June 9, 2009

Forever Yours 8


“Eh, dah balik ke Falah dengan Encik Ammar..” Ain bersuara perlahan saat telinganya menangkap bunyi hon kereta. Cepatnya.. Kata nak pergi banyak tempat hari ni.. “Eh, tapi kenapa hon-hon pulak ni..”

Berkerut dahi gadis itu mendengarkan bunyi hon yang bertalu-talu tanpa henti. Pantas dia membasuh tangannya yang bersabun dan mengatur langkah dari dapur ke bahagian hadapan. Panjang langkah Ain, mengukur lantai marmar tuannya.

“Sa...” Suaranya terhenti melihatkan susuk tubuh seorang wanita yang keluar dari sebuah kereta mewah yang diparkir di hadapan rumah tuannya itu. Wanita yang memakai blaus merah darah mengikut bentuk badan yang dipadankan dengan skirt hitam sendat itu masih lagi tegar menekan hon biarpun pintu rumah sudah terbuka luas.

“Ei.. Makcik sorang ni! Buta ke apa?! Bising betul tekan-tekan hon banyak kali.. Siang-siang pun pakai spek hitam, manalah nak nampak aku yang tercongok kat depan pintu ni..” Ain merungut geram sambil menyarungkan selipar ke kakinya. Dia berjalan pantas menghampiri pintu pagar utama. Perempuan ni! Langkahnya mati di hadapan pintu pagar utama yang sudah terbuka luas. Kaku dia melihatkan wanita itu yang melangkah laju mendapatkannya. Seraut wajah Pan-Asia yang pernah singgah di kornea matanya masih lagi terpahat kukuh dalam memori jangka panjangnya. Mana mungkin dia dapat melupakan wanita itu yang pernah memalukannya di khalayak ramai hampir sebulan yang lalu..

“Ammar mana?” Jerkahan wanita itu membuatkan Ain tergamam. Belum sempat dia menjawab, pipinya ditampar kuat sebelum tubuhnya ditolak tanpa isyarat. Ain jatuh terduduk sambil tangan kanannya mengusap pipi yang ditampar tetamu tak diundang itu. “Budak kampung tak sedar diri! Kau jangan nak menggatal! Jangan mimpi kau nak dapat Ammar senang-senang!” Jeritan wanita itu kedengaran membingitkan. Ain yang mendengar, terpinga-pinga tak tahu hujung pangkal. “Pekak ke?!” Wanita itu mencekak pinggang dengan matanya yang dilindungi kaca mata hitam terarah pada Ain yang terkial-kial hendak bangun.

“Cik...”

“Apa cik-cik?! Ingat aku kawan kau ke? Panggil aku Tengku!”

Ain yang menadah telinga serasa ingat ketawa melihat urat-urat hijau yang timbul di leher wanita itu setiap kali dia meninggikan suaranya. Dia menghela nafasnya perlahan sebelum menyusun kata. “Tengku, Encik Ammar tak ada sekarang..” Lembut Ain membalas, mengharapkan wanita itu dapat menenangkan dirinya.

“Good!” Ada senyum sinis yang terbentuk pada bibir menawan itu. Wanita itu mara ke arah Ain yang sedang mengibas-ngibas belakangnya. Sekali lagi tangannya menolak kasar tubuh lampai Ain.

“Aduuhh!” Ain mengaduh kuat. Belum sempat menjauh sengal yang dihadiahkan wanita itu pada awal pertemuan mereka tadi, Ain menjadi mangsanya lagi. Kali ini tangan gadis itu ditarik kasar. Dia diseret tanpa rela ke halaman rumah di sayap kanan yang agak terlindung dengan pokok-pokok bunga hiasan. “Apa salah saya, Tengku?” Tanya Ain perlahan, tidak tahan diperlakukan sedemikian.

“Budak kolot! Kau patut sedar diri tu sikit!!” Terjegil mata wanita itu sebaik sahaja dia menanggalkan kaca mata hitamnya dan menyelitkan ke dalam beg tangan Gucci yang digalas di bahu kirinya.

“Apa salah saya? Saya tak kenal pun siapa Tengku..” Ain menjawab tenang.

“Kau boleh tanya apa salah kau?! Memang budak kampung kolot yang tak sedar diri!” Jerkah wanita itu sambil menunjal kepala Ain yang bertudung litup warna coklat gelap. Tudung di kepala gadis itu tidak lagi terletak elok seperti sebelumnya.

“Saya tak ada buat salah dekat sesiapa..” Balas Ain dalam ketenangan, tanpa sebarang nada. Wanita itu menunjal kepala Ain sekali lagi. Terbuntang matanya melihatkan ketenangan gadis itu.

“Kau jangan nak menjawab ikut sedap mulut je ye! Kau dengar ni baik-baik. Aku nak kau tinggalkan rumah ni! Tinggalkan Ammar!”

“Tak boleh.” Pantas Ain menjawab. Dia menunduk sedikit, membetulkan kedudukan tudung di kepalanya. Sekejapan, bekas penyiram air yang diletakkan di tepi pasu bunga dicapai laju oleh wanita angkuh itu yang sedang berdiri di hadapan Ain. Tanpa sebarang isyarat, dia menyiram gadis yang masih lagi terduduk di hadapannya itu. “Ya Allah!” Terjerit Ain sambil tangannya laju sahaja mengibas air di kepalanya. “Gila ke?!” Ain bersuara kuat, memberanikan diri menentang pandangan wanita itu.

“Apa kau kata?!”

Tak sempat mengelak, tubuh Ain sekali lagi ditolak kasar. Kuat bunyi kepalanya berlaga dengan pasu bunga di belakangnya. Sekali lagi Ain mengaduh. Tapi kali ini kedengaran lemah suaranya.

“Wei perempuan! Kau ingat ye. Aku tak nak nampak muka kau dekat rumah ni lagi! Aku tak nak nampak kau dekat dengan Ammar! Faham?” Ain yang mendiamkan diri dipandang tanpa kelip. “Kalau kau nak selamat, baik kau dengar cakap aku. Kau faham tak, budak kampung!” Kaki Ain disepak perlahan. “Wei! Pekak ke?!” Jerkahan wanita itu membuatkan Ain terperanjat. Lambat-lambat kepalanya menggeleng perlahan. “Kau jangan nak degil. Baik kau dengar cakap aku kalau nak selamat!” Wanita itu memijak kaki Ain pula dengan kasut tumit tingginya yang runcing di bahagian hadapan sebelum berlalu dengan langkah yang penuh keangkuhan. Dia menapak laju ke keretanya dengan penuh gaya tanpa menoleh ke belakang, meninggalkan Ain yang terbaring kesakitan.

Ain hanya memandang langkah wanita itu dengan mata yang bergenang, mengenangkan nasib hidupnya. Batang tubuh wanita itu yang menyusup masuk ke dalam BMW 6 Series Coupe Black Sapphire yang diparkir di hadapan rumah dipandang sepi. Perlahan-lahan Ain bangkit dari baringannya. Hatinya mengucapkan syukur, melihatkan kereta mewah itu yang meluncur pergi dari situ. Air mata yang mengalir laju di pipinya diseka pantas. Ain teresak seketika sebelum dia bingkas bangun dan berdiri tegak. Kepalanya yang terasa seperti memberat dipegang perlahan. “Aduhh..” Ain mengaduh lagi buat kesekian kalinya saat terasa sakit pada tempat yang diusap seketika tadi. Langkahnya diatur lemah ke dalam rumah. Daun pintu bilik sederhana besar di hujung dapur yang menjadi tempat rehatnya di rumah itu ditolak perlahan. Pantas dia menarik tudung di kepala sebaik sahaja pintu bilik itu ditutup rapat. Tangannya menyapu belakang kepalanya sekali lagi. Bulat mata Ain melihatkan darah pada tangannya. “Ya Allah!” Terpacul kalimah kebesaran itu tika dia mengetahui punca kesakitan yang terasa di kepalanya. Lambat-lambat langkahnya diatur ke bilik air, bertemankan mutiara jernih yang berjujuran di pipi.

________________________________________________________________________


“Nashreen?” Sepatah kata yang keluar dari bibir Ammar membuatkan Falah mengalihkan pandangan pada papanya.

“What papa?”

Ammar senyum tawar. Diusap lembut kepala Falah. “Tak ada apa-apa..”

“You are not talking to me, are you?” Petah si kecil itu membalas.

“I’m talking to myself, sayang..” Ammar tersengih memandang Falah yang tersenyum lebar. Si kecil itu kembali leka pada pemandangan di luar kereta.

Apa Nashreen buat dekat sini? Dia bukannya ada kawan dekat area ni.. Berkerut dahi Ammar memikirkan kehadiran Nashreen di kawasan rumahnya biarpun kereta bekas isterinya itu sedang menghala ke luar kawasan waktu itu. Seketika kemudian, kata-kata Nashreen, ugutan dan sistem pesanan ringkas yang semakin kerap diterima daripada wanita itu menyerbu ke fikirannya. Ammar tersentak. Ain! Pantas tangan Ammar menggagau poket seluarnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Laju sahaja dia menekan speed dial pada papan kekunci telefon bimbitnya itu.

“Papa, mana boleh pakai telefon while driving..”

Belum sempat Ammar melekapkan telefon bimbit itu ke telinganya, suara comel Falah kedengaran memberi amaran. Ammar tersengih. Kalau diikut hati, mahu sahaja dia mengatakan ada kecemasan tetapi sebolehnya dia tidak mahu Falah terikut dengan perbuatan negatif itu. Pantas telefon bimbit di tangannya disuakan pada Falah.

“Sayang, tanya mama okay ke tak?”

Berkerut dahi si kecil itu mendengarkan permintaan papanya. Namun, pantas sahaja tangan comel itu menyambut telefon bimbit papanya dan melekapkan ke telinganya. “No answer, pa..” Falah bersuara perlahan.

“Cuba lagi sayang.. Tekan nombor tiga tu..” Sesekali Ammar mengerling pada puteri kesayangannya yang terkial-kial menekan butang pada papan kekunci sebelum melekapkan Nokia E65 itu ke telinganya. Beberapa ketika menunggu, masih tiada jawapan. Melihatkan gelengan Falah, Ammar mengusap kepala si kecil itu seraya berkata, “Last try sayang..” Falah tersenyum dan menekan papan kekunci sebelum melekapkan telefon bimbit itu ke telinga kirinya semula.

“Mama!!” Riang suara si kecil saat terdengarkan suara Ain yang menjawab panggilan itu. “Assalamualaikum, ma..” Tersipu-sipu Falah. Ammar tersenyum nipis, tahu si kecil itu pasti ditegur mama In nya. “Ma, are you okay?” Seketika kemudian Ammar mengalihkan pandangannya pada Falah. Falah mengangguk-anggukkan kepalanya seakan sedang berinteraksi empat mata dengan mamanya itu. “Nothing.. Papa suruh tanya.. Falah on the way to Teacher Ju’s house..” Falah tergelak kecil sebelum menyambung, “No, Falah lagi comel.. Nanti mama bagi Falah baby, mesti lagi comel dari baby Teacher Ju..” Si kecil itu tersengih lebar. Bulat mata Ammar memandang buah hati kesayangannya itu. Tak tersangka kata-kata itu yang akan keluar dari bibir comel Falah. “Okay, ma.. Falah dah sampai rumah Teacher Ju..” Terangguk-angguk lagi si kecil itu beberapa kali. “Hmm.. Falah tak nakal.. Okay, waalaikumussalam..”

“Tolak handphone tu sayang, tutup balik..” Ammar menyambut huluran telefon bimbitnya sebaik sahaja Falah menuruti kata-katanya. Si kecil itu tersengih lebar seakan puas hati dapat berbicara dengan mama In nya. “Mama okay?” Tanya Ammar perlahan.

“Okay tapi selesema sikit..” Jawab Falah ringkas.

“Selesema?” Ammar bersuara pelik. Awal pagi tadi dia meninggalkan gadis itu sihat walafiat.. “Mama kata mama selesema ke?”

Falah menggelengkan kepalanya laju. “Falah dengar suara mama macam suara tok mama tadi.. Tok mama kan selesema..”

Ammar ketawa perlahan dalam keresahan. Musykil dengan teori si kecil itu. Mamanya memang sedang selesema, berjangkit daripada abah. Tapi Ain.. Selesema atau... Ammar menghela nafas perlahan. Keretanya yang telah diparkir bertentangan pagar rumah sahabatnya itu, dimatikan enjin. Dia mendukung Falah dan segera keluar dari kereta. Falah diturunkan sebaik sahaja si kecil itu bising hendak berjalan sendiri. Alarm kereta dihidupkan sebelum dia menapak ke rumah Bakhtiar dan Juliana. Salam diberi dan beberapa ketika kemudian, bayang dua beranak itu hilang di dalam rumah berkembar dua tingkat di kawasan elit itu.

________________________________________________________________________


Keriuhan di luar bilik memaksa Ain mengangkat kepalanya. Jam dinding Quartz yang tergantung berhampiran pintu bilik dikerling sekilas. Hah! Pukul sembilan dah! Ya Allah.. Ain menyapu wajahnya perlahan sebelum menggosok matanya. Dia bingkas bangun menegakkan badannya, menyandar di kepala katil. Sakit di kepalanya semakin berkurangan. Derai tawa Falah membuatkan Ain tersenyum nipis. Usai kepulangan tetamu tidak diundang itu petang tadi, dia telah menyiapkan segalanya termasuk makan malam tuannya dan si kecil Falah. Hampir jam tujuh, dia sudah bersiap untuk pulang ke rumahnya dan hanya menanti kepulangan Encik Ammar. Entah bila dia terlelap hingga terlajak tidurnya. Mujur dia mamnuq... dan entah bila pula dua beranak itu pulang ke rumah.. Lena betul tidurnya tadi. Hishh.. Kalaulah ibu tahu aku tidur petang-petang, mesti kena marah.. Nurin tak sengaja terbabas, bu.. Sakit betul kepala tadi.. Ain tersenyum sedikit membayangkan ibunya berada di hadapannya tika itu. Lambat-lambat gadis itu bingkas bangun dan berdiri tegak di sisi katil.

“Mama!” Suara ceria Falah yang kedengaran di balik pintu membuatkan pandangan Ain terarah pada si kecil itu. Falah menutup daun pintu rapat-rapat sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik. “Mama dah bangun?”

Ain tersenyum. “Sini sayang..” Panggil Ain lembut, menggamit si kecil Falah. Falah pantas menghampiri dan memeluk Mama In nya. Sekelip mata si kecil itu sudah berada dalam dakapan Ain. “Sayang dah makan?” Falah mengangguk laju. “Papa?” Sekali lagi si kecil itu mengangguk dengan sengihan lebar.

“Papa suap Falah tadi..”

Ain mengusap kepala Falah sebelum dia duduk di birai katil dan meletakkan si kecil itu di hadapannya. “Falah balik pukul berapa?”

“Masa maghrib tadi.. Around 7.30.. Papa nak balik awal sikit tapi Falah nak tengok baby.. Baby Teacher Ju asyik tidur je..” Memuncung Falah, menggambarkan kehampaan si kecil itu. Ain ketawa perlahan. Pipi gebu Falah dicubit geram.

“Falah datang tak kena waktu.. Baby kan kena tidur lama, sayang..”

Falah tersengih. Namun sengihannya mati tiba-tiba. “Mama sihat?”

Pertanyaan Falah menimbulkan garisan halus di dahi Ain. “Kenapa sayang tanya?”

“Sebab mama tidur.. Lama pulak tu.. Mama kan tak bagi Falah tidur waktu senja.. Lagipun mama tak sedar langsung masa Falah balik dengan papa. Falah panggil mama tapi mama tak nak bangun. Papa tak bagi Falah kejut mama. Papa kata mama sakit..” Panjang lebar jawapan yang diberi. Si kecil itu sudah duduk di riba Ain sambil mengusap pipi mama In nya itu. Ain tersenyum sedikit. Terharu dengan belaian Falah selain perhatian si kecil itu padanya.. Kenapa pulak Encik Ammar kata aku sakit.. Berkerut dahi Ain tiba-tiba, mengenangkan ayat terakhir Falah tadi. Dia masuk bilik ni ke? Hmmm.. Tak laratlah aku nak fikir lagi.. Ain mengusap kepalanya sekali sebelum meletakkan Falah ke atas katil semula.

“Falah, mama nak mandi kejap. Falah nak tunggu mama?” Tersenyum Ain melihatkan Falah yang menganggukkan kepalanya beberapa kali.

Tuala di penyidai ditarik laju. Sepasang baju kurung warna hijau pucuk pisang berbunga kuning yang tergantung di dalam almari dikeluarkan dan dia segera masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri sebelum pulang ke rumahnya. Sepuluh minit kemudian, Ain keluar dari bilik air. Matanya terarah pada Falah yang sudah tertidur di tengah katil. Tuala di tangannya disidai kembali pada ampaian kayu di tepi bilik air. Perlahan-lahan langkahnya diatur menghampiri si kecil itu dan dia menghenyakkan tubuhnya dibirai katil. Comforter ditarik rapat, menyelubungi Falah. Rambut si kecil itu yang menutupi dahi ditolak lembut. Kepala Falah yang bertocang satu diusap perlahan sebelum dia merapatkan bibirnya ke dahi si comel itu. Matanya yang memberat membuatkan Ain turut berbaring di sisi Falah. Kain baju kurungnya ditarik sedikit sebelum dia mendakap si kecil yang sedang enak diulit mimpi di sebelahnya itu. Tanpa dipaksa dan seperti ditarik-tarik, matanya tertutup rapat. Tidurnya lena sambil mendakap si kecil Falah yang sudah nyenyak, tanpa dia sedar lampu bilik itu ditutup Ammar. Ain kembali menjadi puteri beradu di istana tuannya itu..

1 comment:

  1. aloh2..
    ciannyer kat ain...
    nape la si nashreen tu jahat sgt..
    x phm tol ar...

    ReplyDelete