July 19, 2018

Kita Serupa ...8


"Raihan.. Raihan.. Raihan, bangun sayang,"

Bagaikan terkena renjatan elektrik, Raihan bingkas daripada tidurnya. Sentuhan di hujung kaki di tambah dengan panggilan sayang daripada sang suami benar-benar membuatkan dia terkejut. Terkebil-kebil matanya memerhatikan bilik yang suram, hanya diterangi lampu kalimantang di luar bilik yang masuk melalui celahan pintu dan terbias di cermin nako.

Wajah 'Ali Hasif terlihat di hadapannya. Lelaki itu menayang senyum sebelum bertanya, "Qiam dengan abang, nak?"

Raihan segera turun dari katil, mencapai tuala di penyidai bersebelahan meja solek dan berjalan keluar bilik tanpa sebarang jawapan lisan. 'Ali Hasif yang berdiri tegak di sisi katil sudah siap berbaju melayu dan berkain pelekat.

Suis lampu dinding ditekan. Bilik yang tadinya kelam kini sudah bercahaya sedikit dek lampu kuning yang terpasang. Dia menuruti langkah sang isteri, ke luar bilik untuk mengambil wudhuk pula.

Jam sudah menunjukkan pukul 3.15 pagi. 15 minit telah berlalu. Pintu bilik terkuak perlahan. 'Ali Hasif pantas menoleh. Raihan yang sudah siap bertelekung melangkah masuk ke bilik dan mengambil tempat di atas sejadah yang telah dibentangkan untuknya.

Hening suasana tika itu. Bunyi cengkerik berselang-seli dengan bunyi katak menguak, bersahut-sahutan. Hari hendak hujan agaknya, fikir Raihan. Dia yang selesai mengaminkan bacaan doa sebentar tadi masih lagi berteleku di atas tikar sejadah.

Kepala dilentokkan ke sisi katil. Matanya tepat memandang sang suami. Lelaki itu masih lagi bersujud sesudah mengimamkan solat sunat dan doa sebentar tadi. Sujud syukur barangkali.


Siapa lelaki ini sebenarnya? Siapakah dia di sebalik sebaris nama 'Ali Hasif yang diketahui dan yang dikenalinya bertahun dahulu? 15 tahun telah berlalu sejak kali pertama dia bersua muka dengan lelaki itu. Hampir 13 tahun tidak berjumpa. Tidak tahu khabar berita, malah sudah dilupakan sebaris nama itu. Takdir apakah yang menyatukan mereka berdua?


"Tak jemu tengok abang?"


Raihan tersentak. Ditegakkan duduknya. Entah bila sang suami sudah duduk elok menghadap dirinya, dia pun tidak pasti. Matanya celik tapi pandangan dan fikirannya bukan di situ. Raihan menghela nafas perlahan.


'Ali Hasif menarik lembut tangan kanan Raihan yang tersorok di balik telekung. Sejuk. Digenggam erat tangan itu. Raihan diam membisu. Gemuruh. Tidak tahu reaksi apa hendak ditunjukkan. Berdebar dadanya saat itu.


"Raihan sayang,"


Lembut suara itu di telinga Raihan.


"Raihan sebenarnya setuju ke tak, nikah dengan abang?"


Luar sedar, Raihan menggeleng laju.


Bulat mata sang suami memandangnya sebelum lelaki itu ketawa lepas, sesaat. Raihan pantas menunduk. Tidak betah melawan pandangan mata suaminya.


"Tapi Raihan tak bantah, kan.."


Raihan membisu lagi. Kepala masih lagi menekur ke simpuhnya yang kemas. Perasaannya bercampur baur.


"Abang minta maaf,"

Tangan sang isteri dalam genggaman dielus lembut.

"Raihan boleh terima abang?"

Masih lagi tiada reaksi untuk ditebak. Wajah tanpa perasaan ditayangkan Raihan tika itu.

"I'm truly sorry, abang tahu Raihan marah abang. Bukan niat abang nak buat Raihan marah,"

"Siapa yang marah?"

Akhirnya termuntah juga butir kata dari seulas bibir merah itu.

"Raihan,"

"Siapa kata?"

"Abang,"

Balasan sambil lewa 'Ali Hasif membuatkan Raihan mencebik. Terjerit kecil dia kemudiannya bila tangan sang suami laju sahaja mencuit bibirnya. Bulat mata dia memandang lelaki itu.

"Bajet comel ke buat macam tu?"

Makin membuntang mata Raihan mendengar usikan 'Ali Hasif.

"Raihan marah abang lagi?"

"Tak marah.."

"Betul ke ni? Macam marah lagi je ni,"

"Tak ma-rah,"

Sebutan marah ditekankan Raihan sedikit, biar sampai maksudnya kepada yang bertanya itu.

"Raihan kecik hati?"

Yeah, exactly.. That's my man! Raihan mengetap bibir tiba-tiba. Terkejut sendiri dengan keterlanjuran kata hatinya saat itu.

"Abang minta maaf sangat dengan Raihan. Permulaan kita hambar, tiba-tiba.  Abang tahu Raihan terpaksa terima abang, kan?"

Kali ini tiada bahasa tubuh yang diberikan. Sebaliknya dia hanya diam, menanti butir bicara sang suami. Memberi peluang hujah pembelaan.

"I know from the very beginning, it wasn't a good start. I want you to believe in me and have faith in HIM.."

Raihan menghela nafas. Perlahan. Tangannya dalam genggaman 'Ali Hasif ditarik ke simpuh, bersulam dengan tangan kirinya. Sungguh dia keliru.

"Raihan tak nak cakap apa-apa dengan abang? Tak nak tanya apa-apa?"

Gadis itu masih lagi membungkam. Diam seribu bahasa.

"Please, sayang. I need you to at least say something. I really think we both have to talk over this matter for I want everything to start afresh. Between you and me."

"How so?"

Raihan bertanya pantas. Perlahan. Dada sudah berombak kencang. Matanya tepat memandang sang suami. Dia menarik nafas panjang, sebelum menyusun kata.

"We've been married for almost a month now, yet we're more like strangers. I know nothing about you. You went somewhere right after the akad, for quite some time and Allah knows how many times I tried to reach you before I'd had enough,"

Suara itu terhenti seketika, sebak kedengaran. "And what if something happened? To you. To me."

Raihan menyambung dalam sebak sebelum dia berjeda. Kolam matanya sudah digenangi mutiara jernih.

"On top of that, I don't even have a chance to meet my parents in law. My husband's family? I barely know. How are we going to fix that? To start afresh? You tell me."

Senafas Raihan memuntahkan separuh perasaannya. Air mata sudah mengalir umpama empangan yang pecah. Esaknya kedengaran tertahan-tahan.

'Ali Hasif yang tenang mendengar sedari tadi kembali menarik tangan isterinya dalam genggaman. Berkaca mata lelaki itu. Perlahan-lahan dia menarik Raihan rapat ke bahunya. Raihan menolak, dikeraskan tubuhnya.

"Come, sayang.." Sekali lagi 'Ali Hasif menarik Raihan dalam pelukannya. Kepala Raihan ditolak lembut, rapat ke bahunya. Pecah tangisan gadis itu, teresak-esak dia di bahu sang suami.

'Ali Hasif menepuk belakang tubuh isterinya perlahan-lahan, cuba menenangkan sekeping hati yang gundah gulana itu. Tangan kirinya mencapai tangan kiri Raihan. Digenggam lembut tangan itu.

Beberapa minit berlalu. Pasangan suami isteri itu masih lagi begitu. Masing-masing diam, melayan perasaan, muhasabah sendiri. Perlahan-lahan 'Ali Hasif mengangkat tangan kanannya sedikit,  mengusap lembut belakang kepala Raihan.

Raihan menarik nafas dan menghembus perlahan, sedikit demi sedikit. Beransur reda dadanya yang berombak laju sebentar tadi. Diangkat kepalanya, mendongak sedikit memandang sang suami. Tubuhnya yang rapat pada 'Ali Hasif dijarakkan sedikit.

"I'm sorry," hampir tak kedengaran suaranya saat itu. Rasa bersalah mula hadir mengenangkan suaranya yang agak tinggi pada suaminya sebentar tadi.

Raihan pantas menunduk saat terasa panahan mata suaminya menusuk tepat pada hati. Dia kembali berdebar. Entah dari mana dan bagaimana dia mendapat kekuatan, keberanian untuk bersuara. Malu pula mengenangkan dirinya yang teresak-esak di bahu sasa lelaki itu sebentar tadi.

"Abang yang kena minta maaf dengan Raihan.."

Tenang 'Ali Hasif menyusun kata. Sungguh Raihan cemburu dengan ketenangan lelaki itu. 

"I was so wrong, right or wrong I don't blame you,"

'Eh?' Hati Raihan berdetik. Seakan pernah dengar sebaris ayat itu. Kepalanya diangkat sedikit, mencari wajah sang suami. Lelaki itu masih berjeda. Ada bunga senyum yang tersembunyi di balik wajah sang suami. Raihan menanti penuh sabar.

"I know that I made you cry and I'm so sorry dear.. So what can I say dear after I say I'm sorry?"

'Agak dah,' Raihan bingkas dari simpuhnya. Geram. Lupa tangan dalam genggaman kejap sang suami. Dia terjatuh di riba lelaki itu. Sempat ditangkap senyuman nakal sang suami.

"Itulah... Abang belum habis cakap lagi, baru mukadimah Raihan dah kalut nak bangun, kan dah jatuh.."

"Hm setakat baca lirik lagu, baik suruh wan je nyanyi," Raihan membalas perlahan.

'Ali Hasif ketawa lepas. Sesaat. "Raihan pun suka dengar lagu Frank Sinatra?"

"Wan, bukan Raihan..."

Pantas Raihan menjawab, cuba berselindung. Mendatar bunyi suaranya. Tangan kiri dalam genggaman sang suami ditarik perlahan. Matanya menjeling ke arah jam loceng di meja solek. Sudah lewat! Telekung dibuka pantas sebelum dia bingkas.

"Sempat ke nak masak?"

"Goreng je," balas Raihan ringkas. Langkah diatur laju keluar bilik. Mujur Tok dan Wan qiam serta sahur di masjid. Jika tidak pasti dia kena bambu.

'Ali Hasif sudah berdiri tegak. Pantas dia bergerak mengikut langkah sang isteri ke dapur. Matanya mengerling jam, sudah pukul 4.30 pagi!

Seperti lipas kudung Raihan bersilat di dapur. Nasi yang sudah ditanak lewat malam semalam digaul dengan sedikit garam selepas dia mengeluarkan sayur dan telur dari peti sejuk. Ikan bilis diambil segenggam dan disiangnya pantas.

Tanpa disuruh, ringan tulang suaminya membantu  di dapur. Lincah lelaki itu memotong karot dan kacang panjang, menumbuk bawang dan cili padi serta menumis. Gaya seperti seorang profesional.

Termangu Raihan seketika. Keliru dengan situasi itu. Siapakah sebenarnya 'Ali Hasif yang menjadi suaminya ini? Semakin hebat lelaki itu di matanya biarpun hati masih terasa sakit. Termenung dia, memerhatikan sang suami yang sibuk menggoreng nasi.

Cuitan di pipi mengejutkan Raihan. Tersentak dia, kembali ke alam nyata. Nasi goreng sudah siap terhidang di atas meja.

"Raihan biasa minum air apa waktu sahur?"

"Er.. err," gagap Raihan seketika. "Raihan buat teh o boleh?" Soalan sang suami dibalas dengan soalan. Lelaki itu tersenyum mengangguk.

Pantas Raihan begegas membuat air teh o sebelum dihidangkan di meja makan. Dia mengambil tempat yang telah disediakan di sebelah suaminya. Doa makan diaminkannya perlahan. Dia mula menikmati hidangan sahur pada dini hari itu perlahan-lahan, dengan sejuta macam perasaan yang sukar ditafsirkan dan persoalan yang entah bila akan akan terurai..



to be continued,
in shaa Allah..

July 3, 2018

Kita Serupa ...7


"Aku terima nikahnya Zunnur Raihan binti Zaharin dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai,"

Dengan sekali lafaz dia sudah sah menjadi milik lelaki itu. Bukan lagi tanggungan wan dan tok kesayangan. Tubir mata yang digenangi mutiara jernih pantas dikesat.

Semuanya berlaku terlalu pantas. Seakan tidak percaya dia sudah bernikah. Bagaikan mimpi bergelar puan kepada seraut wajah itu. Air muka yang tenang dan sepasang mata yang memikat. Memang dia pernah terpikat. Suatu waktu dahulu..

Susuk tubuh tegap berbaju melayu krim lengkap bersampin songket hijau epal bersulam bunga emas mula menyusun langkah, menghampirinya selepas doa selesai dibacakan. Tidak sampai lima meter jarak mereka. Dia menanti dalam debar.

Debaran semakin memuncak. Dia pantas menundukkan kepala saat sang suami semakin mendekat. Seakan terdengar detak jantungnya tika itu. Tok Teh dan Mak Ngah Zaidah di sebelah kanannya dikerling sedikit. Masing-masing tersenyum lebar. Kamala di sebelah kiri pula sudah tersengih-sengih. Hanya dia yang merasai debaran yang amat itu.

"Assalamualaikum.. Jom solat sunat,"

Terketar-ketar Raihan menjawab ucapan salam dengan suara yang berbisik. Tak terkeluar suaranya tika itu. Dia mengangguk sedikit. Seakan terpukau, dia bingkas bangun menuruti langkah suaminya menuju ke sayap kanan masjid.

Solat sunat dua rakaat ditunaikan dengan penuh ketenangan. Sujud syukur menyusul usai salam diberikan. Raihan mengkagumi lelaki itu. Segala perbuatannya teratur dan tenang. Lancar urusan pernikahan mereka pada malam jumaat itu biarpun tarikhnya diawalkan dua minggu kerana wan tidak mahu lagi menunggu.

Selesai doa diaminkan, Raihan kembali berdebar. Debaran menanti apakah yang bakal menyusul. Dia hanya menunduk. Tidak berani hendak memandang sang suami yang sudah duduk menghadap dirinya.

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar, Raihan mengulang zikir dalam hati. Tangan kanannya bersulam dengan tangan kiri. Dia memicit tangannya sendiri, cuba mengawal debaran di hati. Semakin tak terkawal debaran saat sang suami semakin mendekat.

Segera Raihan meletakkan tangannya di dada, cuba mengawal degupan jantung yang tersangat laju tika itu. Tidak pernah dia serapat itu dengan mana-mana lelaki. Sungguh dia sangat berdebar.

Terasa seperti ingin pengsan saat lelaki itu meletakkan telapak tangan kanan ke atas ubun-ubun kepalanya. Dia makin menunduk. Telinganya menangkap suara sang suami membacakan doa berserta terjemahannya.


Bergenang air matanya tika itu. Sungguh dia terharu dengan segala perbuatan suaminya, mengikut landasan seperti yang disyariatkan. Segala kenangan silam yang mula menghantuinya sebelum ini seperti hilang, tewas dia dengan kebaikan yang terpamer.

Berbeza lelaki itu yang dikenalinya bertahun dahulu. Seriusnya tak tentu masa, garangnya tak bertempat dan nakalnya menyakitkan hati. Kini, di hadapannya muncul seorang lelaki yang sangat matang, tuturnya yang sopan, serta tingkahnya yang lembut dan tenang. Raihan pantas menyapu air mata yang mengalir di pipi.

Bunyi suara yang semakin kuat membuatkan Raihan mengangkat kepala, mengitarkan pandangan. Ahli keluarga terdekat semakin menghampiri, mengelilingi mereka. Raihan mengalihkan pandangan pada lelaki yang sudah diam tak bersuara di hadapannya. Mata bertentang mata. Raihan seakan terpukau lagi.

Sungguh. Berbeza lelaki itu. Wajah yang dulunya bersih, kini dihiasi dengan goatee. Semakin menampakkan sisi kematangan dirinya. Raihan terpaku. Matanya masih lagi di situ. Seakan ada satu kuasa yang menarik pandangannya pada seraut wajah tampan milik sang suami.

"Cincin bawa tak?"

Satu suara bertanya tiba-tiba. Raihan tersentak. Matanya beralih ke wajah yang asing pada pandangannya. Beberapa orang wanita sedang tersenyum memandang mereka. Ahli keluarga suaminya mungkin. Segan pula mengenangkan tiada satu wajah pun dalam kalangan keluarga lelaki itu yang dikenalinya.

"Ada ni," 'Ali Hasif membalas penuh yakin. Sebentuk cincin yang dikeluarkan dari dalam poket baju melayu digenggam kemas.

"Budak bertuah, kotaknya mana?"

'Ali Hasif hanya tersengih memandang wanita itu. Kakaknya mungkin, tebak Raihan. Ada iras antara mereka.

"Sarung cincinlah terus. Along nak share gambar dengan mama,"

Ada juga sisa kenakalan yang tertinggal. Buat rencah hidup agaknya. Segera Raihan teringatkan cincin tunang yang diterimanya sebelum ini. Akal mula membayangkan bentuk cincin yang bakal diterimanya nanti. Jangan yang bukan-bukan sudah, doanya dalam hati.

"Hasif, nanti-nanti la tenung orang rumah tu.. Sarung cincin tu dulu, mama tunggu gambar ni,"

Raihan yang hanya menjadi pendengar dan pemerhati sebentar tadi tersentak. Tidak sedar dia sedang diperhatikan sang suami. Dia menelan liur saat lelaki itu mencapai tangan kanannya. Dada kembali bergetar hebat.

Terasa menggigil tangannya dalam separuh genggaman tangan kiri sang suami. Penuh cermat dan lemah lembut jari manisnya disarungkan dengan sebentuk cincin. Berkilau cincin platinum bertatahkan sebutir berlian itu saat terkena pancaran flash. Cincin yang ringkas, namun tampak elegan.

"Salam suami tu Raihan," Tok Teh bersuara tiba-tiba. Entah bila tok bersimpuh elok di sebelahnya, dia pun tidak sedar. Sibuk melayan debar dan malu. Tangan 'Ali Hasif dicapai, perlahan-lahan dikucup belakang tangan itu.

"Okay cantik," tersenyum lebar along, puas hati dapat mengambil beberapa shot gambar seketika tadi.

Raihan pantas meleraikan salam. Digenggam erat kedua-dua belah tangannya seakan tidak mahu lepas.

"Mari semua, kita turun makan di Dewan al-Falah sebelah tangga masjid ni,"

Giliran Mak Ngah Zaidah pula bersuara, mengajak para jemputan untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan di dewan masjid. Kamala yang diam sedari tadi segera mengikut jejak Mak Ngah Zaidah. Sempat dia memberikan isyarat kepada Raihan, memaklumkan kepergiannya.

Raihan bingkas bangun dan bersalam-salaman dengan tetamu muslimat yang hadir manakala suaminya berjumpa dengan tetamu di bahagian muslimin. Sempat dia melihat 'Ali Hasif dan wan berpelukan erat sambil wan berbisik sesuatu pada lelaki itu.

"Raihan, ajak suami makan sekali. Tok nak turun dulu layan tetamu kita. Raihan turun sekali dengan Hasif ya," Tok Teh bersuara perlahan saat tangannya dipeluk erat cucu kesayangan.

Raihan menghela nafas perlahan. Lambat-lambat tangan Tok Teh dilepaskan. Tok Teh tersenyum. Dia menepuk lengan cucu kesayangan itu beberapa kali sebelum mengatur langkah menuruti tetamu yang lain.

Sepi. Baik Raihan mahu pun 'Ali Hasif, masing-masing diam tak bersuara. Hanya tinggal mereka berdua di sayap kanan masjid itu. Raihan masih lagi tegak berdiri. 'Ali Hasif diam memerhati.

"Assalamualaikum," sang suami tiba-tiba bersuara, memecah hening malam. Lelaki itu melangkah merapatinya.

Tadi bukan dah bagi salam ke? Raihan menggigit bibir. Kakinya menapak selangkah ke belakang, cuba meletakkan jarak antara mereka.

"Assalamualaikum," sekali lagi ucapan salam kedengaran.

"Waalaikumussalam warahmatullah," Raihan membalas perlahan. Kepalanya ditundukkan, tidak mahu memandang wajah itu. Dia malu. Dia segan. Dia takut. Perasaannya bercampur baur tika itu.

"Abang ada benda nak beritahu Raihan,"

'Ali Hasif mula membahasakan dirinya. Dipandang Raihan tak lepas. Serba salah untuk memberitahu isterinya itu, namun tidak dapat tidak, Raihan perlu tahu.

"Abang nak ke KLIA lepas ni," jam di tangan diperhatikan sekilas sebelum pandangannya kembali terarah pada sang isteri.

Raihan sudah tegak kepala memandang lelaki itu. Apa kes pengantin kena tinggal lepas nikah?? Buat apa dekat KLIA? Pilot ke dia ni? Mustahil. Pekerjaan suami pun tak diambil tahunya. Raihan mula bertingkah sendiri. Berkerut dahinya memandang 'Ali Hasif, menanti butir bicara seterusnya.

"Flight abang pukul 1 pagi ni,"

Ke mana? Raihan bertanya dalam hati.

"Abang..." Lelaki itu berjeda. Hampir seminit dia diam tak menyambung kata. "Raihan tak nak say something?"

Raihan tunduk. Kepalanya digelengkan.

"Sure? Raihan tak nak tanya apa-apa?"

Sekali lagi dia menggeleng sebagai jawapan.

'Ali Hasif menghela nafas perlahan sebelum dia kembali bersuara, "Raihan pindah rumah abang, nak? Rumah kita.."

Bila? Kat mana pulak rumah kita ni? Makin berkerut dahi Raihan. Laju dia bertanya, hanya dalam hati.

"Boleh?"

Raihan jungkit bahu.

"Susahnya abang nak dengar suara Raihan. Say something, please.."

"Like what?"

'Ali Hasif tersenyum. "Raihan jawab soalan abang ya,"

Raihan mengangguk perlahan-lahan.

"Move in and stay together with me?"

"When? Where?"

"Whenever you are ready. Somewhere in Sepang,"

Bulat mata Raihan. Terasa jauh.

"Why that look?"

"Jauh," sepatah jawapan Raihan.

"Well, yes, but it's not that far actually.."

"Iya ke?"

"Alah bisa tegal biasa,"

"Hmm I'll second that.."

'Ali Hasif tersenyum lagi. "You know what, I really missed the good old days.."

Since when kita ada 'the good old days' tu??

Seperti mendengar suara hati Raihan, 'Ali Hasif pantas menyambung kata, "The debate team,"

Hah! Rasa nak gelak kuat-kuat. Lagi bercakaran ada la. Mereka sentiasa tak sependapat. Lelaki itu pula juara debat sekolah. Baik debat Bahasa Inggeris mahu pun debat Bahasa Arab, nama 'Ali Hasif la yang disebut-sebut.

"Don't you?"

"Hah?" Terpinga-pinga Raihan seketika.

'Ali Hasif tersenyum. "Jom, turun makan.. Abang lapar dah ni. Nervous sangat sampai lupa nak makan siang tadi,"

Raihan masih tak berganjak biarpun suaminya sudah bergerak beberapa langkah.

"Diet?"

"Hah?" Raihan seperti berada dalam dunianya sendiri.

"Raihan dearie,"

Telefon bimbit yang berbunyi sayup-sayup membuatkan suara itu terhenti tanpa noktah. 'Ali Hasif menggagau poket baju melayunya di sebelah kiri. Raihan diam, memerhati.

"Waalaikumussalam warahmatullah. Dah sampai? Belum pukul 10 lagi ni,"

Lelaki itu menjawab panggilan, serius. Matanya memandang terus pada sang isteri.

"Okay then.. I'll be there in 30 minutes, in shaa Allah."

Panggilan dimatikan selepas dia menjawab salam. 'Ali Hasif menghela nafas. Isterinya dihampiri.

"I'm so sorry, I've to go now. Nanti abang pesan dekat along untuk pass kunci rumah dekat Raihan. Raihan tunggu abang balik ya,"

What??!!

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Raihan,"

Tersentak Raihan di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Sentuhan dan panggilan daripada 'Ali Hasif membawa dia kembali ke dunia realiti. Raihan menegakkan duduk. Entah berapa lama dia mengelamun.

"Mimpi apa ni sayang,"

Raihan menelan liur. Masih lagi belum biasa dengan panggilan itu. Dia berpaling ke kiri, mengalihkan pandangannya. Banyak persoalan yang bermain di fikiran, namun tak terluah. Dia mengeluh sendiri tanpa sedar. Cepat dia beristighfar kemudiannya.

"Sampai mengigau ni mesti ada something serious," masih tidak puas hati, 'Ali Hasif terus bersuara.

Hah? Mengigau? Biar betul?! Apa yang aku cakap? Ya Allah... Raihan menggigit bibir, malu sendiri. Dia masih lagi menikus.

"Raihan tak puas hati dengan abang, kan..." Tebak 'Ali Hasif.

Memang! Raihan menjerit di dalam hati. Dah la tinggal orang dari lepas nikah sampai hari ni baru jumpa. Dari awal Syaaban sampai dah seminggu Ramadhan. Nak bertanya pada tok mahu pun wan, dia terasa segan. Sudahnya, dia sendiri memendam rasa.

Di awal pernikahan dulu dia telah nekad untuk buang yang keruh dan ambil yang jernih. Namun, dek kerana panggilan dan mesej yang dikirimkan ke nombor lelaki itu dibiarkan sepi, dia patah hati. Dirinya seperti digantung tak bertali.

Malas hendak bersoal jawab dengan saudara mara dan jiran tetangga, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah lelaki itu. Biarlah dia bersendirian di situ daripada menghadap mulut-mulut yang boleh tahan menyakitkan.

"Raihan.."

Raihan tetap membatu.

"Raihan.."

Raihan berdehem sedikit.

"Raihan nak singgah beli apa-apa dulu tak?"

Berkerut dahi Raihan. Itu pula yang ditanya. Kita ingatkan nak minta maaf ke nak explain apa yang patut ke. Raihan mencebik.

"Dah nak pukul 6 ni. Abang rasa baik kita berhenti beli apa-apa dulu, nak? Just in case.."

"Ikutlah,"

'Ali Hasif tersenyum mendengarkan balasan isterinya. Sepatah kata itu sudah cukup baginya. Matanya memerhati kiri dan kanan, melihat deretan gerai bazar ramadhan di kawasan perumahan itu. Keretanya diperlahankan, mencari-cari kawasan strategik untuk dia berhenti.

"Raihan nak ikut abang?" Lelaki itu bertanya selepas keretanya diparkir di hujung jalan.

Raihan menggeleng laju.

"Raihan nak makan apa?"

"Ikutlah apa-apa je,"

"Lock kereta lepas abang keluar nanti," pesan 'Ali Hasif seolah-olah mengingatkan anak kecil.

Raihan hanya mengangguk. Diperhatikan sang suami yang sudah bergerak keluar, berjalan menuju ke gerai-gerai berhampiran. Usai solat zuhur tadi suaminya mengajak dia untuk pulang ke kampung. Pantas dia bersetuju, rindu yang amat dengan tok dan wan.

Tak jadi dia untuk mencuba resepi baru. Ayam masak Palembang. Raihan tergelak sendiri tiba-tiba, mengenangkan semangatnya untuk memasak sebelum itu. Sesaat kemudian dia kembali serius, memikirkan perjalanan hidupnya selepas ini.

Matanya kembali mencari susuk tubuh sang suami yang semakin menghilang di celah orang ramai. Rabbi yassir wa laa tu'assir, dalam hatinya dia berdoa agar Allah permudahkan urusannya. Biznillah.. Dengan izin Allah..


to be continued,
in shaa Allah..