“Assalamualaikum bang. Ni, RM4.50.”
‘Ukasyah pantas berpaling. Jarinya mengetuk stereng mengikut rentak lagu yang sedang kedengaran di corong radio bas. Huluran duit daripada Azlini dipandang sepi. Lelaki itu menjungkitkan kedua belah keningnya serentak pada Lini yang tegak berdiri di tangga terakhir.
“Kawan saya mintak tolong sampaikan,”
“Kawan kau yang garang tu?”
“Afiqah,”
“Aku tau nama dia,”
“Mana ada garang,” Sangkal Lini.
“Bengis,”
“Ada-ada aje la abang bas ni,”
“Aku tak nak. Kata kat dia aku belanja,”
“Ala ambik je la bang. Kesian kawan saya tau. Bersungguh nak bayar balik. Dari hari tu dia bagi, abang tak nak ambik. Tak baik abang buat macam ni,”
“Apa je yang aku buat? Dah kata belanja, belanja la. Kau tak kesian kat aku?”
“Hish. Dia yang garang, cakap Fiqah pulak..” Azlini menggumam geram. Geram mendengarkan setiap balasan kata yang diterimanya.
“Apa kau kata?”
“Saya kata abang yang garang, bukan Fiqah,”
‘Ukasyah terdiam. Tanpa kelip dia memandang gadis itu.
“Mana kawan kau tu?”
“Ada kelas lagi,”
“Halal. Cakap dekat dia, aku kata halal, jangan risau, abang ipar belanja,”
‘Ukasyah tersengih melihat kerutan di dahi Azlini. Tak lama. Sengihannya mati tiba-tiba. Wajah ‘adik ipar’ jelas di mata saat pandangannya beralih ke sisi.
“Kata ada kelas. Tu sapa? Klon?” Tanpa nada ‘Ukasyah bersuara.
Lini turut berkalih pandang melihat arah yang sama. Gadis itu mengecilkan mata sedikit. Kerutan di dahinya jelas kelihatan.
“Eh bukan la tu..... Eh ni, ni ambik ni bang. Saya nak turun jumpa kak Ifah,” kalut Lini meletakkan duit RM4.50 di atas papan pemuka bas Suasana Edaran itu.
‘Ukasyah hanya memandang sepi. Kata-kata yang dituturkan gadis itu lebih menarik minatnya. Susuk tubuh yang berdiri tidak jauh dari tempat menunggu bas menjadi tumpuannya kini. Dari sisi tidak ubah seperti Afiqah. Berjubah dan bertudung litup. Manis dipandang. Tapi gadis itu tidak memakai cermin mata. Tak seperti Afiqah..
“Kak Ifah..” ‘Ukasyah menggumam perlahan, menyebut kembali sebaris nama yang baru sahaja disebut Azlini sebentar tadi. Ya, Afifah. Dia pasti kini. Kedua-dua orang adik beradik itu memang hampir seiras. Hanya air muka yang membezakan kedua-duanya selain hanya Afiqah yang memakai cermin mata. Afifah nampak tegas sedang Afiqah terserlah kelembutan di wajahnya.
‘Ukasyah menjadi pemerhati episod jejak kasih antara Afifah dan Azlini dari dalam bas. Dua orang gadis itu seakan sudah bertahun tidak berjumpa. Masing-masing kelihatan sangat gembira bertukar-tukar cerita tanpa mengambil peduli pada pelajar yang keluar masuk ke kampus tengah hari itu. ‘Ukasyah diam memikir. Cermin pandang belakang dikerling sekilas. Masih banyak tempat duduk yang kosong. Pada waktu puncak, pemandu mestilah memastikan semua tempat duduk telah penuh sebelum membawa pulang pelajar ke kolej. Itu polisi mereka. Dia akur dan dia faham.
Seketika kemudian telefon bimbit di ruang papan pemuka diambil. Jarinya menekan-nekan papan kekunci mencari sebaris nama sebelum dia membuat panggilan. Nokia N81 yang sudah tiga tahun dipakai itu dilekapkan ke telinga kiri. Panggilan sudah bersambung. Namun tiada jawapan. Dua orang gadis yang berdiri berhampiran bas masih lagi dipandang tidak berkalih. Afifah dilihatnya terus berbual tanpa rasa terganggu.
“Tinggal handphone dalam kereta ke?” Gumam ‘Ukasyah saat tiada respon yang diterimanya setelah beberapa kali dia mengulang dail. “Buat apa datang Tanjung Malim? Datang dengan siapa? Naik apa?” ‘Ukasyah bersuara sendiri. Gadis itu tunangannya. Dia perlu mengambil berat.
Lelaki itu bingkas. Empat keping not RM1 dan syiling 50 sen di atas papan pemuka diambil cermat. Dia bergegas keluar dari tempat duduk pemandu, berjalan menuju ke arah sebuah lagi bas Suasana Edaran di belakang bas yang dipandunya sebelum ini.
Lelaki itu bingkas. Empat keping not RM1 dan syiling 50 sen di atas papan pemuka diambil cermat. Dia bergegas keluar dari tempat duduk pemandu, berjalan menuju ke arah sebuah lagi bas Suasana Edaran di belakang bas yang dipandunya sebelum ini.
“Bang Mat,” Panggil ‘Ukasyah sedikit kuat, melawan bunyi bising kenderaan yang lalu lalang.
“Aa ya,” Kepala Rahmat terjengul dari balik tingkap kecil di bahagian pemandu.
“Tukar jap bang. Ada hal sikit. Takut bas dah penuh nanti.”
Rahmat bingkas keluar. Dia menggeliat sedikit membetulkan urat.
“Lagi aku suka dari tunggu lama-lama,” Rahmat ketawa kuat menyudahkan ayatnya. ‘Ukasyah tersenyum lebar. Bahu Rahmat ditepuk sekali sebelum dia berlalu pergi, mengatur langkah kemas menghampiri Afifah dan Azlini.
***********
“Assalamualaikum,”
Dua pasang mata beralih pada pemilik suara yang memberi salam. Terkumat-kamit kedua-duanya menjawab salam yang dihulurkan.
“Afifah kan?” Soal ‘Ukasyah lembut. Kerutan di dahi Azlini hampir mengundang tawa ‘Ukasyah. Namun lelaki itu senyum bersahaja. Kening kirinya dijungkitkan sedikit pada Azlini.
Afifah senyum dan mengangguk.
“Saya Syah.. Abid ‘Ukasyah.”
“Em em, saya cam awak. On duty?”
“Yep,”
Afifah mengangguk. Kedua-duanya kelu. Tiada butir bicara selanjutnya sebelum ‘Ukasyah menyambung kata, “Tapi tukar bas. Next trip baru saya bawak,”
“O, okay,”
‘Ukasyah diam. Ringkas balasan Afifah membuatkan dia kehilangan idea.
“Datang nak jumpa Afiqah ke?”
“Em hm. Nak jumpa Iqa sekejap,”
“Datang jauh-jauh nak jumpa sekejap je?”
“Em em. Sekejap je. Sebab saya on the way nak balik kampung ni,”
“Saya tak tahu pun,”
“Hm? Er kenapa—”
“Along!”
Suara Afiqah kedengaran sedikit kuat memanggil kakaknya sebelum sempat Afifah membalas kata-kata ‘Ukasyah. Afifah berpaling. Tersenyum melihat Afiqah berjalan agak laju mendapatkannya. Kedua-duanya berpelukan seketika.
“Macam tak jumpa sebulan,”
Afiqah pantas menjeling ‘Ukasyah yang berdiri hampir lima kaki daripada mereka. Kata-kata lelaki itu jelas menerjah masuk ke telinganya.
“Kelas dah habis ke cik adik..”
“Kelas cancel,”
“Kelas cancel pergi la library buat assignment ke study ke,”
Afiqah menjeling ‘Ukasyah sekali lagi. Lelaki itu hanya menayangkan wajah selamba.
“Pergi dok kat dalam bas tu la. Mencelah dekat anak dara buat apa,” Tidak mahu mengalah, Afiqah memulangkan paku buah keras.
Azlini dan Afifah memandang tingkah kedua-duanya tanpa kata. Sedikit tergamam melihat ‘Ukasyah dan Afiqah yang saling berbalas bicara tanpa mempedulikan mereka yang berada di sisi.
“Jom long, Lini.. Kita pergi makan dulu,” Afiqah menarik lembut lengan kiri kakaknya sebelum mencapai lengan kanan Azlini.
“Eh, eh, nanti dulu. Kau nak pergi mana tu? Aku nak jumpa tunang aku la cik adik sayang,” ‘Ukasyah berterus terang selepas selangkah gadis-gadis itu meninggalkannya. Langkah diatur beberapa tapak menghampiri mereka.
“Syah, tak baik beraku-kau macam tu dengan Iqa,” Lembut Afifah menegur dalam ketegasan.
“Baik,” ‘Ukasyah tersengih malu. Afiqah mengukir senyum lebar. Puas.
“Sini tangan,” ‘Ukasyah yang sedang berdiri menghadap Afiqah mula memberi arahan. Gadis itu hanya diam tidak berkutik. Wajahnya yang berkerut dihalakan memandang kakaknya. Afifah hanya menjungkitkan kening.
“Nak buat apa?”
“Hulur je tapak tangan. Bukan ak... em bukan saya nak sentuh pun. Jangan risau.”
Afiqah menghulurkan telapak tangan kanannya penuh berhati-hati. Takut-takut. Tangan ‘Ukasyah menggagau poket seluarnya. Rm4.50 yang ditinggalkan Azlini sebentar tadi diletakkan sekeping-sekeping di atas telapak tangan kanan Afiqah. Cermat. Makin berkerut dahi Afiqah.
“Kita bakal jadi satu keluarga. Saya tak nak berkira dengan ahli keluarga saya. Lunch that day, on me, okay,”
Afiqah terkelu. ‘Ukasyah melemparkan senyum mesra. Lambat-lambat Afiqah turut mengukir senyum.
“Okay, now what?” Ceria suara Afifah memecahkan kesunyian antara mereka. “Rasa macam tak sweet charity la kita borak-borak sebelah gate ni. Kalah pak guard. Jom makan dekat Santai nak? Lunch kali ni, on me pulak,” Kedua-dua belah kening Afifah dijungkitkan dua kali. Afiqah dan Azlini mengangguk serentak.
“O takpe, takpe. Saya on duty,” ‘Ukasyah bersuara pantas. “Maybe next time,”
“Tak boleh minta off half day?” Afiqah bertanya perlahan.
“Saya bukan kerja pejabat pun,”
“Tak rockafella la awak ni,”
Haha~ ‘Ukasyah ketawa tiba-tiba. Baru beberapa ketika bersama dua beradik ini membuatkan dia terasa seperti bersama keluarga. Hatinya senang dengan gurauan mereka.
“Bas depan dah gerak pun bang, yours next,” Azlini mencelah dengan senyuman lebar. ‘Ukasyah mengerdipkan mata sekali.
“Okay, take care ya, careful,”
“You too,” serentak dua beradik membalas. Mereka berpandangan seketika sebelum tawa masing-masing pecah sesaat. ‘Ukasyah tersenyum senang. Mereka berbalas salam dan mengambil haluan masing-masing kemudiannya.
‘Ukasyah menghentikan langkah di sebelah pintu bas, memerhatikan langkah dua beradik dan Lini ke Myvi hitam berkilat yang terparkir di seberang jalan. Sempat dia mengangkat tangan kanannya sedikit sebaik matanya menangkap ketiga-tiga orang gadis itu memandang ke arahnya. Dia tersenyum lagi.