October 21, 2009

Forever Yours 30


abang balik lambat. ada dinner dengan board of directors lps meeting ni..


Ain mengangguk sedikit. Bos.. Hujung minggu pun ada meeting.. Telefon bimbit disimpan kembali ke dalam beg galas.


“Abang Am?”


Ain berpaling, tersenyum dan mengangguk saat mendengarkan teguran ‘Imaduddin di belakangnya. Lelaki itu tersengih.


“Senyum sampai telinga,” usik ‘Imaduddin.


“Hish.. Mana ada. Macam nampak telinga orang pulak..”


Ain menjegilkan matanya sedikit. ‘Imaduddin ketawa lepas. Tidak sampai beberapa saat telefon bimbit Ain berlagu panjang. Pantas gadis itu menggagau beg galasnya semula, mencari telefon bimbit yang telah disumbat jauh ke dasar beg.


“Assalamualaikum.. Abang, kenapa?”


‘Imaduddin menjungkitkan keningnya sedikit pada Ain sambil menyambung tawa. Sempat Ain menayangkan genggaman tangan kanannya pada ‘Imaduddin yang sudah tersengih-sengih sebelum menumpukan perhatian pada panggilan telefon daripada Ammar.


“Ain dah balik rumah ke?”


“Belum bang. Baru habis kursusnya ni. Kenapa call? Ain baru je baca message abang tadi,”


“Nashreen call abang tadi,”


“Mm hmm..”


“Petang-petang sikit nanti Nashreen datang rumah. Abang nak minta tolong Ain siapkan barang-barang Falah untuk sehari,”


“Falah tidur rumah Nashreen malam ni?”


“Mmm.. Petang esok abang ambil Falah dekat rumah Nashreen.”


“Okay.. Ain terus ambil Falah dekat rumah ibu lepas ni,”


“Thanks Ain.. Nanti abang belanja Ain makan aiskrim 20 sen..”


“Aiskrim Malaysia kat kedai hujung rumah ibu tu?” Tawa Ammar mengetuk gegendang telinga Ain. “Thanks but no thanks. Ain boleh beli sendiri kejap lagi..”


“Sombong,”


Ain mencebik sedikit. Sesaat kemudian dia ketawa perlahan.


“Dengan abang je Ain sombong.. Lagipun, tak main la belanja aiskrim Malaysia je..”


“Demand ye..”


“Dengan abang je Ain demand..” Balas Ain selamba.


“Ohh.. Abang tak ada depan mata, berani la ye sayang..”


Ain terdiam. Perkataan sayang yang terungkap jelas membuatkan dia tidak selesa. Ada rasa malu yang bertandang.


“Haa.. Speechless terus..” Usik Ammar lagi.


“Ada apa-apa lagi abang nak kata?”


Ammar membalas pertanyaan Ain dengan tawa panjang.


“Nabi gelak nampak gusi sikit je tau. Tiga harakat je..” Sambung Ain, geram.


“Okay, okay..”



Ain menggelengkan kepala, mendengar tawa Ammar yang masih belum bernoktah.


“Dah, dah.. Nak gelak sambung esok.. Ain malas nak layan dah.”


“Hmm.. Sekarang, sekarang boleh la Ain kata malas nak layan. Esok nanti bila dah kahwin Ain kata malas nak layan abang, tahulah abang nak buat apa..”


“Apa?” Laju sahaja Ain bertanya tanpa berfikir panjang.


“Ada la.. Kalau Ain nak tahu, kita kahwin esok.”


“Haish!” Spontan Ain membalas. “Dah la. Malas Ain nak layan. Assalamualaikum..”


Ain pantas menamatkan panggilan sebelum sempat dia mendengar jawapan salam daripada Ammar.


“Garang jugak Nurin ye..”


Ain berkalih pandang pada ‘Imaduddin.


“Dengan Abang Am je Ain garang..” Tersenyum Ain membalas usikan ‘Imaduddin.


“Dah settle kursus kahwin dah pun. Boleh la kahwin terus lepas ni..”


Bulat mata Ain memandang ‘Imaduddin. “Abang dengan adik sama je..” Rungut Ain perlahan. Langkahnya diatur laju menuju ke Suzuki Swift Sport warna merah metalik yang terparkir di sebelah Nissan Latio Sport warna hitam milik ‘Imaduddin. Lelaki itu tersenyum lebar mendengarkan rungutan Ain.


“Drive carefully,”


Ain menganggukkan kepalanya sekali. Wajahnya dihiasi senyuman. Cermin kereta di bahagian pemandu diturunkan sebaik sahaja pintu kereta ditutup.


“Abang ‘Im dah ada sijil ni, boleh la cepat-cepat jadi abi Widad..” Sempat Ain mengusik ‘Imaduddin pula dalam kelincahan dia memakai tali pinggang keledar. ‘Imaduddin menjungkitkan kening beberapa kali.


“Nurin kena pesan dekat kawan Nurin tu. Abang on je sekarang..”


“Mmm hmm.. Una kata nak tunggu Widad besar sikit, kan?”


‘Imaduddin mengangguk laju.


“Besar mana?”


“Setahun,”


Giliran Ain pula mengangguk.


“Tak dapat la abang nak join Nurin dengan Abang Am..”


Ain hanya mampu tersenyum. Brek tangan sudah pun diangkat.


“Abang Am takut sangat kalau Ain lepas dekat orang lain.. Tu sebab dia nak cepat kalau boleh.”


Ain tersenyum lagi. Kelu lidahnya hendak membalas kata-kata ‘Imaduddin.


“Okay la.. Ain mesti ada banyak hal lagi, kan.. Bawak kereta elok-elok ye,”


“Mm hmm.. InsyaAllah,”


Salam berbalas diikuti dengan lambaian daripada kedua-duanya. Pandangan mata ‘Imaduddin kemudiannya menghantar luncuran kereta yang dipandu Ain keluar dari tempat letak kereta bawah tanah di Kompleks Kejiranan Presint 16.


Mereka baru sahaja selesai mengikuti kursus pra perkahwinan di Putrajaya hujung minggu itu. Tersenyum ‘Imaduddin mengenangkan perjalanan hidupnya yang tak disangka. Senyuman ‘Imaduddin mati saat telefon bimbitnya bergetar di dalam kocek seluar. Skrin telefon dipandang sekilas sebelum dia menjawab penuh semangat.


“Weh. Apa cerita?”


“Oitt salamnya mana pakcik ei..”


‘Imaduddin ketawa lepas. “Assalamualaikum!”


“Waalaikumussalam warahmatullah.. Aku dah bau-bau nasi minyak ni..”


“Apa cerita kau? Kat mana sekarang”


“Cuba kau pusing sikit tengok jiran kereta kau sebelah-menyebelah..”


‘Imaduddin tertoleh-toleh. Telefon bimbit disimpan kembali ke dalam kocek seluarnya. Dia ketawa kuat melihat Aliff Izwan melambai dari Myvi di hujung barisan. Langkahnya diatur laju menuju ke arah sahabatnya.


“Macam something wrong je tengok kau kat sini.. Bawak Myvi pulak tu. Mana pergi Tucson kau?”


Aliff Izwan menjungkitkan kening beberapa kali. Tangan kedua-duanya berjabat erat seakan sudah bertahun tak berjumpa.


“Weh kau jangan buat hal Wan..”


Aliff Izwan masih lagi seperti tadi. Kali ini dia tersenyum penuh makna.


“Weh kau jangan kata nak tambah cawangan lagi.. Tak kesian ke kat Tia. Sebaik-baik jodoh untuk kau tu Wan..”


Aliff Izwan ketawa kuat. Tangan kanannya menumbuk bahu ‘Imaduddin sedikit kuat.


“Kalau iya pun aku nak bukak cawangan lagi, takkan nak kena pergi kursus kahwin lain pulak kot..”


‘Imaduddin menyambung tawa Aliff Izwan. “Dah tu apa cerita kau kat sini?”


“Aku datang jemput anak Mak Long Tia, dalam kereta tu.. Myvi tu kereta Tia..”


‘Imaduddin menoleh sedikit, memandang ke dalam kereta. Tersenyum dia pada dua pasang mata yang sedang melihat ke arah mereka. Gadis yang berada di tempat duduk penumpang di bahagian belakang itu pasti orang yang dimaksudkan Aliff sebentar tadi dan budak lelaki yang berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan itu memang dikenalinya. Idhwal Naufal, anak bujang sahabatnya, Aliff Izwan. Persahabatan yang bermula di Korea sewaktu sama-sama melanjutkan pelajaran di bumi asing itu berkekalan sehingga ke hari ini.


“Dah besar ye anak bujang kau. Boleh aku kenalkan dekat my beloved sweetheart..”


“Siapa? Falah?”


‘Imaduddin tersengih lebar.


“Lambat la kau.. Aku dah cop anak dara lain untuk Naufal..”


‘Imaduddin ketawa kuat.


“Weh kau ingat ni zaman dulu kala ke main cop-cop jodoh untuk anak-anak.. Esok besar mesti dia ada calon dia sendiri..”


Aliff Izwan tersenyum dan membalas, “Kalau ada.. Kalau tak ada? Kira aku spare siap-siap la ni..” Lelaki itu tersengih dan tangan kirinya menayangkan peace. ‘Imaduddin tersenyum menggelengkan kepala.


“Aku bau-bau nasi minyak ni.. Bila lagi kau?”


“Tak sure lagi.. Tunggu buah hati aku besar sikit.”


“Bukan dah besar ke Falah tu.. Nak besar mana lagi?”


‘Imaduddin tersengih. “Bukan Falah la.. Tuan puteri sorang tu dah lengkap hidup dia sekarang. Ada papa, mama. Ada ibu. Buah hati aku, Widad. Widad Yamin. Princess bakal permaisuri hati aku,”


“Pergh.. Permaisuri hati tu..”


‘Imaduddin tersenyum. Aliff Izwan di sisinya sudah ketawa lepas.


“Pakej 2in1 la ni ye,”


‘Imaduddin mengangguk. “Jodoh. Jodoh is unexpected, right..”


Aliff Izwan mengangguk laju. “Yep, bro.. Unexpected. Everything pasal hati ni memang sukar dijangka. Congrats ya!”


Tersenyum Aliff Izwan, mencapai tangan kanan ‘Imaduddin. Kedua-duanya berjabat erat dan tangan kiri Aliff Izwan menepuk perlahan bahu sahabat lamanya itu.


“Eh nanti kenduri Am, kau jangan tak datang pulak tau.”


Aliff Izwan mengangguk beberapa kali. “Dah sampai kad Am dekat rumah semalam.. Aku cari-cari jugak dekat kad tu kot ada double couple hujung bulan nanti..”


Usikan Aliff Izwan dibalas dengan tawa ‘Imaduddin.


“Sabar la wei.. Nanti-nanti kahwin jugak aku.. Kau susah hati sangat ni apasal?”


Aliff Izwan tersenyum lebar. “Susah hati la.. Aku nak masuk tiga orang anak dah pun..”


“Aku pun dah ada sorang,”


Laju ‘Imaduddin membalas. Tawa kedua-duanya bergabung seketika. Masing-masing menggelengkan kepala saat tawa bertemu titik noktah.


“Pa..”


Pantas Aliff Izwan dan ‘Imaduddin memalingkan kepala ke arah Naufal.


“Ummi pesan tadi beli tepung..” Naufal menayangkan telefon bimbit papanya.


Aliff Izwan menepuk dahi. “Allah.. Papa lupa.” Naufal tersengih mendengar kata-kata Aliff Izwan.


“Apa?”


“Ummi nak datang. Sekali dengan parents aku..”


“Apa lagi.. Gerak la kau..”


Aliff Izwan tersenyum. Tangan kirinya sekali lagi menepuk bahu ‘Imaduddin.


“Jumpa lagi next time,”


“InsyaAllah..”


----------------------------------------------------------------------------------


“Falah dekat rumah ibu nanti jangan nakal-nakal tau,”


“Mmm..”


“Dengar cakap ibu.. Jangan bagi ibu marah..”


“Mmm..”


“Jangan sepahkan rumah ibu,”


“Mm hm..”


“Jangan―”


“Jangan, jangan..”


Ada suara garau yang memintas. Ain tersentak. Falah pantas memalingkan kepala.


“Papa!!”


Terlepas genggaman Ain pada rambut ikal si kecil itu. Sikat di tangan diletakkan ke atas meja sisi.


“Banyak sangat pantang larangnya. Macam nak pergi rumah permaisuri mana tah..”


Falah ketawa riang. Ain mencebik.


“Kata balik lambat..?”


“Abah ganti tempat abang,”


“Kenapa kena ganti dengan abah pulak?”


“Suka hati abangla nak balik rumah..”


Suka hati la.. Office sendiri.. Ain mencebik lagi, mengata dalam hati.


“Aha! Mengata abang,”


Ain tersengih. Tangannya kembali lincah menyisir rambut si kecil Falah.


“Siap..” Kepala Falah diusap Ain sebelum dia mencium lembut ubun-ubun kepala si kecil itu.


“Thanks, ma.. I love you!”


Sebuah ciuman hinggap di pipi Ain. Gadis itu tersenyum senang.


“Mama je? Papa?”


“Papa tak mandi lagi..” Usik Falah sambil tangan comelnya menekup hidung.


“Ahh... Kata papa tak mandi lagi ye...”


Pantas Ammar menarik Falah ke dalam dakapannya. Dicium pipi puteri kesayangannya bertalu-talu. Si kecil itu menjerit nyaring, kegelian. Ain hanya tersenyum senang, menggelengkan kepala. Beberapa ketika kemudian loceng rumah berbunyi sekali. Ain pantas berlalu menuju ke pintu rumah. Sempat ditarik beg galasnya yang telah diletakkan di hujung sofa berhampiran pintu.


“Assalamualaikum,”


“Waalaikumussalam.. Masukla, kak..” Tersenyum Ain menyambut kedatangan Nashreen. Wanita itu bersalaman dengan Ain dan membalas senyuman mesra itu.



October 19, 2009

Forever Yours 29



“One little two, little three, little Indian. Four little five, little six, little Indian. Seven little eight, little nine, little Indian. Ten―”


“Little Indian boys..”


Falah tersengih. Makin lebar sengihan si kecil saat ada tangan yang mengusap lembut kepalanya.

“Ibu!”


Si kecil itu bingkas dari buaian beberapa saat kemudian. Tubuh Nashreen didakap erat. Nashreen terpana seketika. Panggilan ibu dari Falah membuatkan naluri keibuannya terusik. Lambat-lambat dia menunduk sedikit. Ubun-ubun kepala Falah dikucup lembut.


“Sayang buat apa dekat luar ni?”


Falah tersengih manja. Ada bias wajah Nashreen di balik sengihan itu.


“Falah tunggu mama..”


“Mama pergi mana?”


“Mama balik rumah sekejap,”


Nashreen mengangguk. “Papa?”


“Some―”


“Assalamualaikum,”


Belum sempat Falah menjawab, ada suara yang memberi salam. Pantas Nashreen berkalih pandang. Selendang di kepala dibetulkan sedikit. Tangan comel Falah digenggam erat. Salam lelaki di hadapannya dijawab perlahan.


“You are late, pa.. Mama dah pergi..”


Ammar memandang Nashreen sekilas. Sebuah senyuman ikhlas dilemparkan pada bekas isterinya itu sebelum tumpuannya beralih pada si kecil Falah.


“Falah tak ikut mama?”


Falah menggeleng laju.


“Mama tak bagi ikut. Mama kata Falah kena tunggu ibu,”


Jujur Falah memberikan jawapan. Bibir si kecil itu membentuk senyum yang menawan hati. Nashreen mengusap wajah Falah lembut. Hatinya benar-benar terusik. Sesal yang menggunung takkan dapat mengubah segalanya.


“Tak nak masuk?”


“Ha?”


Nashreen tersentak sedikit.


“You baru sampai kan? Tak nak masuk?”


Nashreen tersenyum dan mengangguk. Dia baru sahaja pulang dari pejabat. Sengaja disibukkan petang hujung minggunya dengan tugasan di pejabat kerana tidak mahu melayan perasaan bersalah yang sentiasa menjengah. Sudahnya dia terlupa ada jemputan di rumah besar ini.


Bacaan doa selamat sudah pun selesai dan yang tinggal hanya saudara mara terdekat Ammar. Wajah Datin Suhaili dan Datuk Saifullah tak kelihatan di halaman rumah. Pandangan Nashreen beralih pada pintu rumah yang terbuka luas.


“Falah sayang, bawak ibu masuk dalam sayang.”


“Hmm,” Falah mengangguk dengan senyuman. “Come, ibu..” Perlahan Falah menarik lembut tangan Nashreen, membawa ibunya menuju ke dalam rumah.


Ammar yang menghantar langkah kedua-duanya dengan sorotan mata tersenyum senang. Lega hatinya dengan perubahan positif Nashreen. Sesaat kemudian matanya beralih pada Casio di pergelangan kanan. Pantas sahaja dia mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Lincah jari jemari bergerak di permukaan telefon bimbit sebelum dilekapkan gajet itu ke telinganya.


“Assalamualaikum,”


Salam berbalas. Ammar tersenyum.


“Ain balik lama ke?”


“Sekejap je bang. Ain lupa nak bawak hadiah Falah..”


“La.. Esok, esok kan boleh bagi lagi dekat si kecik tu..”


Ain tergelak perlahan. “Ain dah janji, bang. Falah kan pantang kena tipu,”


Ammar mengangguk dan tersenyum, seakan Ain berada di hadapannya tika itu. “Tapi bukannya abang suruh Ain tipu Falah pun..”


“Memangla.. Tapi Ain tak nak ajar Falah break promise. Munafik tu,”


Ada benarnya di situ. Ammar mengangguk lagi. Tapi kalau terlupa macam mana? “Ain mesti tak sebut InsyaAllah masa janji dengan Falah,” usik Ammar.


Ain membalas dengan tawa perlahan. “Itulah bang.. Ain lupa sangat. Terlebih excited nak bagi present time tu..”


Ammar menggeleng sekali dengan senyuman yang masih bersisa. “Ain dekat mana sekarang? Dah sampai rumah?”


“Dah.. Nak patah balik dah pun bang. Dah lepas second traffic light. Tiga saat lagi sampai simpang depan taman dah..”


“Drive carefully,”


“Mm hmm.. Aaaaaaaaaahhhhh―”


Skreeeeeeeeetttttt!!!


Jantung Ammar seakan berhenti berdetak. Bunyi decitan tayar akibat brek yang ditekan secara mengejut jelas menampar telinganya. Ammar beristighfar.


“Ain!”


Panggil Ammar.


“Ain!!”


Panggil Ammar lagi sedikit kuat. Jeritan Ain terngiang di telinganya.


“Ain..”


Sekali lagi nama Ain meniti di bibir Ammar. Mendayu suara itu sarat dengan kebimbangan.


“Ain, Ain dengar suara abang tak?”


Sepi. Beberapa saat berlalu tanpa sebarang balasan daripada Ain.


“Jangan takutkan abang, Ain. Please answer me, dear..”


Esakan Ain kedengaran tiba-tiba.


“Ain,”


“Abang...”


Ammar menghela nafas lega. Rentak jantungnya semakin teratur.


“Ain okay?”


Sedu Ain kedengaran perlahan.


“Abang,”


“Ain okay? Ain ada dekat simpang depan lagi ke? Ain tunggu dekat situ, abang datang.”


“No, no.”


“Ain,”


Kedengaran helaan nafas Ain di hujung telefon. Ammar beralih tempat berpijak. Kakinya melangkah ke halaman luar, meninggalkan keriuhan di kawasan rumahnya.


“Kenapa Ain? Ain okay tak?”


“Ain langgar kucing, bang.”


Ammar terdiam. Tidak tahu sama ada dia hendak tergelak atau bersedih mendengarkan sebaris ayat itu. Apa yang pasti sebeban kelegaan memberat di hatinya waktu itu. Kalimah syukur Allah basah di bibirnya.


“Bang,”


Ain kembali teresak.


“Syhhh.. Calm, Ain.. It’s just a cat.”


“Nyawa, bang. Ain bunuh ibu kucing ni. Ain tak perasan. Ain betul-betul tak nampak ibu kucing ni melintas tiba-tiba. Ada babies. Tiga ekor.. Dia nak pergi dekat anak dia, bang. Ain berdosa..”


“Tenang Ain. Benda nak jadi. Ain bukan sengaja pun, kan. Syhhhh.. Jangan menangis dah. Ain bawak baby kucing tu balik dulu,”


“Ibunya?”


Ammar tersenyum sedikit. Serasa hendak ketawa mendengarkan soalan jujur itu.


“Ain pernah nampak ke orang bawak balik bangkai kucing yang kena langgar?”


“Ain nak tanam,”


“Okay, okay. Abang tak kisah tolong Ain tanamkan pun. Abang nak Ain cepat-cepat balik sekarang.”


“Ain―”


“Ain tunggu dekat situlah. Abang datang,”


“Eh tak apa, tak apa..”


Laju sahaja Ain membalas. Gadis itu sudah semakin tenang.


“Boleh Ain guna kain lap kereta abang?”


“Guna je apa yang ada dalam kereta tu sayang. Ain bawak balik ibu kucing tu dengan babies dia sekali. Pagi-pagi esok abang tanam ibu kucing tu. Okay sayang?”


Tiada balasan daripada Ain. Ammar tersengih. Tahu gadis itu malu dibahasakannya sayang sebentar tadi.


“Ain balik cepat tau. Jangan berangan.. Nanti Ain langgar bapak kucing pulak, abang jugak yang nak kena tanam..”


“Alah. Ain boleh tanam sendiri la. Abang la yang kacau Ain, bukan Ain berangan..”


Ada nada geram yang terselit di balik jawapan itu.


“Okay, okay.. Abang salah,” Ammar tersenyum lebar. Seronok dapat mengusik gadis itu. “Ain buat apa yang patut dulu sekarang. Lepas tu terus balik tau sayang,” usik Ammar di hujung ayat.


“Assalamualaikum,” Laju sahaja Ain menamatkan panggilan. Malas mahu melayan leretan usikan Ammar.


Ammar tertawa, membalas salam Ain. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Kekalutan Ain terbayang di matanya. Meleret senyuman Ammar..


----------------------------------------------------------------------------------


“So cute, mama!!”


Jeritan nyaring Falah yang mula sekali kedengaran sebaik sahaja Ain mengeluarkan tiga ekor anak kucing yang dibungkus dengan kain lap kereta Ammar.


“Falah nak, ma..”


“Falah nak apa? Falah pandai jaga ke?”


Suara Ammar memintas sebelum sempat Ain membalas.


“Boleh la pa.. So cute.. This one Falah nak bagi nama Kitty, yang hitam ni Blacky and the last one tu Falah nak panggil Meow..”


Ammar menggelengkan kepala. Matanya dijegilkan sedikit pada Ain yang sudah tersengih, menampakkan bunga tawa.


“Siapa nak jaga? Falah?”


Berkerut dahi si kecil itu. Ammar dipandang dengan muncung yang sudah sedepa.


“Papa..”


“Papa tanya, Falah nak jaga ke?”


Tegas suara Ammar bertanya. Falah terkebil-kebil. Ain yang menjadi pemerhati mencucuk hujung kunci kereta di bahu Ammar. Lelaki itu menoleh ke arah Ain sedikit. Keningnya dijungkitkan sekali.