Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..
Jujurnya, saya memang sangat mahu menghabiskan apa yang dah saya mulakan secepat mungkin. Saya mahu sangat. Sangat-sangat mahu. Tapi tidak dia.
Hanya halaman kosong putih bersih di ruangan microsoft office word 2007 yang mampu saya tatap disebabkan kedegilan dia. Seminit dua saya masih bertahan. Sejam dua saya masih lagi mampu bertahan. Bila masuk sehari dua, saya kecewa. Dia masih lagi tidak mahu.
Azamnya sesudah si kembar kembali ke umk dan ukm, dapatlah saya bersegera melayari internet dan menatap komputer riba ini lama-lama. Tapi tidak. Saya teringatkan adik-adik saya. Tanpa mereka, semakin bertambah aktiviti saya di rumah kerana kurangannya kakitangan.
Manakan menang tangan ibu tua untuk melakukan semua aktiviti rumah. Usia mainkan peranan penting waktu ini. Kehadiran si kecil iman irsyad tanpa bayang paksu dan maksu, sememangnya aktiviti maklang semakin bertambah. Namun, mujur, alhamdulillah syukur. Menatap wajah si kecil itu, senyuman dalam tidurnya, hilang lenyap rasa lelah biar pun tak lelah.
Sekali lagi halaman kosong putih bersih itu saya tatap dengan semangat baru setelah puas mengusik dan si kecil mengekek terusik. Tapi hampa. Kecewa lagi. Halaman kosong putih bersih itu kekal suci sesuci bayi kemerahan yang masih bertali pusat baru dilahirkan. Manakan tidak... dia tetap tak nak.
Dan kini, demi usaha menyudahkan apa yang belum berkesudahan, sesuatu perlu dilakukan. Saya kini mengalihkan perhatian dia ke arah mengemaskini semua yang sudah bertemu titik terakhir. Perlu dipupuk kembali rasa itu seperti menggulakan anak kecil tatkala tangisan si kecil sudah berlagu meminta sesuatu. Harapan menggunung moga dia kembali berlabuh dari pelayaran tanpa haluan di luar perancangan.
Saya mohon maaf atas apa yang tergendala. Saya akan kembali lagi, insyaAllah.