June 25, 2018

Salam Aidilfitri 1439H


Assalamualaikum wbt.

Buat semua pengunjung blog Underground World,
harap masih belum terlambat untuk saya wish;

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
Taqabbalallahu minna wa minkum
(Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)
Kullu 'am wa antum bi khoir
(Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan)
Wallahu'alam..



Semoga kita bertemu semula dengan Ramadhan yang akan datang,
in shaa Allah ameen...😉

June 23, 2018

Kita Serupa ...6


Getaran dan bunyi dari telefon bimbit di tangan kanan mematikan lamunan Raihan. Dia menghela nafas perlahan sebelum menekan butang kecil di sisi kanan telefon bimbitnya itu. Skrin kembali cerah.

Raihan tak nak jawab call abang?

Raihan mengerutkan dahi sedikit. Lincah jari bergerak di skrin telefon. 11 missed calls! Dia menelan liur. Terasa berpasir.

Sungguh dia tidak perasan ada panggilan masuk kerana dia telah mengaktifkan mode silent untuk panggilan telefon. Hanya notification sahaja yang dalam mode getaran dan berbunyi sekali.

Telefonnya dipandang dengan kerutan di dahi. Tidak tahu bagaimana hendak membalas mesej itu. Raihan menghela nafas perlahan.

Allahu Akbar! Bulat mata memandang telefon bimbitnya yang bergetar sekali lagi. Terkejut dia, mengurut dada sekali. Skrin telefon dihalakan ke mata, membaca baris-baris mesej daripada lelaki bernama suami itu.

I'm on my way.. In shaa Allah sempat berbuka dengan Raihan nanti.. Raihan masak sedap-sedap ya.

Jam di dinding dikerling sekilas. Menghampiri ke pukul satu. Resepi ayam masak Palembang dibacanya sekali lagi, mahu menghadam langkah demi langkah yang perlu dilakukannya.

Sejak bergelar isteri, inilah kali pertama dia memasak untuk suaminya. Serasa sedikit gementar. Bimbang masakannya tidak kena dengan selera lelaki itu.

'Goreng ayam and put aside.. Panaskan sedikit minyak goreng ayam tadi and saute bahan-bahan kisar, serai dengan daun kari sampai wangi and garing. Dah garing tu baru letak sos tiram and kicap manis...' Raihan bersuara sendiri, sedikit kuat.

'Banyak lagi step ni.. Alah kacang je la rasanya...' Sambungnya lagi sebelum dia mengerutkan kening tiba-tiba.

'Eh, dah kenapa bersungguh pulak aku ni.. Bukan ke pakcik tu seteru aku?? Aku dah boleh terima dia ke?' Raihan menggeleng laju, menjawab pertanyaannya sendiri.

'Tapi besar sangat ke silap dia sampai nak berdendam pulak?' Raihan menggeleng lagi. 'Aku tak dendam pun.. Cuma sakit hati je. Geram. Geram sangat.'

Puas bertingkah sendiri, Raihan kembali termenung. Jendela memorinya kembali terbuka luas.

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Aku tak nak teruskan pertunangan ni, Mala.. I'm serious. Aku dah ingat siapa 'Ali Hasif.."

Tenang wajah Kamala memberikannya sedikit kekuatan untuk mula menyusun ayat setelah beberapa lama melayan perasaan.

Kamala hanya menjungkitkan kening. Namun, itu sudah cukup menyampaikan maksudnya pada Raihan. Sungguh mereka berdua saling memahami.

"Senior sekolah aku dulu, Mala.. Aku..... pernah tersuka dekat dia..."

Panjang jeda Raihan. Mata menatap tajam wajah Kamala. Sahabat baiknya itu mula tersengih menayangkan barisan gigi yang elok tersusun. Mata Raihan mencerun memerhatikan Kamala yang tersengih lebar.

"I smell something fishy..." Tanpa menunggu lama, Kamala bersuara meleret.

"Apa?" Soal Raihan sepatah.

"Okay, sebelum aku beritahu apa yang aku rasa, apa kata kau beri sebab kenapa kau nak putuskan pertunangan ni?"

"Ermm aku..."

"3 reasons should be fine," potong Kamala sebelum Raihan menghabiskan ayat.

"Aku dengan dia memang tak ngam,"

"Oh really? In what way?"

"Serba-serbi." Ringkas Raihan membalas, memberi tanda dia tidak mahu memanjangkan cerita.

"Okay, next?"

"Dia tak suka aku pun.."

"Mana kau tahu itu? Kau share hati dengan diakah?" Selamba Kamala bertanya.

Raihan mencebik. "Aku tahu, Mala.. Macam-macam dah aku aku kena dengan dia dulu." Jawab Raihan kemudiannya.

"Interesting. Why not you tell me what had happened back then.." Tersenyum-senyum Kamala membalas.

Raihan menyepi. Matanya tepat memandang Kamala tetapi pandangannya bukan di situ..

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

Alunan syahdu ayat suci al-quran dari surah ar-Rahman pada pagi itu membawa semua pendengar ke alam yang lain. Kalamullah 78 potong ayat dibacakan dengan nada yang lunak, mengikut pengertian setiap ayat itu sendiri.

Bacaan ayat yang seakan alunan Sheikh Mishary Rasyid sememangnya membuai perasaan. Ditambah pula dengan terjemahan setiap baris ayat untuk pemahaman semua pendengar. Hiba suara pelantun setiap kali melantunkan ayat yang berulang-ulang di dalam surah itu.

Ayat yang membawa maksud, "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan." Ayat tersebut berulang sebanyak 31 kali sebagai pengakhiran kepada setiap ayat yang menyatakan perihal nikmat kurniaan Allah kepada sekalian hamba-Nya.

Maka nikmat Allah yang manakah yang sedang kita dustakan?

Semua pendengar turut terkesan dengan mesej yang ingin disampaikan. Masing-masing menunduk, menghayati dan sekaligus menginsafi diri. Ada antara murid yang terkumat-kamit mulutnya tanda mereka melafazkan semula bait-bait ayat suci dari surah ar-Rahman yang telah dihafaz.

Di barisan tengah murid perempuan Tingkatan 1, kelihatan seorang murid yang bersungguh menadah tangan saat doa usai membaca al-quran dilagukan. Zunnur Raihan. Anak yatim piatu yang menginjak remaja itu tersenyum sedikit ketika mengaminkan bacaan doa.

'Ali Hasif. Dia kenal suara yang melantunkan bacaan ayat suci dan doa yang sedang dibacakan. Suara pertama yang mengetuk gegendang telinganya saat dia sendirian menjejakkan kaki di sekolah itu. SMKA ad-Diniyyah.

"Tudung kena labuh sikit. Nak pakai singkat-singkat pergi pindah sekolah Convent,"

Pandangan dicerunkan ke arah suara yang menegur kasar.

'Apahal kaitkan dengan Convent pulak.. Pernah masuk Convent ke mamat ni.' Gadis itu menggumam geram. Tangan memintal sedikit hujung tudung putih bersihnya itu. 'Mana ada singkat. Sedang elok la ni.. Nak suruh aku pakai telekung ke?'

"Apa?"

Raihan pantas menggeleng.

"Saya belum pekak lagi ya. Jangan nak bising belakang. Tak puas hati cakap depan-depan,"

Raihan menggeleng sekali lagi. Serasa seperti tiada keperluan untuk menjawab tika itu biarpun hatinya terasa panas. Dia menjeling sedikit ke arah murid lelaki yang memakai blazer hijau gelap itu. Pengawas mungkin.

Sepasang anak mata hazel yang kelihatan cantik dipanah mentari sedang tunak memandang ke arahnya. 'Ali Hasif! Sempat dibaca nama yang tersulam di blazer murid lelaki itu sebelum Raihan melarikan pandangannya.

"Kalau tak boleh nak ikut peraturan sekolah, boleh pindah sekolah lain ya," sambung lelaki itu lagi.

Apahal mamat ni?! Aku baru jejak kaki kat sini. Takkan nak buat musuh kot. Raihan memicit kepala yang tidak pening. Kepalanya diangkat sedikit, mengitarkan pandangan ke sekeliling dewan. Hanya tinggal dirinya dan lelaki itu di pintu masuk Dewan Al-Biruni.

Semua murid Tingkatan 1 yang lain sudah pun mengambil tempat masing-masing mengikut kumpulan yang telah diberikan. Raihan melangkah laju, tanpa pamitan meninggalkan lelaki itu. Dia bergegas mencari ahli kumpulannya.

Minggu orientasi Tingkatan 1 yang dijadualkan selama dua minggu terasa seperti minggu penuh ujian. Raihan mengucap panjang mendengarkan nama fasilitator bagi kumpulannya.

Siti Solehah dan... 'Ali Hasif! Seramai 30 orang fasi dari Tingkatan 6 rendah ditugaskan untuk menjaga kumpulan murid yang terdiri daripada 6 orang murid lelaki dan 6 orang murid perempuan dalam satu kumpulan. Dua orang fasi bagi setiap kumpulan. Sebanyak 15 kumpulan yang mereka ada setakat ini.

Dua minggu itu jugalah yang membuatkan Raihan merasa berat hati duduk dia asrama. Bahkan dia juga terasa seperti ingin berpindah ke sekolah yang lain. Namun mengenangkan nasib diri yang bergantung kasih dan harap pada atuk dan nenek membuatkan dia mencekalkan dirinya. Tidak mahu menyusahkan kedua-duanya.

"Zunnur Raihan!" Tepukan kuat selepas namanya diumumkan mengejutkan Raihan. Terpinga-pinga dia seketika. Mata mencari-cari Aimi, rakan sekumpulan yang banyak membantunya.

"Zunnur Raihan!" Sekali lagi namanya diumumkan oleh pengacara majlis. Solehah di sisi segera menegur, "Naik atas ambil hadiah dengan sijil tu dik,"

Hah? hadiah apa pulak ni? Sempat pulak aku berangan. Raihan menepuk dahi perlahan sebelum dia bingkas berdiri dan mengatur langkah ke pentas. Cermat. Senyum dihulurkan pada Ustaz Hasbullah selaku mudir sekolah itu. Kepalanya ditundukkan sedikit, tanda hormat sebelum dia menerima sijil dan hadiah yang dibungkus cantik.

"Lain kali nak berangan, pergi balik rumah la."

Keras bunyi suara yang menampar cuping telinganya. Sepantas kilat Raihan mendongakkan kepala. Huh! 'Ali Hasif ni lagi. Dia menjeling lelaki itu yang berdiri di hujung tangga menuju ke pentas. Jadi runner agaknya mamat ni. Sibuk jaga tepi kain orang.

Tidak aman dua minggu orientasi itu. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan lelaki itu yang merupakan ketua fasilitator Majlis Taaruf. Kata Kak Solehah, 'Ali Hasif ni antara wakil ketua pelajar yang agak terkenal di sekolah itu.

Tapi dia seorang yang agak nakal. Kata Kak Solehah lagi, disebabkan kenakalannya, Ustaz Hasbullah buat keputusan untuk beri jawatan kepada lelaki itu. Penolong Ketua Umum. Heh! Sempat lagi aku merisik khabar.

Aimi la orang pertama yang berani bertanyakan perihal lelaki itu pada Kak Solehah. Aku tanya acuh tak acuh je sekadar di pinggiran. Kalau tanya beriya lain macam pulak kan..

Gedebuk!! Allahu Akbar!! Malunya aku.. Ya Allah macam manalah aku boleh terlanggar kerusi VIP ni.. Sebesar-besar sofa kayu jati ni aku tak perasan?! Jatuh terduduk pulak tu. Ya Allah malunya nak bangun!! Suara hati Raihan menjerit. Matanya dipejam sesaat. Sunyi dewan itu seketika.

"Pandang ke mana jalan tu," mendatar bunyi suara itu. Raihan mendongak sedikit. Matanya menangkap kelibat 'Ali Hasif sedang membetulkan sofa yang tertolak sedikit dek penangan dia yang melanggar.

Mujur juga mudir dan penolong kanan masih lagi di atas pentas. Jika tidak, malu berganda dia. Dari hujung mata, Raihan melihat lelaki itu meluruskan tangan kanannya ke atas sedikit, menggamit seseorang. Beberapa minit kemudian, Siti Solehah datang menghampiri Raihan.

"Raihan boleh bangun?"

Raihan mengangguk beberapa kali.

"Tapi Raihan malu kak," hampir berbisik dia bersuara.

'Ali Hasif yang memerhati sedari tadi segera bergerak ke hujung tangga semula. Dia mengisyaratkan sesuatu pada rakannya yang menjadi pengacara majlis. Majlis kembali diteruskan dan pandangan murid-murid beralih semula ke pentas, mendengarkan ucapan dan amanat dari tuan mudir pula.

Raihan menghela nafas. Lega. Dia bingkas bangun, ditemani Siti Solehah, menuju ke kumpulannya di sayap kanan dewan. Dalam hatinya dia berterima kasih pada lelaki itu.


~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Oi cik kak!"

Tepukan agak kuat di lengan Raihan mematikan lamunannya. Terbang jauh sebahagian kenangan berkaitan 'Ali Hasif yang cuba dilupakan selama ini. Masih ada lagi cebisan kenangan yang menghantui fikirannya tika itu.

"Jauhnya berangan sendiri. Puas aku bercakap seorang."

Raihan tersipu malu. Getaran telefon bimbit mengalihkan pandangannya. Dia mengerling Kamala di sisi, menayangkan skrin telefon bimbit. Seperti memahami, Kamala mengelus lembut tangan sahabat baiknya itu. Matanya dikerdipkan sekali.

"Err waalaikumussalam warahmatullah.. Wan.."

Raihan masih lagi memandang Kamala, mengharapkan kekuatan gadis itu.

"Tak ke mana.. Raihan balik KL."

"Kenapa terburu-buru ni, Raihan.. Wan dengan Tok kan ada.. Mujur tak jadi apa dalam perjalanan,"

Raihan menelan liur. Terasa sangat bersalah pada atuk dan neneknya yang sudah dimakan usia tapi masih lagi tabah dan sabar melayan kerenahnya.

"Raihan,"

"Iya, wan.."

"Wan dah bercakap dengan tunang kamu. Dia pun dah bersetuju dengan cadangan wan.."

Wan berjeda. Raihan berdebar menanti butir kata seterusnya.

"Bukan sekali Raihan larikan diri dari berdepan dengan masalah. Kali ni wan nekad."

Terasa berpasir liurnya. Raihan mencengkam lengan Kamala. Gadis itu hanya memandang tanpa suara. Dahinya turut sama berkerut biarpun dia tak mendengar butir bicara itu.

"Wan kesian dekat tunang kamu tu. Cuba bawa berbincang dulu. Wan tak tahu apa masalah antara kamu, tapi wan tahu wan tak silap pilih kali ni. Mungkin mata tua wan lebih celik dengan apa yang Raihan belum nampak."

Wan masih lagi berjeda. Raihan masih lagi menanti dengan debaran hebat di hati.

"Raihan boleh drive sendiri?"

Raihan mengerutkan dahinya lagi. "Kenapa, wan?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Wan dah beritahu tunang kamu. Esok pagi wan sendiri akan jumpa dengan tok kadi. Wan nak cepatkan nikah kamu,"

Tenang wan bersuara. Raihan sudah ternganga. Makin bulat mata memandang sahabat di sisi.

"Raihan.. Err.. Wan,"

"Sebelum wan tutup mata, wan nak tengok Raihan bahagia dulu," potong wan sebelum sempat Raihan menyambung kata. "Raihan balik pagi esok, ya. Wan dengan tok tunggu Raihan kat rumah."

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Assalamualaikum,"

Dada Raihan bergetar hebat. Salam yang kedengaran lembut, rapat di telinga mengejutkannya. Tangan pantas mencapai selendang di hujung kerusi dan dililit ke kepalanya.

Ehh! Pukul berapa dah ni? Kenapa dia dah sampai?? Biar betul?! Berpusing kepala mencari jam di dinding. Matanya dibulatkan sekali. Pandangannya terhalang dek susuk tubuh itu yang berdiri tegak menayang senyum.

"Bi.. Bi.. Bila sampai?" Bergetar suaranya. Perlahan, hampir tak kedengaran.

Lelaki itu masih lagi tersenyum. Raihan sudah mengerutkan dahi.

Apa kes senyum-senyum ni. Dah la masuk macam pencuri tak dengar bunyi langsung. Eh pukul berapa dah sebenarnya ni? Berapa lama masa terbazir mengelamun je kerja. Raihan menggosok belakang telinga yang tersorok di balik selendang merah jambu lembut.

"Raihan malu dengan abang?"

Raihan gigit bibir. Diam tidak membalas. Selendang di atas kepala dikemaskan sedikit.

"Raihan belum masak lagi kan?"

Masak? Masak! Ya Allah masaklah aku!! Raihan bingkas, berdiri tegak di sebelah suaminya. Buku resepi yang sempat dicapainya tadi disorok di belakang tubuh.

'Ali Hasif sudah menyimpul senyum. Tak payah nak soroklah awak.. Lama dah saya perhati awak.. Ada la dekat setengah jam. Tak berubah rupanya tabiat suka mengelamun dan termenung tu.

"Nak masak pakai buku resepi ke?" Usik lelaki itu selamba.

Raihan makin menyepi.

"Sayang puasa tak hari ni?"

Sayang?! Gulp! Raihan menelan liur. Terasa kebas wajahnya seperti darah merah tiba-tiba menyerbu ke muka.

"Pukul berapa dah ni?"

Laju Raihan bertanya, cuba melawan gugup dan mengusir rasa yang bertandang tanpa diundang.

"Half past two, dear.."

"Ya Allah.. biar betul? Orang belum solat lagi ni,"

"Orang mana tu?"

Raihan menjungkit hidung sekali. Langkah kaki diatur laju meninggalkan sang suami yang sudah ketawa sendiri. Sebolehnya ingin dia melarikan diri daripada berduaan dengan lelaki itu. Seramnya masih di situ.

June 12, 2018

Kita Serupa ...5


Suis loceng di tembok batu ditekan laju beberapa kali. Wajah yang basah dengan air mata tak dihiraukan. Matanya sendiri sudah kabur dengan air mata yang tidak berhenti mengalir.

Loceng ditekan lagi beberapa kali. Masih tidak puas hati selagi wajah sang sahabat tak kelihatan. Ingin dijerit, memanggil Kamala. Namun dia rasa lemah, tak berdaya. Jarinya masih lagi menekan loceng.

Pintu pagar automatik terbuka perlahan. Raihan meluru masuk. Diterkamnya Kamala yang menjengah di muka pintu rumah. Kamala terkesima melihatkan Raihan yang seperti tidak terurus.

Pantas Kamala menarik Raihan, kejap dalam pelukannya, membiarkan sahabatnya itu melepaskan segala perasaan yang ada tika itu. Sesekali kedengaran suara Kamala mententeramkan Raihan, menyuruh sahabatnya itu beristighfar.

Beberapa ketika kemudian, mereka berdua bergerak perlahan, beriringan menuju ke ruang tamu di tengah rumah. Sofa dua tempat duduk berwarna hijau epal dituju sebelum kedua-duanya membeku di situ.

Sabar Kamala menanti andai ada bait bicara yang akan dimuntahkan Raihan. Dia menepuk-nepuk perlahan bahu Raihan, seakan menyalurkan sedikit kekuatan buat gadis itu. Raihan hanya diam seribu bahasa. Termenung sendiri. Jauh.


~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~


"Assalamualaikum, Mak Ngah.. Tolong An, Mak Ngah.. Tolong An,"

"Waalaikumussalam warahmatullah. Ya Allah, dah kenapa kalut sangat ni Raihan? Tolong apa tu?"

Pantas Mak Ngah Zaidah membalas. Terkejut dia mendapat panggilan daripada Raihan lewat tengah malam itu.

"Raihan nak call off the wedding!"

Terbeliak mata Mak Ngah Zaidah. Dia mengurut dada dan beristighfar panjang.

"Sabar dulu Raihan.. Bawa mengucap. Majlisnya tak sampai sebulan dah ni.. Raihan kenapa tiba-tiba?"

"Raihan kenal 'Ali Hasif, Mak Ngah. Raihan tahu siapa dia,"

"Siapa dia?" Tanya Mak Ngah Zaidah lurus dengan kerutan di dahi.

"Dia musuh An, Mak Ngah..."

Makin berkerut dahi Mak Ngah Zaidah mendengarkan balasan Raihan.

"Musuh apa pula ni Raihan? Apa yang jadi sampai boleh bermusuh ni? Tok dengan Wan tahu ke?"

Raihan menggeleng laju, lupa dia hanya berbicara atas talian.

"Raihan? Dengar tak Mak Ngah tanya apa ni?"

Tersentak gadis itu.

"Apa dia, Mak Ngah?"

"Mak Ngah tanya, Tok dengan Wan tahu ke pasal ni?"

"Raihan belum cakap dengan Tok dan Wan  lagi.. Raihan takut.."

"Habis tu macam mana sekarang?"

"Raihan tak tahu.. Raihan nak lari,"

Astaghfirullah al azhim.. Mengucap panjang Mak Ngah Zaidah kemudiannya. "Raihan dekat mana ni?" Pantas dia bertanya.

"Kat rumah Tok..." Lemah Raihan membalas.

"Okay, Raihan dengar sini baik-baik.. Sabar dulu Raihan, jangan terburu-buru. Tunggu Mak Ngah datang ya. We need to talk."

Raihan menggeleng laju biar pun tak terlihat oleh Mak Ngah Zaidah. Dia hanya tahu dia perlu keluar dari situ sebelum Tok dan Wannya terjaga.

"Raihan, dengar tak apa yang Mak Ngah cakap ni? Raihan?!"

Mak Ngah Zaidah beristighfar panjang saat panggilan diputuskan. Faham sangat dengan tingkah anak buahnya itu. Kalau putih, putih la juga.. Jika dia sudah nekad, tiada apa yang dapat menghalang.. Kecuali Tok dan Wannya! Pantas jari menekan nombor telefon ibunya.

Satu keluhan dilepaskan. Berat. Mak Ngah Zaidah meraup wajahnya sekali dengan kedua-dua belah tangan. Hati sarat dengan doa semoga semuanya baik-baik sahaja. Sesak otaknya memikirkan anak buah kesayangan. Entah apa yang tidak kena antara Raihan dan Hasif.

Kata ibunya, Raihan dan Hasif bersekolah menengah yang sama di sebelah utara negeri itu. SMKA ad-Diniyyah. Sekolah berasrama penuh dan murid-muridnya dalam kalangan yang terpilih. Apa yang menyebabkan Raihan begitu negatif terhadap lelaki itu?

Mak Ngah Zaidah menggeleng sendiri. Aturan kakinya dipercepatkan menuju ke muka pintu. Dia bergegas keluar dan masuk ke perut Perodua Alza ungu metalik miliknya. Beberapa minit kemudian kereta itu sudah meluncur laju membelah gelap malam, menuju ke rumah ibu dan ayahnya.




to be continued..
in shaa Allah,
one fine day..

million thanks for reading n waiting☺️


June 8, 2018

Kita Serupa ...4


Beep! Perlahan kedengaran bunyi yang datang dari telefon bimbit Raihan. Dia yang sedang ralit melihat buku masakan mengerling seketika ke arah telefon bimbitnya sebelum kembali menumpukan perhatian pada halaman resepi ayam masak Palembang. Ingin dicubanya resepi itu untuk berbuka nanti.

Beep! Sekali lagi kedengaran sayup-sayup. Raihan memanjangkan tangannya sedikit, menarik telefon bimbitnya yang terselit di bawah bantal. Mesej yang masuk di aplikasi WhatsApp dibukanya separuh hati. Berhari malah sudah berminggu dia terasa hati dengan lelaki itu.

Assalamualaikum wbt..
Raihan..

Raihan mencebik. Setakat bagi salam dengan panggil nama je, sesiapa pun boleh..

Beep! Raihan tersentak. Skrin telefon yang sudah gelap disentuh sedikit. Kembali bercahaya.

Please Raihan... Say something. You refused to answer neither calls nor messages. Your silence is killing me..

Raihan menghela nafas perlahan. Dia berbelah bagi.

Raihan.. It's double blue tick, I know you're there.. Please tell me what went wrong..

Raihan masih lagi membatu, sekeras hatinya saat itu.

Zunnur Raihan.. Please, I beg you.. Nothing is more painful and hurtful than your silence..

Tell me something I don't know.. Words may sting but silence is what breaks the heart.. Raihan membalas di dalam hati. Dia pernah rasa, dia tahu perasaan itu.

Masih lagi memandang sepi telefon bimbit di tangan kanan yang sudah kelam. Beberapa minit berlalu dan skrin telefon bimbitnya menyala sekali lagi menandakan ada mesej yang baru masuk.

Raihan sayang, please dear... Raihan tak kesian dekat abang ke? Please let me know what should be done to fix this.. I beg you.. For things I did wrong and for words which might hurt, I truly am sorry.. Say something, please..

Raihan tersentak membaca mesej itu. Dia beristighfar panjang. Lelaki yang diabaikan itu bukan lagi asing padanya. Raihan beristighfar lagi sambil mengurut dada.

Sungguh dia pendosa. Mungkin telah jatuh derhaka. Hubungan yang sepatutnya memberikan peluang mudah untuknya menempah tempat di syurga-Nya, dia sia-siakan.

Kenapa tegar dia mengeraskan hati sebegitu? Besar sangatkah silap sang suami sehingga hatinya membeku? Salah suaminyakah atau dia sendiri yang khilaf?

Raihan bermuhasabah sendiri, dia beristighfar lagi. Nafas dihela panjang. Diam dia memikir. Jari jemari mula menari perlahan.

Maafkan saya. Saya tak nak jadi isteri derhaka.

Agak ringkas balasannya.

Raihan tunggu. Abang balik.

What?! Seriously?! Bulat mata Raihan. Dia menelan liur. Keliru. Tidak pasti keberadaan sang suami tika ini. Silapnya sendiri tidak mengendahkan lelaki itu malah memilih untuk mendiamkan diri.

Mindanya mula menerawang mengingatkan peristiwa yang membawa kepada ketetapan perkahwinan antara dia dan suaminya. Lelaki yang memang tidak asing lagi dalam hidupnya. Dia tahu lelaki itu. Dia kenal pemilik nama 'Ali Hasif itu. Sebaris nama yang sedaya upaya cuba dilupakan dan tidak pernah dia  terfikir akan terjumpa semula dengan lelaki itu.



June 5, 2018

Kita Serupa ...3


Masih Ingat Tak Lagi Suatu Hari,
Kita Bertemu Lalu Tersenyum,
Kita Pun Bercerita,
Dan Bergurau Senda,
Lalu Sama - Sama Jatuh Cinta..

Masih Ingat Tak Lagi Suatu Hari,
Kita Berjalan Berpegangan Tangan,
Kau Menatap Wajahku,
Ku Renungi Matamu,
Lalu Melafazkan Janji Setia..

Di Ketika Itu.....

"Ya Allah! Astaghfirullahal azhim!!! Kus semangat!"

Panjang latahan Raihan. Mata sudah mengecil. Gigi diketap geram. Lantas kepalanya berpaling ke belakang. Sekejapan, sebaris gigi ditayang menarik sengih lebar melihatkan wajah Tok Teh kesayangan.

"Tok buat apa muncul tiba-tiba ni tok.. Siap cuit-cuit pinggang Raihan lagi.. Mujur cucu tok ni kuat semangat tau.." Tangan si gadis mengusap dada beberapa kali.

"Mana la tok tak cucuk... Kita dok teriak panggil dia dari tadi tak dijawabnya langsung. Huk tak, hak pun tak. Sibuk karaoke layan perasaan rupanya." 

Tersengih lebar Raihan mendengarkan bebelan tok kesayangan. Meliar mata Tok Teh melihatkan katil bujang cucunya yang bersepah dengan gambar berkotak-kotak. Menggeleng dia beberapa ketika. Cucu bertuah di hadapan hanya menarik sengih sambil kedua-dua belah tangan dirapatkan, menghantar tanda maaf.

"Raihan dok buat apa ni?"

Raihan masih lagi menayang sengih. Laju tangan menutup skrin komputer ribanya. Sepi. Sudah tidak kedengaran lagi lagu dendangan Nassir Wahab yang beralun sedikit kuat sebentar tadi sambil dia sendiri berkaraoke melayan perasaan.

"Erm.. Tok.. Erm... Hmmm.."

"Dah kenapa dengan cucu manja tok ni? Cuba bagitahu tok apa yang tak kena ni Raihan,"

"Emm.. Tak ada apa.. Raihan cuma nak tanya je tok, tapi Raihan tak tahu nak tanya macam mana.."

"Tanya pasal apa tu?"

"Em....... Hasif." Sebut Raihan perlahan selepas jeda yang agak panjang.

Bibir Tok Teh menguntum senyum, seperti boleh mengagak apa soalan yang bakal ditanya cucu kesayangan.

"Ha dah kenapa dengan tunang kamu tu?"

"Hm mana tok dengan wan kenal dia? Anak acik kantin masa Raihan sekolah dulu ya? Atau anak Wak Jidin jaga sekolah ke? Tak pun anak tiri pakcik Sahak driver bas sekolah Raihan dulu ke tok? Mana tok tahu dia orang baik-baik?"

Ey nak crack kepala aku fikirkan siapa si 'Ali Hasif ni.. Zaman sekolah dulu aku memang berkawan dengan anak acik kantin, wak jaga dan anak Pakcik Sahak. Gambar-gambar dia orang je yang banyak dengan aku.. Tapi nama pula aku tak tahu.. Atau ada kawan lain yang aku tak ingat ni?? Aduhhh.. Raihan garu kepalanya yang tak gatal.

Tok Teh hanya tersenyum membiarkan Raihan berteka-teki sendiri. Mulut sang cucu terkumat-kamit tanpa butir bicara. Mindanya mula menerawang teringatkan peristiwa hampir setahun yang lalu...

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

"Atuk dengan nenek memang nekad tak nak jual tanah ni?"

"Dah banyak kali atuk beritahu kamu, ini satu-satunya harta yang atuk ada.. Memang takkan dijual pusaka kami ni, encik.."

"Tolonglah atuk.. Saya janji akan tunaikan berapa saja permintaan atuk,"

"Maaflah, kami memang takkan jual walau apa pun yang terjadi.."

"Saya kan dah janji nak bayar pampasan lebih untuk atuk dengan nenek. Apa yang atuk nak, saya akan tunaikan, dengan syarat tanah ni atuk jual dekat saya. Tolonglah tuk.. Sekejap lagi bos saya akan datang. Kalau atuk berdegil juga, saya akan buat sesuatu,"

"Salah caranya ni encik." Atuk dan nenek saling berpandangan seketika sebelum nenek tersebut masuk ke dalam rumah.. Atuk menyambung kata, "Kami memang bukan orang berada tapi kami masih lagi ada jati diri. Encik tak berada di tempat kami untuk faham situasi kami,"

"Eii orang tua ni. Aku berlembut pun bukan dia faham. Bak sini tangan kau tu sign borang ni cepat!"

Bermulalah pergelutan antara seorang lelaki muda yang berpakaian kemas dengan seorang lelaki tua lebih separuh abad sebelum sebuah Honda CR-V modern steel metallic tiba-tiba masuk ke perkarangan rumah dan berhenti di hadapan rumah kampung yang tersegam indah itu. Seorang lelaki muda keluar tergesa-gesa. Ada cemas yang terlukis di raut wajahnya.

"Sham! Enough, Sham! This isn't the right way. And please show some respect," Tangan lelaki muda itu pantas meleraikan pergelutan yang terjadi. Namun, tidak sempat dia hendak menyelamatkan lelaki tua yang sudah terduduk memegang dada di hadapannya. Lelaki tua itu rebah tanpa suara kemudiannya.

"Allahu Akbar, abang!" Jeritan si isteri memecah keheningan.

~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~

Lambaian tangan dan usapan lembut di lengan menyedarkan Tok Teh dari lamunan panjang. Dia mengurut dada perlahan.

"Berangan apa ni tok.. Termenung jauh. Sah-sah la tok tak dengar apa yang Raihan cakap kan?"

Tok Teh ketawa perlahan. Sebentar cuma. Dia menatap wajah cucu kesayangan dan menarik lengan gadis itu. Dipeluknya erat seakan tidak mahu lepas.

"Raihan tahu kan tok dengan wan sayang sangat dekat Raihan,"

Raihan mengangguk laju.

"Hati tua tok ni memang yakin, in shaa Allah, Hasif takkan sia-siakan Raihan, dia akan jaga Raihan seperti mana tok dengan wan jaga Raihan selama ni,"

Tok Teh mengelus lembut tangan cucu kesayangan. Ada mutiara jernih yang bergenang di mata cucunya. Gadis itu mengangguk perlahan.

"Tapi... Tok tak beritahu jugak mana tok kenal Hasif..." Agak perlahan dan hampir tak kedengaran suara penuh kehampaan itu.

Tok Teh menguntum senyum.

"Raihan kenal siapa Hasif.. Tok pun pelik jugak kenapa Raihan tak ingat.."

Bulat mata Raihan memandang Tok Teh. Dia menarik nafas dan dan menghembus perlahan sebelum matanya dipejam seketika, cuba menelusuri cebisan memori yang dia sendiri kurang pasti..



to be continued,
one fine day.
in shaa Allah...