June 16, 2009

Bayang-Bayang 39


Keriuhan di bawah menarik langkah Dinie Sophea ke arah balkoni di luar bilik. Langkahnya terhenti di hujung balkoni. Dia santai berdiri dengan kedua-dua lengannya bertopang pada tembok tempat dia bersandar.

Dari atas dapat dilihat beberapa buah kenderaan pacuan empat roda milik saudara maranya yang diparkir berhampiran rumah. Mereka di bawah masih lagi rancak berbual biarpun jam telah mencecah ke angka sebelas malam.

Lambat-lambat jari jemari Dinie mengusap cincin platinum bertatahkan berlian indah yang tersarung di jari manisnya di sebelah kiri. Serasa sukar untuk dipercayai dia sudah mendapat gelaran 'Puan' dalam usia yang baru hendak mencecah 22 tahun, awal bulan tujuh nanti.

Tudung di kepalanya dibetulkan sedikit lipatannya. Matanya asyik menatap langit indah bercahayakan bulan dan kerlipan bintang.

"MasyaAllah, Subhanallah.." Ucap Dinie perlahan dengan senyuman yang tak lekang dari seulas bibirnya. Ucapan itulah yang selayaknya tatkala hati amat mengkagumi ciptaan Illahi.

Keletihan pada tubuhnya sedikit pun tidak menghalang Dinie daripada menikmati keindahan malam itu. Makin meleret senyuman itu tatkala mindanya menerawang, terkenangkan perjalanan majlisnya siang tadi. Majlis yang berlarutan sehingga ke malam. Majlis penyatuan dua hati, gabungan pihak pengantin perempuan dan juga pengantin lelaki.

"Jimat.." Sepatah kata yang mengukuhkan lagi idea babah untuk membuat dua kenduri dalam satu majlis mendapat persetujuan Naqib. Naqib yang sememangnya menantu kesayangan ummi, babah, dan mama langsung tidak membantah.

Dinie ketawa kecil. Pertemuannya dengan rakan-rakan Naqib siang tadi menjawab sebahagian persoalan berkenaan suaminya yang seringkali bermain di fikirannya.

Padanlah Naqib lancar menyebut patah-patah perkataan arab. Suaminya itu pernah bersekolah arab selama tiga tahun dan kemudiannya menyambung pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa, sebuah universiti yang pernah menjadi impiannya suatu masa dahulu.

"Abang.. Abang.." Dinie menyebut perlahan. Kepalanya digelengkan beberapa kali dengan senyum yang masih lagi terukir di wajahnya.

Segala usikan Naqib siang tadi jelas terlayar di mindanya. Bahagia tetap terasa biarpun sedikit geram dengan tingkah suaminya itu. Naqib memang kuat mengusik! Pantang dilihat ada kelapangan, pasti takkan dibiarkan masa itu berlalu begitu sahaja.

"Aaaahhh!!" Dinie terjerit sedikit kuat.

Mujur ada tangan yang pantas menutup mulutnya saat itu. Jika tidak pasti keluarga di bawah kehairanan mendengarkan jeritannya. Rangkulan di pinggangnya membuatkan Dinie melepaskan nafasnya perlahan-lahan. Naqib di sebelah dipandang dengan sepasang mata yang sudah bulat.

"Abang!" Dinie menepuk geram lengan Naqib yang merangkul kemas pinggangnya.

Naqib hanya tersengih. Keningnya dijungkitkan beberapa kali. Pecah tawa lelaki itu saat matanya menangkap raut wajah isterinya yang sudah memuncung.

"Terkejut Piya tau. Nasib baik tak kena heart attack! Kalau tak, tinggallah abang sorang-sorang." Dinie melepaskan geramnya, lebih-lebih lagi mendengarkan tawa nakal Naqib.

"Abang dengar Piya seru abang tadi.." Balas Naqib selamba. "Tak mau la marah sayang..." Naqib mendekatkan wajahnya pada isterinya itu.

Dinie menolak perlahan. Mahu menganjakkan sedikit kedudukannya, sah-sah tidak boleh dengan rangkulan Naqib tika itu.

"Piya kenapa tak tidur lagi? Tunggu abang ea..." Naqib masih lagi mahu mengusik Dinie.

Tidak puas disakat isteri kesayangannya itu siang tadi. Ada saja modalnya untuk mengenakan Dinie. Sudahnya, dia hanya berhenti tatkala melihatkan birai mata isterinya itu sedikit berkolam. Mata bundar itu berkaca seketika sebelum terlakar semula keceriaan di dalamnya.

"Sayang tunggu abang kan..?" Ulang Naqib lagi melihatkan tiada reaksi daripada Dinie.

Dinie mencebik. Kepalanya dipalingkan menghadap Naqib yang rapat di sebelah kirinya. Suaminya itu sudah berkain pelekat dan berbaju melayu. Haruman minyak atar yang biasa dipakai Naqib sebelum bersolat mengundang senyum di bibir Dinie.

Entah bila Naqib masuk ke bilik, mandi dan bersalin pakaian, dia pun kurang pasti. Jauh lamunannya tadi. Sentuhan lembut di pipi membuatkan Dinie tersentak.

Naqib ketawa kecil. "Piya tengok apa ni? Dah habis scan abang?"

Tersipu malu Dinie mendengarkan usikan Naqib. Tertunduk dia memandang tangan kirinya yang berada dalam genggaman tangan kiri suaminya itu.

"Piya dah solat isyak?" Tanya Naqib lembut.

"Belum.. Piya tunggu abang." Tersenyum senang Naqib mendengarkan jawapan yang hampir tak kedengaran itu.

Rangkulan Naqib di pinggang beralih pada bahu isterinya itu. Lembut rangkulan itu sebelum dia melentokkan kepala Dinie ke bahunya.

"Thanks sayang.." Lembut tutur kata Naqib, sepatah-sepatah.

"Hmm?"

"Thanks a lot untuk kepercayaan Piya pada abang, thanks for everything.. You are everything to me.." Luah Naqib penuh perasaan. Bahu Dinie di sebelahnya ditepuk-tepuk perlahan.

Terdiam Dinie seketika sebelum seulas bibir itu mengeluarkan patah-patah perkataan, "Thanks to HIM, abang.." Lembut kata-kata itu mencecah gegendang telinga Naqib.

"Piya tahu tak, abang betul-betul sayang dekat Piya.. I’m really in love with you and I don’t think that I can live without you.. Tapi.. If I’m not around....."

Dinie terkelu. Pantas tangan kanannya mencapai tangan kiri Naqib yang bersulam dengan tangan kirinya. "Abang, kenapa cakap macam tu.."

Naqib tersenyum. Ubun-ubun kepala isterinya yang dilitupi tudung dikucup lembut. Dinie menegakkan kepalanya dan memandang ke arah Naqib.

Pandangan yang penuh tanda tanya itu dibalas dengan senyuman. Ketenangan yang dizahirkan Naqib tika itu mengundang perasaan yang bercampur baur dalam diri Dinie.

"Jom masuk, solat isyak.." Pantas Naqib bersuara sebelum sempat Dinie memuntahkan kata-katanya.

Terangkat kening Dinie sekali. Lambat-lambat langkah kakinya diatur mengikut rentak kaki Naqib.

"Abang ambil wudhuk dulu ye sayang.." Naqib menghilang di balik pintu bilik air meninggalkan Dinie terduduk di birai katil, resah memikirkan sebaris kata yang meninggalkan tanda tanya.


*******************


"Bang, bangun bang.." Panggil Dinie lembut.

Hujung Kaki Naqib yang dibaluti selimut disentuh perlahan. Pelik dia melihatkan Naqib yang masih lagi berbaring di katil sesudah Naqib mengejutkannya lewat azan subuh tadi.

"Abang.. Dah habis azan subuh ni.." Panggil Dinie sekali lagi.

Naqib mengiringkan badannya ke arah Dinie yang sudah melabuhkan punggungnya di birai katil. Tangannya menggapai, mencari tangan isterinya itu. Bibirnya seakan ingin menuturkan kata tapi tak kedengaran.

"Piya dah ada wudhuk bang.." Dinie bersuara lembut sambil mendekatkan kepalanya pada Naqib, mahu mendengar butir kata suaminya itu.

"Lima minit lagi? Abang sakit kepala?"

Dinie mengerling jam yang tergantung di dinding. Jarum panjang berada di angka satu manakala jarum pendek sudah mencecah ke angka enam.

"Abang tidur dulu, sekejap lagi Piya kejut abang balik ye.." Pergerakan Dinie terhenti saat lengannya ditarik perlahan. Pantas pandangannya dialihkan pada Naqib. Kepalanya ditundukkan rapat ke bibir Naqib sesudah dia kembali duduk di sisi suaminya itu.

"Hmm? Abang boleh tak nanti ? Hmm.. Okay, Piya tunggu abang.."

Dinie mengemaskan duduknya di sebelah Naqib. Matanya menatap wajah Naqib yang tenang. Sesekali kerutan halus terlukis di dahi Naqib. Serentak dengan itu suaminya meletakkan tangan kanan di dahi dan bibirnya terkumat–kamit membaca sesuatu.

Leka Dinie melihat suaminya saat itu. Jari-jemari halus miliknya mengambil alih pergerakan tangan suaminya tadi. Perlahan-lahan dia mengurut kepala Naqib. Dari pelipis ke atas kepala. Penuh berhati-hati pergerakannya.

Asyik melayan perasaan, Dinie membiarkan mutiara jernih yang sedari tadi bergenang di bibir matanya mengalir membasahi pipi. Setitis demi setitis jatuh menuruni lekuk pipinya. Pantas diseka air matanya agar tidak terkena pada Naqib di sebelahnya. Namun sepantas mana pun diseka air mata itu, sedu-sedannya tetap mencecah ke telinga Naqib.

"Piya.." Panggil Naqib lembut. Matanya sudah terbuka luas. Lambat-lambat badannya ditegakkan dan dia bersandar di kepala katil.

"Sayang.. Kenapa ni.." Naqib memanjangkan tangannya ke wajah Dinie. Diusap wajah itu penuh kasih sayang. Gelengan perlahan Dinie membuatkan Naqib tersenyum sedikit.

"Abang tak apa-apa la.." Pujuk Naqib perlahan, faham dengan onar di minda isterinya.

Dinie menegakkan kepalanya, memberanikan diri menentang sepasang anak mata hitam itu. 'Kata abang.........' Bisik hati kecil Dinie. Rungutan Nuha suatu ketika dahulu semasa pertemuan pertama mereka berlegar-legar di ruang fikirannya.

"Getting better?" Tanya Dinie lembut, tak mahu melayan persoalan yang bermain di kepalanya.

"Hmm.. Piya ambil wudhuk dulu.. Abang guna toilet dekat luar.." Naqib tersenyum sedikit biarpun nampak kelainan pada senyuman itu.

Dinie bingkas bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Langkah kakinya dihantar dengan pandangan mata Naqib yang mengekori setiap langkah itu hingga kelibatnya hilang di balik pintu.

Sejurus kemudian, Naqib pun turut sama bangun, mencapai tuala yang tersangkut di penyidai dan melangkah ke luar bilik. Sempat matanya mengerling jam yang tergantung.

Sudah menghampiri enam setengah pagi! Naqib memanjangkan langkahnya, tidak mahu melewatkan waktu subuhnya.

Usai solat, pasangan pengantin baru itu beriringan turun ke bawah. Masih sunyi suasana di rumah Encik Adli awal subuh itu. Ahli keluarga yang lain masih lagi di bilik masing-masing. Naqib menarik perlahan lengan isterinya yang sudah berkira-kira untuk ke dapur.

Dinie mengalihkan pandangan pada Naqib dengan sebelah keningnya terangkat sedikit. Naqib tersenyum. Matanya menatap wajah isterinya yang dilitupi tudung hitam bercorak abstrak lembut berwarna merah. Baju muslimah labuh berwarna kelabu yang dipakai Dinie kala itu membuatkan senyum Naqib bertambah lebar.

"Jom keluar.."

Bulat mata Dinie menatap wajah Naqib yang berdiri dua kaki di hadapannya. "Abang dah okay ke? Tak sakit kepala lagi?" Tanya Dinie laju.

Naqib hanya tersenyum. Dinie melepaskan nafasnya perlahan. Lambat-lambat kakinya melangkah menghampiri Naqib.

"Biar Piya drive, okay?" Naqib menganggukkan kepalanya perlahan. Senyuman masih tak lekang daripada seraut wajah yang tenang itu. Kunci kereta dari dalam poket seluarnya dikeluarkan dan dihulurkan pada Dinie.

Ahh abang.. Selalu ready dengan planning dulu.. Hati Dinie berbisik saat tangannya menyambut huluran kunci itu. Dia tersenyum memandang Naqib.

Mereka berbalas senyum sebelum bergandingan ke luar rumah. Beberapa minit kemudian Honda Jazz biru milik Naqib meluncur keluar dari rumah itu.


*******************


"Abang, masa abang sakit kepala tadi tu abang buat apa? Baca apa?"

Keheningan pagi itu memaksa Dinie menyuarakan rasa ingin tahunya. Matanya dikerlingkan pada Naqib yang sedang bersandar di pintu kereta sambil memeluk tubuh. Mereka hanya bersantai di atas bukit menikmati pemandangan pagi yang masih lagi berkabus.

Naqib mengalihkan pandangannya pada Dinie yang sedang duduk di atas batu di hadapannya. Langkahnya diatur kemas menghampiri Dinie. Dicapai tangan isterinya dan dia bertinggung di hadapan isterinya itu.

"Piya nak tahu?" Pantas sahaja Dinie menganggukkan kepalanya. "Dulu masa belajar, kawan abang ada ajar doa untuk merawat diri sendiri. Caranya macam yang abang buat tadi. Piya nampakkan.. Tangan kanan, letak kat tempat yang kita rasa sakit.." Naqib meletakkan tapak tangan kanannya pada dahi isterinya. "Lepas tu baca Bismillah tiga kali, then, baca doa tujuh kali.." Sambung Naqib sebelum mengalihkan kedudukan tapak tangannya.

"Doa apa?" Laju Dinie bertanya. Naqib tersenyum senang.

"Doanya, nanti abang ajar Piya.. Maknanya, aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-NYA dari keburukan apa yang aku rasakan dan aku takutkan.."

"Hmm.." Terangguk-angguk Dinie sebelum menyambung, "Abang jangan lupa ajar Piya tau.." Naqib mengusap perlahan kepala isterinya itu. "Abang.. Rosak tudung.."

Pecah tawa Naqib. Laju tangannya mengusap lagi kepala isterinya itu sebelum dia bingkas bangun. Dicapai tangan isterinya, ditarik perlahan tangan itu, memaksa Dinie untuk turut sama berdiri di sisinya. Tangan kanan Naqib merangkul erat pinggang isterinya.

"Sayang Piya.." Naqib mencuit pinggang isterinya itu tiba-tiba, membuatkan Dinie terjerit kecil, terkejut dengan tindakan spontan itu.

Dinie menepuk perlahan tangan Naqib yang erat di pinggangnya. Lambat-lambat bibirnya menguntum senyum. Senyum yang lahir ikhlas dari hati.

Tenang yang dirasai ketika bersama suaminya membuatkan dia terlupa segalanya, mengharapkan ketenangan itu membawa lari segala kebimbangan seperti kabus yang semakin hilang di balik awan..


No comments:

Post a Comment