July 3, 2018

Kita Serupa ...7


"Aku terima nikahnya Zunnur Raihan binti Zaharin dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai,"

Dengan sekali lafaz dia sudah sah menjadi milik lelaki itu. Bukan lagi tanggungan wan dan tok kesayangan. Tubir mata yang digenangi mutiara jernih pantas dikesat.

Semuanya berlaku terlalu pantas. Seakan tidak percaya dia sudah bernikah. Bagaikan mimpi bergelar puan kepada seraut wajah itu. Air muka yang tenang dan sepasang mata yang memikat. Memang dia pernah terpikat. Suatu waktu dahulu..

Susuk tubuh tegap berbaju melayu krim lengkap bersampin songket hijau epal bersulam bunga emas mula menyusun langkah, menghampirinya selepas doa selesai dibacakan. Tidak sampai lima meter jarak mereka. Dia menanti dalam debar.

Debaran semakin memuncak. Dia pantas menundukkan kepala saat sang suami semakin mendekat. Seakan terdengar detak jantungnya tika itu. Tok Teh dan Mak Ngah Zaidah di sebelah kanannya dikerling sedikit. Masing-masing tersenyum lebar. Kamala di sebelah kiri pula sudah tersengih-sengih. Hanya dia yang merasai debaran yang amat itu.

"Assalamualaikum.. Jom solat sunat,"

Terketar-ketar Raihan menjawab ucapan salam dengan suara yang berbisik. Tak terkeluar suaranya tika itu. Dia mengangguk sedikit. Seakan terpukau, dia bingkas bangun menuruti langkah suaminya menuju ke sayap kanan masjid.

Solat sunat dua rakaat ditunaikan dengan penuh ketenangan. Sujud syukur menyusul usai salam diberikan. Raihan mengagumi lelaki itu. Segala perbuatannya teratur dan tenang. Lancar urusan pernikahan mereka pada malam jumaat itu biarpun tarikhnya diawalkan dua minggu kerana wan tidak mahu lagi menunggu.

Selesai doa diaminkan, Raihan kembali berdebar. Debaran menanti apakah yang bakal menyusul. Dia hanya menunduk. Tidak berani hendak memandang sang suami yang sudah duduk menghadap dirinya.

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar, Raihan mengulang zikir dalam hati. Tangan kanannya bersulam dengan tangan kiri. Dia memicit tangannya sendiri, cuba mengawal debaran di hati. Semakin tak terkawal debaran saat sang suami semakin mendekat.

Segera Raihan meletakkan tangannya di dada, cuba mengawal degupan jantung yang tersangat laju tika itu. Tidak pernah dia serapat itu dengan mana-mana lelaki. Sungguh dia sangat berdebar.

Terasa seperti ingin pengsan saat lelaki itu meletakkan telapak tangan kanan ke atas ubun-ubun kepalanya. Dia makin menunduk. Telinganya menangkap suara sang suami membacakan doa berserta terjemahannya.


Bergenang air matanya tika itu. Sungguh dia terharu dengan segala perbuatan suaminya, mengikut landasan seperti yang disyariatkan. Segala kenangan silam yang mula menghantuinya sebelum ini seperti hilang, tewas dia dengan kebaikan yang terpamer.

Berbeza lelaki itu yang dikenalinya bertahun dahulu. Seriusnya tak tentu masa, garangnya tak bertempat dan nakalnya menyakitkan hati. Kini, di hadapannya muncul seorang lelaki yang sangat matang, tuturnya yang sopan, serta tingkahnya yang lembut dan tenang. Raihan pantas menyapu air mata yang mengalir di pipi.

Bunyi suara yang semakin kuat membuatkan Raihan mengangkat kepala, mengitarkan pandangan. Ahli keluarga terdekat semakin menghampiri, mengelilingi mereka. Raihan mengalihkan pandangan pada lelaki yang sudah diam tak bersuara di hadapannya. Mata bertentang mata. Raihan seakan terpukau lagi.

Sungguh. Berbeza lelaki itu. Wajah yang dulunya bersih, kini dihiasi dengan goatee. Semakin menampakkan sisi kematangan dirinya. Raihan terpaku. Matanya masih lagi di situ. Seakan ada satu kuasa yang menarik pandangannya pada seraut wajah tampan milik sang suami.

"Cincin bawa tak?"

Satu suara bertanya tiba-tiba. Raihan tersentak. Matanya beralih ke wajah yang asing pada pandangannya. Beberapa orang wanita sedang tersenyum memandang mereka. Ahli keluarga suaminya mungkin. Segan pula mengenangkan tiada satu wajah pun dalam kalangan keluarga lelaki itu yang dikenalinya.

"Ada ni," 'Ali Hasif membalas penuh yakin. Sebentuk cincin yang dikeluarkan dari dalam poket baju melayu digenggam kemas.

"Budak bertuah, kotaknya mana?"

'Ali Hasif hanya tersengih memandang wanita itu. Kakaknya mungkin, tebak Raihan. Ada iras antara mereka.

"Sarung cincinlah terus. Along nak share gambar dengan mama,"

Ada juga sisa kenakalan yang tertinggal. Buat rencah hidup agaknya. Segera Raihan teringatkan cincin tunang yang diterimanya sebelum ini. Akal mula membayangkan bentuk cincin yang bakal diterimanya nanti. Jangan yang bukan-bukan sudah, doanya dalam hati.

"Hasif, nanti-nanti la tenung orang rumah tu.. Sarung cincin tu dulu, mama tunggu gambar ni,"

Raihan yang hanya menjadi pendengar dan pemerhati sebentar tadi tersentak. Tidak sedar dia sedang diperhatikan sang suami. Dia menelan liur saat lelaki itu mencapai tangan kanannya. Dada kembali bergetar hebat.

Terasa menggigil tangannya dalam separuh genggaman tangan kiri sang suami. Penuh cermat dan lemah lembut jari manisnya disarungkan dengan sebentuk cincin. Berkilau cincin platinum bertatahkan sebutir berlian itu saat terkena pancaran flash. Cincin yang ringkas, namun tampak elegan.

"Salam suami tu Raihan," Tok Teh bersuara tiba-tiba. Entah bila tok bersimpuh elok di sebelahnya, dia pun tidak sedar. Sibuk melayan debar dan malu. Tangan 'Ali Hasif dicapai, perlahan-lahan dikucup belakang tangan itu.

"Okay cantik," tersenyum lebar along, puas hati dapat mengambil beberapa shot gambar seketika tadi.

Raihan pantas meleraikan salam. Digenggam erat kedua-dua belah tangannya seakan tidak mahu lepas.

"Mari semua, kita turun makan di Dewan al-Falah sebelah tangga masjid ni,"

Giliran Mak Ngah Zaidah pula bersuara, mengajak para jemputan untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan di dewan masjid. Kamala yang diam sedari tadi segera mengikut jejak Mak Ngah Zaidah. Sempat dia memberikan isyarat kepada Raihan, memaklumkan kepergiannya.

Raihan bingkas bangun dan bersalam-salaman dengan tetamu muslimat yang hadir manakala suaminya berjumpa dengan tetamu di bahagian muslimin. Sempat dia melihat 'Ali Hasif dan wan berpelukan erat sambil wan berbisik sesuatu pada lelaki itu.

"Raihan, ajak suami makan sekali. Tok nak turun dulu layan tetamu kita. Raihan turun sekali dengan Hasif ya," Tok Teh bersuara perlahan saat tangannya dipeluk erat cucu kesayangan.

Raihan menghela nafas perlahan. Lambat-lambat tangan Tok Teh dilepaskan. Tok Teh tersenyum. Dia menepuk lengan cucu kesayangan itu beberapa kali sebelum mengatur langkah menuruti tetamu yang lain.

Sepi. Baik Raihan mahu pun 'Ali Hasif, masing-masing diam tak bersuara. Hanya tinggal mereka berdua di sayap kanan masjid itu. Raihan masih lagi tegak berdiri. 'Ali Hasif diam memerhati.

"Assalamualaikum," sang suami tiba-tiba bersuara, memecah hening malam. Lelaki itu melangkah merapatinya.

Tadi bukan dah bagi salam ke? Raihan menggigit bibir. Kakinya menapak selangkah ke belakang, cuba meletakkan jarak antara mereka.

"Assalamualaikum," sekali lagi ucapan salam kedengaran.

"Waalaikumussalam warahmatullah," Raihan membalas perlahan. Kepalanya ditundukkan, tidak mahu memandang wajah itu. Dia malu. Dia segan. Dia takut. Perasaannya bercampur baur tika itu.

"Abang ada benda nak beritahu Raihan,"

'Ali Hasif mula membahasakan dirinya. Dipandang Raihan tak lepas. Serba salah untuk memberitahu isterinya itu, namun tidak dapat tidak, Raihan perlu tahu.

"Abang nak ke KLIA lepas ni," jam di tangan diperhatikan sekilas sebelum pandangannya kembali terarah pada sang isteri.

Raihan sudah tegak kepala memandang lelaki itu. Apa kes pengantin kena tinggal lepas nikah?? Buat apa dekat KLIA? Pilot ke dia ni? Mustahil. Pekerjaan suami pun tak diambil tahunya. Raihan mula bertingkah sendiri. Berkerut dahinya memandang 'Ali Hasif, menanti butir bicara seterusnya.

"Flight abang pukul 1 pagi ni,"

Ke mana? Raihan bertanya dalam hati.

"Abang..." Lelaki itu berjeda. Hampir seminit dia diam tak menyambung kata. "Raihan tak nak say something?"

Raihan tunduk. Kepalanya digelengkan.

"Sure? Raihan tak nak tanya apa-apa?"

Sekali lagi dia menggeleng sebagai jawapan.

'Ali Hasif menghela nafas perlahan sebelum dia kembali bersuara, "Raihan pindah rumah abang, nak? Rumah kita.."

Bila? Kat mana pulak rumah kita ni? Makin berkerut dahi Raihan. Laju dia bertanya, hanya dalam hati.

"Boleh?"

Raihan jungkit bahu.

"Susahnya abang nak dengar suara Raihan. Say something, please.."

"Like what?"

'Ali Hasif tersenyum. "Raihan jawab soalan abang ya,"

Raihan mengangguk perlahan-lahan.

"Move in and stay together with me?"

"When? Where?"

"Whenever you are ready. Somewhere in Sepang,"

Bulat mata Raihan. Terasa jauh.

"Why that look?"

"Jauh," sepatah jawapan Raihan.

"Well, yes, but it's not that far actually.."

"Iya ke?"

"Alah bisa tegal biasa,"

"Hmm I'll second that.."

'Ali Hasif tersenyum lagi. "You know what, I really missed the good old days.."

Since when kita ada 'the good old days' tu??

Seperti mendengar suara hati Raihan, 'Ali Hasif pantas menyambung kata, "The debate team,"

Hah! Rasa nak gelak kuat-kuat. Lagi bercakaran ada la. Mereka sentiasa tak sependapat. Lelaki itu pula juara debat sekolah. Baik debat Bahasa Inggeris mahu pun debat Bahasa Arab, nama 'Ali Hasif la yang disebut-sebut.

"Don't you?"

"Hah?" Terpinga-pinga Raihan seketika.

'Ali Hasif tersenyum. "Jom, turun makan.. Abang lapar dah ni. Nervous sangat sampai lupa nak makan siang tadi,"

Raihan masih tak berganjak biarpun suaminya sudah bergerak beberapa langkah.

"Diet?"

"Hah?" Raihan seperti berada dalam dunianya sendiri.

"Raihan dearie,"

Telefon bimbit yang berbunyi sayup-sayup membuatkan suara itu terhenti tanpa noktah. 'Ali Hasif menggagau poket baju melayunya di sebelah kiri. Raihan diam, memerhati.

"Waalaikumussalam warahmatullah. Dah sampai? Belum pukul 10 lagi ni,"

Lelaki itu menjawab panggilan, serius. Matanya memandang terus pada sang isteri.

"Okay then.. I'll be there in 30 minutes, in shaa Allah."

Panggilan dimatikan selepas dia menjawab salam. 'Ali Hasif menghela nafas. Isterinya dihampiri.

"I'm so sorry, I've to go now. Nanti abang pesan dekat along untuk pass kunci rumah dekat Raihan. Raihan tunggu abang balik ya,"

What??!!
~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Raihan,"

Tersentak Raihan di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Sentuhan dan panggilan daripada 'Ali Hasif membawa dia kembali ke dunia realiti. Raihan menegakkan duduk. Entah berapa lama dia mengelamun.

"Mimpi apa ni sayang,"

Raihan menelan liur. Masih lagi belum biasa dengan panggilan itu. Dia berpaling ke kiri, mengalihkan pandangannya. Banyak persoalan yang bermain di fikiran, namun tak terluah. Dia mengeluh sendiri tanpa sedar. Cepat dia beristighfar kemudiannya.

"Sampai mengigau ni mesti ada something serious," masih tidak puas hati, 'Ali Hasif terus bersuara.

Hah? Mengigau? Biar betul?! Apa yang aku cakap? Ya Allah... Raihan menggigit bibir, malu sendiri. Dia masih lagi menikus.

"Raihan tak puas hati dengan abang, kan..." Tebak 'Ali Hasif.

Memang! Raihan menjerit di dalam hati. Dah la tinggal orang dari lepas nikah sampai hari ni baru jumpa. Dari awal Syaaban sampai dah seminggu Ramadhan. Nak bertanya pada tok mahu pun wan, dia terasa segan. Sudahnya, dia sendiri memendam rasa.

Di awal pernikahan dulu dia telah nekad untuk buang yang keruh dan ambil yang jernih. Namun, dek kerana panggilan dan mesej yang dikirimkan ke nombor lelaki itu dibiarkan sepi, dia patah hati. Dirinya seperti digantung tak bertali.

Malas hendak bersoal jawab dengan saudara mara dan jiran tetangga, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah lelaki itu. Biarlah dia bersendirian di situ daripada menghadap mulut-mulut yang boleh tahan menyakitkan.

"Raihan.."

Raihan tetap membatu.

"Raihan.."

Raihan berdehem sedikit.

"Raihan nak singgah beli apa-apa dulu tak?"

Berkerut dahi Raihan. Itu pula yang ditanya. Kita ingatkan nak minta maaf ke nak explain apa yang patut ke. Raihan mencebik.

"Dah nak pukul 6 ni. Abang rasa baik kita berhenti beli apa-apa dulu, nak? Just in case.."

"Ikutlah,"

'Ali Hasif tersenyum mendengarkan balasan isterinya. Sepatah kata itu sudah cukup baginya. Matanya memerhati kiri dan kanan, melihat deretan gerai bazar ramadhan di kawasan perumahan itu. Keretanya diperlahankan, mencari-cari kawasan strategik untuk dia berhenti.

"Raihan nak ikut abang?" Lelaki itu bertanya selepas keretanya diparkir di hujung jalan.

Raihan menggeleng laju.

"Raihan nak makan apa?"

"Ikutlah apa-apa je,"

"Lock kereta lepas abang keluar nanti," pesan 'Ali Hasif seolah-olah mengingatkan anak kecil.

Raihan hanya mengangguk. Diperhatikan sang suami yang sudah bergerak keluar, berjalan menuju ke gerai-gerai berhampiran. Usai solat zuhur tadi suaminya mengajak dia untuk pulang ke kampung. Pantas dia bersetuju, rindu yang amat dengan tok dan wan.

Tak jadi dia untuk mencuba resepi baru. Ayam masak Palembang. Raihan tergelak sendiri tiba-tiba, mengenangkan semangatnya untuk memasak sebelum itu. Sesaat kemudian dia kembali serius, memikirkan perjalanan hidupnya selepas ini.

Matanya kembali mencari susuk tubuh sang suami yang semakin menghilang di celah orang ramai. Rabbi yassir wa laa tu'assir, dalam hatinya dia berdoa agar Allah permudahkan urusannya. Biznillah.. Dengan izin Allah..


to be continued,
in shaa Allah..

2 comments:

  1. Apela keje nye c hasif tu ya
    Lame bebeno dtinggeikan raihan
    Kecik hati cik adik tu

    ReplyDelete
  2. Hm tu la hasif ni bz semedang ntah apa dibuatnya dlm tempoh tu kan..

    ReplyDelete