June 29, 2009

Forever Yours 22

“Mati itu sesuatu yang pasti. Kullu nafsin za ikatul maut, setiap yang bernyawa pasti akan mati.. Kita tak boleh lari dari hukum Allah yang ini. Manusia itu pada asasnya terbentuk dengan tiga unsur iaitu unsur pertama, jasad. Unsur kedua dan ketiga, masing-masing adalah batin dan juga roh. Apabila roh meninggalkan jasad dengan izin Allah S.W.T, maka itulah yang disebut...?” Kata-kata Ustaz Abdullah terhenti seketika, sebelum dia kembali menyambung, “Mati..”

Ain diam, menganggukkan kepalanya sekali. Kuliah Subuh yang dihadirinya pada pagi itu berkisarkan kematian. Tersenyum gadis itu melihatkan Falah di sebelah kanannya yang tersengguk-sengguk. Perlahan-lahan dia menarik Falah, membaringkannya di sisi dengan kepala si kecil itu diribanya. Tumpuan kembali diberikan pada Ustaz Abdullah yang sedang menyampaikan tazkirah.

“Ada dua bahagian mati ni. Bukan mati katak atau mati kutu ye muslimin dan muslimat sekalian,”

Kedengaran tawa jemaah surau bergabung menceriakan pagi. Ain tersenyum lebar. Sempat lagi ustaz ni nak buat lawak. Ustaz Abdullah memang sempoi. Tak pernah suram kuliah subuh bersama ustaz muda itu.

“Mati kubra atau bahasa pasarnya mati besar dan juga mati sughra yakni mati kecil. Mati besar adalah meninggal dunia. Adapun mati kecil itu terbahagi dua, yakni yang pertama perginya roh dalam keadaan tak sedar seperti kita tidur, atau ada yang pengsan mahupun koma... dan yang kedua, perginya roh dalam keadaan sedar. Contohnya, saya sekarang tengah bagi tazkirah dekat Surau Al-Amin ni tapi sekejap lagi kawan dekat Madinah call kata nampak saya dekat Masjidil Nabawi.. Tup-tup bilal balik rumah nanti orang rumah dia cerita nampak saya dekat Pasar Tani Prima Saujana pulak. Macam mana Ustaz Abdullah ni boleh ada dekat dua, tiga tempat serentak, dalam masa yang sama.. Pakai magic ke atau dia ada bela apa-apa?”

Kata-kata Ustaz Abdullah yang bernada suspen itu disambut dengan gelak tawa jemaah surau yang hadir. Ain berpandangan dengan ibunya. Mereka berbalas senyuman dan mengalihkan pandangan ke arah penceramah di hadapan. Ustaz muda itu tersenyum sedikit sebelum kembali menyampaikan tazkirah.

“Haa, inilah dia kuasa Allah. Dengan kehendak-NYA, roh kita ni bebas nak makan angin dekat mana-mana pun. Satu konsep yang muslimin muslimat kena faham, perkara sebegini bukannya jadi pada sesiapa sahaja. Ia hanya berlaku pada mereka yang dianugerahkan Allah sahaja disebabkan amalan-amalan mereka.”

Para jemaah menganggukkan kepala, tanda memahami apa yang disampaikan.

“Roh ni, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah..” Suara Ustaz Abdullah kembali kedengaran. “... ada tujuh lapisan. Lapisan yang diperintahkan Allah adalah lapisan yang dilihat, sedang roh induk itu masih lagi berada dalam jasad kita, manusia. Roh induk ni hanya akan keluar bila mana seseorang manusia itu menghadapi kematiannya..”

“Ma...” Rengekan Falah mengalihkan tumpuan Ain. Si kecil itu terpisat-pisat memandang Ain. Pantas Ain menarik Falah, meletakkan tubuh kecil itu diribanya.

“Ya sayang.. Falah nak balik ke?”

Falah mengangguk sedikit. Ain tersenyum mengusap kepala si kecil itu. Seketika dia berkalih pandang pada ibunya di sebelah kiri, mencuit ibu tua itu sedikit.

“Bu,” panggil Ain perlahan.

“Mm?” Puan Faridah memandang dengan sebelah keningnya terjungkit sedikit.

“Bu, Falah nak balik. Rin balik dulu dengan Falah ye, bu.”

“Mm hm.. Nanti ibu balik dengan Cik Yah,” Puan Faridah tersenyum memandang Ain. Falah yang sudah menempel di antara mereka terkebil-kebil. Puan Faridah mengusap pipi Falah penuh kasih. Tersenyum dia memandang si kecil itu. Seketika kemudian hilang bayang kedua-duanya di balik pintu surau. Sempat mereka berbalas salam sebelum Ain dan Falah meninggalkan ruang solat muslimat itu.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


“Ma.. Falah nak kaya, tak nak strawberry..”

“Tak nak strawberry? Falah kan suka jem strawberry..”

“Don’t want..” Falah menggeleng manja. Terbuai-buai rambut ikal yang sudah diikat dua itu.

“Okay,” Ain mengusap kepala Falah sekali. Laju sahaja tangannya mencapai botol sekaya di hujung meja sebelum menyapunya sedikit di atas roti.

“Thanks, ma.. Love you!” Falah tersengih manja, merapatkan tubuh kecilnya ke sisi Ain. Ain tersenyum sedikit, mencuit pipi gebu itu.

“Pandai tau Falah.. Nak balik sebab lapar rupanya..” Usik Ain. Falah tersengih lebar. Ain tersenyum. Tangannya mencapai sekeping roti dari dalam bungusan. “Sayang nak roti lagi?”

“Mmm hmm,” penuh mulut Falah membalas.

Lebar senyuman Ain, seronok melihatkan selera Falah yang makin bertambah setelah tubuh si kecil itu susut selepas kemalangan dua minggu lalu. Herm.. Dua minggu... dan Ammar masih lagi dalam keadaan koma. Entah bila lelaki itu akan kembali sihat seperti sediakala. Tanpa sedar, Ain mengeluh perlahan.

“Ma, papa kata it’s not good to sigh..”

“Hmm?” Ain berkalih pandang pada Falah. “Oo.. Mmm ya..” Ain tersenyum sedikit. Otaknya mula mencerna kata-kata itu. Pantas tangan diangkat mengusap lembut kepala si kecil yang masih enak mengunyah.

“Mama tak nak makan?”

Ain menggeleng perlahan. “Mama dah kenyang tengok Falah makan. So Falah kena la makan banyak-banyak. Baru mama kenyang nanti,” usik Ain manja. Tak puas bermesra dengan Falah biarpun si kecil itu tinggal bersamanya sejak balik dari hospital hampir dua minggu lalu. Pada hari yang sama itulah Ammar dipindahkan dari HRPB ke PPUKM.

“Ma.. Uncle ‘Imad..”

Suara comel Falah membuatkan Ain tersentak. ‘Imad? Nak buat apa dia pagi-pagi ni? Pandangan pelik ditayangkan pada Falah. Sesaat kemudian tangan kanannya menepuk dahi perlahan.

“Ya Allah. Mama lupa..”

Falah tersengih lebar sebelum dia ketawa lepas. Comel. Ain memandang si kecil itu dengan mata yang bulat. Pantas sahaja dia mencuit geram pipi gebu Falah. Dia bingkas bangun, mencapai tudung dan kembali semula ke ruang makan.

“Mana Uncle ‘Im?”

Falah tersengih. “Falah just kata Uncle ‘Imad..”

“Falah!!” Bulat mata Ain memandang Falah. “Mama ingat uncle ‘Im dah sampai..”

Makin lebar sengihan si kecil itu. Dia menggelengkan kepala sedikit.

"Belum sampai lagi, ma..”

Ain menghampiri Falah. Kepala si kecil itu diusap beberapa kali. “Falah buat mama sakit jantung je tau..” Ain mengeelengkan kepala sekali pada Falah yang ketawa perlahan. “Falah dah get ready barang-barang?”

“Ma.. Kalau Falah tak nak ikut, boleh?”

“Sayang.. Tok mama dengan tok abah dah rindu dekat Falah tau.. Falah tak rindu dekat tok mama dengan tok abah?”

Falah terdiam seketika sebelum dia mengangguk lemah. “Tapi Falah nak mama.. Mama tak nak ikut Falah..” Hampir tak kedengaran suara comel itu.

Ain tersenyum sambil mengelus lembut rambut ikal Falah.

“Nanti mama datang tengok Falah jugak.. Bukan lama pun, sayang.. Hmm?”

“Promise?”

“InsyaAllah..”

Lebar senyuman si kecil menghilangkan resah Ain. Kalut juga andai si kecil itu tak mahu tinggal bersama atuk dan neneknya hujung minggu itu.

“Falah makan dulu ye sayang. Mama nak ambil barang-barang Falah..”

“Mmm hmm..” Si kecil itu mengangguk beberapa kali. Ain tersenyum senang..

2 comments: