March 6, 2011

Bayang-Bayang [end]




“Ini sebahagian daripada masalah neurolinguistik, puan. Kecederaan pada bahagian hadapan sebelah kiri otak menjadi punca Encik Naqib sukar untuk menghasilkan pertuturan,”


Dinie Sophea mengangguk lemah mendengarkan penjelasan itu. Namun, hati tetap bersyukur suaminya masih diberi peluang untuk bersama mengumpul bekalan buat hari kemudian, bersama membimbing zuriat yang diamanahkan.


“Puan jangan risau,” melihatkan reaksi Dinie, doktor lelaki separuh abad itu pantas menyambung kata, “Encik Naqib akan diberikan terapi pertuturan dan bahasa bagi memulihkan masalah pertuturan yang dihadapi. InsyaAllah, semuanya atas izin-Nya juga. Kita banyakkan berdoa. DIA maha berkuasa atas segala sesuatu. Encik Naqib sedar dari koma ini pun atas izin-Nya juga dan ini antara keajaiban yang pernah saya alami sepanjang perkhidmatan saya. Puan usah terlalu risau,” bersama senyuman yang meyakinkan, doktor yang memakai tanda nama Saifullah itu menoktahkan kata.


Bicara yang tersusun berlapiskan kata-kata nasihat itu ternyata mengembalikan semangat Dinie Sophea. Bakal ibu itu mengangguk sekali sambil menguntumkan senyum. Penuh yakin. Ucapan terima kasih dilafazkan tenang sebelum dia melangkah ke luar, menuju ke lif. Adhana dan Huda Nuha sedang menunggu di bawah untuk pulang bersama ke rumah.


Seawal subuh pada keesokan harinya dia akan kembali ke situ untuk bertemu kekasih hati. Tersenyum dia teringatkan Naqib yang sudah tertidur saat mereka datang melawat seketika tadi. Langkah kaki diatur berhati-hati masuk ke perut lif yang terbuka luas. Pintu lif kembali tertutup rapat kemudiannya.


*********************


“Assalamualaikum abang,” Sebuah senyuman manis diukirkan buat suami tersayang. Dinie berjalan perlahan-lahan mendapatkan Naqib yang duduk bersandar di kepala katil. Terkumat-kamit lelaki itu membalas salam tanpa suara. Dia turut tersenyum. Jururawat di sisi katil pula sedang mencatat sesuatu di dalam bukunya. Dia mengangkat kepala sedikit, bertukar senyum sebelum bersuara menyapa Dinie.


“Awal datang hari ni, dik,”


Dinie mengangguk, mengiyakan sapaan jururawat itu. Aron Dino bertali kulit halus biru gelap di pergelangan tangan kanan dipandang sekali. Masih awal subuh. Baru pukul tujuh.


“Saya ada exam pukul 9 nanti, kak,” Dinie membalas mesra. “Singgah sini dulu, ambik berkat,” ketawa Dinie menghabiskan kata sambil meraih tangan kanan suaminya. Dicium belakang tangan lelaki itu sebelum kepalanya diusap Naqib perlahan.


“Macam mana abang hari ni?”


Naqib tersenyum, menjungkitkan keningnya sekali.


“Cik abang awak ni semangatnya kuat. Akak rasa dalam hujung minggu ni atau awal minggu depan dah boleh check out,”


“Check out kak?”


Dinie ketawa perlahan. Jururawat yang memakai tanda nama Junaidah itu tersengih lebar, mengerdipkan mata.


“Check out la lebih kurang. Berbulan dah Encik Naqib dekat sini. Rasanya semua nurse dekat floor ni kenal pesakit bilik Anggerik 11B. Pasti semua akan merindui kalian,”


“Merindui?” Lurus Dinie bertanya.


Junaidah ketawa perlahan dan mengangguk. Dinie tersenyum sedikit sebelum tersengih melihat reaksi Junaidah. Naqib yang lebih banyak mendengar dari bersuara turut sama tersengih.


“Oh ya, sebelum akak terlupa. Hari ni therapy awal sikit. Pukul lapan dah boleh turun,”


Dinie mengangguk sekali. Dia tersenyum lagi.


“Akak keluar dulu,”


“Em hm. Terima kasih, kak,”


Langkah Junaidah dihantar dengan lirikan mata sehingga ke muka pintu. Daun pintu kembali tertutup rapat. Dinie yang sedang berdiri di sisi katil berkalih pandang. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di birai katil. Meleret senyum Dinie melihat Naqib yang berwajah ceria.


Naqib membalas senyum. Lelaki itu mengangkat tangan kanannya perlahan-lahan, berusaha menggenggam lembut tangan kiri isterinya. Tak sekejap dulu. Dinie mengerdipkan matanya sekali sebelum tangan kanannya melekap kemas di atas tangan Naqib yang cuba menggenggam erat tangan kirinya itu.


“Alhamdulillah, abang dah banyak perubahan. Dah boleh genggam tangan Piya.. Berkat abang tak usik Piya agaknya,” Dinie mengusik Naqib. Dia tertawa tak sampai sesaat sebelum bibirnya meleret senyum. Tangan diangkat sedikit mencuit hidung suaminya. Naqib tersengih menayangkan gigi. Matanya dijegilkan sekali sebelum dia kembali tersengih.


“Abang dah makan?”


Naqib menggeleng. “A- Aw- Aww- Awal,” Sepatah-sepatah Naqib mencuba untuk bersuara.


Dinie mengangguk laju. Faham dengan apa yang hendak disampaikan lelaki itu. “A’ah la. Piya lupa. Awal lagi. Piya saja datang awal hari ni sebab ada last paper sekejap lagi, pukul sembilan.”


Dinie tersengih memandang Naqib yang tersenyum sambil menganggukkan kepala sekali.


“Selalu abang usik Piya kan, so sekarang masanya untuk Piya usik abang puas-puas,”


Naqib sengih lebar. Matanya dikerdipkan sekali isyarat memanggil Dinie rapat padanya. Dinie mengengsot sedikit, merapati Naqib.


“Ab- Em.. Ab- b- Ab- bang s- ss- ssa—”


“Haaa.. Piya tahu.” Berseri wajah Dinie Sophea. “Abang sayang Piya?” Lebar senyumannya menghabiskan kata.


Naqib menggeleng laju. Tiada riak untuk ditebak di wajah itu.


“Habis tu?”


Hilang sudah keceriaan di wajah Dinie.


“B- babb- babbby,”


“Emmmmm..”


Naqib tersengih mendengar suara isterinya yang membalas perlahan, hampir tak kedengaran. Perlahan-lahan tangannya memeluk pinggang sang isteri.


“Pp- Ppi-  PPPiya dd- ddah ll- l- ll- llaa- llain,”


Dinie berpaling sedikit. Berkerut dahi memandang suaminya.


“Apa yang lainnya?”


“G- g- gg- ggem—”


“Aaaaa~” Terjerit kecil Dinie Sophea. “Emm abang nak kata Piya gemuk ya,”


Laju sahaja jarinya mencubit perut Naqib perlahan. Memuncung Dinie seketika. Meleret senyum Naqib. Tangannya menarik perlahan lengan Dinie. Dielus lembut. Perlahan. Naqib tersenyum lagi. Dikerdipkan matanya pada Dinie yang memandang tanpa kelip. Dia tersengih.


“Hmmm.. Tak baik tau. Sakit-sakit pun usik Piya lagi...”


Pantas Dinie menyusun kata saat dapat difahami gurauan suaminya.


“Nakal,”


Sambung Dinie lagi. Naqib ketawa lepas. Dinie mengusap perutnya sekali sebelum menepuk lembut peha Naqib dan bersuara perlahan.


“Baby kalau ikut walid, nakal macam walid, baby kawan dengan walid je, ummi kawan dengan baby lain,”


Bersambung tawa Naqib mendengarkan pesanan Dinie Sophea pada zuriat mereka dalam kandungan. Tangannya diangkat perlahan. Lambat-lambat dia mengusap perut isterinya. Tersenyum dia saat terasa pergerakan di situ. Lelaki itu masih lagi tersenyum. Lama. Kepalanya dipalingkan menghadap sang isteri. Pandangan bertaut mesra. Sepi suasana hanya mata berbicara sebelum Dinie menunduk malu. Dengan senyuman Naqib mengerdipkan mata sekali, menarik bahu isterinya perlahan. Sebuah kucupan hangat dihadiahkan di ubun-ubun kepala isterinya.


“Piya sayang abang lebih dari abang sayang Piya,”


Hampir tak kedengaran bicara indah itu. Dinie mendongak sedikit, cuba menentang pandangan suaminya. Lambat-lambat dia tersenyum, membalas senyum indah yang terukir di wajah sang suami.


“Piya sayang abang,” ulang Dinie lagi. Mesra.


Naqib menganggukkan kepala beberapa kali. Bibir masih lagi menguntum senyum. Telapak tangan kanan Dinie diraih lembut dengan tangan kirinya. Dipegang berhati-hati, berusaha menggenggam perlahan. Jari telunjuk kanannya dibengkokkan sedikit sebelum digerakkan di atas telapak tangan itu. Bentuk hati diukir bersama senyuman di bibir. Kepalanya dipalingkan sekali lagi, memandang Dinie yang tidak berkelip melihat. Lelaki itu masih lagi tersenyum. Perlahan-lahan tangan Dinie diangkat sedikit, dilekapkan telapak tangan kanan itu ke dada isterinya. Rapat.


Dinie tersenyum sedikit. Faham makna tersirat yang cuba disampaikan suaminya. Tidak perlu kata-kata. Cukup dengan hanya sedikit isyarat mampu menyampaikan rasa hati. Tubir mata sudah digenangi mutiara jernih. Entah kenapa saat itu hatinya terasa hiba bersulam bahagia. Kepalanya disembamkan rapat ke dada sang suami, menghamburkan air mata kegembiraan di situ.


Beberapa ketika berlalu. Lambat-lambat Dinie mengangkat kepala. Puas. Berpaling menghadap Naqib. Lelaki itu masih setia mengukir senyum sebelum mengusap lembut wajah isterinya beberapa kali, menghilangkan air mata yang masih bersisa. Mereka berbalas senyuman.


*******************



Dua tahun kemudian.


“Mubin, tak mau menangis sayang, nanti ummi terjaga,”


Iyad Mubin dalam dakapan Naqib terkebil-kebil memandang wajah walidnya. Tangisan si kecil itu hilang tiba-tiba.


“Alhamdulillah, hero walid memang anak soleh,”


Naqib menunduk sedikit, mencium ubun-ubun kepala anaknya. Dia tersenyum.


“Akit...”


Meleret senyum Naqib mendengarkan suara comel si kecil Mubin.


“Meh sini walid tengok tangan Mubin. Hero walid mesti kuat, kan?”


Iyad Mubin menghulurkan tangan kanannya yang tersepit pintu luncur sebentar tadi. Pantas Naqib menggenggam tangan comel itu, merapatkan ke bibirnya sebelum meniup perlahan bersama selawat beberapa kali.


“Baik dah ni. Kan walid dah kata, hero mesti kuat..”


Naqib merapatkan dahinya ke dahi si kecil, menggesel hidung sekali sebelum dia mengacah untuk menggigit jari comel puteranya itu. Mubin ketawa riang bersulam tawa Naqib. Hilang sudah duka di wajah si kecil itu.


“Belum tidur lagi walid dengan baby ummi ni,”


Teguran lembut di hujung tangga mematikan tawa dua beranak itu. Kepala masing-masing terarah mengikut langkah Dinie Sophea menuruni anak tangga.


“Ummi,”


Ceria suara si kecil memanggil umminya. Tangan sudah tergawang-gawang bersama senyuman penuh di bibir. Dinie ketawa perlahan. Pantas dia mencapai tangan si kecil itu. Tawanya mati tiba-tiba.


“Ya Allah, bang. Kenapa merah ni?”


Naqib menjungkitkan kening sekali. Dia tersengih sedikit, menurunkan Mubin. Si kecil itu pantas memeluk umminya. Dinie Sophea mengusap lembut jari telunjuk anaknya yang sudah bertukar kemerahan.


“Tersepit sliding door tadi masa abang nak tutup. Tak perasan si kecil ni dah lari kat sebelah. Panjang langkah sejak dapat kaki,” usik Naqib sambil menepuk peha Mubin perlahan. Puteranya itu sudah pandai berlari anak sejak dia sudah dapat berjalan. “Mujur tak kuat abang tutup tadi. Tapi merah jugak la ni,”


Dinie mengangguk. Jari si kecil itu dikucup sedikit dan ditiup lembut.


“Sakit sayang?”


Lembut Dinie bertanya. Dia sudah bertinggung di hadapan si kecil yang tegak berdiri.


“Emm kit,”


“Tapi hero walid kuat, kan?”


Celah Naqib yang sudah mengatur sila di belakang puteranya. Iyad Mubin dipeluk Naqib dari belakang. Sekejapan tubuh kecil itu berada dalam dakapannya. Mereka bergomol seketika. Dinie menggelengkan kepala. Bibir menguntum senyum.


“Hmm tengok ni sayang, hero sayang ni kuat tau,”


Naqib kembali bersuara beberapa ketika. Mubin dalam dakapannya tersengih lebar. Dinie menguntum senyum sekali lagi.


“Mubin mesti kena kuat sebab nanti Mubin kena jaga adik pulak,”


Tenang Naqib menyusun kata sambil mengusap kepala anaknya perlahan-lahan. Berkerut dahi Dinie memandang suaminya. Lelaki itu menjungkitkan sebelah keningnya sekali. Dinie masih lagi memandang dengan kerutan di dahi.


“Tak gitu ummi?”


“Gitu apanya?”


“Mubin junior,”


“Mubin junior?”


“Em hm, Mubin junior,”


“Mana datang Mubin junior pulak?”


“Magic.”


Meletus tawa Dinie mendengar balasan selamba Naqib.


“Main-main tau abang, tak baik,”


“Sayang la yang main-main,”


Tersengih lebar Dinie Sophea.


“Abang la yang mula dulu. Belum confirm lagi tau,”


“Belum confirm ke?”


“Belum lagi abang sayang,”


“Tapi abang rasa betul punya, insyaAllah. Seminggu tau abang demam last week. Mesti positif. InsyaAllah.”


Dinie hanya tersenyum, menggelengkan kepala.


“Itulah sayang ni, abang ajak pergi klinik tak mahu. Kali ni no excuses, okay sayang. Esok pagi-pagi kita pergi klinik dulu before balik Ipoh,”


“Balik Ipoh?”


“Ye la, nak celebrate dengan ummi pulak lepas tu,”


Pecah tawa Dinie. Keyakinan suaminya itu sangat tinggi.


“Ummi.....”


Rengekan Iyad Mubin mematikan tawa Dinie. Si kecil itu terkebil-kebil mata menahan kantuk.


“Ala la laaa kesiannya baby ummi dah mengantuk. Come, go to bed,”


Dinie mendepangkan tangan sedikit. Naqib pantas menggeleng.


“No, no, no. Sekarang Mubin tak boleh susahkan ummi dah tau sayang. Mubin dah berat. Biar walid dukung Mubin. Kita naik tidur ya. Piya naik dulu sayang. Abang jalan kemudian,”


Dinie tersenyum lagi, menggelengkan kepala.


“Abang, abang..”


Naqib yang sudah mengatur langkah memanjat anak tangga menayangkan senyum saat isterinya berpaling sedikit.


“Kan abang dah kata, abang tetap akan jadi bayang-bayang Piya. InsyaAllah, as long as I’m still breathing..”


Dinie menghentikan langkah di anak tangga teratas. Tangan kanannya dihulurkan pada Naqib. Lelaki itu menyambut dengan tangan kirinya. Digenggam kemas tangan halus itu sambil sebelah lagi tangannya mendakap erat si kecil Mubin yang sudah melentokkan kepala di bahunya. Suami isteri itu berpandangan seketika sebelum berbalas senyuman. Beriringan langkah mereka menuju ke bilik tidur utama. Pintu bilik yang berukir cantik itu tertutup rapat sebaik sahaja hilang bebayang keduanya.


“Abang sayang Piya,”


Sayup-sayup kedengaran ungkapan sayang tulus dari hati yang ikhlas mengasihi dia yang dianugerahkan buatnya. Bersama keduanya membangunkan keluarga sakinah demi mendapat redha Illahi. Percaturan hidup tak siapa yang tahu. Pengakhiran yang indah pasti bersulamkan ranjau demi meniti tangga kehidupan yang tidak terduga. Hanya DIA yang mengetahui segalanya. Hanya kepada-NYA kita berserah dan wajib untuk kita mengakui keesaan-NYA. Sungguh, DIA  rabb sekalian alam yang maha Mengurniakan.



[the end]



p/s: i'm really sorry.. i've tried my best to post the last n3 asap but there's always something came up.. and finally, today is the day. really sorry for any inconvenience. enjoy the last n3 after yearsss... huhuuu... thanks a lot to everyone. ampun salah silap. yang baik kita ambil jadikan tauladan, yang tak baik kita sama-sama belajar dan jadikan pengajaran, insyaAllah.. (",)

11 comments:

  1. very keluarga sakinah... good job author!!!!!

    sedap sekali jalan ceritanya...

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah..
    akhirnya..
    sis..tamau wat 2nd part ke..?

    ReplyDelete
  3. yeaa..finally ada entry :D
    berbaloi tggu.
    sgt suka cerita ini, n sgt bgi pengajaran juga.
    :)

    ReplyDelete
  4. at last.....been waiting....its worth it lah....

    congratz...lurve d ending....

    hanis501

    ReplyDelete
  5. best ending walaupun terpaksa tunggu lama tapi berbaloi thks

    ReplyDelete
  6. akhirnya...hapi ending.. best sangat...
    thanks for sharing this story..

    ReplyDelete
  7. sy sndr tgu cter ni .. suke2

    ReplyDelete
  8. sweet cite ni...ahha best kn ade kluarga mcm ni..smua cite awk best2...tp smuanya till the end still have dugaan..haha...

    ReplyDelete
  9. yeayy... habes dah marathon baca.. best N sweet sngt... thanks kak jat.. ^^v

    ReplyDelete
  10. cukup terhibur....besst!!!!!

    ReplyDelete