June 9, 2009

Forever Yours 17


“Assalamualaikum..” Salam diberi sedikit kuat. Ain menolak pintu pagar dan melangkah masuk ke dalam rumah. Sunyi. Itulah yang menerjah ke kotak fikirannya. Langkah Ain terhenti di pintu luncur. Tersenyum dia pada ibunya yang sedang menghampiri.

“Baru sampai Nurin.. Una mana?” Mak Dah menyapa lembut. Matanya memerhatikan sekeliling anak gadisnya.

Ain bersalaman dengan ibunya sebelum mencium pipi tua itu. “Una tak sihat sikit ibu. Nurin pergi ambil ubat sendiri je. Takut pulak nak bawak Una keluar. Nasib baik hari ni kena ambil ubat je bukan check up. Lambat sikit sebab Nurin pergi hantar ubat terus tadi, bu. Singgah tengok-tengok Una sekali.” Balas Ain perlahan. Terangguk-angguk Mak Dah mendengar. Gadis itu meninjau-ninjau di serata rumah. Dia melangkah ke sofa di ruang tamu dan merehatkan dirinya di situ. Matanya mengerling jam di dinding. “Falah tak datang ke hari ni, bu?” Perlahan suara Ain bertanya pada ibunya yang sedang menghala ke dapur. Pelik juga dia dengan kesunyian rumah itu. Tidak seperti kebiasaannya, riuh dengan suara Falah. Lebih-lebih lagi saat si kecil itu menonton televisyen. Tak cukup dengan bunyi yang keluar dari peti itu, suara Falah turut sama naik, membayangkan dirinya sebagai salah satu watak dalam kartun yang ditontonnya.

“Falah tidur dekat bilik Nurin. Demam pulak si kecik tu. Ammar kata dah dua hari Falah demam..”

“Hah?” Ain bingkas bangun. Sekejapan bayangnya hilang di balik pintu bilik. Mak Dah menggelengkan kepalanya perlahan. Tersenyum ibu tua itu melihat kekalutan anaknya saat dikhabarkan keadaan Dayana Falah sebentar tadi. Langkah Mak Dah dihayun semula ke dapur, teringatkan bubur nasi yang ditinggalkan di atas dapur.

Ain menutup pintu bilik berhati-hati. Perlahan dia berjalan mendekati katil bujang di tengah bilik, duduk di birai katil. Kepala Falah diusap lembut. Ain menunduk sedikit, mencium ubun-ubun kepala si kecil itu yang sedang tidur. Masih terasa bahang tubuh si kecil yang sudah pun didakap erat. “Kenapa dah dua hari tak baik lagi sayang..” Ain berbisik lembut. Matanya menatap wajah polos itu. Sesekali Falah bergerak-gerak perlahan dan Ain mengusap tubuh kecil itu lembut. Terbayang wajah comel itu yang sedang demam sewaktu dia meninggalkan rumah besar milik Ammar. Tak sempat dia mengucapkan selamat tinggal pada Falah kerana si kecil itu terlelap selepas diberikan ubat. Tergambar riak wajah Ammar yang jelas tidak dapat menerima keputusannya saat itu. Dengan hati yang berat, dia meninggalkan rumah yang didiami dua beranak itu.

“Rin,” Panggil Mak Dah perlahan. Wajahnya tersembul di balik pintu yang terbuka sedikit.

“Ya, bu..” Balas Ain lembut, menjungkitkan kedua-dua belah keningnya sedikit.

“Ibu dah buat bubur. Ada kat atas dapur tu. Nanti Falah dah bangun jangan lupa bagi bubur tu ye, Rin.”

“Ibu nak keluar ke?” Tanya Ain, pelik melihatkan ibunya yang siap berbaju kurung lengkap dengan tudung.

Mak Dah mengangguk. “Ibu nak pergi rumah Acik Mai. Cik Mai buat cukur jambul cucu dia hari ni..”

“Hari ni?”

“Hmm.. Kejap lagi. Alang-alang Ustazah Khadijah yang ajar Fiqh dekat surau tu datang mengajar hari Jumaat kan..”

Ain mengangguk dan tersenyum. Dia bingkas bangun dari katil. Sempat dia mengucup dahi Falah sekali sebelum berlalu keluar, mengiringi ibunya ke pintu rumah.

“Ubat Falah ada dekat kabinet dapur tu, Rin. Lupa ibu nak pesan tadi,”

“Apa dia bu?” Ain kembali menumpukan pandangannya pada Mak Dah yang berpaling semula ke arahnya.

“Lupa ibu nak pesan dekat Nurin. Nanti lepas Falah makan, bagi ubat sekali. Ammar kata dia tak sempat bagi pagi tadi. Falah meragam katanya..”

Ain terdiam seketika sebelum mengangguk.

“Abang Ammar kamu kirim salam, Rin..”

“Hah?”

“Kenapa anak ibu ni? Berangan ye?”

Ain tersengih pada ibunya yang menepuk lengannya perlahan. “Bukanlah bu.. Nurin tengah pikir ni..” Balas Ain manja.

“Ada-ada je,” Usik Mak Dah.

“Hah! Ibu..” Ain bersuara sedikit kuat teringatkan persoalannya yang tidak sempat disuarakan tadi. “Abang Am tahu ke Nurin selalu balik tiap hari Jumaat?”

Mak Dah menggeleng sambil menjungkitkan bahunya sekali. “Tak rasanya,”

“Habis yang kirim salam tu?” Pantas Ain membalas, tidak mahu tertanya-tanya.

“Aahh.. Ammar kata, kalau Ain datang, sampaikan salam saya dekat Ain.. Lama dah tak jumpa Ain, bu..”

Ain ketawa perlahan. “Ibu ni, toksah la ulang balik dialog orang. Nasib baik ibu tak buat suara abang Am sekali.” Ain sambung tawanya. Beberapa ketika kemudian tawanya mati serta merta. Matanya memandang tepat pada ibunya yang sedang membetulkan tudung di kepala. “Ibu, sejak bila pulak Abang Am panggil ibu, ibu?” Tanya Ain penuh kemusykilan.

Mak Dah tersenyum sedikit. “Kenapa pulak tak boleh?” Mak Dah berbalas tanya.

“Bila pulak Nurin kata tak boleh.. Ibu ni saje tau..” Memuncung Ain pada ibunya yang ketawa kecil.

“Ni ibu nak tanya sikit,”

Ain menjungkitkan keningnya. Terasa pelik mendengarkan nada suara ibunya yang berubah serius tiba-tiba. “Apa dia, bu?” Ain membalas lembut.

“Kamu bergaduh ke dengan anak-anak Aunty Suhaili?”

Berkerut dahi Ain seketika. Kepalanya tergeleng-geleng pantas.

“Dah tu kenapa Ammar dengan ‘Imad tak habis-habis tanya pasal Rin? Cari Rin?”

Ain menjungkitkan bahunya. Ammar, mungkin sebab dia mengambil keputusan untuk berhenti dari bekerja di rumah lelaki itu dan meminta supaya dirinya tidak dihubungi lagi. ‘Imad? Mungkinkah lelaki itu masih menagih sesuatu darinya? Adakah penjelasannya suatu waktu dahulu masih belum cukup kukuh..?

“Nurin,”

Tersentak Ain pada tepukan lembut di bahunya. “Ya, bu?”

“Kamu ada masalah ke, Rin? Ibu tengok Nurin dah lain sejak berhenti kerja kat rumah Ammar. Kamu kalau ada masalah, jangan pendam sorang-sorang. Ibu kan ada.. Ibu tahu kamu berhenti kerja tu mesti ada sebab dan alasan yang kukuh. Tapi kenapa mesti nak menjauhkan diri dari Ammar? Ibu ajak pergi rumah Aunty Suhaili pun kamu bagi alasan..”

Ain terkaku. Kelu untuk memberikan jawapan. Mana mungkin dia dapat menceritakan punca dia bertindak sedemikian biarpun dia tahu mereka berada di pihak yang benar. Ammar diperangkap Tengku Nashreen dan dia pula terpaksa menjadi galang ganti atas sebab yang masih lagi kabur. Hanya Nashreen yang dapat menjawab persoalan itu. Dia tidak mahu ibu kembali sakit mendengarkan anak gadisnya hampir terjerat dengan perzinaan terancang yang melibatkan Tengku Nashreen sebagai mastermind.

“Nurin,”

Ain masih membisu seperti tadi. Suara Mak Dah tidak terdaftar di kepalanya. Mindanya menerawang jauh. Peristiwa pada malam itu bersilih ganti dengan suara Nashreen yang kasar mengugut.


*******************************************************************


“Mana Encik Ammar?” Tanya Ain dalam suara yang bergetar. Matanya meliar ke serata kawasan rumah banglo itu. Tak terlihat kelibat Ammar di mana-mana. Malah suara lelaki itu juga tak kedengaran.

“Datang pun kau!” Nashreen ketawa nyaring. “Bagus. Kau memang degil, kan?” Nashreen menarik kasar tangan Ain. Terdorong Ain ke hadapan. Dia dipaksa mengikut langkah Nashreen. Langkahnya kaku di muka pintu. “Masuklah!” Terjegil mata Nashreen pada Ain yang jelas kelihatan terkejut.

“Mana Encik Ammar?” Sekali lagi Ain mengulang soalannya. Nashreen dilihat mencerunkan mata ke arahnya. Sesaat kemudian wanita itu ketawa kuat. Ain terkesima. Dia tertipu! Mana hilangnya Nashreen yang bersuara takut-takut dan teresak-esak saat mengkhabarkan berita Ammar mengamuk sakan..?

“Kau sayang sangat ye dekat Ammar sampai datang sini cari dia! Hey, dia bukan laki kau tau!” Jerkah Nashreen tiba-tiba.

Terpinga-pinga Ain seketika. Sebentar tadi dia mendapat panggilan daripada Nashreen yang mengatakan bahawa Ammar sedang mengamuk. Dek kerana risau yang teramat, Ain bergegas keluar dari rumahnya. Laju sahaja kereta dipandu menuju ke rumah Nashreen yang menjadi tempat perbincangan wanita itu dengan Ammar. Tak sempat akal warasnya berfikir panjang, kakinya lebih dulu melangkah mendapatkan kereta yang terparkir di halaman rumah. Tidak dihiraukan jam di dinding yang menunjukkan tepat pukul 3 pagi waktu itu.

“Hey, hey!”

Ain tersentak. Kepalanya ditegakkan, memandang Nashreen. “Mana Encik Ammar?” Tegas suara gadis itu, cuba mencari kekuatan.

“Tak sabar nak jumpa? Tak sabar kan? Jom aku bawak kau jumpa dia!” Nashreen kembali menjerkah. Tanpa pamitan, dia menarik lengan Ain. Laju kaki gadis itu mengejar langkah Nashreen, bimbang dirinya tersungkur kerana tarikan yang kuat di lengannya. Beberapa langkah menghampiri bilik utama di ruang atas, telinganya dihidangkan dengan bunyi muzik yang membingitkan. Di hadapan pintu, langkah mereka terhenti. Telefon bimbit Nashreen berlagu kuat. Tanpa menunggu lama, wanita itu menjawab panggilan dengan suara yang manja.

“Wait for me, sayang.. I’ll be there in 15 minutes..” Nashreen ketawa manja sebelum menamatkan perbualannya. Ain yang menanti terasa resah. Resah menantikan kenyataan yang bakal dihadapi tetapi belum dapat ditebaknya.

“Mana Encik Ammar?”

Nashreen menampar wajah Ain. Kuat. Tak sempat gadis itu mengelak. Berdesing telinganya dirasakan saat itu.

“Bob!! Leno!!” Nashreen menjerit kuat.

“Yes, Tengku. Is everything ready?” Balas satu suara yang muncul dari salah sebuah bilik kecil di tingkat dua rumah itu.

“Leno! Mana Bob?”

“Bob ambil barang yang Tengku nak tadi dekat kereta. He’ll be here in any minutes..”

“Shit! Wasting my time. He suppose to keep the cam with him!” Mata Nashreen bersinar garang. Ain yang menjadi pemerhati sedari tadi sudah menggigil sedikit. Debaran di hati makin tak tertanggung rasanya apetah lagi mendengarkan butir bicara yang meragukan.

“Kau! Masuk!” Pintu bilik dibuka dan Ain ditolak masuk ke dalam bilik utama yang bingit dengan bunyi muzik yang kuat. Berdentum bunyi pintu itu dihempas Nashreen. Lengan kirinya yang menjadi mangsa Nashreen sejak dari mula dia menapak ke rumah banglo itu diusap perlahan. Berbekas kuku Nashreen di lengannya akibat cengkaman yang kuat. Belum sempat Ain berpaling melihat suasana di bilik yang agak suram itu, tubuhnya dipeluk dari belakang. Terjerit Ain. Kuat.

“Abang!” Hampir pitam Ain saat itu. Belaian lembut Ammar menyeksa jiwanya.

“Ma...” Rengekan Falah kedengaran manja. Si kecil itu menggoncang tubuhnya sedikit kuat. Ain tersentak. Lamunannya terbang begitu sahaja. Pantas dia bertinggung, memeluk Falah erat.

“Ibu yang bawak Falah keluar. Nurin tak sedar ibu panggil tadi..”

Ain mendongakkan kepala saat terdengarkan suara ibunya di sisi. “Nurin...” Suaranya terhenti di situ. Entah apa yang difikirkan saat itu, dia buntu.


“Nurin bagi Falah makan, lepas tu bagi ubat. Jangan lupa ye sayang. Ibu nak pergi dah ni..”

Ain pantas mengangguk. Dia bingkas berdiri. Falah ditarik ke dalam dakapannya. Dia mendukung si kecil itu yang sudah pun melentokkan kepalanya ke dada Ain. “Jalan baik-baik, bu..” Lembut suara itu cuba menghilangkan rasa bersalahnya melayan lamunan sebentar tadi. Mak Dah tersenyum pada anak gadisnya. Dia merapati Ain dan mengusap bahu gadis itu. Mesra.

“Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan, Rin.. Ibu pergi dulu..” Tangan Mak Dah beralih pada pipi Ain. Sempat dia mengucapkan salam sebelum melangkah ke luar pagar.

Lambat-lambat Ain tersenyum. “Ibu, ibu.. Sentiasa positif..” Gumam Ain perlahan. Rengekan Falah membuatkan Ain melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu gril ditarik rapat dan dikunci pintu luncur. Kepala Falah diusap lembut beberapa kali, melayan si kecil itu yang sedang meragam. “Dah besar sayang mama ni..” Suara Ain tenggelam dengan rengekan manja Falah. Ain ketawa kecil, tahu si kecil itu ingin bermanja. Dalam diam dia bersyukur kerana masih dapat bertemu si kecil itu..

2 comments:

  1. Jahat giler si Nashreen tu...
    bengang... kalu aku dah lama dah
    aku terajang kepala dia tu sampai mampus
    i hope Nashreen will be in the jail someday...
    huuuhhh....

    ReplyDelete
  2. jahat gila minah 2...kesian nurin..rasa nak pelempang je insan yg bernana Nashreen 2..dush2..

    ReplyDelete