu.. Nanti balik lagi sekali, abang kahwinkan terus!”

Meletus tawanya terkenangkan Ilham. Seakan tersuntik semangat yang baru, matanya tertumpu sepenuhnya pada komputer riba di hadapannya itu. Tersenyum dia sambil jarinya lincah menekan papan kekunci dan sesekali jari jemari kirinya bergerak di touch pad komputer ribanya. Satu jam berlalu. Aliff Izwan khusyuk di tempat duduknya. Akhirnya dia tersenyum lebar mengharapkan senyumannya takkan terhenti di situ.

No comments:

Post a Comment