November 24, 2009

Forever Yours 32


“Aku terima nikahnya Nurin Ain Binti Nazri...”

Sekali lafaz yang meluncur tenang dari bibir Ammar Ghazi menjadi bukti penyatuan dua jiwa. Berdebar hebat dada Ain yang sedang bersimpuh elok berhampiran Ammar, seorang lelaki dan majikan yang telah menjadi suaminya beberapa saat yang lalu. Genggaman tangan ibunya dilepaskan lembut sebaik sahaja bacaan doa kedengaran. Usai bacaan doa, Ammar bingkas bangun ke sudut hadapan masjid. Solat sunat dua rakaat didirikan dengan penuh ketenangan. Ain di bahagian belakang pula sedang bersalam-salaman dengan ahli keluarga yang hadir sebelum dia melangkah laju menghampiri sahabatnya, Husna.

“Assalamualaikum,”

Ain tersentak. Suara itu benar-benar dekat dengan telinganya. Husna di hadapan Ain tersenyum nakal.

“Assalamualaikum,”

Sekali lagi Ammar menghulurkan salam. Ain pantas berkalih. Wajah tenang Ammar dipandang sekali sebelum dia menundukkan kepala dan membalas salam Ammar.

“Apa ditunggu lagi Rin. Cepat salam suami tu,”

Ain tersenyum malu mendengarkan suara ibunya yang muncul entah dari mana. Perlahan tangan dihulurkan pada Ammar. Serasa mahu gugur jantung saat pertama kali tangannya melekap kemas dengan tangan lelaki itu. Tangannya yang sejuk bersulam dengan haba yang mengalir dari genggaman kemas Ammar. Perlahan dia tunduk mencium tangan suaminya. Ammar membalas dengan ciuman di dahi.

“Cincin, Am..”

Ammar mengambil cincin yang berkilau permatanya dari bekas yang dihulurkan oleh ‘Imaduddin. Perlahan-lahan tangan kirinya menarik lembut tangan kanan Ain. Disarungkan cincin yang ditempah khas itu ke jari manis isterinya. Satu ciuman singgah di pipi Ain sesaat kemudian.

“Abang sayang Ain,”

Bisikan lembut itu umpama syair indah yang berlagu di telinga Ain. Dia tersenyum sedikit, mendongakkan kepala mencari mata sang suami. Wajah Ammar nampak tenang, namun sukar ditebak perasaan lelaki itu tika ini. Mata suaminya ditatap dalam-dalam, cuba meneka rasa yang tersirat. Mereka bertatapan sesaat. Dua saat. Tiga saat. Sepi tanpa suara. Kerlipan lampu kamera dari pelbagai arah sedikit pun tak mengganggu pasangan itu sehinggalah...

“Ehemm.. Malam muda lagi cik kak..”

Deheman dan usikan nakal Husna yang mengetuk gegendang telinga Ain membuatkan dia pantas melarikan pandangannya. Dijegilkan mata sedikit pada Husna yang tersengih lebar.

“Sudah-sudah la mengusik tu, Na..”

Giliran Ain pula tersengih, menjungkitkan keningnya sekali pada Husna yang ditegur ‘Imaduddin lembut. Lelaki itu sedang mendukung baby Widad dan sesekali diagahnya Widad yang sudah beberapa kali menguap kecil.

“Cantik Nurin malam ni,”

Ain tersenyum sedikit mendengarkan pujian ‘Imaduddin. Matanya mengerling sekilas pada Ammar di sisi. Lelaki itu lebih banyak diam dari menyusun bicara.

Sedar diri menjadi perhatian, Ammar melangkah setapak, rapat pada isterinya. Lengan kiri Ain diraih lembut. Matanya tunak memandang Ain. Berseri wajah Ain ditambah dengan keindahan busana pengantin yang tersarung kemas, jubah moden potongan bertingkat dari fabrik sifon warna putih berbunga merah jambu dan bersulam hijau epal menyerlahkan kecantikan isterinya itu.

“Am,”

“Ma..” Ammar berkalih pandang pada Datin Suhaili yang sedang mendukung si kecil Falah. “Ma.. Falah kan dah besar. Kenapa dukung jugak. Berat ni, ma..”

Tubuh kecil Falah beralih dalam dakapan Ammar. Si kecil itu melentokkan kepalanya ke dada Ammar.

“Falah dah mengantuk Am,”

Datin Suhaili beralih mendekati menantunya, Ain. Tersenyum wanita itu sambil meraih tangan kanan Ain.

“Alhamdulillah. Lega mama Ain dah nikah dengan Am. Terima kasih, Ain..”

Ain tersenyum. Tangannya menepuk lembut tangan Datin Suhaili dalam genggaman.

“Ain yang patut ucap terima kasih dekat mama..” Tangan ibu mertuanya dielus lembut. Mereka berbalas senyuman seketika. Sempat Datin Suhaili mencium dahi dan pipi Ain ketika mereka berdakapan sebelum wanita itu melangkah ke arah ahli keluarga yang lain.

“Kita balik?”

“Em?”

“Kita balik..”

Ammar mengulang kata-katanya. Tangan menepuk belakang badan puteri kesayangan beberapa kali seakan mendodoikan si kecil itu.

“Falah nak balik.. Falah nak tidur..”

“Iya sayang. Papa tau..”

Tersenyum Ain mendengar rengekan manja si kecil Falah. Jam di pergelangan tangan kanannya dikerling sedikit. Sudah pukul sembilan setengah malam.

“Em.. Kita balik la bang. Kesian Falah..” Ain bersuara perlahan sambil tangan mengusap lembut kepala Falah yang sudah beralih ke bahu papanya pula.

“Makan dulu sebelum balik, Am.” ‘Imaduddin yang hanya memerhati sedari tadi kembali bersuara.

“Em. Makan dulu Rin, abang Am,” Husna di sisi ‘Imaduddin turut menyokong.

“Meh sini ‘Im jaga your little princess,” Widad bertukar tangan dan ‘Imaduddin menyambut Falah ke dalam dakapan. “Fuahh! So heavy! Ain bagi Falah makan peti ais apa,” usik ‘Imaduddin dengan tawa nakal yang terkawal. Ammar dan Ain berpandangan seketika. Ain mencebik. Ammar menumbuk lembut bahu kembarnya.

“Dah, jangan dilayan ‘Imad ni. Rin turunlah dulu, makan dengan abang Am. Sekejap lagi kami nyusul,”

“Ammar, Ain.. Mama dengan ibu dah tunggu nak makan sekali dekat luar tu,”

Empat pasang mata beralih pada pintu sisi masjid yang terbuka luas. Wajah Dato’ Saifullah terjengul di muka pintu.

“Kami keluar dulu,”

“Ya, sure.” Terangguk-angguk ‘Imaduddin membalas kata-kata Ammar. Langkah Ammar dan Ain dihantar dengan senyuman yang meleret.

Telefon bimbit Ammar di dalam poket baju melayunya bergetar sebaik sahaja pasangan pengantin baru itu menyertai ahli keluarga di khemah dalam perkarangan masjid. Nokia E65 dikeluarkan dan mata lelaki itu memandang tepat pada skrin telefon bimbit itu. Langkah Ammar dan Ain terhenti seketika. Ain menjadi pemerhati, melihat Ammar menjawab panggilan yang diterima.

“Yes Nashreen, waalaikumussalam warahmatullah. Alhamdulillah. Naa, it’s okay..”

Mata Ammar mengisyaratkan kepada Ain untuk duduk di dalam khemah dahulu sementara kakinya melangkah beberapa tapak menjauhi isterinya. Ain kaku seketika. Hanya mata yang berkelip sesekali sebelum dia melangkah masuk ke dalam khemah dengan perasaan yang berbaur.

Ain beristighfar di dalam hati, cuba menenangkan dirinya sendiri dari pelbagai andaian yang bermain di fikirannya. Ya. Inilah harga yang terpaksa dibayar.. Dia semakin mengerti kini. Mungkin inilah yang dimaksudkan Ammar suatu ketika dahulu..

“Sampai masanya nanti, abang bukan lagi milik Ain seorang.”

Kata-kata Ammar terngiang di telinga Ain. Dia beristighfar lagi, mengharapkan ketenangan menjadi miliknya waktu itu.

“Laa tak makan lagi?”

“Ha?”

Ain tersentak mendengarkan teguran Puan Faridah.

“Abang Am kamu mana? Kenapa tak makan lagi ni?”

“Ada, bu. Kat belakang sana. Ain tunggu abang Am,”

“Ha, self service ye malam ni pengantin baru..”

Usikan Datin Suhaili dilatari dengan tawa saudara mara Ammar. Ain tersenyum memandang ahli keluarga barunya. Dalam hati dia bersyukur kerana dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama muslim melalui perkahwinan yang terbina.

“Ain, tak makan lagi?”

“Mana nak makan kalau partner hilang,”

Suara Ammar yang tiba-tiba menegur segera dibalas oleh sepupunya yang sudah selesai makan. Lelaki itu ketawa perlahan melihatkan Ammar tersengih.

“Makan Am, Ain. Self service..”

Ammar dan Ain berpandangan seketika. Ahli keluarga yang lain mula beransur dari meja pasangan pengantin baru itu, memberi sedikit ruang kepada kedua-duanya.

“Abang ambilkan untuk Ain,”

Ain mengangguk sekali. Langkah Ammar diperhatikannya lama. Tiap gerak lelaki itu nampak indah di matanya. Ain menghela nafasnya perlahan. Adakah kebahagiannya berkekalan? Ain menghela nafasnya sekali lagi. Berat. Beberapa minit kemudian, Ammar kembali dengan menatang sepinggan nasi yang siap berisi lauk pauk.

“Satu je bang?” Tanya Ain lembut.

“Mm hm. Kita share?”

Ain terdiam seketika sebelum dia mengangguk, senang hati. Sangkanya Ammar akan terus dingin seperti hari-hari sebelum ini. Rasa kekok Ain hilang berterbangan dengan kemesraan Ammar melayan. Biarpun tanpa bicara, dia tetap dapat merasakan kasih lelaki itu melalui gerak lakunya.

“Nahsreen kirim salam,”

Ain tersedak mendengarkan kata-kata yang meluncur tenang dari bibir suaminya. Gelas air yang dihulurkan Ammar dicapai laju. Mujur nasi di pinggan sudah licin.

“Nashreen demam. Dia minta maaf tak dapat datang malam ni.”

Ain menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“I think there’s something you should know,”

“It’s okay. Lebih baik kalau Ain tak tahu rasanya,”

“No, it’s just as a precaution..”

“Tak apa, bang. Ain tak kisah apa pun asalkan abang bahagia..”

Kerutan di dahi Ammar semakin jelas di mata Ain. Gadis itu menundukkan kepala. Masih lagi mahu memendam rasa sendiri.

“If you insist.” Ammar mendengus lembut. “Ikut suka Ain la,”

Lelaki itu menarik bekas berisi air basuh tangan berhampiran. Tangan kanan Ain ditarik lembut sebelum dia menuangkan air, mencuci tangan isterinya itu. Ain kaku. Suaminya itu terlalu baik. Adakah dia dikatakan isteri yang menderhaka pada suami? Astaghfirullahalazhim.

“Abang,” panggil Ain perlahan.

“Mmm..” Ammar membalas tanpa memandang wajah kesayangan di sisinya itu.

“Bang,” sekali lagi Ain memanggil suaminya, perlahan. “Ain minta maaf, bang..”

Ammar pantas berpaling, mencari anak mata isterinya.

“Ain minta maaf bang,” sekali lagi gadis itu menyuarakan rasa bersalahnya. Mutiara jernih mula mengalir, menuruni lekuk pipi, membasahi wajah Ain. Pantas Ammar menyapu lembut wajah isterinya.

“Ey.. jangan menangis, sayang. Semua orang tengok tu..”

Ain menundukkan kepala. Tangannya mencapai tangan Ammar. Digenggam erat tangan kasar lelaki itu.

“Ain minta maaf bang..”

Bersungguh gadis itu, mengharapkan pengertian suaminya. Ammar hanya tenang, tersenyum dengan kekalutan isterinya di malam pernikahan mereka itu. Sudah lama gadis itu mendapat kemaafannya. Sungguh dia tidak tegar berjauhan dengan Ain apatah lagi memaksa dirinya menjauhi gadis itu sejak hatinya terguris tanpa sedar.

“Ain minta maaf, bang..” Mendayu suara Ain. Pantas Ammar menarik gadis itu dalam dakapan. Tidak dipedulikan lagi mata yang memandang.

“Syhh.. Abang dah lama maafkan Ain.” Diusap lembut kepala Ain penuh kasih. Kata-kata pujukan tak lepas dari bibirnya.

“Haluuur.. Dah, dah pergi balik rumah. Masjid ni, Am.”

Pantas Ammar meregangkan pelukannya. Tersengih dia memandang ‘Imaduddin yang tersenyum-senyum sebelum senyumannya mati melihatkan wajah Ain yang basah dengan air mata. Terkial-kial gadis itu menyapu air mata yang bersisa di pipi.

“Rin, kenapa? Abang Am buat apa dekat Rin?”

Tanpa sabar ‘Imaduddin memuntahkan soalan.

Ammar bingkas bangun, menarik lembut tangan isterinya.

“We’re going home as you wish..”

Tersenyum lebar Ammar, mengerdipkan matanya sekali pada ‘Imaduddin yang nampak tercengang.

“Eh, eh. Your little princess ni Am..”

Sedikit kuat ‘Imaduddin bersuara, melihatkan Ammar dan Ain yang sudah berjalan beriringan meninggalkannya yang sedang mendukung Falah. Si kecil itu masih nyenyak tidurnya dalam dakapan ‘Imaduddin.

“Three minutes. Kami nak jumpa yang lain dulu..”

‘Imaduddin tersenyum menggelengkan kepala. Apa sahajalah yang terjadi kepada pasangan pengantin baru itu. Pelik dia melihatkan keadaan Ammar dan Ain yang seperti sedang dilanda masalah namun kelihatannya seperti pasangan yang hangat bercinta. Matanya memerhatikan pasangan yang berbaju sedondon warna asas itu sedang bersalam-salaman dengan para tetamu. Sempat Ammar membantu mengemaskan pinggan mangkuk di beberapa khemah sebelum dia disuruh meninggalkan kerja-kerja itu.

----------------------------------------------------------------------------------

“Home sweet home..”

Ain ketawa perlahan mendengarkan sebaris ayat yang diucapkan Ammar. Dia berpaling pada Ammar yang sedang berjalan di sisinya. Falah dalam dukungan lelaki itu sudah lena tanpa berkutik sedikit pun.

“Falah sayang,” panggil Ammar perlahan. Pipi gebu Falah dicium lembut. “Falah..”

“Biar je la Falah tidur, bang..”

Ammar menggeleng laju pada Ain yang sudah melabuhkan punggung di sofa berhampiran. Langkahnya diatur ke arah sang isteri. Falah diletakkan perlahan diribanya sebaik sahaja dia sudah duduk selesa di sisi Ain. Sebelah tangannya mengusap lembut kepala Falah dan sebelah lagi meraih tangan sang isteri dalam genggaman.

“Dah lama abang nak buat macam ni,” Ammar bersuara perlahan, membawa tangan Ain dalam genggamannya ke dada. Ain hanya tersenyum, menundukkan kepala. Darah merah terasa menyerbu ke wajahnya. Beberapa saat berlalu tanpa suara antara mereka.

“Abang,”

Belum sempat Ain menyambung kata-katanya, telefon bimbit Ammar berlagu sayup-sayup. Ammar berpandangan dengan Ain seketika sebelum dia mengalihkan Falah ke pangkuan isterinya. Lelaki itu bingkas menuju ke meja kopi berhampiran. Telefon bimbit di sisi kunci kereta diambil pantas.

“Assalamualaikum. What’s up?”

Ammar berpaling pada Ain. Isterinya itu sedang memerhatikannya sambil menepuk lembut si kecil Falah. Ammar tersenyum sedikit.

“Ya, ya.. I’m still online. What’s up Reen?”

Ain tersentak. Sebaris nama yang disebut Ammar sebentar tadi benar-benar menyentap jantungnya. Ain pantas beristighfar, membuang segala prasangka.

“Everything will be fine. You’ll be okay, Reen. InsyaAllah. Mm no need to worry. I ada, Ain ada. Make sure you makan ubat betul-betul, okay..”

Beberapa minit berbual, Ammar mematikan telefon bimbitnya.

“Nashreen,”

Sepatah katanya sambil memandang tepat pada Ain, cuba menebak perasaan gadis itu. Ain nampak tenang, mengangguk-anggukkan kepala beberapa kali.

“She’s not feeling well. Emm Nashreen tak boleh datang kenduri esok as well..”

Ain mengangguk lagi. Kepalanya sudah didongakkan sedikit, cuba menentang pandangan sang suami.

“Erm Ain bawak Falah naik atas dulu, bang..”

Lembut suara Ain meminta izin. Dia bingkas dari sofa sambil mendakap erat Falah, rapat ke dadanya. Ammar tidak terus membalas. Wajah isterinya ditatap dalam-dalam. Dapat dirasakan perasaan cemburu yang cuba ditepis Ain. Dalam diam Ammar menyembunyikan senyum.

“Berat Falah tu, Ain. Biar abang yang bawak naik..”

Dayana Falah merengek perlahan saat tidurnya terganggu. Pantas Ammar menepuk puteri kesayangannya itu perlahan, beberapa kali. Lelaki itu melangkah tenang, memanjat anak tangga. Ain menurut lemah di belakangnya tanpa suara. Ammar tersenyum lebar..

November 21, 2009

Forever Yours 31


dah makan?


Bunga senyum menguntum di bibir Ain. Mesej ringkas yang diterimanya daripada Ammar sebentar tadi membuatkan dia tersenyum senang. Jam di atas meja sisi dikerling. Eiiih! Hampir tiga pagi rupanya! Apa pakcik ni buat tak tidur-tidur lagi? Tanya pasal makan pulak tu?? Sengaja mesej dibiarkan tak berbalas. Belum sempat Ain merebahkan tubuh ke atas tilam empuk di depan mata, telefon bimbit di tangannya bergetar sekali lagi.

bangunla ain..

Bulat mata Ain membaca mesej itu. Sekali lagi, tak sampai dua saat telefonnya bergetar lagi.

sampai hati ain. dah la ain tinggal abang dgn falah mcm tu je last 2 days. lps tu 2 hari tak masuk kerja plk. abang potong gaji ain..

ahahaa~ Ain pantas menekup mulut, menahan tawa. Abang Am.. Macam budak-budak. Tu tak lain, rindu dekat Falah la tu.. Si kecik tu entah kenapa makin seronok dan serasi tinggal dengan ibunya sampai tak mahu balik rumah.

Ain tersenyum menggelengkan kepala. Semalam dia ke rumah Nashreen atas jemputan wanita itu. Menjerit riang si kecil Falah melihat kehadirannya. Entah kenapa ada rasa damai dan tenang yang menjentik hatinya saat terlihat kemesraan Falah dan ibunya, Nashreen. Ternyata Nashreen sudah bertekad untuk berubah. Dia bukan lagi Tengku Nashreen yang dulu.

Ain tersentak. Nokia E65 bergetar lagi di genggamannya.

ain..

Sepatah kata terbias di mata. Ain diam, menghela nafas perlahan. Otaknya ligat berfikir, merencana sesuatu. Nashreen sudah menjadi ibu dalam erti kata yang sebenar. Dia mampu menggalas tanggungjawab itu. Dia layak diberi peluang untuk memperbaiki kesilapannya. Dia perlu diberikan dorongan. Nashreen-Falah-Ammar. Ain merebahkan tubuh di atas tilam empuk. Matanya dipejam rapat. Sekali lagi nafas dihela. Berat. Getaran telefon bimbit sekali lagi menyentakkan lamunan gadis itu. Mata yang terpejam rapat sudah terbuka luas. Tergeleng-geleng dia sambil jari jemari ligat di papan kekunci.

i mean it. abg potong gaji ain for 2 days kalau ain tak datang kerja macam biasa..

Abang, abang.. Ain tersengih. Tapi tak lama. Sengihannya mati saat dia teringatkan lakaran di minda seketika tadi. Nashreen-Falah-Ammar. Mungkinkah mereka perlu diberi peluang untuk hidup bersama kembali sebagai sebuah keluarga? Mungkinkah dia perlu menarik diri?

Ain bingkas bangun. Telefon bimbit di genggaman tangan kanan ditatap lama sebelum jari jemarinya menari lincah di papan kekunci.

abang sayang kak reen?

Ada debar yang bertandang saat butang send ditekan dalam ketidakpastian. Dalam sesaat dia mendapat balasan daripada Ammar.

-ve

Ain menghela nafas sekali lagi. Entah kenapa dia terpaksa memikirkan semua ini sedang dia sendiri berusaha memaksa diri untuk tidak memikirkan hal Nashreen lagi. Tapi.. Ada rasa belas melihat Nashreen ketika bersama Falah. Ain merasakan dirinya seperti tembok penghalang kemesraan yang semakin berkembang antara dua beranak itu.

y that q?

Pandangan Ain tepat ke skrin telefon bimbit. Kenapa? Entah. Dia semakin keliru.

nothing.. em kalau ain nak abang dengan kak reen baik balik mcm mana?

-ve

plz jawab betul2..

ya, -ve.. betul la tu. abang tak main2

betul2, maksud ain, betul2 apa yg abang rasa..

Mereka berbalas mesej seketika sebelum telefon bimbit Ain berlagu kuat. Dia bingkas bangun. Tanpa menunggu sesaat pun, pantas Ain menjawab panggilan itu.

“Apa yang Ain nak tahu?”

Ain menelan liur saat mendengarkan suara Ammar yang bernada serius.

“Ain.. Emm Ain.. Emm―”

“Nashreen ada buat apa-apa lagi dekat Ain?” Ammar pantas memintas saat suara Ain tersekat-sekat.

“Eh bukan. Tak, tak.. Kak Reen okay je dengan Ain.”

“Then? What makes you think of something that I don’t want to think even for a second?”

Hah sudah. Aura marah Ammar buat Ain terasa bahangnya. Gadis itu diam menikus. Langsung tak dibalas kata-kata Ammar, bimbang terkena peribahasa, terlajak kata buruk padahnya..

“Ain, abang tengah cakap dengan Ain. Please answer me. Abang perlu tahu apa yang Ain fikirkan. Abang tak nak Ain fikir bukan-bukan.”

“Em,”

Hanya sepatah itu balasan yang diberikan Ain. Jantungnya berdenyut laju. Debar semakin dirasakannya.

“Ain, please.. Ini bukan masanya untuk kita berteka teki. We’re getting married in two weeks dear,”

“Erm Ain.. Ain rasa elok abang berbaik balik dengan kak Reen,”

Dupp! That’s it! Serasa gugur jantung Ain menyebut baris-baris ayat yang meluncur tenang dari bibir. Adakah hatinya merasakan sedemikian? Atau kata mendahului rasa? Dengusan kasar Ammar semakin menguatkan lagi rasa kurang enak yang semakin bercambah.

“Ain, Ain, Ain,”

Ammar mengeluh berat. Ain diam menggigit bibir.

“Ain, cuba sekali Ain fikirkan diri Ain. Fikirkan Ain dengan abang. Ain tak kesiankan abang?”

“Ain, emm Ain.. Ain,”

Suaranya terhenti di situ. Serasa panas tubir matanya saat itu.

“Abang tak nak Ain cakap hal ni lagi. Antara abang dengan Nahsreen dah tak ada apa-apa lagi. It’s over. I have Falah. I’ve got you. That’s more than enough dear,”

“Tapi Ain nak abang, kak Reen dengan Falah be together as family,”

Ain menekup mulut pantas. Kata-kata itu satu doa. Suci murni harapannya untuk melihatkan kebahagiaan sebuah keluarga. Tapi akan bahagiakah Ammar? Ahhh bodohnya aku!! Hati Ain meronta geram. Dapat dirasakan perasaan lelaki itu tetapi bibir tetap tegar melanggar bicara hati.

“Ain nak berkongsi kasih?”

“Ain―”

“Sampai masanya nanti, abang bukan lagi milik Ain seorang. Ain tak kisah semua tu? Kalau Ain tak kisah, I’ll think about it.”

Tanpa nada Ammar menuturkan kata. Ain menelan liur. Dia seperti si bisu yang tidak tuli.

“Ain pergilah tidur. Dah lewat sangat. Assalamualaikum,”

Belum sempat Ain membalas salam, Ammar lebih pantas menamatkan panggilan. Ain terduduk. Badannya disandarkan ke kepala katil. Telefon bimbit digenggam erat. Nafas dihela berat.

“Maafkan Ain.. Ain tak bermaksud..” Air mata meluncur laju menuruni pipi saat baris-baris kata itu terungkap perlahan.


----------------------------------------------------------------------------------


Seminggu kemudian..

“Mama!”

Ain yang sedang ralit di dapur tersentak. Mujur tidak jatuh gelas di tangannya. Rangkulan erat Falah membuatkan dia tersenyum sedikit. Gelas diletakkan kembali ke dalam sink. Pili dipulas sedikit sebelum dia membasuh tangannya.

“Ma, papa kirim salam.”

Mati senyuman Ain. Dia menunduk sedikit. Falah ditarik dalam pelukannya. Didakap erat si kecil itu.

“Ibu hantar Falah balik, sayang?”

“Mm.. Ibu pun kirim salam dekat mama jugak. Ibu nak singgah tadi tapi papa suruh cepat sebab papa kata ada dinner,” panjang celoteh si kecil itu sambil membetulkan rambut ikalnya yang sudah panjang menutup mata.

Dinner? Dinner berdua atau..? Ain diam memendam rasa. Mungkin inilah harga yang terpaksa dibayar. Dia pasrah. Sudah seminggu dia tidak bertemu empat mata dengan Ammar sejak kejadian yang lalu. Teringat Ain pada mesej yang ditinggalkan Ammar keesokan harinya..

abang tak balik. ain jaga falah, jaga rumah.. jaga diri..

Nota kecil yang ditinggalkan di peti ais itulah yang difikirkan saban hari. Di mana Ammar tinggal? Lelaki itu seakan melarikan diri daripadanya. Mereka semakin jauh. Semuanya bermula daripada keterlanjuran bibir menuturkan kata. Biar bibir menguntum senyum, hati tetap menangis pilu.

“Ma,”

“Emm ye sayang. Ada apa?”

“I love you!!”

Pantas Falah mencium pipi Ain tanpa sebarang isyarat. Ain terpana. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum.

“I love you too,” balas Ain lembut. “Sayang pergi naik, mandi, tukar baju sekolah ni.. Lepas tu kita makan,”

“Done!” Si kecil itu tersengih lebar. Laju sahaja dia meluncur turun dari dukungan Ain dan berlari menuju ke bilik di tingkat atas.

“Careful sayang!” Laung Ain sedikit kuat. Tergeleng dia melihatkan kelincahan puteri kesayangan Ammar yang sedang membesar itu. Ain kembali menghadap sink, membilas cawan dan sudu yang sudah bersabun.


----------------------------------------------------------------------------------


“Papa mana sayang?”

“Work,”

“Sampai malam?”

“Papa balik rumah tok mama,”

“Ohhh..”

‘Imaduddin mencuit hidung mancung Falah sebelum pipi gebu si kecil itu dicuit geram. Ain yang sedang menuangkan air ke dalam gelas dipandang tanpa kelip.

“Falah sayang,”

“Yes,”

“Puzzle uncle ‘Im bagi last week dah siap ke sayang?”

Falah tersengih, menggelengkan kepala. ‘Imaduddin menjungkitkan kening beberapa kali.

“I know, I know..” Si kecil itu ketawa riang sebelum berlari mengambil puzzle di dalam rumah.

“Minum, bang.”

‘Imaduddin mengalihkan tumpuan pada Ain yang sudah duduk di bangku bertentangan. Ada suram yang terlukis di raut wajah manis itu.

“Nurin dengan abang Am ada masalah ke?”

Ain diam tak berkutik.

“Mustahil abang Am tinggalkan rumah dekat dua minggu tanpa pesan apa-apa. Abang Am tak balik pun rumah mama. Nurin tau mana abang Am pergi?”

Ain menggeleng beberapa kali sebelum kembali statik seperti tadi.

“Tiga hari lagi majlis Rin dengan abang Am. Kalau ada masalah antara Rin dengan abang Am, kena settle cepat.”

‘Imaduddin menghela nafas saat terlihatkan Falah yang semakin menghampiri sambil mengelek kotak puzzle. Segaris senyuman terukir buat si kecil itu.

“Uncle ‘Im nak tolong Falah?”

‘Imaduddin menggeleng laju dan Falah ketawa riang.

“Falah buat dulu, sambung yang tak siap lagi. Nanti uncle tolong. Uncle nak borak dengan mama dulu,”

“Okay,” Si kecil itu tersenyum lebar, menganggukkan kepala. Langkah comel Falah dihantar dengan pandangan mata.

“Rin, abang bukan nak masuk campur dalam hal Rin dengan abang Am. Tapi abang susah hati. Biar apa pun yang jadi, abang harap bukanlah something yang serius..”

Ain sudah mula tersedu. Pantas jari jemarinya menyapu air mata yang sudah mengalir di pipi.

“Silap Rin, bang. Silap Rin. Rin memang bodoh. Rin―”

“Assalamualaikum,”

Suara Ain yang tersekat-sekat dengan tangisan dipintas oleh satu suara yang tenang menghulurkan salam. Ain pantas mendongak. Seraut wajah yang sudah lama tidak terlihat dek matanya muncul tiba-tiba. Sesaat mata bertentang mata sebelum Ain pantas melarikan pandangannya bila tatapan Ammar serasa tepat memanah ke dasar hati. Ada rasa syukur yang memenuhi segenap ruang hati. Kalimah hamdalah basah di bibir Ain..

November 17, 2009

Trifle Bujang Senang


Assalamualaikum semua.. atas request cik adik manis tinggi lampai yang sudah berbulan agaknya, hari ni jat nak share dengan kawan-kawan, resipi trifle bujang senang buatan malaysia yang jat dapat dari a friend of mine.. Okay, mula-mula sekali jat nak tepek gambar trifle omputih dulu.




Trifle kat atas ini namanya berry-trifle. nampak cantik and yummy! bahan utama dia kira biscuits and strawberries. Itu versi omputih. Okay, sekarang jat nak tepek gambar trifle bujang senang buatan malaysia pulak..





Tapi sorry, ni pandangan atas siling.. hehee.. lupa nak ambil gambar sisi.. kalau yang ini, bahan asas dia swiss roll and fruit cocktail. tapi kena ada jugak custard, gula, susu cair.. etc.

Bahan-bahan :

1 gulung swiss roll
1 tin fruit cocktail
1 kotak agar-agar jelly (recommended : nona)
4 sudu besar custard
1 sudu teh esen vanilla ... etc (recommended: ikut swiss roll)
100 gm gula halus
250 ml air
250 ml susu cair

Cara-cara :

1. potong swiss roll sesedap rasa dan susun jadi layer bawah. put aside.

recommended : guna bekas kaca supaya senang sikit nak ejas.. =)

2. kacau custard dengan air + gula. jangan bagi custard berketul.

3. agak-agak dah ok, masak atas dapur. masukkan susu cair + esen. make sure kacau custard jangan sampai berketul. kacau semua sampai pekat.

recommended : tuang sikit air dari fruit cocktail sesedap rasa. kena pandai-pandai bajet. tapi kalau nak tuang air fruit cocktail, make sure tak bubuh semua 100gm gula halus tadi. kena pandai-pandai bajet supaya tak terlalu manis. tapi kalau tak bubuh air dari fruit cocktail pun tak apa. stick to 100gm gula halus macam biasa.. =)

4. dah pekat, sebati semua, tuang atas swiss roll. tabur fruit cocktail sesedap rasa orang bujang.

5. masak agar-agar. dah masak, tuang atas swiss roll untuk layer atas.

6. bila dah hilang panas sikit, simpan dalam peti ais.

7. bila dah agak-agak sesuai untuk dimakan, potong, baca bismillah, baca doa.. ngap! dengan sopan santun ye.. =)

Okay, settle dah resepi trifle bujang senang buatan malaysia.. kalau kawan-kawan kreatif, tukar fruit cokctail kepada buah-buahan faveret yang lain.. strawberry boleh, peach boleh, kiwi boleh.. kalau nak rasa malaysia, mungkin boleh try kek pisang vs pisang.. =)

selamat mencuba!


pssstt.. fiqah, sorry lambat dik. nanti dah buat cheesecake, kurier la gi kajang.. ki3

November 4, 2009

mari berdoa!


assalamualaikum semua.. =)


maaf jat tak dapat nak sambung fy @ bb dalam masa terdekat. maybe after final exam habis 17th nov nanti.. doakan jat dapat jawab exam dengan tenang ye kawan-kawan.. sebab jat ni kalut sikit. time exam mula la extra kalut.. huhuu


buat kawan-kawan lain yang sedang @ akan duduk final exam sama ada dekat sekolah @ ipt, best of luck! jangan lupa banyakkan berdoa.. dan jangan lupa istiqamah dengan setiap amalan..





selepas semua usaha and ikhtiar, redhalah kita dengan setiap keputusan yang bakal kita dapat. setiap apa yang berlaku tu pasti ada hikmahnya, biar baik @ kurang baik.. always think positive & yakinlah DIA maha mengetahui apa yang terbaik buat hamba-NYA.. orait? (peringatan penting buat diri sendiri.. hehehe)






ALL THE BEST!!!