August 18, 2012

Syawal yang dinanti, Ramadhan tetap dirindui..



Assalamualaikum warahmatullah..


Kehidupan dunia jadi rencana harian. Urusan keduniaan mengalahkan jihad di Rohingya dan Gaza. Ibaratnya kehidupan akhirat jatuh nombor dua. Na'uzubillah.


Bagaimana hendak diimbangkan kedua-duanya?


Iman penentu segala, dengan kuasa-NYA. Melalui iman yang sedikit, iman yang terbias dan iman yang terpelihara itulah lahirnya kehidupan yang seimbang rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. Biiznillah.  Kuncinya, yakin dengan kekuasaan-NYA, insyaAllah.


Kata ustaz dalam tazkirah subuh tadi,

"10 Ramadhan pertama itu rahmat Allah, ingatlah bahawa tiada manusia yang dapat masuk ke syurga dengan amalannya sendiri kecuali dengan rahmat Allah."

Pernah juga dengar peringatan serupa sebelum-sebelum ini tapi manusia biasa macam saya, memang banyak lupa dari beringat. Bila dah ingat, mari kita saling mengingati..

Berapa banyak kebaikan yang kita lakukan berbanding dengan kemungkaran? Berapa banyak amalan kita yang mendapat redha Allah berbanding kemungkaran-NYA?

Semua jawapan ada pada empunya diri. Sentuh dada, usap hati, kenang iman. Setakat mana pencapaian kita, hanya kita dan DIA yang tahu. Tapi DIA yang lebih mengetahui. Tipulah diri sendiri seboleh yang mungkin tapi hati tetap dapat membezakan realitinya.


Semoga Ramadhan yang bakal pergi tidaklah sia-sia dan semoga amalan kita semakin baik berbanding Ramadhan yang lalu. Datangnya pula Syawal seketika nanti sambutannya bersederhana dalam peringatan buat ikhwanul muslimin yang kurang bernasib baik.




---> Mohon maaf andai ada janji belum ditepati dan mohon diberi peringatan atas segala kepincangan. Apa yang baik itu ambillah jadikan peneman dan yang tidak bermanfaat itu tinggalkan jangan dibuat amalan. Salam Aidilfitri buat semua..


May 30, 2012

:. Keterlaluankah Aku 20 .:




Sedangkan lidah lagi tergigit
Apa pula suami isteri


Zaza menghela nafas. Berat. Pen dalam genggaman dibawa ke hujung jari telunjuk, jari hantu dan ibu jari. Dilarikan mata pen itu melakar abstrak pada helaian kertas di hadapannya, mengepung bait pertama lagu P.Ramlee dan Saloma. Nafasnya dihela sekali lagi. Mata pena kembali menari, menyambung rangkap Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, petikan lagu dari filem Tiga Abdul.


Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi


Larian tangan Zaza terhenti tiba-tiba. Dia terkenangkan suaminya. Jauh di mata tapi dekat di hati. Mujur hanya seketika. Norma kehidupan suami isteri yang pastinya ditempuhi setiap pasangan. Harus ada pasang surutnya namun dia syukur. Badai yang datang menyinggah tetap tidak mampu menggoyah kepercayaan di sudut hati. Mujur dikurniakan Amal yang penyabar dan dibajakan kesabaran itu sedikit demi sedikit ke dalam hatinya, meresap ke jiwa.


Apa guna kita bertengkar
Suami isteri harus bersabar


Bibir menguntum senyum. Tiba-tiba. Hilang rasa kurang enak yang hinggap di tangkai hati sebelum ini. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Perlahan. Dalam senyuman.


Kasih sayang rukun dan damai
Hidup seperti dalam mahligai
Maaf hamba wahai dinda


Antara rangkap kesukaan sang suami. Zaza ketawa perlahan. Tangan kanan menongkat dagu sebelum beralih ke leher. Kepalanya ditelengkan sedikit ke kanan. Tangan kiri dihalakan ke papan tetikus. Jari telunjuknya lincah di situ seketika. Skrin komputer riba kembali menyala dari mode tidur, menayangkan gambar dua hati terapung di atas permukaan tasik berlatar belakangkan pemandangan indah redup mata memandang.


Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi


Benar makna bait lagu itu, seperti butir-butir nasihat yang sentiasa meniti di bibir suaminya. Usah dirunsingkan fikiran dengan perkara yang sudah pun berlaku. Kenangan pastinya tetap di situ tapi dengan izin-NYA, kuasa minda mampu mengalihkan yang pahit menjadi manis. Pasti ada pengajarannya untuk segala sesuatu. Innallaha ma’ana. Pesan Amal hampir setiap malam.


Suami isteri mesti berpakat
Rumah tangga mendapat berkat


Tiada keraguan lagi. P.Ramlee itu memang seniman. Setiap karyanya pasti terselit unsur nasihat dan teladan. Bak kata Amal, karya P.Ramlee nasihat dalam peringatan, pendidikan dalam persembahan. Pernah mereka berdua berdebat tentang pendapat itu. Hasilnya, tentu sahaja dia yang kecundang kerana Amal lebih bijak berbicara dan tangkas berfikir.


Apa guna selisih faham
Kalau kini aman tenteram
Pohon ampun wahai kanda


Antara contoh paling mudah diberikan Amal, keperluan mencatat ilmu seperti yang diajarkan secara tidak langsung menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok. P.Ramlee selaku chief penyamun meminta kertas dan pensel daripada Ali Baba untuk menulis rangkap pembuka dan penutup pintu gua di Bukit Kurma yang menjadi tempat persembunyian harta samunan mereka. Berbeza dengan Kassim Baba yang hanya mendengar bait pembuka gua tersebut dalam keadaan terburu-buru tanpa menyalin apa-apa. Kesudahannya, nyawa Kassim Baba menjadi taruhan.


Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi


Sekejapan, kertas di hadapannya sudah penuh dengan rangkap-rangkap lagu seniman itu dalam tak sedar. Seulas bibir Zaza kembali mengukir senyum. Panjang lagi penerangan Amal menjadikan dia lebih memahami erti menonton filem yang sebenar. Buka minda. Bukan sekadar tontonan dengan mata kasar. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Serap segala yang positif dan ubah setiap yang negatif menjadi positif.


Kini, dia akui P.Ramlee bijak berkarya. Apa yang lebih pasti, dia sebagai penonton perlu bijak menilai. Zaza tersenyum sendiri. Amal memang berjiwa klasik. Hampir kesemua karya P.Ramlee menjadi minat lelaki itu. Sudahnya dia pun ikut sama menonton, mencambahkan rasa suka dalam berhibur sekadarnya. Ketukan di muka pintu mengalihkan perhatian Zaza. Dia bingkas. Panggilan ummi disahut pantas.


“Ya, mi?”


“Zaim datang, Zayanah. Ada dekat depan sekarang,”


“Zaim datang?”


“Hm,” Muna tersenyum, mengangguk. Lengan menantu kesayangan ditarik perlahan. “Zaim segan agaknya dengan ummi. Ummi ajak masuk, tak nak pulak dia..”


“Zaim ni nak datang tak bagitahu pun..” Zaza menggumam sambil melangkah menuruni anak tangga bersama Muna di hadapannya.


***********


“Kak Dik sihat?”


Soalan pertama Zaim selepas menghulur salam, dijawab Zaza dengan jungkitan bahu.


“Aik diri sendiri pun tak tahu?”


Zaza tersengih kemudiannya.


“Sihat la...”


“Lain macam je jawapan tu. Kak Dik buat apa? Tak nak datang rumah?”


Sebuah senyuman dilukiskan Zaza buat Zaim sebelum dia membalas, “Tak ada buat apa pun Zaim.. Malas-malas dalam bilik.”

Ringkas jawapan Zaza, menidakkan layanan perasaannya sebentar tadi.

“Sekejap lagi ummi nak balik kampung. Tunggu adik sampai dalam pukul sembilan ni.” Sambung Zaza, teringatkan rancangan umminya.


“Amna balik lagi minggu ni?” Mata Zaim mengerling Casio hitam dipergelangan tangan kiri. Hampir ke pukul sembilan.


Zaza mengangguk dengan senyuman.


“Memang langkah kanan Zaim ni Kak Dik,”


Zaim ketawa lepas dengan kata-katanya sendiri. Zaza mencebik sebelum ikut tertawa. Sesaat.


“Macam tau-tau je kan Zaim ni.”


“Ini namanya sixth sense..”


Zaim ketawa lagi senang hati.


“Hm Zaim datang jauh-jauh ni mama dengan abah tahu ke tak?”


“Tahu.. Ala bukan jauh mana pun Kak Dik,”


Zaim tersenyum memandang Zaza sebelum menyambung kata, “Kak Dik tak nak balik rumah?” Zaim bertanya lagi soalan yang tidak dijawab Zaza sebelum ini.


“Hm, kalau abang kesayangan Zaim tak penat esok mungkin boleh Kak Dik balik sekejap.”


“Oh ya la. Zaim lupa..” Zaim ketawa lepas sebelum dia menyengih memandang Zaza. “Padan la ada orang tu lain macam je.. Abang Amal belum sampai lagi rupanya..”


“Hm em.. Flight delay katanya tadi.”


“Bestnya dapat pergi Sabah. Panjang gunung pulak tu. Rugi Kak Dik tak ikut,”


Zaza tersenyum lebar. Hampir sehari dia mogok suara dengan Amal bila dia tidak dibenarkan turut sama menyertai ekspedisi suaminya itu. Ekspedisi menawan puncak Kinabalu. Seramai 18 orang ahli Kelab Pencinta Alam universiti termasuk tiga orang penasihat kelab menyertai ekspedisi yang dijadualkan selama seminggu itu.

Berbagai alasan diberikan Amal berkaitan urusan kedai roti dan kek mereka yang baru dibuka untuk tidak membenarkan dia ikut sama. Akhirnya dia akur. Suaminya itu pasti sudah memikirkan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum membuat sebarang keputusan.


“Kak Dik~ Yuhuu~”


Lambaian tangan Zaim membuatkan Zaza tersentak.


“Dah sampai mana Kak Dik ni?”


Zaza tersengih.


“Zaim ada cakap apa-apa ke?”


“Tu haa.. Adik ipar kesayangan Kak Dik dah sampai,” Zaim menjungkit kening. Mata terarah ke pintu rumah. Zaza turut melarikan pandangannya. Dia tersenyum melihat Amna yang melambai sekali.


“Zaim tak nak tanya khabar ke?”


“Tengok pun tahu sihat,”


“Iya ke?”


“Iya la.. Sampai-sampai tadi senyum je Zaim tengok.”


“Orang tak sihat tak boleh senyum ke?”


Berkerut dahi Zaim mendengarkan soalan balas kakaknya.


“Orang tak sihat la kena banyak senyum untuk lebih sihat mental especially..”


“Ha tahu pun, tapi tadi Zaim kata apa?”


Zaza menjungkitkan keningnya beberapa kali. Seronok dapat mengusik Zaim.


“Jom la masuk Zaim,”


“Boleh ke?”


“Apa pulak tak bolehnya.. Ini bukan aspuri tau,” usik Zaza lagi sebelum dia bingkas. Bahu Zaim ditepuk sekali, mengajak anak muda itu masuk ke dalam rumah.


***********


“Haaa masuk pun anak bujang seorang ni,”


Tersengih-sengih Zaim mendengar sapaan Muna.


“Tadi ingatnya nak singgah sekejap je, makcik.”


Zaza mengulum senyum mendengar alasan Zaim.


“Dah Zaim duduk dulu. Makcik minta Amna buat air ya,”


“Eh tak apa la, ummi. Biar Zayanah je yang buat.”


“Tak apa.. Zayanah borak-borak dulu dengan Zaim. Amna memang ada dekat belakang pun sekarang. Alang-alang tu..”


“Amna tak naik kemas barang ke, ummi?”


“Dah siap kemas minggu lepas lagi, kak..”


Suara Amna yang membalas tiba-tiba mengundang tiga pasang mata beralih ke arah gadis itu. Berhati-hati dia menatang dulang berisi tiga biji gelas dengan satu jag kecil jus oren. Cekap gadis itu tanpa perlu disuruh.


“Minggu lepas lagi dah kemas?”


Amna mengangguk dalam senyuman. Penuh tertib dia menghidangkan minuman di atas meja kopi.


“Plan asal nak balik minggu lepas lagi, Zayanah.. Ummi tak tahu pulak anak bertuah seorang tu nak pergi panjat gunung. Itu yang tak jadi, tunda minggu ni..”


Zayanah tertawa sesaat mendengar ujaran ibu mertuanya. Kata Amal, dia hanya bidan terjun menggantikan seorang lagi penasihat kelab yang sepatutnya turut serta.


“Abang Amal tahu last minute, mi..” Lembut Zaza membalas. Dia tersenyum melihat senyuman yang terukir di wajah Muna.


“Abang sampai pukul berapa, mi?


Muna menjungkit kening ke arah Zaza, menghantar isyarat meminta Zaza menjawab soalan Amna bagi pihaknya.


“Sepatutnya dah sampai,”


“Flight delay?” Tanya Amna lagi.


Zaza mengangguk.


“Sekejap lagi sampai la tu, insyaAllah..” Zaim yang sedari tadi menjadi pendengar mencelah tenang.


Amna terangguk-angguk seketika. Dia memandang sekilas ke arah Zaim sebelum menjatuhkan pandangan pada ummi yang sedang mengangkat gelas berisi jus oren.


“Zaim, jemput minum dulu,” pelawa Muna lembut. Zaim mengangguk. Tangan kanan mula mencapai minuman yang dihidangkan di hadapannya.


***********


 Misi Menjauhkan Diri daripada Dicerobohi Iblis Laknatullah. 


 Terdapat 4 keadaan yang disebutkan menjadi antara sebab iblis mudah untuk masuk ke dalam badan manusia. 


  1.  Terlalu marah 
  2.  Terlalu sedih 
  3.  Terlalu resah 
  4.  Nafsu seks yang terlalu bergelora 


 Iblis sangat berminat dengan manusia yang berkeadaan terlalu melayan rasa marah, sedih, resah dan juga nafsu seks mereka. Dalam keadaan ini kekuatan iman dan rohani manusia menjadi lemah, memberikan kesempatan kepada iblis untuk menceroboh serta menyesatkan manusia. 


 Jangan lupa ikrar iblis di hadapan Allah gara-gara tidak mahu sujud pada Nabi Adam ‘alaihissalam. Iblis dan keturunannya dah bertekad dan berjanji sepenuh hati untuk menyesatkan manusia. Bahaya pengaruh iblis ni boleh menjadikan manusia sesat, syirik kepada Allah dan seterusnya memungkinkan manusia mati dalam keadaan menyekutukan Allah. Na’uzubillahi min zalik. 


 Jalan penyelesaian bagi masalah luar sedar ni mudah sahaja. Kembali pada fitrah hidup manusia. Manusia dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah. Maka bila datang waktu-waktunya hidup terasa seperti berat, masalah bertimpa dan perasaan terganggu, kembalilah kepada DIA. Sentiasalah dekat pada-NYA dalam apa jua keadaan. 


 Banyak medium perantaraan bagi manusia dan yang Maha Esa. Antaranya melalui bacaan pada kalamullah yakni al-Quranul karim, solat wajib dan sunat, ibadah puasa serta amalan zikir dan selawat ke atas junjungan Nabi S.A.W. Percaya dan yakinlah sepenuh hati kerana sesungguhnya, dengan mengingati Allah hati akan jadi lebih tenang dan jiwa jadi lebih tenteram. Selangkah kita dekat pada-NYA, seribu langkah DIA rapat dengan kita. 


 Ingatlah, janji Allah itu pasti. 


Zaza menghentikan tarian jemarinya di papan kekunci. Dia membaca semula coretannya, menyemak ejaan dan susunan kata. Isi dipastikan padat dan bermanfaat sebelum butang publish post diklik dengan senyuman.


“Ada entry baru pagi ni?”


Sentuhan lembut di bahu kiri Zaza mengiringi pertanyaan suaminya. Dia tersenyum membalas soalan itu. Bibir Amal turut sama mengukir senyum.


“Thanks bang..” Ucapan terima kasih dihulur Zaza, teringat ringan tulang Amal memenuhkan blognya dengan tazkirah.


“Small matter,”


“Rajin abang tolong Zayanah update blog ni.”


Mekar senyuman di bibir Zaza mengenangkan perbuatan Amal menukar kata laluan blog itu daripada single kepada double sebelum ini. Puas dia mencuba untuk log in tetapi tidak berjaya. Sudahnya pada Zaim dilepaskan segala urusan melibatkan satu-satunya blog yang dimilikinya itu.


“Abang suka,” Amal membalas ringkas dengan kerdipan mata.


“Thanks lagi..”


“Small matter lagi..”


Pecah tawa pasangan muda itu sesaat. Amal menempel di sisi isterinya, memenuhkan ruang kecil di hadapan meja kopi. Tangannya beralih ke tetikus. Tazkirah ringkas isterinya dibaca sepenuh hati. Khusyuk. Mata tak beralih dari skrin walau sekali. Seketika kemudian, butang new post diklik sekali. Jari jemarinya mula lincah di papan kekunci komputer riba isterinya itu.


Zaza hanya diam memerhati. Sang suami dibiarkan dengan agendanya dan mindanya mula menerawang, terkenangkan peringatan ringkas Amal beberapa hari lalu. Hanya tiga baris ayat isinya yang ternukil di dalam blog itu. Namun, cukup bererti bagi mereka yang berfikir.


 Manusia yang paling kaya di dunia ini adalah 
 mereka yang menunaikan solat sunat dua rakaat 
 sebelum solat fardhu subuh.  


Zaza menghela nafas. Amalannya cukup kurang selama ini. Lompong di sana-sini. Boleh dibilang kekerapan dia menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh selama ini. Terkenang dia hadis Nabi S.A.W. yang dibacakan suaminya beberapa minggu yang lalu..

"Dari sahih muslim, sabda Rasulullah S.A.W., solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh adalah lebih bagus dari dunia dan segala isinya."

Jauh di sudut hati Zaza sangat bersyukur dikurniakan Amal yang sentiasa membimbing, Amal yang tak lepas dengan agenda akhiratnya. Hamdan lillah, syukran lillah.


“Siap,”


Sepatah kata dari Amal cukup untuk membuatkan Zaza di sisi tersentak. Amal ketawa perlahan melihatkan isterinya terkejut sendiri.


“Ya Allah.. Sempat lagi isteri abang ni berangan. Siap terkejut pulak tu,”


Zaza tersengih. “Abang buat apa? Apa yang dah siap?” Pantas dia bertanya.


“Tadaa~”


Mata Amal mengerling skrin 12 inci di hadapannya, mengalihkan tumpuan isterinya ke situ. Giliran Zaza menggerakkan tetikus.


 Bila selangkah kurapat pada-MU, 
 seribu langkah KAU rapat padaku 

 Mengemis Kasih : Nazrey Johani ft Far East 


 Tuhan dulu pernah aku menagih simpati 
 Kepada manusia yang alpa jua buta 
 Lalu terheretlah aku di lorong gelisah 
 Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah 


 Semalam sudah sampai ke penghujungnya  
 Kisah seribu duka kuharap sudah berlalu 
 Tak ingin lagi kuulangi kembali 
 Gerak dosa yang menghiris hati 


 Tuhan dosaku menggunung tinggi 
 Tapi rahmat-MU melangit luas 
 Harga selautan syukurku 
 Hanyalah setitis nikmat-MU di bumi 


 Tuhan walau taubat sering kumungkir 
 Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi 
 Bila selangkah kurapat pada-MU 
 Seribu langkah KAU rapat padaku 


Zaza tersenyum membaca bait-bait lirik lagu nasyid malar segar itu. Butang play pada video yang dimuatnaik diklik sekali. Lagu mengemis kasih nyanyian Nazrey Raihan bersama kumpulan Far East mula kedengaran. Zaza berkalih pandang pada Amal di sisi. Dia tersenyum lagi melihatkan wajah tenang suaminya.


“Zayanah tak tahu pula Nazrey Johani ada featuring Far East untuk lagu ni,”


Zaza mula bersuara saat lagu habis dimainkan. Amal tersenyum, mengerdipkan mata sekali.


“Zulfah Zayanah tahu apa je?”


Bulat mata Zaza mendengar usikan suaminya. Dia mengetap bibir. Amal ketawa lepas sesaat.


“Zayanah tahu abang kipas susah mati Nazrey Raihan dengan Far East,” bersahaja Zaza membalas. Tawa Amal bersambung sesaat sambil tangannya mencuit pipi Zaza sekali.


“Memang abang minat, suka dengar lagu-lagu Raihan dengan Far East..” Akui Amal tenang. “Lagipun, lagu Mengemis Kasih versi Nazrey featuring Far East ni catchy sikit, sayang. Kalau abang pasang video dekat student, memang ramai yang akan request lagu tu. Tapi bagi abang sendiri, mana-mana pun sedap. Apa yang penting, kita boleh belajar daripada lirik dia..”


Zaza mengangguk mendengarkan kata-kata yang dinoktahkan Amal dengan senyuman indah terukir. Wajah suaminya dipandang tak lepas. Lama.


‘Ya Allah, betapa aku bersyukur dikurniakan dia sebagai pemimpinku. Semoga hubungan yang terbina ini sentiasa dipayungi rahmat dan kasih sayang-Mu, ya Allah..’ Doa Zaza di sudut hati. Mata bertentangan dengan sang suami seketika. Dua pasang mata itu saling berbalas senyum. Dua pasang mata itu terus berbicara dengan kefahaman dari hati.


Hatinya berdetik lagi...


Keterlaluankah aku andai kupohon muslimah di luar sana turut dikurniakan pemimpin seperti Amal, malah lebih baik lagi dari suamiku, mungkin.. Keterlaluankah aku?

:. the end, ALHAMDULILLAH .:

p/s: ... after a month++, really sorry for any inconvenience and please do enjoy the final entry. finally..

April 17, 2012

:. Keterlaluankah Aku 19 .:



Biasan seraut wajah di cermin dipandang sekilas. Dia tersenyum. Sekali lagi wajah itu ditatap. Lama. Mata bertentangan sesaat. Dua saat. Beberapa saat berlalu. Masih begitu. Dia tersenyum. Biasan wajah di cermin turut mengukir senyum. Mereka tersenyum.


“Abang handsome kan?” Amal bersuara tiba-tiba.


“Atau Zayanah yang terlebih sweet?” Zaza membalas spontan.


Mereka sama-sama tergelak. Sesaat.


“Zayanah yang pandang abang dulu.. So abang la yang handsome..”


“Iya ke?”


“Iya.. Betul tak? Sejak dari abang siap-siap tadi sampai la dah siap ikat tie ni, Zayanah dok usha abang.. Kan?”


Zaza tersengih.


“Nak cari pahala pagi-pagi,” ringkas jawapan Zaza mengundang senyum Amal.


“Untungkan kahwin. Senang Zayanah dapat pahala..”


Zaza tersenyum. Dia bingkas menghampiri Amal yang sudah membelakangi cermin, tegak memandang setiap langkahnya.


“Alhamdulillah.. Banyak jugak ni, insyaAllah. Subuh tadi solat jemaah dengan abang. Lepas solat, baca ma’thurat sama-sama. Habis baca ma’thurat dengar hadis nabi yang abang baca. Emmm lagi, siapkan baju dengan breakfast untuk abang. Nak upgrade pahala, Zayanah tengok la abang pulak.. Andai kata pahala ni sesuatu yang konkrit kita boleh nampak, boleh isi macam list hutang dalam buku 555, mesti semua orang berebut nak buat pahala, kan bang.”


Amal tertawa kecil dengan huraian panjang itu. Tersenyum dia bila sang isteri membetulkan tali leher yang baru selesai diikatnya tadi.


“Kalau Zayanah tahu jadi isteri ni senang nak kumpul pahala, lepas SPM Zayanah dah minta abah carikan calon,” Zaza ketawa lepas, melihat Amal mengecilkan mata. Pipinya dicuit Amal.


“Ada hati nak kahwin lepas SPM ya.. Abang dengar-dengar gossip ada orang tu tak nak belajar dah lepas habis SPM. Nak duduk rumah je. Sebab tu agaknya nak kahwin lepas SPM..”


“Haha abang ni...” Zaza memuncung sedikit. “Sebelum kahwin pun senang jugak dapat pahala sebenarnya.. Antara nak dengan tak.” Suara itu terhenti seketika sebelum dia kembali menyambung, “Hmm ini mesti kerja Zaim. Tak ada orang lain dah ni. Mesti Zaim yang report dekat abang,”


Amal tersenyum. Hidung isterinya pula dicuit.


“Zaim tu assistant abang la,”


“Abang pulak batu loncatan Zaim?”


Amal ketawa lepas, mengerti makna tersirat di sebalik pertanyaan itu.


“Tak salah abang jadi stepping stone.. Lagipun abang kenal Zaim dari masa dia sama-sama tadika dengan Amna. Abang tahu Zaim dalam keluarga yang baik-baik. Agama tetap nombor satu. Rupa pun ada. Jadi tak salah la abang rasa. Abang pun nak yang terbaik untuk Amna. Alang-alang ada pilihan yang baik depan mata dan yang memang abang kenal orangnya macam mana. Kenapa dibiar tak bertangan layang-layang indah berterbangan di langit, kan?


Zaza terangguk-angguk. Dalam hati terselit rasa syukur dengan anugerah Allah yang tidak ternilai. Lahir dalam keluarga yang menjunjung Islam dan hidup dalam redha dengan qada qadar percaturan-NYA. Kemanisannya pasti ada dengan kesabaran atas segala sesuatu.


“Tapi Amna tahu ke bang?”


Amal menggeleng.


“Habis tu kalau Amna ada pilihan sendiri macam mana?”


“Abang paksa je la,”


“Hish abang ni ada pulak main paksa-paksa gitu,”


Amal ketawa sesaat.


“InysaAllah.. Abang doa tiap-tiap waktu. Zayanah pun dah kenal Amna sedikit sebanyak kan. Zayanah tahu Amna tak ada kawan lelaki yang lain selain Zaim, kan—”


“Eh ha’ah la..” Zaza memintas suaminya.


“Sampai masa nanti abang try bagi hint dekat Amna. Harap semua dipermudahkan, insyaAllah.”


“InsyaAllah..”


Pasangan suami isteri itu berbalas senyum seketika sebelum mata Amal memberi isyarat, mengajak isterinya turun ke tingkat bawah. Sempat Zaza mencapai tudung yang tersangkut di hujung penyidai sebelum disarungkan tudung hitam berbunga kelabu itu ke kepalanya.


“Abang balik pukul berapa agak-agaknya?”


“Entah abang tak pasti lagi. Kalau tak ramai budak, lepas asar abang balik, insyaAllah.. Lepas pukul lima la tapi. Tak berkat gaji kalau curi masa.”


Zaza tersenyum, semakin memahami suaminya yang begitu mementingkan keberkatan dalam kehidupan seharian. Katanya, itulah titik tolak kehidupan di dunia yang membawa kebahagiaan di akhirat sana. “Ramai lagi ke student yang belum settle?”


“Empat orang. Bawah abang ada tujuh orang. Baru tiga orang yang dah betul-betul settle. The rest, a week before Syawal baru nak amend apa yang patut. So, dalam minggu ni je la tempoh masa yang dia orang ada. Viva nanti dengan senior lecturer. Ringan la sikit kerja abang sebenarnya,”


“Hmm..”

Terangguk-angguk Zayanah. Matanya memerhatikan Amal yang sedang menyarungkan kasut. Beg sandang belakang tergantung di bahu kanan lelaki itu. Tersenyum simpul dia melihat penampilan suaminya. Sudah smart bergaya dengan kemeja siap bertali leher tetapi menyandang beg lagak pelajar universiti.


“Abang gerak dulu, sayang..”


Zaza tersenyum lebar. Huluran tangan Amal disambut senang hati. Dahinya terasa dikucup lembut sesaat kemudian. Zaza tersenyum lagi.


“Zayanah, kalau rasa nak pergi rumah Kak Iklil nanti-nanti, abang izinkan. Tinggal seorang tak ada apa nak buat tak best jugak, kan.”


Zaza mengangguk. Mula terasa sunyi ditinggalkan bersendirian. Terkenang dia pada ummi yang pulang bercuti ke kampung halamannya di Batu Gajah. Amna pula sudah pulang ke asrama, bersedia untuk peperiksaan SPM yang bakal tiba.


“Lagipun dapat bincang-bincang apa yang patut dengan Kak Iklil nanti. Hm kalau Zayanah nak tahu, Kak Iklil ada pergi kursus keusahawanan dan perniagaan tahun lepas. Mesti ada banyak idea. Boleh Zayanah belajar apa yang patut.”


Zaza mengangguk lagi. Amal tersenyum.


“Tiba-tiba jadi mute pulak ya?”


Zaza tersengih. Hidungnya dijungkitkan sedikit sebelum dia menampar lembut lengan suaminya.


“Terima kasih, bang..”


“You are always welcome, my dear..”


“Drive carefully,”


“Will do, insyaAllah.. Assalamualaikum,”


“Wa`alaikumussalam warahmatullah..”


Enjin kereta dihidupkan. Zaza melambai dalam senyuman. Tidak sampai seminit kereta sudah meluncur menuju ke jalan besar. Dia masih lagi di situ. Tegak berdiri di sisi pintu pagar yang terbuka luas. Dia berpaling sedikit, melihat ke arah rumah Iklil dan Idin di sebelah. Kak Iklil sudah keluar menghantar anak-anaknya ke sekolah. Dia tersenyum lagi. Kenangan semalam menerpa minda..


“Betul ke ni bang?”


“Betul..”


“Tak tipu?”


“Apa pulak nak tipu.. Berdosa kan tipu-tipu ni..”


“Tak gurau,”


“Ya Allah,”


Satu kucupan singgah di pipi Zaza. Bulat matanya memandang Amal. Lelaki itu tenang, mempamerkan wajah serius.


“Rasa betul ke gurau?”


“Betul. Betul.” Senada Zaza menjawab. Tangan kanan dan kiri masing-masing sudah melekap kemas di kedua-dua belah pipi. Pecah tawa Amal melihatkan reaksi spontan isterinya.


“Takkan abang nak bergurau perkara serius macam ni. Ini kira hadiah abang, abang Idin dengan Kak Iklil untuk Zayanah. Abang tahu Zayanah suka kerja Zayanah sekarang, kan. Apa salahnya kita up lagi biar isteri abang ni betul-betul buat business. Untung-untung boleh maju macam Baker’s Cottage,”


Zaza ketawa sesaat mendengarkan contoh yang diberikan Amal.


“Kenapa? Tak percaya lagi?”


“Bukan-bukan..” Zaza menggeleng laju. Spontan tangannya diangkat kembali, menekup pipi. Amal menggeleng.


“Abang tak buat dah,”


“Betul?”


“Betul..” Amal tersenyum. “Takut sangat,” lelaki itu menarik tangan isterinya lembut. Digenggam kemas tangan halus itu.


“Thanks, abang..”


“Thanks untuk apa?”


“Thanks for it’s a dream come true,”


“Alhamdulillah.. Isteri abang suka?”


“Sangat. Hmm bahut-bahut shukriya.”


Amal ketawa lepas.


“Abang belum khatam lagi la Bahasa Urdu,”


“Zayanah pun belum khatam lagi. Sikit-sikit je Zayanah tau.. Hasil dari tengok movie Hindustan zaman gemilang dulu. Sekarang dah tak layan dah.”


Amal ketawa lagi.


“Memang takkan tengok dah.. Tak suka abang tengok Hindustan. Buang masa lama-lama depan skrin.”


Bibir Zaza menguntum senyum. Dalam hati terselit rasa setuju dengan kata-kata suaminya. Buang masa. Tetapi itulah minatnya suatu waktu dahulu.


“Hm lagipun, dah ada kedai ni senang sikit," sambung Amal tiba-tiba. "Tak payah Zayanah hantar order lagi. Customer boleh datang ambil dekat kedai je. Betul tak?”


Zaza mengangguk laju. Betul juga. Jimat masa. Lagipun dia sudah berkahwin. Suaminya perlu didahulukan. Andai kata ada rezeki perniagaannya maju nanti boleh juga disediakan perkhidmatan penghantaran ala-ala Pizza Hut Delivery. Zaza mula memasang angan.


“Kalau betul-betul komited, memang ada peluang nak maju,” seperti mendengar kata hati Zaza, Amal bersuara. “Apatah lagi kedai bakeri Muslim masih tak banyak. Ada memang ada tapi dekat area tertentu. Kira susah nak dapat. Betul tak?” Sambung Amal.


Zaza mengangguk lagi.


“Abang percayakan isteri abang. Abang tahu Zayanah boleh. Ada ramai orang yang boleh bantu Zayanah, insyaAllah..”


“Kalau gitu abang la orang pertama yang Zayanah hire,”


“No hal.. Abang memang suka buat kerja part time,”


Lamunan Zaza terhenti di situ. Deringan telefon talian tetap yang bersambung-sambung mematikan layangan memorinya. Pantas dia bergerak menuju ke sudut di ruang tamu. Gagang telefon segera diangkat.


“Assalamualaikum,”


“Waalaikumussalam warahmatullah,” suara di sebalik corong telefon membalas.


“Abang,”


“Berangan depan pintu ya,”


Zaza tersipu malu. Macam mana suaminya boleh tahu. Sixth sense. Ya! Dia pasti itulah jawapan yang sesuai tika ini.


“Berangan lagi?”


“Eh tak-tak..” Zaza tersenyum. “Abang dah sampai ke?”


“Belum lagi. Abang berhenti dekat petrol station sekejap. Beli air bateri. Ummi call tadi, sayang..”


“Em hm. Ummi sihat?”


“Ummi kata call rumah tak ada orang jawab,”


Zaza tergelak. Sesaat. Dia mendengar suara di balik corong telefon turut sama ketawa.


“Ya Allah.. Nanti Zayanah call ummi balik.”


“Abang keluar tak sampai lima minit dah berangankan abang, ya..”


Zaza tertawa lagi. Sesaat. “Perasan...”


Leretan tawa di balik corong telefon membuatkan Zaza tersenyum.


“Kalau abang tak perasan dengan Zayanah, abang nak perasan dengan siapa lagi, kan..”


“Betul jugak..”


“Hm nanti Zayanah call ummi ya. Menantu kesayangan, tak dengar suara sehari tak sah..”


Zaza tersenyum lebar sebelum membalas, “InsyaAllah.. Lepas ni Zayanah terus call. Zayanah bagitahu ummi abang jealous ummi sayang Zayanah lebih,”


Tawa Amal mengetuk gegendang telinga Zaza. Bibirnya menguntum senyum.


“Apa-apa je la.. Tapi yang penting, abang lagi saaayang isteri abang,”


Zaza tersipu. Mujur Amal tiada di depan mata.


“Baik-baik drive nanti ya abang. Kerja pun baik-baik.”


“InsyaAllah.. Terima kasih..”


“Sama-sama.”


“Jangan lupa tutup pagar nanti,”


Ya Allah.. Semuanya dia tahu. Magic ke apa? Zaza senyum meleret.


“Em hm,”


“Take care.. Assalamualaikum,”


“InsyaAllah.. Wa`alaikumussalam warahmatullah..”


Usai meletakkan gagang, Zaza bingkas keluar. Pintu pagar ditutup rapat sebelum dia kembali ke dalam rumah, menuju ke sudut di ruang tamu yang menempatkan telefon talian tetap berwarna hijau gelap. Nombor telefon ummi ditekan sebelum mereka bertukar salam, bertanya khabar dan berceloteh panjang.


:. to be continued, insyaAllah .: